Wednesday, May 30, 2007

Kedah Tuan Rumah Kejohanan Sepak Takraw Terbuka Antarabangsa

ALOR STAR-Kejohanan Sepak Takraw Terbuka Antarabangsa yang akan diadakan di sini mulai akhir Julai ini akan menjadi medan ujian kepada pasukan negara untuk beraksi pada Sukan SEA di Korat, Thailand Disember ini.

Presiden Persatuan Sepak Takraw Malaysia Datuk Ahmad Ismail berkata sebanyak 16 pasukan termasuk dari Jepun, Myanmar, Kanada, Laos dan Vietnam akan menyertai kejohanan selama lima hari yang bermula 31 Julai ini.

"Setakat ini 10 pasukan mengesahkan penyertaan dan selebihnya dijangka berbuat demikian tidak lama lagi," katanya selepas mempengerusikan mesyuarat bersama jawatankuasa induk kejohanan itu di sini hari ini.

Ahmad berkata bagi memeriahkan kejohanan itu, beberapa pasukan sepak takraw wanita termasuk dari Vietnam, Thailand dan pasukan tuan rumah akan diundang khas mengadakan pertunjukan.(BERNAMA)

Tuesday, May 29, 2007

Kementerian Penerangan Bantu Beri Penjelasan Kenaikan Harga Barang

PULAU PINANG-Kementerian Penerangan akan membantu Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDN&HEP) menyebarkan maklumat dan penjelasan mengenai kenaikan harga barang kepada orang ramai.

Timbalan Menteri Penerangan Datuk Seri Chia Kwang Chye berkata maklumat dan penjelasan itu akan disalurkan melalui agensinya iaitu Jabatan Penerangan, RTM, Jabatan Hal Ehwal Khas (JASA) dan Bernama.

Kementerian akan menggunakan kakitangan agensi di peringkat daerah untuk menyampaikan maklumat kepada penduduk setempat mengenai sebarang kenaikan harga barang yang berpunca sama ada daripada faktor permintaan yang berlebihan mahupun faktor ekonomi dunia, katanya kepada pemberita selepas melancarkan program khas Demonstrasi Memasak di sini, hari ini.

Beliau berkata sekiranya terdapat orang ramai yang membuat aduan kepada kakitangan agensi kementerian mengenai sebarang bentuk kenaikan harga barang, maklumat itu juga akan disampaikan kepada KPDN&HEP.

Sementara itu, Chia berkata kementerian akan memperkenalkan Bulan Patriotik bagi memupuk semangat patriotisme di kalangan rakyat sempena sambutan ulang tahun ke-50 kemerdekaan negara.

Beliau berkata program itu akan diadakan secara besar-besaran untuk menyuntik semangat perpaduan di kalangan masyarakat berbilang kaum serta mengingatkan mereka tentang perjuangan kemerdekaan.

"Program itu juga akan digunakan untuk menyegarkan kembali pengetahuan orang ramai tentang Rukun Negara. Butiran lanjut mengenai program berkenaan sedang diperhalusi termasuk tarikh dan aktiviti pengisiannya," katanya. (BERNAMA)

Monday, May 28, 2007

Syiling Hospital Runtuh

Sungai Petani – Kejadian syiling runtuh di Hospital Sultan Abdul Halim Sungai Petani petang semalam adalah sesuatu yang tidak wajar berlaku memandangkan bangunan hospital tersebut baru sahaja digunakan pada awal Januari lalu. Hospital baru yang bernilai RM450 juta itu siap pada Julai tahun lalu dan dijangka akan dirasmikan pada bulan Julai depan.

Kejadian syiling runtuh yang berlaku di bilik penyusuan wad kanak-kanak petang semalam adalah merupakan kejadian yang kedua berlaku di hospital berkenaan dimana sehari sebelum itu kejadian yang sama turut berlaku di wad kenanga yang menempatkan pesakit lelaki.
Pemangku Pengarah Hospital Sultan Abdul Halim Dr Shariff Ishak yang ditemui semasa membawa wakil media melawat semula ke tempat kejadian berkata, tidak ada sebarang kecederaan dilaporkan.Tinjauan kami di wad-wad berkenaan mendapati semua syiling tersebut telah diganti semula manakala urusan di wad-wad terbabit berjalan seperti biasa.

Sunday, May 27, 2007

Healwell Pharmaceuticals Mahu Tembusi Negara Asia

ALOR STAR-Healwell Pharmaceuticals Sdn Bhd, syarikat bumiputera yang mengeluarkan produk kesihatan dan kecantikan berasaskan gamat merancang menembusi pasaran luara negara dalam masa beberapa tahun akan datang.

Pengasas dan Ketua Eksekutif Healwell Pharmaceuticals Sdn Bhd Prof Dr Hassan Yaacob berkata sasaran syarikat adalah menerokai pasaran di negara rantau Asia.

Pada masa ini syarikat sedang memperkukuhkan pasaran dalam negara, katanya kepada pemberita selepas Seminar Perdana Sihat Dan Cantik Dengan Gamat Healin Dan AG2000 di sini hari ini.

"Sejak kita mempromosi produk menerusi sebuah rancangan di saluran tv swasta sejak akhir tahun lepas, permintaan terhadap produk keluaran syarikat ini meningkat mendadak," katanya, tanpa mendedahkan butiran peningkatan permintaan itu serta sasaran jualan di luar negara.

Beliau berkata produk keluaran syarikat itu iaitu Healin dan AG2000 berupaya merangsang pembaharuan sel, merangsang sistem imunisasi serta pertumbuhan sel-sel kulit, otot, saraf dan meningkatkan peredaran darah sekaligus dapat menyembuhkan penyakit kronik seperti kanser dan lumpuh.

Beliau juga pernah memenangi beberapa anugerah seperti Pingat Emas Malaysia Invention and Discovery (MINDEX) pada 1994, International Union of Pharmacology Award di Kanada pada 1994 dan dipilih sebagai Tokoh Maulidur Rasul 2007.(BERNAMA)

Wujudkan Mekanisme Pantau Kegiatan Peguam Jalankan Transaksi

PULAU PINANG-Kerajaan digesa supaya mewujudkan mekanisme bagi memantau setiap kegiatan transaksi yang dilakukan oleh peguam ketika mewakili anak guam mereka dalam usaha mengatasi masalah pecah amanah di kalangan profeson tersebut.

Setiausaha Parlimen Kementerian Kesihatan Datuk Lee Kah Choon, yang merupakan bekas peguam, berkata peguam mempunyai ruang untuk menipu pelanggan mereka ketika berurusan dengan mana-mana pihak terutamanya dengan Pejabat Tanah dan Daerah.

"Terdapat kelemahan seperti proses penukaran nama dan hak milik tanah di Pejabat Tanah kerana peguam boleh memohon penukaran hak milik bagi pihak anak guamnya dan syarat urusan seperti ini haruslah diperketatkan," katanya kepada pemberita di sini.

Beliau berkata demikian apabila diminta mengulas laporan berita hari ini yang polis sedang mengesan 25 orang peguam bagi membantu siasatan 200 kes jenayah penyelewengan dan pecah amanah yang membabitkan berjuta-juta ringgit.
Kesemua peguam yang namanya disenaraikan itu tidak lagi menjadi pengamal undang-undang dan telah menutup firma masing-masing.

Lee, yang juga Anggota Parlimen Jelutong, berkata di Malaysia, peguam adalah orang tengah semasa transaksi yang berkaitan dengan jual-beli atau penukaran hak milik dan kerana itu golongan peguam haruslah terdiri daripada mereka yang beretika dan bertanggungjawab.

"Kita kecewa dengan apa yang berlaku dan satu mekanisma untuk mengetatkan syarat-syarat transaksi haruslah diwujudkan," katanya.

Sementara itu di Kuala Lumpur, peguam Datuk Muhammad Shafee Abdullah pula berpendapat Majlis Peguam sepatutnya mengetatkan peraturan membuka firma guaman dalam kalangan peguam muda bagi mengatasi masalah tersebut.

"Sekarang tidak ada satu peraturan yang boleh mengawal mereka. Oleh itu ramai peguam yang lepas tamat pengajian boleh membuka firma guaman sendiri sedangkan daripada segi pengalaman mereka masih kurang," katanya kepada Bernama.

Beliau berkata peguam yang mengendalikan proses jual beli mempunyai tanggungjawab besar dalam memastikan kepentingan dan hak anak guam mereka sentiasa diutamakan.

Mengenai peningkatan kes pecah amanah dalam kalangan pengamal undang-undang, Muhammad Shafee berkata ia secara tidak langsung mencemarkan imej profesion itu.

"Mereka yang tidak bertanggungjawab itu wajar didedahkan bagi menjamin profesion guaman tidak dicemari selain melindungi kepentingan pengguna," katanya. (BERNAMA)

Saturday, May 26, 2007

Bank Rakyat Beri Sumbangan

BALING – Perihatin dengan kemiskinan yang dialami oleh Sabariah binti Dollah di Kampung becah sawa, Baling, Kedah yang kehilangan tempat bergantung setelah kematian suaminya sehingga terpaksa menyerahkan seorang daripada anaknya berusia 8 tahun untuk dijaga oleh orang lain dan terpaksa menanggung 5 orang anak yang masih bersekolah telah menarik perhatian Bank Kerjasama Rakyat Malaysia Berhad untuk menyumbangkan bantuan wang serta membaik pulih rumahnya yang sebelum ini cukup daif.

Menurut Ketua Wilayah Utara Bank berkenaan Zainuddin Yaacob, sumbangan tersebut merupakan salah satu aktiviti kemasyarakatan yang dilakukan oleh pihak bank setiap tahun untuk membantu masyarakat yang memerlukan.Katanya lagi program membaik pulih rumah seperti ini merupakan yang pertama dilakukan di wilayah utara dan akan meneruskan program seumpama itu setiap tahun.

Pihak bank berharap dengan sumbangan seperti ini akan dapat memberi kehidupan yang lebih baik kepada keluarga puan sabariah serta anak-anaknya boleh belajar dengan selesa berbanding sebelum ini.

Bank Rakyat telah memperuntukkan sebanyak RM16,000 daripada wang zakat perniagaan bank berkenaan untuk disalurkan kepada masyarakat miskin di Wilayah Utara.Dengan peruntukkan sebanyak itu Bank Rakyat seterusnya akan melakukan aktiviti yang sama di Jawi dan di Kangar dalam sedikit masa lagi.

Friday, May 25, 2007

RM4.5 Juta Diperlukan Baiki Kemudahan Asas Orang Utan Di BMLR

TAIPING-Sejumlah RM4.5 juta diperlukan bagi memperbaiki dan menambah beberapa kemudahan asas di Pulau Orang Utan, Bukit Merah Laketown Resort (BMLR) di sini.

Pengurus Besar Kumpulan Hotel & Resort MK Land, Annuar Yang Ghazali berkata jumlah itu antara lain bertujuan membiayai pembinaan lorong berpagar pelawat dan beberapa kemudahan asas berkaitan pemuliharaan orang utan di pulau tersebut.

"Kita perlukan kerjasama daripada kerajaan negeri, golongan korporat dan juga individu untuk tampil menghulurkan sumbangan demi memastikan spesies orang utan di negara ini tidak mengalami kepupusan," katanya kepada Bernama selepas majlis penyerahan dua ekor orang utan oleh BMLR kepada Kerajaan Negeri Sarawak di sini.

Upacara penyerahan secara simbolik yang berlangsung di Pulau Orang Utan, BMLR disempurnakan oleh Setiausaha Kerajaan Negeri Perak, Datuk Dr Abdul Rahman Hashim yang mewakili Menteri Besar Datuk Seri Tajol Rosli Ghazali dan diterima oleh Menteri Kemudahan Awam dan Menteri Perancangan dan Pengurusan Sumber II Sarawak, Datuk Seri Awang Tengah Ali Hassan yang mewakili Ketua Menteri Tan Sri Abdul Taib Mahmud.

Turut hadir pada majlis penyerahan itu ialah doktor veterinar, Dr Sabapathy yang bertanggungjawab menyelenggara dan menjalankan penyelidikan berkaitan kehidupan orang utan di Pulau Orang Utan di sini dan Pengerusi Eksekutif MK Land, Tan Sri Mustafa Kamal Abu Bakar.

Kedua-dua orang utan dewasa, BJ, orang utan jantan berumur 17 tahun dan Jerangkong, orang utan betina berumur 23 tahun akan dihantar ke tempat asalnya di Pusat Pemuliharaan Orang Utan, Jabatan Perhutanan Sarawak.

BJ dan Jerangkong dipinjamkan ke BMLR oleh Jabatan Perhutanan Sarawak sejak 2002 dalam satu jalinan kerjasama bagi memulihara dan menjalankan penyelidikan berkaitan mamalia tersebut.

Sejumlah RM2.3 juta yang dibelanjakan oleh Yayasan Emkay dan BMLR sejak tujuh tahun lepas kini membuahkan hasil apabila bilangan Orang Utan di BMLR meningkat kepada 22 ekor termasuk 10 anak orang utan yang dilahirkan di sini berumur antara tiga bulan dan empat tahun.(BERNAMA)

Penduduk terkejut pasir terus dikorek di dalam kampung

PADANG SERAI - Penduduk Kampung Kemumbung, Mukim Sidam Kiri, Kedah terkejut apabila mendapati kerja-kerja mengorek pasir darat dilakukan semula di atas tanah rizab kerajaan di tengah-tengah kawasan perkampungan mereka.

Kerja-kerja mengorek dan mengeluarkan pasir tersebut telah dimulakan sejak tahun 2004 yang lalu tetapi disebabkan bantahan berterusan yang dibuat oleh penduduk kampung, pihak Pejabat Menteri Besar Kedah telah mengarahkan Pejabat Tanah Kuala Muda untuk menghentikan segala aktiviti tersebut pada tahun 2005.

Setelah sekian lama aktiviti mengorek pasir tersebut dihentikan, seorang penduduk tempatan di situ mendakwa telah mendapat semula permit sah bagi menyambung kembali kerja-kerja mengorek dan mengeluarkan pasir sejak awal bulan ini.

Tinjauan kami ke lokasi yang dimaksudkan penduduk kampung mendapati kawasan tersebut sunyi sepi tanpa sebarang aktiviti mengorek pasir yang dapat dilihat. Menurut penduduk kampung, kerja-kerja mengorek pasir telah dihentikan sejurus sebelum kedatangan kami ke kawasan terbabit.

Tinjauan turut mendapati dakwaan penduduk kampung tersebut memang berasas dengan kehadiran beberapa jentera berat di kawasan tersebut dan terdapat longgokan pasir yang telah siap dan sedia untuk diangkut keluar selain daripada satu mesin mengepam pasir yang terdapat di tengah-tengah kawasan itu.

Apa yang membimbangkan penduduk kampung, kerja-kerja mengorek pasir terbabit telah mengakibatkan tebing di sekitar kolam tersebut terhakis dan semakin menghampiri kawasan rumah dan juga jalan di situ. Selain daripada itu, kawasan terbabit kerap kali menjadi tempat bermain kanak-kanak yang sememangnya amat berbahaya dan boleh mengakibatkan kejadian buruk yang tidak diingini seperti lemas dan sebagainya.

Beberapa penduduk kampung yang ditemui menyuarakan kebimbangan mereka sekiranya berlaku hujan lebat dan risiko banjir besar yang boleh menenggelamkan kawasan terbabit sepertimana yang pernah dialami sebelum ini disebabkan kampung tersebut merupakan laluan air.

Penduduk kampung juga telah menubuhkan Jawatankuasa Badan Kebajikan Madrasah Kampung Kemumbung bagi membantah kerja-kerja mengorek pasir dilakukan di dalam kawasan kampung mereka atas alasan keselamatan.

Setakat ini jawatankuasa terbabit telah menghantar beberapa surat bantahan kepada Pejabat Tanah Daerah Kuala Muda dan Pejabat Menteri Besar Kedah tetapi masih belum mendapat sebarang jawapan atau maklumbalas daripada surat tersebut.

Rata-rata penduduk kampung merayu dan amat berharap pihak-pihak yang berkenaan dapat mengambil tindakan yang sewajarnya dengan mengarahkan kerja-kerja mengorek pasir di dalam kampung mereka dihentikan semula dan tiada lagi sebarang aktiviti pengambilan pasir dibenarkan beroperasi pada masa akan datang.

Thursday, May 24, 2007

Majlis Penutup Pertandingan Sukan Air PLKN

Sebanyak enam pusat PLKN di Kedah menyertai pertandingan Sukan Air Peringkat Zon Selatan yang melibatkan Kem PLKN Bukit Besar, Rimba Takwa Sik, Kem rekreasi Belia Baling, Damai Park resort, Dusun Muda Resort dan Kem Jelapang yang berlangsung di Pusat Rekreasi Belia Baling, Kampung Sungai Limau.Dalam pertandingan tersebut sebanyak enam acara dipertandingkan iaitu Kayak individu wira, kayak individu wirawati, kayak berpasukan wira dan wirawati dan rakit wira dan wirawati.

Pengerusi Putera Umno Malaysia, Datuk Abdul Azeez Abd Rahim yang ditemui semasa merasmikan majlis penutup Pertandingan Sukan Air itu berkata tanggungjawab semua pelatih sangat besar kepada negara kerana merekalah yang menjadi pelapis dan pewaris Negara pada masa depan.

Dengan semangat jati diri yang diterap kepada mereka selama tiga bulan ketika mengikuti kursus di Pusat Latihan Khidmat Negara (PLKN), banyak pengalaman dan pengisian ilmu yang diperolehi mereka untuk menjadi manusia yang berbakti kepada negara pada masa depan. beliau juga mengingatkan kepada peserta supaya jangan menganggap menyertai PLKN semata-mata kerana terpaksa, tetapi sebaliknya adalah untuk melahirkan mereka menjadi manusia yang berbakti kepada masyarakat dan Negara.

Menurutnya lagi Kerajaan memperuntukkan perbelanjaan yang banyak semata-mata untuk memberi ilmu yang berguna ketika mereka menyertai PLKN dan mendidik mereka supaya tidak terjebak dengan gejala yang tidak sihat selepas tamat kursus itu.Kerajaan juga meletakkan harapan yang tinggi melalui program PLKN ini untuk melahirkan pelapis yang benar-benar sayangkan tanahair sendiri dan berharap mereka dapat menjadi model kepada rakan-rakan yang lain di kampung setelah tamat kursus nanti.

Dalam pada itu beliau juga menyarankan pada itu semua pelatih Pusat Latihan Khidmat Negara (PLKN) diminta mendaftar sebagai ahli pemilih dengan Suruhanjaya Pilihanraya (SPR) apabila usia mereka menjangkau 21 tahun bagi menunaikan tanggungjawab mereka kepada negara.
Sementara itu beberapa pelatih yang ditemui berita tv9 berkata, mereka sangat gembira kerana diberi peluang menyertai Pusat Latihan ini,disamping dapat mengikuti latihan yang disediakan mereka juga dapat menimba pengalaman baru yang tidak pernah mereka lalui sebelum ini.

Wednesday, May 23, 2007

Membanteras Gejala Sosial Bandar Sungai Petani

Sebuah badan bukan kerajaan (NGO) Teras Pengupayaan Melayu (Teras) menganjurkan Majlis Bertindak Masyarakat Membanteras Gejala Sosial di Bandar Sungai Petani.Badan bertindak tersebut telah dilancarkan pagi tadi oleh Presiden Kebangsaan Teras , Mohd Azmi Abd. Hamid di Dewan Masjid Muzaffar Shah Sungai Petani.

Semasa sidang media yang diadakan beliau berkata gejala sosial di Sungai Petani sudah mencapai tahap yang membimbangkan dan perlu diambil perhatian segera dan tidak hanya semata-mata menyerahkan tanggungjawab sosial tersebut kepada pihak berkuasa.Gejala sosial yang dimaksudkan itu termasuklah perbuatan tidak senonoh golongan remaja,seks bebas,bohsia, rempit, ponteng sekolah, melepak, buang anak dan sebagainya.

Katanya lagi Bandar Sungai Petani juga pernah dikaitkan dengan kumpulan black metal,hip hop dan skin head beberapa tahun lalu dan difahamkan kumpulan tersebut masih lagi bergerak aktif di bandar ini tetapi dengan secara berhati-hati bagi mengelak dari dikesan oleh pihak berkuasa.

Objektif utama badan bertidak tersebut ialah melancarkan pelbagai aktiviti mencetus Kesedaran,Kritikal dan membina keupayaan bertindak kearah pembaikan seluruh aspek kehidupan kemasyarakatan seperti mengatur ceramah masjid dan surau,mengadakan kem untuk motivasi kepada remaja yang bermasalah dan turut menyediakan kaunselor kepada remaja bermasalah.


Menurutnya lagi melalui majlis bertindak ini mereka akan mengujudkan sebuah skim latihan penggerak masyarakat yang berkesan dan melatih masyarakat terbabit dengan kaedah-kaedah yang termampu untuk melahirkan masyarakat yang murni.Badan bertindak ini juga akan mengadakan sesi dialog dengan keluarga atau ibu-bapa yang terlibat untuk mencari jalan penyelesaian terbaik bagi mengatasi gejala sosial yang dikatakan semakin membimbangkan tersebut.

Sunday, May 20, 2007

PM Rasmi Pusat Anak Permata Negara

Perdana Menteri Malaysia Datuk Seri Abdullah Hj Ahmad Badawi hari ini merasmikan Pusat Anak Permata Negara di Taman Sri Menerong,Seberang Perai.Pulau Pinang.

Turut hadir dalam majlis tersebut Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak dan isteri Datin Paduka Rosnah Mansur,Ketua Menteri Pulau Pinang Tan Sri Dr. Koh Tsu Koon dan Menteri Penerangan Datuk Seri Zainuddin Maidin.

Dalam ucapannya Datuk Seri Abdullah berkata ibu bapa boleh menjadi pembantu yang baik bagi menjayakan program Anak Permata Negara supaya program ini dapat mencapai kejayaan.Katanya lagi ibu bapa adalah merupakan pendidik yang pertama kepada anak-anak mereka,justeru mereka lebih memahami perangai anak-anak mereka dengan lebih baik sekali gus membantu pusat tersebut dalam memberikan pendidikan awal kepada anak-anak mereka.

Dalam majlis yang sama beberapa syarikat korperat turut menyumbangkan sumbangan wang melalui cek kepada Pusat ini.

Saudara Mara Juara AF5 Tidak Sabar Tunggu Kepulangannya

PULAU PINANG-Saudara mara juara Akademi Fantasia Musim kelima (AF5) yang memecah tradisi sebagai wanita pertama menjuarai program realiti itu, Mila atau Norsyarmila Jirin, tidak sabar-sabar menantikan kepulangan gadis itu ke kampung halamannya di Kampung Sungai Batu, Teluk Kumbar di sini.

Tinjauan Bernama ke rumah Mila di sini hari ini, mendapati kediamannya kosong serta berkunci dan menurut ibu saudaranya yang tinggal berdekatan, keluarga juara itu masih belum pulang dari Kuala Lumpur.

Ibu saudaranya, Maznah Burhan, 49, berkata beliau dimaklumkan Mila dan keluarganya belum diketahui bila akan pulang kerana juara itu perlu menyelesaikan beberapa urusan setelah anak saudaranya itu dinobatkan sebagai juara AF.Mila, 19 berjaya menjuarai AF5 yang berlangusng di Stadium Putra, Bukit Jalil, Kuala Lumpur malam tadi, selepas memperoleh 32 peratus undi rakyat Malaysia dan Brunei serta beliau juga turut mencatat sejarah dengan memecahkan dominasi juara lelaki selama empat musim berturut-turut sejak 2003.

Tuah Mila nyata bersinar dan nyanyian dua lagu iaitu Cinta Pura-pura yang dipopularkan Ezlynn serta Persis Mutiara yang dicipta untuknya oleh Ajai dan lirik oleh Loloq itu membawa tuah kepadanya.

Dengan kemenangan itu, Mila membawa pulang hadiah bernilai hampir RM400,000 iaitu antara lain sebuah kondominium di A'Famosa Resort Melaka (RM278,900) sebuah kereta jenis Toyota Vios (RM84,849), wang tunai RM20,000, sijil simpanan premium Bank Simpanan Nasional (RM10,000) pakej percutian ke Gold Coast, Australia (RM6,388) dan trofi AF5.

Maznah berkata saudara-mara serta rakan-rakan merangkap peminat setia juara itu, merancang membuat sambutan untuk menyambut satu-satunya pemenang wanita sejak AF diperkenalkan itu.

Menurutnya, sejak AF musim ini dimulakan pada Mac lepas, mereka sekeluarga tidak jemu-jemu menghantar khidmat pesanan ringkas (SMS) bagi memastikan gadis kecil-molek itu tidak tersingkir.

"Rasa puas sangat Mila berjaya menjadi juara. Kami sekeluarga turut berdebar-debar menantikan keputusan malam tadi tetapi yakin dia (Mila) mampu membuat kejutan dan muncul juara," katanya.

Beliau mengakui anak saudaranya itu berbakat besar dalam bidang nyanyian dan sebelum ini juga Mila kerap dipanggil menyanyi dan menghiburkan pengunjung di sekitar Pulau Pinang.

"Kami seronok sangat Mila jadi juara dan gembira kerana penat lelah Mila menuntut ilmu di AF memberi pulangan yang begitu besar," katanya.

Empat finalis lain pada konsert itu ialah ialah Ebi kornelis atau Firdaus Yaimal (Ebi) 23, dari Sabah, sebagai naib juara, tempat ketiga, Muhammad Nur Aswad Jafar, 27, dari Pulau Pinang, tempat keempat Nur Heliza Helmi, 21, dari Terengganu dan tempat kelima Candra Clement atau Candy dari Sabah.(BERNAMA)

Zainuddin Selar Media Salahguna Ketelusan Kerajaan

SUNGAI PETANI-Menteri Penerangan Datuk Seri Zainuddin Maidin menyelar pengamal media tertentu yang menyalahgunakan ketelusan Perdana Menteri Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi untuk memainkan isu politik yang bersifat perkauman.

Katanya perbuatan itu juga boleh merungkai kontrak sosial yang selama ini diterima dengan baik oleh kaum utama Melayu, Cina dan India.

"Bagi saya apa jua kebebasan (media) tak boleh keluar daripada kontrak sosial," katanya kepada pemberita selepas majlis mesra parti komponen Barisan Nasional (BN) kawasan Parlimen Merbok di sini Sabtu malam.

Beliau berkata perkara yang telah dipersetujui dalam kontrak sosial itu tidak perlu diungkit oleh media kerana ia membawa kepada kesan negatif.

Zainuddin yang juga anggota Parlimen Merbok kecewa kerana perkara seperti peristiwa 13 Mei telah cuba dibangkitkan semula selain dasar Maybank dalam mengenakan syarat pemilikan 50 peratus kepentingan Bumiputera dalam firma guaman dan isu bangunan Parlimen "bocor" yang turut diutarakan secara meluas oleh media tertentu.

Penyalahgunaan ketelusan yang diberikan Abdullah sebagai peneraju negara, boleh merobek asas kekuatan bangsa Malaysia yang selama ini hidup dalam suasana bersatu padu, katanya.

Mengenai penerbitan buku "13 Mei: Di sebalik Dokumen Sulit Rusuhan 1969" oleh bekas anggota parlimen Petaling Jaya (DAP) Dr Kua Kia Soong, beliau berkata buku itu hanya membangkitkan perasaan tidak senang orang ramai.

Katanya walaupun kerajaan belum mengharamkan buku tulisan bekas tahanan di bawah Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA) itu namun laporan media tertentu sengaja menyebut ia telah diharamkan dan buku itu telah habis dijual.

Beliau turut menasihati orang ramai supaya tidak terpengaruh dengan pandangan negatif individu tertentu terhadap kerajaan melalui laman blog mereka.

"Mereka cuba timbulkan perasaan sakit hati orang ramai (melalui blog mereka)," katanya.

Ketika berucap sebelum itu, beliau berkata Dasar Ekonomi Baru (DEB) yang diperkenalkan kira-kira 30 tahun lalu telah berjaya membentuk masyarakat Malaysia yang kukuh dan kekuatan negara melalui perpaduan kaum perlu sentiasa dipertahankan.(BERNAMA)

Saturday, May 19, 2007

1,082 Pertubuhan Dibatalkan Kerana Gagal Hantar Penyata Tahunan

KANGAR-Sebanyak 1,082 pertubuhan dibatalkan pendaftarannya sejak Januari 2006 hingga Februari tahun ini kerana gagal menghantar penyata tahunan kepada Jabatan Pendaftaran Pertubuhan Malaysia dalam tempoh yang ditetapkan mengikut Akta Pertubuhan 1966.

Setiausaha Parlimen Kementerian Hal Ehwal Dalam Negeri Datuk Paduka Abdul Rahman Ibrahim berkata daripada jumlah itu, sebanyak 477 pertubuhan terdiri daripada pertubuhan badan induk manakala 605 pertubuhan lagi adalah pertubuhan cawangan.
"Kesalahan paling besar yang sentiasa dilakukan oleh pertubuhan (sehingga menyebabkan ia dibatalkan) adalah gagal menghantar penyata tahunan mengikut tempoh yang telah ditetapkan oleh Jabatan Pendaftaran Pertubuhan Malaysia.
"Sekiranya dibatalkan, pertubuhan terbabit boleh mengemukakan rayuan dalam tempoh 30 hari dan pertimbangan akan dilakukan oleh menteri terbabit sama ada untuk meluluskan rayuan atau tidak," katanya kepada pemberita selepas merasmikan Majlis Taklimat dan Penyampaian Sijil Pendaftaran Pertubuhan Jabatan Pendaftaran Pertubuhan Negeri Perlis di sini hari ini.

Akta Pertubuhan 1966 menetapkan sesebuah pertubuhan perlu menghantar penyata tahunan 60 hari selepas mesyuarat agung tahunan pertubuhan atau dalam tempoh 60 hari selepas berakhirnya setiap tahun kalendar jika tiada mesyuarat agung tahunan.

Abdul Rahman berkata penyata tahunan itu diperlukan oleh Jabatan Pendaftaran Pertubuhan sebagai laporan atau pemberitahuan untuk memastikan sesebuah pertubuhan itu masih beroperasi dan bergerak aktif mengikut matlamat asal penubuhannya.
Selain kesalahan gagal menghantar penyata tahunan, terdapat beberapa kesalahan lain yang membolehkan sesebuah pertubuhan dibatalkan termasuk pertubuhan tidak lagi wujud, anggota pertubuhan minta dibubarkan kerana tiada lagi pimpinan yang boleh memimpin pertubuhan, berlaku pertikaian dalam pertubuhan terutama perebutan jawatan dan melanggar peruntukan atau Akta Pertubuhan 1966.
Beliau berkata beberapa kursus dijalankan oleh pihak jabatan untuk memberi panduan kepada pemilik pertubuhan sama ada yang baru atau yang lama bagi mendalami ilmu kepimpinan supaya sesebuah pertubuhan dapat bergerak mengikut objektif asal pertubuhan.
Sebanyak 107,968 pertubuhan berdaftar di seluruh negara dan daripada jumlah itu, sebanyak 40,678 pertubuhan induk manakala selebihnya adalah pertubuhan cawangan.
Sementara itu, Pengarah Jabatan Pendaftaran Pertubuhan Perlis Mohd Fitri Hassan berkata sebanyak 1,132 pertubuhan telah berdaftar di negeri ini dan daripada jumlah itu, sebanyak 121 pertubuhan dibatalkan atas kesalahan melanggar Akta Pertubuhan 1966.
Pada majlis itu, sebanyak 32 pertubuhan di Perlis dan Kedah menerima sijil pendaftaran pertubuhan yang membolehkan mereka menjalankan sebarang program pertubuhan secara sah.(BERNAMA)

Pembuat Kereta Mewah Dijemput Tubuh Hab Rantau Di M'sia

BUKIT MERTAJAM-Para pembuat kereta mewah dunia dijemput untuk menubuhkan hab rantau mereka di Malaysia memandangkan kerajaan menawarkan insentif menarik untuk mereka menubuhkan perniagaan di negara ini.

Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri Datuk Seri Rafidah Aziz berkata demi kebaikan segmen kereta mewah, kerajaan telah memperkemas duti import bagi kenderaan penumpang 2,500cc dan ke atas sehingga 105 peratus mulai 1 Jan tahun ini.

Ini dilakukan bagi menggalakkan perkembangan segmen kereta terutama kereta mewah, katanya semasa melancarkan Pusat Porsche Pulau Pinang dan model baru Porshe Cayenne untuk pasaran utara di Juru Auto-city, di sini hari ini.

"Saya berharap Porsche akan melihat Malaysia sebagai berpotensi menjadi hab rantaunya pada masa depan dan saya juga ingin melihat jenama lain, seperti Ferrari juga melakukan perkara yang sama. Malaysia menjemput mereka ini untuk menjadikan negara kita sebagai hab mereka," katanya.

Pada masa ini, Porshe telah menubuhkan pejabat Asia Pasifiknya di Singapura.

Bagaimanapun, Rafidah berkata kereta-kereta import tidak akan menjejaskan kereta yang dipasang dan dibuat di negara ini termasuk kereta nasional."Kereta-kereta import ini lebih kecil bilangannya dan tidak dalam apa cara sekalipun menyaingi kereta-kereta tempatan. Mereka mempunyai kelas yang tersendiri," tambah beliau.

Sementara itu, Rafidah berkata perkembangan dalam industri automotif dunia adalah sangat menarik bukan sahaja daripada segi penggabungan di kalangan pembuat kereta dunia dan memilik negara pasaran, tetapi juga pengenalan amalan-amalan terbaik dalam industri berkenaan, meliputi keseluruhan rantaian nilai, daripada reka bentuk hinggalah ke pengeluaran dan khidmat selepas jualan.

Beliau berkata ciri-ciri baru yang dipasang pada automobil generasi baru, yang dapat dilakukan berdasarkan teknologi baru dan canggih seperti dalam bidang elektronik, akan memerlukan pendekatan-pendekatan baru dalam menservis kenderaan-kenderaan itu.

Pusat-pusat servis bukan sahaja perlu dilengkapkan dengan kelengkapan dan peralatan yang diperlukan, mereka juga mestilah dikendalikan oleh orang yang terlatih dan mempunyai pengetahuan terkini mengenai perkembangan terbaru dalam teknologi automotif.

Rafidah berkata kerajaan telah meluluskan 10 pelaburan dalam sektor automotif berjumlah RM206.2 juta dalam tempoh tiga bulan pertama tahun ini dan daripada jumlah itu, 92.6 peratus (RM191.1 juta) adalah pelaburan domestik manakala pelaburan asing sebanyak 7.4 peratus (RM15.1 juta).

Beliau berkata daripada 10 projek itu, enam adalah pelaburan baru dan empat lagi adalah projek pembesaran dan pempelbagaian.

Pada 2006, 49 projek telah diluluskan dengan jumlah pelaburan sebanyak RM532.4 juta.Rafidah berkata bagi tempoh tiga bulan pertama 2007, jumlah eksport kereta (CBU) meningkat sebanyak 73.2 peratus kepada 5,801 unit daripada 3,349 unit dalam tempoh yang sama tahun lepas.

Jumlah import menurun sebanyak 35.2 peratus kepada 3,349 unit daripada 5,167 unit dalam tempoh yang sama tahun lepas, tambah beliau.

Pada 2006, eksport kereta Malaysia (CBU) melebihi jumlah import sebanyak 4,637 unit. Eksport meningkat sebanyak 37.4 peratus kepada 17,944 unit daripada 13,062 unit pada 2005 manakala import menurun sebanyak 53.3 peratus kepada 12,862 unit daripada 27,523 unit pada 2005.

Destinasi eksport utama bagi kereta-kereta CBU ialah United Kingdom, Australia, Syria, Afrika Selatan dan Singapura.(BERNAMA)

Friday, May 18, 2007

Kedah Mensasarkan Satu Rumah Satu Basikal

ALOR STAR-Kerajaan Negeri Kedah mensasarkan setiap rumah mempunyai sekurang-kurangnya sebuah basikal untuk melahirkan keluarga yang sihat, kata Pengerusi Jawatankuasa Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Pembangunan Luar Bandar Kedah Datuk Paduka Ahmad Bashah Md Hanipah.

Beliau berkata ibu bapa boleh berbasikal bersama anak-anak mereka sekurang-kurangnya dua atau tiga kilometer sehari di sekitar kawasan kediaman.

"Aktiviti berbasikal bukan sahaja dapat merintis kepada badan yang sihat tetapi juga dapat mengekalkan alam persekitaran dengan mengurangkan pencemaran", katanya semasa merasmikan Kempen Mari Berbasikal sempena Hari Belia Negara di Stadium Darul Aman di sini hari ini.

Beliau memberikan contoh di negara China yang penduduknya masih cergas meskipun telah berumur 90 tahun kerana menggunakan basikal sebagai kaedah pengangkutan harian.

Mengenai kempen itu, beliau berkata, ia bertujuan mempromosikan aktiviti kecergasan menggunakan basikal, meningkatkan kesedaran orang ramai terhadap kepentingan kegiatan kecergasan selain sebagai sokongan kepada sambutan hari belia negara.

Kempen itu yang turut disertai anggota Persatuan Gerek Klasik Kota bermula dengan senamrobik beramai-ramai dan selepas itu kira-kira 600 orang berbasikal sejauh 15 kilometer yang diketuai oleh Ahmad Bashah.(BERNAMA)

Thursday, May 17, 2007

Kedah Beli Bangunan RM3.5 Juta Di Kaherah Untuk Kemudahan Pelajar

SIK-Kerajaan Kedah membeli sebuah bangunan 11 tingkat bernilai RM3.5 juta di Kaherah, Mesir untuk dijadikan asrama bagi kemudahan pelajar negeri ini yang menuntut di negara itu, kata Menteri Besar Datuk Seri Mahdzir Khalid.

Beliau berkata dengan pembelian terbaru itu Kedah kini memiliki tiga buah bangunan di Mesir yang boleh menampung lebih 300 orang pada satu masa.

"Ramai pelajar kita di Mesir tiada tempat untuk pergi atau tinggal dalam tempoh cuti pendek kerana kebanyakkan daripada mereka tiada wang mencukupi untuk perbelanjaan," katanya kepada pemberita selepas menyampaikan geran tanah kepada kepada 187 orang peneroka tanah daerah Sik di Rimba Taqwa di sini, petang semalam.Bangunan baru itu perlu dibuat sedikit pengubahsuaian dan dijangka dapat digunakan sebelum akhir tahun ini, kata Mahdzir.

Katanya seramai 874 pelajar Kedah sedang menuntut dalam pelbagai jurusan di beberapa universiti di Mesir dan tinggal berselerak di negara itu.Beliau menambah dengan adanya bangunan baru itu mereka dapat berkumpul pada waktu cuti untuk menjalankan kegiatan berfaedah.(BERNAMA)

Mati Di Rempuh Kereta Peronda

Baling-Susulan kejadian tengahari kelmarin yang membabitkan dua pelajar adik beradik, Mohamad Nazri 17 tahun dan Mohamad Naziman Mustaffa 16 tahun terbunuh, setelah dirempuh oleh kereta peronda polis dari IPD Grik dalam drama kejar-mengejar dengan sebuah kereta waja yang dinaiki oleh dua penjenayah menuju ke Iboi,Kupang. Selepas merempuh kenderaan polis, kedua-dua lelaki terbabit melarikan diri kearah Lebuhraya Timur Barat, bagaimanapun kenderaan itu ditinggalkan di lebuh raya berkenaan.

Ketua Polis Kedah, Datuk Syed Ismail Syed Azizan berkata kenderaan yang dinaiki penjenayah yang terbabit dengan kemalangan dengan kereta peronda polis sehingga menyebabkan kematian dua pelajar sekolah menengah Kuala Pegang adalah kenderaan curi di Kota Bharu, Kelantan pada Februari tahun ini. Menurutnya lagi, salah seorang penjenayah tersebut adalah lelaki melayu berusia 42 tahun telah berjaya ditahan malam tadi dan didapati positif dadah.

Dalam pada itu dalam perkenbangan lain apabila polis berjaya menahan seorang penjenayah terbabit dan menjalankan soal siasat untuk membantu polis menahan rakannya yang masih bebas, pihak polis bertembung pula dengan sebuah kenderaan pacuan empat roda yang dinaiki tiga rakan penjenayah terbabit dalam cubaan menyelamatkan rakan mereka yang ditahan polis.

Walau bagaimanapun cubaan untuk menyelamatkan rakan mereka tidak berjaya lalu penjenayah terbabit merempuh kenderaan polis yang berada di jalan Kupang-Gerik.Katanya lagi, polis telah mengenal pasti suspek yang diburu itu yang berasal dari Kelantan. dipercayai masih berada dikawasan lebuh raya berkenaan.pihaknya berharap orang ramai dapat membantu memberi maklumat kepadapolis bagi menahan suspek terbabit.

Sementara itu Pemangku Ketua Polis Perak, Datuk hadi Ho Abdullah berkata Polis Di Raja Malaysia (PDRM) menyampaikan ucapan takziah kepada keluarga mangsa yang terlibat dan memaklumkan kepada media, Ketua Polis Negara (Tan Sri Musa Hassan) berasa sedih atas kejadian yang menimpa dan mengucapkan takziah ke atas keluarga mangsa.

Ketua Polis Kedah, Datuk Syed Ismail Syed Azizan, Pemangku Ketua Polis Perak, Datuk hadi Ho Abdullah,Ketua Polis Grik, Supritendan Mahat Nor dan Ketua Polis Baling, Supritendan Mat Daud Mat Hasan diantara yang hadhir di Rumah Mayat Hospital Baling semasa mayat Mohamad Nazri dan Mohamad Naziman Mustaffa dituntut pada kira-kira pukul 3.30 petang tadi.Jenazah kedua pelajar terbabit dibawa pulang oleh keluarga mereka untuk dikebumikan ditanah perkuburan Kampung Mengkuang Masjid,Baling.

Wednesday, May 16, 2007

Ketua Jabatan, Badan Berkanun Tidak Dibenar Beli Iklan Perutusan

KUALA KANGSAR-Ketua jabatan negeri dan Persekutuan serta badan berkanun di Perak tidak dibenarkan membeli ruang iklan di dalam akhbar bagi mengucapkan tahniah sempena istiadat perkahwinan Raja Muda Perak Raja Dr Nazrin Shah dengan Zara Salim Davidson, Sabtu ini.

Setiausaha Kerajaan Negeri Perak Datuk Dr Abdul Rahman Hashim berkata semua jabatan kerajaan negeri, Persekutuan serta badan berkanun negeri juga tidak dibenarkan menggunakan peruntukan kerajaan bagi tujuan pembelian sebarang hadiah atau lain-lain sempena perkahwinan Diraja.

"Pihak kerajaan negeri bagaimanapun tiada halangan sekiranya terdapat jabatan-jabatan kerajaan dan badan-badan berkanun yang ingin menderma ataupun mengadakan majlis kesyukuran seperti mengadakan jamuan makan kepada rumah-rumah kebajikan atau bantuan kemasyarakatan yang lain," katanya dalam kenyataan di sini.

Abdul Rahman berkata majlis kesyukuran itu boleh dibuat secara langsung oleh jabatan atau disalurkan wang derma itu kepada pihak istana dengan menyebut nama jabatan dan majlis yang hendak diadakan, serta badan kebajikan yang terlibat.

Menteri Besar Perak Datuk Seri Tajol Rosli Ghazali, sebelum ini memberitahu Bernama, bahawa Raja Nazrin menolak dengan hormat peruntukan kewangan kerajaan untuk urusan perkahwinan baginda dan turut menasihatkan agar kerajaan negeri membelanjakan peruntukan itu untuk projek pembangunan bagi memenuhi keperluan rakyat.

Raja Nazrin turut menitahkan supaya perbelanjaan untuk jamuan rakyat diserahkan tuntutan bayarannya kepada baginda, serta menasihatkan syarikat dan orang perseorangan untuk tidak berlumba-lumba membeli ruang iklan ucap tahniah di akhbar sebaliknya baginda lebih gembira jika perbelanjaan tersebut disumbangkan untuk tujuan amal.

Ekoran pendirian Raja Muda Perak itu, pelbagai reaksi positif diterima daripada semua lapisan masyarakat termasuk parti pembangkang.

Perdana Menteri Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi memuji Raja Nazrin sebagai raja berjiwa rakyat yang sentiasa mengutamakan pembangunan dan kebajikan rakyat sementara bekas Perdana Menteri Tun Dr Mahathir menyifatkan tindakan baginda sebagai satu langkah yang bertanggungjawab dan tidak hendak membazirkan wang rakyat.

Menteri Penerangan Datuk Seri Zainuddin Maidin berkata sikap positif Raja Nazrin patut menjadi iktibar kepada masyarakat termasuk golongan artis yang berbelanja besar untuk menganjurkan majlis perkahwinan sebagai pengesahan kedudukan kewangan mereka.

Selain itu, Pengerusi DAP Lim Kit Siang berkata pendirian Raja Nazrin untuk tidak menggunakan peruntukan kewangan kerajaan negeri merupakan mesej yang baik ditunjukkan buat pemimpin yang lain.

Mufti Perak Datuk Seri Harussani Zakaria berkata tindakan Raja Nazrin itu "bermakna soal perkahwinan itu adalah menjadi hak peribadi baginda, jadi bagindalah yang mengeluarkan perbelanjaan.

"Presiden Transparency International Malaysia (TI Malaysia) Tan Sri Ramon Navaratnam berkata pendirian Raja Nazrin itu akan menyebabkan rakyat lebih menyayangi dan menghormati baginda sebagai pemimpin.(BERNAMA)

Tuesday, May 15, 2007

Dr Mahathir Dipindahkan Ke IJN Dari Langkawi

LANGKAWI-Tun Dr Mahathir Mohamad, yang dimasukkan ke Hospital Langkawi semalam selepas mengadu sesak nafas, diterbangkan ke Kuala Lumpur dengan pesawat khas hari ini untuk menerima rawatan lanjut di Institut Jantung Negara.

Pegawai akhbarnya, Sufi Yusoff berkata, bekas perdana menteri itu telah menunjukkan tindak balas positif terhadap rawatan yang diberikan oleh sekumpulan doktor pakar dari IJN, Hospital Langkawi dan Hospital Alor Star.

"Kumpulan doktor ini berpuas hati dengan tindak balas positif itu dan yang demikian beliau boleh dipindahkan ke IJN," kata Sufi.

Di Kuala Lumpur, sejurus tiba di IJN dengan sebuah ambulans dari lapangan terbang di Subang pada 1.15 petang, Dr Mahathir dibawa masuk melalui pintu belakang hospital itu. Puluhan wartawan dan jurugambar menunggu ketibaan beliau menyebabkan berlaku perebutan dalam kalangan jurugambar.

Beliau diiringi ke wad di tingkat satu oleh Ketua Pegawai Eksekutif IJN, Mohd Radzif Mohd Yunus, bersama isteri bekas perdana menteri itu, Tun Dr Siti Hasmah Mohamed Ali dan anak mereka, Datuk Mukhriz.Bekas Ketua Umno Bahagian Pasir Mas, Datuk Paduka Ibrahim Ali, memberitahu pemberita selepas melawat Dr Mahathir, bahawa bekas pemimpin negara itu kini kelihatan letih mungkin kerana menghadiri terlalu banyak program sejak empat hari lepas termasuk di Kelantan.

"Saya nampak muka Tun masih merah dan yakin dia berada dalam keadaan sihat," katanya.Dr Mahathir tiba di Langkawi semalam bersama Dr Siti Hasmah untuk lawatan peribadi selama dua hari dan mengadu sesak nafas di hotel penginapannya yang terletak di pinggir pantai di sini.

Beliau kemudiannya dibawa oleh doktor peribadinya, Dr Nasir Muda, dengan kereta ke Hospital Langkawi pukul 3.50 petang dan dimasukkan ke di Unit Rawatan Rapi hospital itu.

Sebelum tiba di Langkawi, Dr Mahathir dan Dr Siti Hasmah, berada di kawasan percutian Bukit Merah, Perak, sejak Khamis lepas untuk menghadiri majlis perjumpaan dengan rakan-rakan pelajar "Class of 47" King Edward College of Medicine, Singapura.

Seorang lagi anak Dr Mahathir, Datuk Mokhzani, berkata ayahnya mungkin dibenarkan keluar dari IJN dalam tempoh beberapa hari lagi kerana keadaannya kini stabil.

"Bila ayah saya akan keluar bergantung kepada keputusan doktor yang merawatnya," katanya.

Beliau berkata Dr Mahathir kini dirawat di bilik Unit Rawatan Koronari (CCU)."Dia ada bercakap dengan kami dan minta makanan sebab lapar," katanya.

Mokhzani berkata bahawa pada hari ini IJN tidak membenarkan sesiapa melawat bapanya kecuali keluarga terdekat.

"Saya bagi pihak keluarga mengucapkan terima kasih kepada semua yang mengambil berat dengan menelefon dan bertanya khabar mengenai ayah saya," katanya.(BERNAMA)

Monday, May 14, 2007

Dadah jenis heroin No.3 seberat 2.5 kilogram bernilai RM200,000 dirampas.

PULAU PINANG - Hasil penahanan dua pengawal keselamatan dan seorang penganggur, polis percaya berjaya menumpaskan sindiket pengedaran dadah heroin no.3 yang bergiat aktif sejak tujuh bulan lalu di Pulau Pinang dan selatan Semenanjung.

Dalam penahanan pertama pada 27 April lalu, seorang pengawal keselamatan berumur 32 tahun ditahan bersama 900 gram heroin bernilai RM100,000 di tempat letak kereta pusat membeli-belah Queensbay. Dua minggu selepas itu, seorang pengawal keselamatan berumur 35 tahun, dan seorang penganggur berumur 37 tahun ditahan di dalam sebuah bilik hotel di Seberang Perai Tengah.Turut dirampas adalah lima paket dadah heroin No.3 seberat 2.5 kilogram bernilai RM200,000 di dalam sebuah beg kertas.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) Pulau Pinang, Supritendan S.Batumalai berkata, ketika ditahan, suspek pertama yang telah didakwa di mahkamah pada 6 Mei lalu dipercayai sedang menunggu pembeli dadah berkenaan pada pukul 8.30 malam.Dalam pada itu, dalam serbuan kedua, polis turut merampas sebuah motosikal Honda EX5 daripada dua suspek terbabit.Hasil siasatan mendapati, suspek berusia 37 tahun sebelum ini pernah ditahan di bawah Ordinan Darurat (EO) atas kesalahan jenayah beberapa tahun lalu.Seorang lagi suspek yang berumur lingkungan 35 tahun ditahan pada pukul 6.15 petang, suspek didapati positif dadah ganja.Polis kini masih memburu dalang sindiket pengedaran dadah tersebut yang berada dinegeri jiran dipercayai Kedah.

Menurut Batumalai lagi, dua suspek kini direman sehingga Jumaat ini bagi membantu siasatan di bawah Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952.Sementara itu, dalam perkembangan lain, beliau berkata bahawa pihaknya akan membuat pembakaran barangan kes dalam tempoh dua hingga tiga tahun lalu di kawasan pelupusan sampah Majlis Perbandaran Pulau Pinang(MPPP), Jalan Gurdwara di sini Khamis ini. Pembakaran akan dimulakan pada pukul 3 petang dan ia membabitkan pelbagai jenis dadah yang dirampas sepanjang tempoh berkenaan.

Taman Industri Asas Tani Beroperasi Jun Ini

KEPALA BATAS-Taman Industri Asas Tani (ABIP) yang beroperasi mulai Jun ini akan menjadi pusat industri asas tani di Pulau Pinang dan secara tidak langsung bakal menjadi satu daripada hab makanan halal di negara ini.

Pengerusi Lembaga Kemajuan Wilayah Pulau Pinang (Perda) Datuk Hilmi Abdul Rashid berkata taman yang terletak di Kubang Menerong, Tasek Gelugor itu berkeluasan 60 hektar, dibahagikan kepada dua iaitu 40 hektar untuk industri asas tani dan 20 hektar lagi untuk penternakan kambing Boer.

"Kita berharap kawasan ini boleh dijadikan hab makanan halal memandangkan kita telah mempunyai infrastruktur di sini," katanya kepada pemberita selepas melawat Program Inkubator ABIP di sini, hari ini.

Beliau berkata sebanyak RM100 juta diperuntukkan untuk keseluruhan projek ABIP yang diilhamkan oleh Perdana Menteri Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi.

Katanya fasa pertama program itu iaitu pusat inkubator ABIP yang berluasan 15 hektar dengan kos RM15 juta memberi tumpuan kepada enam kluster iaitu makanan sejuk beku, minuman, sos, bakeri, kuih tradisional dan snek.

Hilmi berkata pusat inkubator itu ditubuhkan bertujuan mewujudkan aktiviti industri asas tani yang lengkap dan selesa serta menyediakan ruang untuk pembesaran industri berkenaan.

Katanya program inkubator itu menyediakan kemudahan prasarana berpusat seperti kilang inkubator, perkhidmatan rumah sejuk beku, gudang, kompleks usahawan dan kompleks pentadbiran.

"Perkhidmatan yang disediakan di bawah program ini meliputi aspek pengeluaran produk secara komersil, pembangunan produk, pembangunan modal insan, pembangunan penjenamaan, kemudahan pembiayaan, promosi dan pemasaran dan kemudahan ruang pejabat dan sekretariat," katanya.

Beliau berkata seramai 15 peserta dipilih menyertai program inkubator itu untuk tempoh dua tahun dan peserta boleh mengembangkan industri yang diceburi selepas tamat tempoh itu.

"Kita akan membantu dari segi mendapatkan pinjaman untuk peserta mengembangkan perniagaan mereka," katanya.(BERNAMA)

Sunday, May 13, 2007

Saya Sihat. Jangan Bimbang, Kata Perdana Menteri

LUMUT-"Saya sihat. Jangan Bimbang," kata Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi bagi menafikan dakwaan laporan yang disebarkan di internet kononnya beliau pengsan semasa menghadiri majlis jamuan rakyat dan perasmian Dataran Hadhari di Teluk Batik di sini tengah hari.

"Saya akan teruskan program-program yang telah diaturkan untuk saya," kata Perdana Menteri kepada pemberita di sini.

"Doktor tadi telah menjalankan bermacam-macam ujian termasuk ECG, darah dan tekanan darah dan kesemuanya adalah normal," katanya. Beliau diperiksa oleh doktor peribadinya Dr Sanjiv Joshi.

Semasa menyerahkan kunci kepada sembilan penerima rumah program Khidmat Bakti BNBBC pada majlis kenduri rakyat di Teluk Batik, Perdana Menteri tiba-tiba hilang keseimbangan badan dan hampir terjatuh dan sempat dipegang oleh Menteri Besar Perak Datuk Seri Tajol Rosli Ghazali dan pemangku Pengerusi BNBBC Raja Ahmad Zainuddin Raja Omar.

Abdullah yang tiba di sini untuk menyertai Program Khidmat Komuniti dan menutup Program Permukiman Kelab Ahli Parlimen Barisan Nasional (BNBBC) 2007, sebelum itu menyertai anggota BNBBC dalam kerja gotong royong membina tiga buah rumah penduduk yang menerima bantuan di bawah Program Khidmat Komuniti di Kampung Tanjung Burung, Ujung Pasir di Pantai Remis.

Perdana Menteri kemudian meneruskan kerja gotong-royong dengan menanam pokok di Kampung Batu 4, Segari dekat sini sebelum ke Teluk Batik untuk menutup Program Khidmat Komuniti dan menyertai kenduri rakyat.

Pada majlis bergotong royong itu Abdullah turut menyertai kerja-kerja mengecat dan memasang cermin tingkap salah sebuah rumah terbabit.

Perdana Menteri berkata keadaan dirinya itu mungkin disebabkan cuaca hari ini begitu panas dan semalam beliau kurang tidur.

"(Setelah diperiksa doktor) saya sendiri rasa lega. Saya sendiripun risau. Syukur pada Allah," katanya.

Menceritakan apa yang berlaku, Abdullah berkata setelah selesai berucap, beliau duduk di atas pentas dan semasa diminta menyampaikan kunci kepada para penerima, ketika itu beliau berasa letih.

Sementara itu, Dr Sanjiv berkata keadaan yang dialami Abdullah itu adalah "berpunca daripada keletihan akibat cuaca panas.

"Selepas pemeriksaan menyeluruh, keadaan kesihatan Perdana Menteri didapati adalah baik dan tiada apa yang perlu dibimbangkan," katanya.

Dr Sanjiv berkata keletihan akibat cuaca panas boleh menyerang sesiapa sahaja kerana suhu pada ketika itu dilaporkan 44 darjah Celcius.

"Menteri Besar Perak Datuk Seri Tajol Rosli Ghazali nampak saya tidak berapa elok. Saya terus duduk. Setelah berasa lega saya sambung balik beri kunci pada para penerima," katanya.

Abdullah berkata selepas itulah baru doktor peribadinya membuat pemeriksaan ke atas dirinya dan mendapati keadaannya baik.Kepada soalan pemberita sama ada beliau berasa nak pitam pada waktu itu, Abdullah berkata: "Tidak".

Ditanya bagaimana keadaannya sekarang, Abdullah berkata "Tak ada apa-apa. Jangan bimbang. Saya sendiri jaga kesihatan saya. Dan akan meneruskan program malam ini".

Sementara itu, Raja Ahmad Zainuddin berkata beliau sendiri berada di majlis itu dan dakwaan kononnya Perdana Menteri pengsan adalah tidak benar.

"Saya sendiri ada di atas pentas. Perdana Menteri tidak pengsan seperti yang dilaporkan oleh blog. Perdana Menteri cuma duduk seketika setelah berasa penat dan ketika itu cuaca memang cukup panas sampai 44 darjah celsius."Saya hairan bagaimana boleh tersebar cerita kononnya Perdana Menteri pengsan sedangkan perkara itu tidak benar sama sekali," katanya.

Malam ini, Abdullah menghadiri majlis penutupan Permukiman BNBBC 2007 di sini dan dijadual berlepas pulang ke ibu negara esok.

Program Permukiman BNBBC selama empat hari, yang bermula Jumaat disertai kira-kira 100 anggota Parlimen BN dan anggota Dewan Undangan Negeri (DUN) BN Perak.

Antara aktiviti yang diadakan ialah meninjau pembangunan di Perak, dialog bersama pemimpin Barisan Nasional (BN), program khidmat komuniti serta sukan.Sementara itu, ketika berucap menutup program pemukiman BNBBC di Pangkor Laut Resort, di Pangkor, Abdullah mengulangi cerita mengenai apa yang berlaku siang tadi.

"Tadi bukan apa-apa, panas terik sangat. Itu yang rasa tak sedap sikit," katanya.Abdullah berkata setelah mendapat rawatan, doktor meminta supaya beliau tidak bermain golf selepas majlis siang tadi walaupun kesihatannya baik.

"Doktor kata `you have to rest' pasal kerja kuat sangat," katanya.

Sehubungan itu, Abdullah meminta wakil rakyat supaya bekerja secara bijak dengan memberi masa yang berkualiti kepada rakyat dan dalam masa yang sama mereka juga perlu menjaga kesihatan.

"Wakil rakyat kena sihat kalau tidak nanti ada by-election (pilihan raya kecil)," kata Abdullah secara berseloroh.

Beliau berkata adalah menjadi tugas dan tanggungjawab wakil rakyat untuk mendengar masalah rakyat dan bersungguh-sungguh dalam membantu mereka.Perdana Menteri akan menghadiri majlis dialog tertutup dengan BNBBC di Pangkor Island Resort pagi esok.(BERNAMA)

Saturday, May 12, 2007

Agensi Di Bawah Kementerian Penerangan Perlu Kreatif

KANGAR-Jabatan dan agensi di bawah Kementerian Penerangan perlu menerapkan nilai-nilai sektor swasta yang kreatif dalam melaksanakan tanggungjawab mereka kepada masyarakat, kata Menteri Penerangan Datuk Seri Zainuddin Maidin.

Beliau berkata, dengan penerapan nilai-nilai itu, setiap jabatan dan agensi mampu bersaing dengan agensi swasta secara berkesan.

Bercakap kepada para pemberita selepas mempengerusikan mesyuarat Majlis Penerangan Kebangsaan Siri 1/2007 di sini hari ini, Zainuddin berkata, penerapan nilai itu adalah antara yang dibincangkan pada mesyuarat itu.

"Saluran penerangan perlu berkesan dan perlu bersaing dengan sektor swaasa, laman web, SMS dan blogger", katanya.
Sebagai contoh, beliau berkata Radio Televisyen Malaysia (RTM) dengan 32 saluran radio juga perlu mewujudkan persaingan dengan stesen penyiaran swasta.

Menurutnya, peranan stesen-stesen radio RTM perlu dimanfaatkan untuk tujuan mempromosikan jabatan dan agensi atau kegiatan mereka secara berkesan berikutan jumlah pendengar yang banyak.

Beliau berkata, sebanyak tujuh juta rakyat Malaysia mendengar siaran radio RTM terutama siaran Klasik Nasional dan amat sesuai dijadikan saluran untuk promosi tertentu.

Menteri Penerangan berkata, kakitangan jabatan dan agensi di bawah kementerian itu perlu mempunyai semangat yang kreatif dengan mengenepikan semangat "tidak boleh" terhadap sesuatu perkara.

"Sekiranya semangat "tidak boleh" menguasai mereka, banyak perkara yang tidak boleh dilakukan dan merugikan jabatan dan agensi itu sendiri".

Zainuddin juga berkata, dengan semangat "boleh" keluaran jabatan dan agensi kementerian itu seperti cakera padat digital (DVD) untuk program tertentu telah memasuki pasaraya Giant dan pasaran itu boleh diperluaskan ke pasar raya lain.Beliau berkata, kementerian itu juga akan meningkatkan saluran maklumat kepada orang ramai dengan mewujudkan "wall newspaper" di lokasi-lokasi strategik di seluruh negara.

Melaluinya, orang ramai boleh mendapat maklumat mengenai perkembangan terkini dalam negara melalui keratan akhbar yang dipaparkan, katanya.

Beliau berharap melalui langkah itu, orang ramai akan mendapat gambaran sebenar mengenai keadaan semasa dan tidak mudah terpengaruh dengan laman web tertentu terutama yang memaparkan sikap membenci kerajaana.

Bagaimanapun, beliau berkata, laman web menentang kerajaan tidak banyak mempengaruhi orang ramai dan keputusan-keputusan dalam beberapa pilihan raya kecil lalu jelas membuktikannya.Beliau juga mengumumkan pengambilan 222 pegawai Jabatan Hal Ehwal Khas (JASA) gred S41 untuk berkhidmat di kawasan Parlimen mulai tahun ini.
(BERNAMA)

Shahidan Tarik Diri Tanding Jawatan Presiden MOM

KANGAR-Menteri Besar Perlis Datuk Seri Shahidan Kassim hari ini mengumumkan bahawa beliau memutuskan untuk menarik diri daripada bertanding jawatan presiden Majlis Olimpik Malaysia (MOM) pada pemilihan yang akan diadakan hujung bulan ini.

"Setelah mempertimbangkan pelbagai aspek yang berkemungkinan terutamanya kesibukan menjelang dan menghadapi pilihan raya umum akan datang dan usaha-usaha membangunkan Negeri Perlis bagi menzahirkan Rancangan Malaysia Kesembilan, maka dengan ini dimaklumkan saya YAB Datuk Seri Shahidan Bin Kassim dengan rendah diri dan dengan penuh keinsafan menarik diri daripada bertanding jawatan Presiden MOM bagi penggal yang akan datang walaupun borang pencalonan telah saya tandatangani dan telah dihantar kepada sekretariat MOM," katanya kepada pemberita ketika ditemui selepas menghadiri Mesyuarat Penerangan Kebangsaan di sini.

Beliau juga menyatakan sokongan kepada mana-mana individu yang akan dipilih mengisi jawatankuasa dalam Mesyuarat Agung itu.

"Marilah kita berusaha memajukan sukan dengan penuh keikhlasan dan sikap pengorbanan yang tinggi. Gunakan peruntukan dengan sebaiknya untuk meningkatkan prestasi atlet. Kurangkan kerenah penjawat-penjawat sukan," katanya.

Shahidan turut mengucapkan terima kasih kepada persatuan dan pemimpin sukan yang telah menyokongnya sama ada secara terbuka atau tertutup.

"Saya ingin memohon maaf atas apa-apa kekasaran bahasa yang telah berlaku dan berjanji akan terus memberikan perkhidmatan terbaik kepada semua persatuan yang saya terajui dengan penuh tulus ikhlas," katanya lagi.

Penarikan diri Shahidan bermakna Tunku Tan Sri Imran Tuanku Ja'afar, akan mengekalkan jawatan presiden dalam pertubuhan sukan induk di negara ini yang disandangnya sejak 14 Sept 1998.(BERNAMA)

RapidPenang Beroperasi 1 Ogos

PULAU PINANG(11 Mei)-RapidPenang akan memulakan perkhidmatan basnya di Pulau Pinang mulai 1 Ogos ini dengan menawarkan pengangkutan percuma untuk dua hari pertama operasinya, kata Menteri Kewangan Kedua Tan Sri Nor Mohamed Yakcop.

Beliau berkata syarikat itu akan menggunakan 150 bas baru meliputi semua jalan utama di Georgetown, Batu Feringghi, Balik Pulau dan di Seberang Perai.

"Tambang bermula dengan harga RM1 bagi satu hingga tujuh kilometer pertama dan tambahan 50 sen bagi setiap tujuh kilometer seterusnya," katanya kepada pemberita di sini hari ini.

Syarikat itu akan beroperasi setiap hari dari 6 pagi hingga 10 malam.

Nor Mohamed berkata dakwaan kononnya perkhidmatan bas itu akan tertangguh adalah tidak tepat dan kerajaan akan memastikan bahawa perkhidmatan itu akan beroperasi pada tarikh yang dijanjikan itu.

"Dakwaan kononnya RapidPenang sedang dilanda masalah adalah tidak benar," katanya.

RapidPenang adalah anak syarikat Rangkaian Pengangkutan Integrasi Deras Sdn Bhd yang mengendalikan perkhidmatan serupa dikenali RapidKL di Kuala Lumpur.

Nor Mohamed menyambut baik langkah kerajaan Pulau Pinang menubuhkjan jawatankuasa perhubungan bagi mendapatkan maklumat orang ramai mengenai perkhidmatan bas itu di Pulau Pinang.

"RapidPenang akan beroperasi berdasarkan maklumat dan kehendak rakyat Pulau Pinang dan ini adalah satu kebaikan," katanya.

Mengenai projek Jalan Lingkaran Luar Pulau Pinang (PORR), beliau berkata kerja pembinaan akan dimulakan selewat-lewatnya tahun ini.(BERNAMA)

Friday, May 11, 2007

Zainuddin Tegur Guru Malas Membaca

SUNGAI PETANI(10 Mei)-Menteri Penerangan Datuk Seri Zainuddin Maidin berkata ada sebilangan guru malas membaca dan ini menyebabkan mereka gagal membawa perubahan pemikiran pelajar.

Beliau berkata, walaupun guru berijazah sekalipun tetapi sekiranya mereka tidak membaca akhbar, majalah dan buku, guru berkenaan tidak mengetahui perkembangan yang berlaku dalam pelbagai bidang.
"Kerana kegagalan guru mempunyai maklumat yang cukup, pelajar mereka tidak dapat didedahkan dengan pelbagai perkara yang berlaku dalam pelbagai bidang.

Akibatnya pelajar tidak mengalami proses perubahan minda mahupun perkembangan minda," katanya semasa berucap pada majlis anugerah pelajar cemerlang sekolah menengah dalam kawasan Parlimen Merbok, di Sekolah Menengah Kebangsaan Merbok, dekat sini.

Zainuddin, yang juga Anggota Parlimen Merbok, berkata masalah guru yang tidak membaca perlu diatasi, dengan guru sendiri harus menerapkan minat membaca.

"Dalam era globalisasi ini setiap orang harus mempunyai maklumat yang luas bagi memperlengkapkan diri menghadapi masa hadapan.

Pelajar sekarang ini adalah generasi masa depan negara dan pada peringkat sekarang mereka harus dibekalkan dengan banyak ilmu bagi membolehkan mereka bersaing pada masa depan," katanya.
Pada majlis itu, 242 pelajar dari 12 sekolah yang cemerlang dalam peperiksaan Penilaian Menengah Rendah (PMR), Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) dan Sijil Tinggi Persekolahan Malaysia (STPM) menerima hadiah masing-masing.(BERNAMA)

Bandar Diraja Kuala Kangsar Tambah Berseri

KUALA KANGSAR(10 Mei)-Bandar Diraja Kuala Kangsar semakin berseri apabila kebersihan, keceriaan dan keindahannya dipertingkatkan sempena meraikan perkahwinan Raja Muda Perak Raja Dr Nazrin Shah dan Zara Salim Davidson pada 17 hingga 19 Mei ini di Istana Iskandariah, Bukit Chandan.

Yang Dipertua Majlis Perbandaran Kuala Kangsar (MPKK) Mohd Shafie Arifin berkata pihaknya telah menggerakkan tenaga kerja tambahan bagi menjaga tahap kebersihan bandar itu.

"Kebersihan di bandar Kuala Kangsar sememang sudah berada pada tahap yang membanggakan cuma kumpulan terbabit akan memastikan ia ditingkatkan lagi terutama di jalan-jalan utama, laluan protokol dan laluan dalam bandar serta sekitar laluan menuju ke Istana Iskandariah," katanya kepada Bernama di sini, Khamis.

Mohd Shafie berkata MPKK juga telah menambah hiasan landskap terutama di kawasan lembah Sungai Perak yang sentiasa menjadi tumpuan pengunjung dengan memberi penumpuan kepada penanaman pokok bunga dan pokok hijau.

Istiadat perkahwinan diraja yang akan bermula pada Khamis ini dengan istiadat akad nikah dan menyarung cincin, diikuti keesokannya dengan istiadat lantikan dan perisytiharan gelaran Raja Puan Besar Perak dan penganugerah Darjah Kerabat (DK) kepada Zara. Istiadat persandingan akan diadakan malam 19 Mei.

Mohd Shafie berkata MPKK turut memberi perhatian kepada dua lagi kawasan yang dijangka menjadi kawasan utama tumpuan orang ramai iaitu Taman Budaya sebagai kawasan istirehat dan Arena Square yang dijadikan tempat berlangsungnya jamuan rakyat bagi 5,000 jemputan yang diundang khas.

"Majlis Perbandaran juga telah mula menjalankan kerja-kerja menaik taraf hiasan dan kebersihan di kawasan berkenaan dan pokok-pokok besar di sekitar bandar ini juga akan diterangi dengan lampu-lampu berwarna warni dan indah," katanya.

Beliau berharap orang ramai yang berkunjung ke bandar itu dapat bersama-sama memastikan kebersihan bandar dijaga dan sentiasa bersikap ramah mesra untuk menyambut kedatangan ramai pembesar negara ke satu lagi majlis bersejarah bagi negeri Perak.

"Mereka datang ke Kuala Kangsar bukan sahaja untuk menghadiri majlis perkahwinan diraja tetapi juga untuk melihat bandar ini. Saya percaya sesetengah jemputan yang datang tidak pernah menjejaki ke sini jadi inilah peluang masyarakat tempatan terutama peniaga menunjukkan nilai-nilai murni yang dimiliki penduduk Bandar Diraja ini," katanya.

Mohd Shafie juga berharap pemilik kedai dan jabatan kerajaan di bandar itu dapat menghias bangunan masing-masing dengan lampu hiasan dan bendera negeri Perak bagi memeriahkan lagi suasana bandar itu.

Mohd Shafie berkata MPKK juga telah mengarahkan supaya peniaga makanan di bandar itu melanjutkan waktu perniagaan mereka sehingga 10 malam sepanjang majlis perkahwinan diraja berlangsung.
Peniaga juga telah dinasihat untuk memastikan bekalan mencukupi dan tidak menaikkan harga jualan mereka bagi memenuhi permintaan yang dijangka bertambah."

Saya telah memberi arahan itu dan dijangka kuantiti makanan yang dijual akan mencukupi sepanjang majlis berkenaan berlangsung. Saya juga telah menasihatkan mereka supaya menjaga aspek kebersihan diri, tempat berniaga dan makanan itu sendiri serta bersopan santun," katanya.(BERNAMA)