Sunday, June 24, 2007

Keturunan Daeng Paroni Gembira Dengan Pengesahan Kubur Pahlawan

SUNGAI PETANI-Keluarga keturunan pahlawan Bugis terkenal Daeng Paroni yang menetap di Kampung Ekor Lubuk, Sidam Kiri di sini gembira dengan pengesahan Persatuan Sejarah Malaysia Cawangan Negeri Kedah mengiktiraf sebuah kubur lama di kampung Ekor Lubuk, sebagai makam pahlawan yang meninggal 282 tahun lepas.
Setiausaha Persatuan Warisan Keturunan Daeng Paroni, Roshazliza Abdul Razak berkata Persatuan Sejarah Malaysia Cawangan Negeri Kedah mengesahkan kubur lama di kampung Ekor Lubuk sebagai kubur Daeng Paroni pada Selasa lepas setelah keturunan pahlawan itu mengambil inisiatif mengesan kubur Daeng Paroni.
"Selepas warisnya berjaya mengesan perkuburan Daeng Paroni dan sekarang ia diiktiraf sebagai kubur beliau, kami sebagai keturunannya sangat gembira," katanya di sini hari ini.
Anggota keluarga keturunan pahlawan Bugis turut menetap di beberapa daerah lain di Kedah dan Perak.Roshazliza berkata sebelum ini terdapat beberapa catatan menyebut pahlawan itu dikebumikan di Makam Diraja Langgar, di Kedah dan di Pulau Semantan, Riau.
"Pengesahan itu sudah tentu membanggakan kami yang menetap di kampung berkenaan," katanya.Mengikut catatan sejarah Daeng Paroni adalah keturunan lima wira bersaudara dari Kepulauan Riau. Beliau dan saudara yang lain Daeng Menambun, Daeng Chelak, Daeng Kemasi dan Daeng Merewah dijemput oleh Sultan Kedah ketika itu, Sultan Mohamad Jiwa untuk membantu mengembalikan takhtanya.
Dalam peperangan yang pertama, Daeng Paroni berjaya mengalahkan musuh iaitu Raja Kecil, tetapi Daeng Paroni dibedil pada serangan yang kedua dan meninggal di Pinang Tunggal pada 1724.
(Dalam sesetengah catatan pahlawan itu disebut sebagai Daeng Perani, tetapi persatuan itu menyatakan nama sebenarnya adalah Daeng Paroni).Roshazliza, 27, generasi kesembilan keturunan itu berkata waris keturunan Daeng Paroni dan empat lagi saudaranya itu menetap di beberapa negara termasuk Indonesia.
Roshazliza berkata persatuan akan mengadakan perjumpaan keluarga secara besar-besaran tidak lama lagi dan mahu anggota keturunan lima bersaudara itu menghadirinya.
Generasi pahlawan itu yang berminat menyertai perjumpaan keluarga itu boleh menghubungi Roshaliza di talian 012-579 1984 untuk maklumat lanjut.(BERNAMA)

Kelab Pencegah Jenayah

Sungai Petani-Statistik kadar jenayah di kalangan pelajar-pelajar sekolah yang semakin meningkat setiap tahun mendorong Yayasan Pencegahan Jenayah Malaysia mengambil inisiatif dengan mewujudkan Kelab Pencegahan Jenayah di setiap sekolah.

Sejak mendapat persetujuan daripada Kementerian Pelajaran pada tahun 1999 hingga kini, sebanyak 1470 buah Kelab Pencegahan Jenayah telah ditubuhkan di sekolah-sekolah seluruh negara.

Karnival Kelab Pencegahan Jenayah Sekolah-sekolah Daerah Kuala Muda/Yan, Kedah yang dirasmikan oleh Naib Pengerusi Yayasan Pencegahan Jenayah, Tan Sri Dato’ Lee Lam Thye di Sekolah Menengah Kebangsaan Sungai Layar, Sungai Petani siang tadi berjaya mengumpulkan ahli-ahli Kelab Pencegahan Jenayah dari kesemua 33 buah sekolah di daerah tersebut.

Tan Sri Dato’ Lee Lam Thye bersama Ketua Polis Daerah Kuala Muda, ACP Hashim Ali turut melawat gerai-gerai pameran oleh agensi-agensi penguatkuasa seperti Polis Di Raja Malaysia (PDRM), Agensi Anti Dadah Kebangsaan (AADK) dan Angkatan Tentera Malaysia (ATM).

Dalam sidang media selepas merasmikan karnival tersebut, Naib Pengerusi Yayasan Pencegahan Jenayah, Tan Sri Dato’ Lee Lam Thye berkata objektif utama Kelab Pencegahan Jenayah ini adalah tertumpu kepada penekanan aspek pendidikan dan pencegahan untuk meningkatkan kesedaran di kalangan pelajar-pelajar sekolah mengenai bahayanya terlibat dengan aktiviti jenayah.

Saturday, June 23, 2007

256 Pasukan Sertai Kejohanan Bola Sepak Piala PM

KEPALA BATAS-Sebanyak 256 pasukan akan mengambil bahagian pada kejohanan bola sepak Sembilan Sebelah Terbuka Piala Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi bagi kali ketiga di sini 8 Julai ini.


Kejohanan sehari itu dianjurkan oleh Pemuda Umno bahagian Kepala Batas turut disertai dua pasukan dari selatan Thailand.


Setiausaha kejohanan Mohd Sukor Md Yusoff berkata Kedah menghantar 100 pasukan, Pulau Pinang (84), Kelantan (16), Perak (14), Kuala Lumpur (12), Selangor (9), Johor dan Terengganu (4), Perlis dan Negeri Sembilan (3), Pahang, Sabah, Thailand (2) dan Melaka (1).


Hulubalang FC dari Melaka merupakan juara bertahan. Sebanyak 16 padang bola di sekitar Seberang Perai Utara akan digunakan untuk kejohanan itu.


Mohd Sukor berkata juara akan membawa pulang wang tunai RM13,000, piala pusingan, manakala naib johan dan pememnang ketiga masing-masing akan menerima RM7,000 dan RM5,000.


Beliau berkata perdana menteri yang juga Anggota Parlimen Kepala Batas akan menyaksikan perlawanan akhir di Kompleks Sukan Bertam di sini dan menyampaikan hadiah kepada pemenang.(BERNAMA)

Friday, June 22, 2007

Pensyarah Hasilkan Tepung Labu Manis Sebagai Pencegah Kanser

PULAU PINANG-Jika dahulu, roti yang diperbuat daripada cempedak ditemui sebagai penawar kepada penyakit kencing manis, kini satu lagi makanan terbaik untuk mengawal pengaktifan sel kanser dalam tubuh badan manusia ditemui, buah labu yang diproses menjadi tepung.

Pensyarah di Jabatan Teknologi Industri, Universiti Sains Malaysia (USM) Dr Noor Aziah Abdul Aziz berkata tepung yang diperbuat daripada labu manis didapati mengadungi kanji rentang untuk menghasilkan asid propionik.

Katanya asid itu menyebabkan serat berkenaan tidak dihadamkan dan ia memeram bakteria untuk melemahkan sel barah dalam tubuh badan.

"Asid propionik pula mengubah pengoksidan dan memeram bakteria dalam usus besar dan ini akan melemahkan sel-sel barah," kata beliau kepada pemberita selepas menerima pingat emas sempena penyertaan USM pada Ekspo Pameran Teknologi Malaysia di Kuala Lumpur pada 29 Mac lepas.

Beliau yang sering menjalankan kajian mengenai khasiat buah-buahan tempatan sebelum ini telah menemui roti cempedak sebagai penawar kepada penyakit kencing manis ekoran kandungan insulin yang baik.

Selain kandungan serat kanji rentang yang boleh melemahkan sel barah itu, Noor Aziah berkata labu manis juga mengandungi serat yang tinggi, pewarna semulajadi yang baik untuk dijadikan roti atau mi serta mengandungi vitamin A, anti oksigen dan mineral yang baik untuk kesihatan.
Katanya kaedah pembuatan tepung itu adalah dengan menggunakan isi labu manis yang dikeringkan sebelum dicampur dengan tepung gandum dan diproses menjadi tepung pelbagai guna.

"Saya juga sedang mengkaji penggunaan kulit dan biji buah labu manis itu dalam pembuatan tepung berkenaan," kata beliau.

Beliau berkata, tepung itu tidak mempunyai rasa buah malah ia boleh dimakan oleh semua golongan usia dan jantina.

"Kajian ini dapat membantu golongan petani untuk mempertingkatkan tanaman labu manis untuk diproses menjadi tepung dan dipelbagai gunakan kerana sebelum ini hanya dijadikan sayur dalam masakan harian," kata beliau.(BERNAMA)

Thursday, June 21, 2007

Penduduk tagih janji

GUAR CHEMPEDAK-Setiap kali hujan lebat turun maka setiap kali itulah penduduk-penduduk kampung batu 17, Guar Chempedak, Kedah diselubungi kebimbangan rumah mereka akan dilimpahi air daripada parit berhampiran rumah mereka.

Menurut penduduk, Parit Kilik JKR di tepi jalanraya persekutuan menghala ke Alor Setar itu adalah di bawah seliaan Jabatan Kerja Raya (JKR) dan masih tidak ubah sepertimana semasa ianya mula dikorek sebelum merdeka dahulu walaupun Negara akan menyambut ulangtahun kemerdekaan yang ke-50 pada tahun ini.

Menurut penduduk lagi, walaupun isu mengenai sistem perparitan di situ saban tahun dikemukakan oleh penduduk kampung kepada Pejabat Daerah Yan melalui Jawatankuasa Kemajuan Kampung (JKKK) dan juga kepada Ahli Parlimen kawasan tersebut namun sehingga hari ini masih tiada sebarang usaha yang dibuat untuk menangani masalah terbabit.

Tinjauan kami ke kawasan yang dimaksudkan mendapati masih terdapat beberapa buah rumah yang dilimpahi air daripada parit tersebut kesan daripada hujan lebat yang turun sehari sebelum itu. Air parit juga didapati tidak mengalir selain daripada dipenuhi dengan pokok-pokok air dan juga sampah sarap. Beberapa peniaga yang mengusahakan perniagaan berhampiran parit tersebut turut meluahkan kekesalan disebabkan terpaksa menanggung kerugian akibat kerosakan barang-barang setiap kali air parit melimpah memasuki premis mereka.


Justeru penduduk melalui Jawatan Kuasa Kampung (JKKK) terbabit menuntut janji-janji yang telah diberikan sebelum ini dengan harapan akan adanya satu alternatif dibuat bagi membolehkan air parit tersebut dialirkan ke Terusan Wan Mat Saman yang terletak di seberang jalan berkenaan

Orang Ramai Dipelawa Sertai Ujian Pemilihan Cyclethon Antarabangsa

IPOH-Orang ramai yang berminat dipelawa menyertai ujian pemilihan ke cabaran Cyclethon Antarabangsa Malaysia-Eropah tahun depan, yang akan diadakan di Kompleks Belia dan Sukan Negeri Perak di sini pada hari Sabtu dan Ahad ini.

Timbalan Presiden Kelab Eksplorasi Malaysia (KEM) Zulkifli Arbi berkata ujian dibuka kepada mereka yang berumur antara 18 dan 50 tahun, dan mereka yang berminat perlu mendaftar diri untuk menjalani ujian itu di kompleks berkenaan dengan bayaran RM50 seorang.

"Antara lain ia membabitkan ujian bertulis mengenai Malaysia, ujian kecergasan dan mengayuh basikal sejauh 80 km dalam masa lima jam," katanya kepada pemberita di sini hari ini.

Beliau berkata 24 peserta yang terpilih nanti akan menjalani latihan pusat di Ipoh pada setiap hari Sabtu dan Ahad selama enam bulan, dan mereka yang ingin mendapatkan keterangan lanjut mengenainya boleh menghubungi beliau dengan menelefon 012-5200992 atau Riduan Nordin di nombor 016-5179878.

Zulkifli berkata Cyclethon Antarabangsa Malaysia-Eropah yang berlangsung dari 15 Jan hingga 15 Feb 2008 itu akan meliputi perjalanan sejauh 2,650 km yang bermula dari Lisbon, Portugal dan berakhir di Paris, Perancis.

"Selain Lisbon, para peserta akan turut berkayuh melalui Madrid, Zaragoza, Barcelona, Marseile, Lyon dan Dijon," katanya.

Beliau berkata mereka juga akan melalui kawasan banjaran seperti Sierra De Guadarama di Sepanyol, Pyrenness di sempadan Sepanyol-Perancis serta pinggiran Mont Blanc di Perancis."Para peserta dianggarkan akan berkayuh antara 80 dan 100 km setiap hari. Oleh itu, mereka yang menyertai acara tersebut perlulah sihat dan mempunyai kekuatan mental untuk berkayuh dalam cuaca sejuk," katanya.

Zulkifli berkata para peserta juga akan diminta mempromosikan pelancongan di Malaysia dengan mengedarkan risalah tentang negara selain mengadakan mini pameran kraftangan serta persembahan multimedia tempat-tempat menarik di Malaysia di setiap bandar yang disinggahi.

"Lebih RM500,000 diperlukan bagi menjayakan cyclethon antarabangsa itu dan saya berharap ada syarikat-syarikat korporat dapat tampil untuk menaja para peserta dan acara berkenaan," katanya.(BERNAMA)

Sunday, June 17, 2007

Mangsa Tsunami Kehilangan Harta Benda Dalam Kebakaran

PULAU PINANG-Lebih seratus orang yang pernah menjadi mangsa Tsunami pada 2004, tinggal sehelai sepinggang apabila lebih daripada 10 buah rumah hangus dalam satu kebakaran di perkampungan Tanjong Tokong di sini, hari ini.

Menurut seorang penduduk perkampungan itu, Mohd Salleh Yahya, 50, kebakaran yang bermula pada 10 pagi ini dipercayai bermula dari sebuah rumah yang disewa pekerja kontrak rakyat asing.

"Tak sampai 10 minit, api terus merebak dan banyak rumah kena (terbakar)," katanya kepada Bernama di tempat kejadian.

Menurutnya rumahnya juga nyaris terbakar sempat diselamatkan oleh anggota bomba yang bertindak pantas mengawal kebakaran daripada merebak di kawasan yang padat dengan rumah itu.

Tinjauan ke kawasan itu mendapati puluhan anggota bomba bertungkus lumus selama sejam bagi mengawal dan memadamkan api.

Setakat ini tiada laporan kecederaan dan kemalangan jiwa diterima.

Menteri Kewangan Kedua Tan Sri Nor Mohamed Yakcop dijangka melawat mangsa dan tempat kejadian tengah hari semalam.

Dalam kejadian Tsunami pada Disember 2004, kawasan perkampungan itu yang menempatkan beribu rumah hampir musnah setelah dipukul ombak Tsunami.(BERNAMA)

PM Tidak Mahu Kampus Universiti Malaya Dipindahkan

KEPALA BATAS-Perdana Menteri hari ini mahu kampus Induk Universiti Malaya (UM) kekal di tempat asal sedia ada iaitu di Lembah Pantai di ibu kota.

Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi berkata kampus yang ada sekarang ini sudah mencukupi untuk menampung keperluan pelajar dan jika ada keperluan pihak UM boleh membuka kampus cawangan di tempat lain.

"Kawasan itu, kawasan yang secukupnya untuk UM beroperasi. Kalau boleh, saya nak kampus itu dikekalkan," katanya kepada pemberita selepas merasmikan program Semarak Merdeka di sini hari ini.

Akhbar semalam melaporkan syarikat hartanah, Guocoland (M) Berhad membuat tawaran untuk memindahkan universiti itu ke Sepang dan membangunkan tapak kampus sekarang sebagai pusat komersil dan perumahan menerusi projek yang dianggarkan bernilai RM10 bilion.

Rancangan itu bagaimanapun dibantah oleh Persatuan Kakitangan Akademik UM, Alumni UM, pensyarah, pentadbir dan mahasiswa universiti itu.

Perdana Menteri berkata UM telah menjadi universiti yang cukup bermakna kepada negara dan telah berjaya menghasilkan ramai siswazah yang kini berkhidmat dalam sektor awam dan swasta.

"UM merupakan institusi pengajian tinggi yang pertama diwujudkan di negara ini dan memang banyak berjasa kepada negara," katanya.

Ketika ditanya kenapa baru sekarang pihak berkenaan mahu mengambil alih kawasan itu, Abdullah berkata: "Mungkin pihak itu melihat faedah yang boleh diperolehi dari segi nilai komersil kawasan itu".

Sebagai seorang daripada bekas graduan UM, Abdullah berkata secara peribadi beliau juga tidak mahu UM berpindah ke kawasan lain.

Perdana Menteri juga berkata beliau sebelum ini tidak ada mendengar sebarang cadangan untuk memindahkan kampus UM itu ke tempat lain.(BERNAMA)

Saturday, June 16, 2007

Kenduri Kesyukuran Sambut Pak Lah Meriah

Kepala Batas-Penduduk Kepala Batas, Pulau Pinang menyambut kepulangan pasangan pengantin baru, Dato’ Seri Abdullah Ahmad Badawi dan isteri Datin Seri Jeanne Abdullah dengan mengadakan majlis kenduri kesyukuran di perkarangan Masjid Al-Jamiul Badawi selepas solat jumaat siang tadi.

Majlis yang dianjurkan oleh Jawatankuasa Kariah Masjid Al-Jamiul Badawi dan Masjid Kampung Baru dengan kerjasama Pusat Khidmat Ahli Parlimen Kepala Batas itu turut dihadiri oleh Yang Dipertua Negeri, TYT Tun Dato’ Seri Utama Hj Abdul Rahman Abbas bersama isteri, Toh Puan Datin Seri Majimor Sharif dan Ketua Menteri Pulau Pinang, YAB Tan Sri Dr Koh Tsu Koon serta isteri.

Dato’ Seri Abdullah serta TYT Tun Dato’ Seri Utama Hj Abdul Rahman Abbas turut menunaikan solat jumaat bersama-sama dengan jemaah lain di masjid tersebut.

Selesai solat jumaat, satu majlis bacaan yaasin serta tahlil diadakan dengan diketuai oleh imam besar masjid tersebut dan disusuli bacaan doa selamat oleh Mufti Pulau Pinang, Dato’ Haji Hassan Ahmad.

Majlis kenduri kesyukuran bagi meraikan Dato’ Seri Abdullah dan isteri itu berlangsung meriah walaupun dalam keadaan hujan renyai dengan penduduk sekitar keluar beramai-ramai bagi melihat sendiri wajah Perdana Menteri selepas melangsungkan perkahwinan.

Nelayan Sungai Kecewa Karenah Birokrasi Jabatan Perikanan

Pulau Pinang-Hampir 100 Nelayan Sungai di Tanjung Berembang Daerah Nibong Tebal kecewa dengan kerenah birokrasi Jabatan Perikanan Bukit Mertajam. Menurut nelayan terbabit Jabatan perikanan telah mengeluarkan arahan pada tahun 2000 yang lalu supaya nelayan-nelayan sungai yang mempunyai lebih dari 2 batang joran perlu memohon lesen bot dari Jabatan Perikanan.

Akur dengan arahan tersebut semua nelayan sungai daerah itu telah memohon bagi mendapatkan lesen sepertimana yang diarahkan.Tetapi malangnya setelah enam tahun menunggu proses permohonan lesen berkenaan, nelayan-nelayan terbabit hanya diberikan lesen sementara dan sehingga sekarang ini mereka masih belum mendapat sebarang lesen bot yang sah seperti mana yang dijanjikan, malah lesen sementara yang diberikan sebelum ini pula tidak lagi boleh diperbaharui.

Menurut mereka lagi masalah tersebut pernah mendapat perhatian Yb Hj Fuad Bin Hj Mat Isa Timbalan Menteri Pembangunan Luar Bandar dan Jabatan Perikanan Putrajaya melalui surat bertarikh 7Hb Mac 2007 yang lalu yang memberi kebenaran untuk membaharui lesen tersebut tetapi malangnya apabila dirujuk kepada Jabatan Perikanan Bukit Mertajam,mereka kemudiannya diarah membuat permohonan lesen baru.

Nelayan terbabit mendakwa mereka tidak boleh memohon bantuan subsidi minyak disebabkan tidak mempunyai lesen bot yang sah yang dikeluarkan oleh Jabatan Perikanan.Mereka juga kesal kerana selama ini nelayan-nelayan sungai terbabit telah dilantik sebagai “KONTEK” kepada Jabatan Perikanan sehingga tahun 2010 yang berperanan sebagai mata dan telinga Jabatan Perikanan untuk menyalurkan maklumat sekiranya ada penyelewengan dan masalah nelayan sedangkan mereka sendiri diberikan lesen yang tidak diiktiraf.

Wednesday, June 13, 2007

Nelayan Sungai Chenaam Berdepan Bahaya Pancang Pencari Kerang

Pulau Pinang-Lebih 70 nelayan pantai di sekitar kampung Sungai Chenaam dalam Daerah Seberang Perai Selatan (SPT) kesal dengan sikap penternak dan pencari kerang perseorangan di laut berhampiran dengan menanam beratus pancang di dasar laut berkenaan sehingga mengundang bahaya kepada nelayan-nelayan pantai disekitar kawasan tersebut.

Mereka turut mendesak Jabatan Perikanan Pulau Pinang mengambil tindakan segera bagi menangani masalah tersebut yang didakwa telah berlarutan sejak sekian lama dan sekarang ini semakin berleluasa.Nelayan tersebut meminta Jabatan Perikanan mengenalpasti kawasan sebenar yang dibenarkan kepada pengusaha dan pencari kerang terbabit supaya tidak membahayakan nelayan.Mereka juga mendakwa kebanyakan daripada pengusaha kerang terbabit adalah orang luar dan bukan daripada kampong tersebut atau nelayan daripada daerah mereka.

Menurut mereka pancang-pancang yang ditanam tersebut seringkali berlanggar dengan bot-bot nelayan terutama pada waktu malam dan pernah melibatkan kemalangan maut beberapa tahun yang lalu.Tunggul-tunggul pancang yang telah patah di dalam air juga adalah terlalu bahaya kepada bot-bot yang sering melalui kawasan tersebut pada waktu malam. Lebih malang lagi apabila ada kayu-kayu pancang yang telah patah sejak sekian lama dibiarkan di tengah laut tanpa diganti oleh pengusaha kerang terbabit dan ini akan mengakibatkan pukat yang dilabuh oleh nelayan pantai sering tersangkut dan rosak.

Menurut mereka lagi perbuatan memacak pancang dengan sewenang-wenangnya di dasar laut berkenaan telah pun diadukan kepada Jabatan Perikanan Pulau Pinang sebelum ini tetapi sehingga sekarang tidak ada sebarang tidakan dibuat.

USM Yakin Negara Mampu Tarik 100,000 Pelajar Asing Pada 2010

PULAU PINANG-Universiti Sains Malaysia (USM) yakin negara mampu menarik kemasukan 100,000 pelajar asing menjelang 2010 kerana Institusi Pengajian Tinggi Awam dan Swasta (IPTA/IPTS) mempunyai mekanisme promosi dan sistem penyampaian yang berkesan untuk mencapai matlamat itu.

Timbalan Naib Canselor USM (Hal Ehwal Akademik dan Antarabangsa), Prof Datuk Rosihan M.Ali, berkata beliau percaya gabungan mantap kedua-dua IPTA dan IPTS di negara ini boleh merealisasikan matlamat berkenaan.

Beliau berkata demikian ketika mengulas kenyataan Pengerusi Eksekutif Education Service Coordination International (ESCI) (M) Sdn Bhd, Datuk Syed Hussein Al-Habshee, bahawa usaha Kementerian Pengajian Tinggi untuk menarik pelajar asing itu mungkin gagal kerana kelemahan IPTA.

Pada Ahad lepas, Syed Hussein, berkata negara mungkin tidak dapat mencapai sasaran itu sekiranya IPTA di negara ini tidak mengatasi beberapa masalah kritikal seperti sistem penyampaian yang lemah, kelewatan memproses permohonan pelajar dan taktik promosi yang lapuk.

Dalam kenyataannya kepada Bernama di sini, Rosihan berkata andaian itu tidak tepat kerana kebanyakan IPTA mempunyai skim promosi yang baik, program pengantarabangsaan universiti yang hebat serta sistem penyampaian yang berkesan.(BERNAMA)

Tuesday, June 12, 2007

Titi Gantung Kampung Si Putih

Sungai Pentani-Penduduk Kampung Teluk Mas dan Sungai Si Putih di Hulu Selama Perak merayu supaya pihak kerajaan membina sebuah jambatan baru bagi menggantikan titi gantung yang tidak lagi selamat digunakan tersebut untuk mengelakkan sebarang kejadian yang tidak diingini berlaku.

Menurut Mat Isa Bin Taib "Titi gantung yang dibina sejak tahun 1969 tersebut merupakan satu-satunya jalan untuk keluar ke jalan besar dan ke Bandar.Selain itu titi gantung ini juga digunakan oleh penduduk setempat untuk mengeluarkan hasil tanaman mereka daripada dusun seperti susu getah dan petai.Paling membimbangkan, apabila kanak-kanak sekolah juga turut menggunakan titi gantung tersebut setiap hari untuk ke sekolah".

Beberapa penduduk terbabit yang ditemui mendakwa pernah beberapa kali berlaku kemalangan di atas titi tersebut disebabkan keadaannya yang terlalu sempit,bergoyang dan tidak stabil. Menurut mereka lagi sebelum ini berbagai pihak telah datang melawat titi gantung tersebut termasuk wakil rakyat dan menteri kerjaraya Datuk Seri Samy Vellu dan berjanji akan membina sebuah jambatan baru untuk kemudahan penduduk disitu tetapi sehingga sekarang tidak ada sebarang perubahan yang berlaku.

Kecewa dengan janji yang ditaburkan oleh pihak terbabit itu penduduk berkenaan mengambil keputusan membaiki sendiri titi gantung tersebut sekadar boleh digunakan untuk sementara waktu.

Monday, June 11, 2007

Kafeteria Hospital Sultan Abdul Halim bocor.

Sungai Petani-Kafeteria Hospital Sultan Abdul Halim Sungai Petani hari ini dilimpahi air akibat kebocoran paip yang berlaku di atas siling kafeteria tersebut.

Kebocoran paip di atas siling hospital berkenaan berlaku kira-kira jam dua petang tadi. Tinjauan kami petang tadi di hospital tersebut mendapati kerja-kerja membersihkan lantai sedang dilakukan oleh wakil kontraktor hospital berkaitan.

Tinjauan juga mendapati air daripada kebocoran tersebut masih lagi mengalir keluar melalui corong-corong lampu dan ditepi siling dalam bangunan itu manakala sebahagian daripada lantai kafeteria tersebut dilimpahi air.Kami juga difahamkan kejadian paip bocor di hospital ini merupakan kejadian kali kedua pernah berlaku.

Hospital yang bernilai lebih 450 juta itu dibuka januari lalu dan masih dalam tempoh jaminan pihak kontraktor yang membinanya dan dijangka akan dirasmikan pada bulan julai depan.Sebelum ini hospital terbabit juga telah digemparkan dengan kejadian siling runtuh yang melibatkan wad kanak-kanak dan dewan bedah di hospital berkenaan.

Sunday, June 10, 2007

Tukar Cermin Gelap Kereta Import Sebelum Beli, Kata Chan

BUTTERWORTH-Pembeli kereta import perlu meminta syarikat pembekal kereta berkenaan menukarkan cermin gelap kenderaan itu kepada cermin dengan tahap ketelusan cahaya yang dibenarkan sebelum membelinya.
Menteri Pengangkutan Datuk Seri Chan Kong Choy berkata pembeli tidak boleh mengelak daripada mematuhi peraturan mengenai had ketelusan cahaya dengan memberikan alasan bahawa kereta import memang mempunyai cermin yang gelap.

Mereka harus mematuhi peraturan di negara ini yang menghendaki cermin hadapan kenderaan menyerap 70 peratus ketelusan cahaya manakala cermin yang lain termasuk sisi mempunyai tahap 50 peratus, katanya kepada pemberita selepas melancarkan penggunaan kad kredit di kaunter Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) seluruh negara di Ibu Pejabat JPJ Pulau Pinang di Seberang Jaya, di sini.(BERNAMA)

Saturday, June 9, 2007

Sisa Toksid Musnah Ternakan Kerang Kuala Sungai Juru.

Pulau Pinang - Lebih 200 nelayan di Kuala Juru, Seberang Perai mengalami kemerosotan hasil ternakan kerang sebanyak 70 peratus berikutan pemendapan lumpur yang semakin menebal di muara sungai berkenaan.

Kemerosotan hasil kerang yang dialami sejak 20 tahun lalu adalah disebabkan oleh ancaman pencemaran sisa toksik dari kilang berhampiran dan kemusnahan hutan bakau di kawasan berkenaan yang menyebabkan makanan kerang terancam dan berkurangan.Mereka juga mendakwa benih kerang yang baru juga banyak yang telah mati akibat daripada pencemaran tersebut.

Menurut Abd.Latif Bin S.Mohd Pengerusi Projek Ternakan Kerang Kuala Juru, pencemaran Sungai Juru adalah disebabkan oleh beberapa faktor seperti sisa-sisa buangan industri dari kawasan perindustrian berdekatan, sisa-sisa buangan dari pasar basah, sisa-sisa buangan rumah berhampiran sungai, air kumbahan dan buangan dari kawasan perumahan. Kawasan kediaman termasuk rumah-rumah setinggan di sepanjang Sungai Juru yang tidak dilengkapkan dengan sistem kebersihan dimana sisa-sisa buangan rumah tangga dibuangkan terus-menerus ke dalam sungai manakala sistem perparitan yang dibina di tapak perindustrian juga terus disalurkan ke dalam sungai.

Menurut Halim Bin Mad Saad AJK Projek Ternakan Kerang Kuala Juru berkata “jika masalah ini tidak diatasi segera nelayan-nelayan yang bergantung hidup kepada hasil ternakan tersebut akan putus sumber pendapatan pada masa depan”.Justeru mereka merayu tindakan segera Ketua Menteri Pulau Pinang untuk membantu mereka mengatasi masalah tersebut sebelum kehidupan mereka menjadi lebih perit dan terpaksa menggandakan usaha hanya bagi mendapatkan nafkah yang sama sahaja seperti dulu untuk menyara hidup.

Tinjauan kami mendapati dakwaan nelayan terbabit memang ada asasnya.Bahan buangan daripada kilang berhampiran dibuang terus kedalam sungai yang membawa semua sisa-sisa buangan tersebut ke Kuala Sungai Juru.Air daripada sisa buangan tersebut menjadi hitam pekat dan bercampur minyak dengan bau yang busuk.

Thursday, June 7, 2007

Kulim Hi-Tech Berjaya Tarik Minat Pelabur Luar

Kulim - Hi-Tech Park di Kulim, Kedah yang dipilih oleh Kerajaan Persekutuan untuk mewujudkan nadi perindustrian berteknologi tinggi yang serba lengkap dengan pelbagai kemudahan dan infrastruktur yang pertama di negara ini sehingga kini telah mampu menarik pelaburan daripada pelbagai pelabur terutamanya oleh syarikat multinasional termasuk dari Jepun, Amerika Syarikat, Jerman, Singapura dan Asia Barat.
Kulim Hi-Tech Park yang telah dibuka pada tahun 1995 sehingga sekarang ini telah berjaya menarik minat pelabur-pelabur dari luar negara untuk melabur dengan jumlah pelaburan setakat ini telah mencapai nilai sebanyak RM 21 billion dalam sektor pembuatan dan perkhidmatan sokongannya.

Pelaburan terbaru adalah daripada Fuji Electric Device Technologies Co Ltd yang bernilai RM 1 billion iaitu tambahan daripada pelaburan awal sebanyak RM 700 juta.

Secara Amnya, Kerajaan Negeri Kedah sejak tahun 2002 sehingga bulan April 2007 ini telah meluluskan sebanyak 279 projek kilang pembuatan di seluruh Negeri Kedah.

Menteri Besar Kedah, Dato’ Seri Mahdzir Khalid yang ditemui ketika merasmikan pembukaan bangunan M2 Fuji Electric (Malaysia) Sdn Bhd pagi tadi menyatakan peningkatan jumlah pelaburan tersebut menunjukkan terdapatnya keyakinan daripada pelabur luar terhadap Kulim Hi-Tech Park dan juga Negeri Kedah amnya.
Majlis perasmian bangunan M2 Fuji Electric (Malaysia) Sdn Bhd yang telah dilaksanakan oleh Dato’ Seri Mahdzir Khalid turut dihadiri oleh Encik Akira Takai yang merupakan Presiden Fuji Electric Device Technologies Co Ltd

Sementara itu, di dalam sidang media yang sama, Menteri Besar Kedah turut mengumumkan pengisytiharan Pulau Langkawi sebagai salah satu daripada Geo Park di dunia yang akan dikenali sebagai Langkawi Geo Park.

Menurut beliau, UNESCO secara rasminya telah memberi sijil kepada Pulau Langkawi sebagai Geo Park pada 1hb Jun 2007 yang lalu dan turut merupakan Geo Park yang pertama di Rantau Asia Tenggara.

Permohonan kepada UNESCO untuk mendapatkan tafat Geo Park telah dibuat Kerajaan Negeri Kedah sendiri dengan kerjasama Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Pejabat Daerah Langkawi, Jabatan Mineral & Geo Sains, Jabatan Hutan, Jabatan Alam Sekitar dan juga Lembaga Pembangunan Langkawi (LADA) sejak 31hb Mei 2006 yang lalu.

Wednesday, June 6, 2007

Operasi Ambil Pasir Dekat Lapangan Terbang Langkawi Dihenti

LANGKAWI-Kerajaan Kedah hari ini mengarahkan operasi pengambilan pasir berhampiran Lapangan Terbang Antarabangsa Langkawi di Padang Mat Sirat diberhentikan serta merta bagi membolehkan kajian dibuat mengenai kesan kemusnahan alam sekitar di kawasan itu.

Menteri Besar Datuk Seri Mahdzir Khalid berkata beliau tidak berpuas hati dengan operasi pengambilan pasir itu kerana ia boleh menjejaskan ekologi sekitar kawasan berkenaan selain ia turut menimbulkan kecurigaan kerana pasir dari situ turut diambil semasa hari cuti kelepasan am dan hujung minggu sedangkan mengikut syarat pasir hanya dibenarkan dikeluarkan pada hari bekerja.

"Saya telah arahkan jabatan berkaitan untuk membuat kajian kemusnahan alam di kawasan itu, dan sementara menantikan siap laporan berkenaan, operasi pengambilan pasir harus diberhentikan serta merta," katanya kepada pemberita selepas mengadakan pertemuan tertutup dengan Anggota Dewan Undangan Negeri Kedah dari Barisan Nasional di sini.Mahdzir berkata lesen pengeluaran pasir di kawasan berkenaan telah dikeluarkan kepada sebuah syarikat enam bulan lepas tetapi beliau tidak pasti keluasan kawasan terbabit.(BERNAMA)

Penduduk Cherok Meranti Serah Memorandum Tuntut Pampasan.

Bandar Baharu - Penduduk Kampung Cherok Meranti yang mendakwa menjadi mangsa kerugian kerosakan harta-benda yang teruk akibat daripada aktiviti pembalakan di kawasan Hutan Simpan Kekal Gunung Bongsu sebelum ini, telah menyerahkan satu memorandum kepada Pejabat Daerah Bandar Bharu/Serdang bagi menuntut ganti rugi setelah pihak Kerajaan Negeri dikatakan menolak semua tuntutan yang dituntut oleh penduduk terbabit.

Memorandum yang diserahkan melalui setiausaha Pegawai Daerah Bandar Bharu Encik Razuan Bin Osman hari ini bertujuan mendesak pihak Kerajaan Negeri membayar pampasan kepada penduduk yang terlibat dan melahirkan rasa tidak puas hati penduduk Cherok Meranti terhadap Kerajaan Negeri,Jabatan Hutan dan Pegawai Daerah Bandar Bharu/Serdang dalam melayani tuntutan berkenaan.
Menurut mereka aktiviti pembalakkan di kompakmen 26 di kawasan Hutan Simpan Kekal Gunung bongsu itu telah menyebabkan kejadian banjir lumpur sehingga merosakkan beberapa buah rumah dan kawasan kebun buah dan getah. Banjir lumpur yang berlaku sebelum ini telah memberikan kesan buruk kepada penduduk kampung. Harta benda musnah dalam sekelip mata dan tanah-tanah kebun sudah tidak sesuai untuk digunakan lagi akibat tanah lumpur setebal 3 meter meliputi keseluruhan kebun. Akibatnya pokok buah-buahan dan sayuran yang ditanam sejak bertahun-tahun mahupun yang baru disemai mati dan menjejaskan pendapatan mereka.

Monday, June 4, 2007

Loganathan Arumugum Meninggal Dunia

Loganathan Arumugum atau lebih dikenali sebagai Loga, meninggal dunia di Hospital Mount Miriam pagi ini akibat barah paru-paru. Loga, 55, dimasukkan ke hospital petang semalam setelah mengadu sesak nafas, meninggal dunia kira-kira pukul 11 pagi ini. Beliau merupakan pemain flute selain vokalis kedua kumpulan itu selain abangnya David Arumugam.Kumpulan Alleycats dari Pulau Pinang yang terkenal sejak tahun 70-an dan popular dengan lagu-lagu yang sehingga kini masih kedengaran di corong radio antaranya termasuk "Sampaikan Salam Cinta Ku Padanya"," Sekuntum Mawar Merah Sebuah Puisi" dan "Andainya Aku Pergi Dulu Sebelummu".

Sementara itu suasana pilu menyelubungi sanak saudara dan peminat yang menziarahi mendiang di rumahnya di Tanjung Bunga Pulau Pinang petang tadi.Turut berada di kediaman mendiang ialah abangnya David Arumugam dan isteri mendiang Susan Loganathan.Loga yang telah berkahwin meninggalkan seorang anak lelaki berusia 23 tahun dan seorang anak perempuan berumur 20 tahun.

Sunday, June 3, 2007

Kejohanan SUKPEN III 2007

Seberang Perai-Beberapa acara dipertandingkan di Pulau Pinang dalam kejohanan SUKPEN III 2007 hari ini.Antara acara sukan yang menarik dipertandingkan seperti menembak,boling,tinju dan memanah.

Sementara itu pertandingan bola jaring (wanita) yang diadakan di Kompleks Sukan MPSP Bertam,Kepala Batas telah menyaksikan lima pasukan yang bertarung, terdiri daripada Pasukan Seberang Perai Utara,Seberang Perai Tengah,Seberang Perai Selatan,Daerah Barat Daya dan Daerah Timur Laut.Pasukan Seberang Perai Tengah yang berjesi kelabu telah menjuarai pertandingan tersebut manakala pasukan daripada Seberang Perai Utara menduduki nombor dua dan pasukan daripada Daerah Timur Laut menduduki tempat ketiga.

Dalam pada itu di Kompleks Kementerian Belia & Sukan (KBS) Batu Uban Pulau Pinang pula telah berlangsung pertandingan sepak takraw (lelaki) yang juga melibatkan lima pasukan bertanding.

Dalam pertandingan “kategori Regu” johan nya telah disandang oleh pasukan daripada Barat Daya “A” manakala Pasukan Seberang Perai Tengah “A” telah menjadi naib johan dan pasukan Barat Daya “B” menduduki tempat ke tiga dalam perlawan tersebut.

Dalam perlawanan secara “pasukan” pula pasukan Barat Daya telah berjaya menjadi Johan manakala tempat ke dua disandang oleh Pasukan Seberang Perai tengah dan Pasukan Seberang Perai Utara menduduki tempat ke tiga.

Bagi acara “beregu” dua lawan dua pula Johannya disandang oleh Pasukan Seberang Perai Tengah “B” dan Naib Johan pula disandang oleh Pasukan Seberang Perai Tengah “A” manakala Pasukan Seberang Perai Utara “B” menduduki tempat ke tiga dalam pertandingan tersebut.

Pakaian Jadi Isu Pada Mesyuarat MCA Bahagian Tanjung

PULAU PINANG-Mesyuarat Agung MCA Bahagian Tanjung hari ini kecoh gara-gara seorang anggota jawatankuasa bahagian itu menghadiri mesyuarat dengan memakai baju ala "kungfu" dan bukannya pakaian seragam parti berkenaan.

Kehadiran Anggota Dewan Undangan Negeri Pengkalan Kota Lee Hack Teik menarik perhatian Ketua Bahagian itu, Dr Loh Hock Hun, yang juga Anggota Dewan Undangan Negeri Paya Terubong kerana Lee memakai baju putih berlengan panjang, berleher ala Cheongsam dan berbutang Cina.

Ketika merasmikan mesyuarat itu, Loh menegur perwakilan supaya menghormati parti dengan memakai pakaian seragam yang ditetapkan MCA dengan sempurna iaitu berbaju kemeja dan berseluar panjang berwarna putih bagi lelaki dan berbaju kuning air serta berseluar panjang warna hitam bagi wanita.
Ketika ditemui pemberita, Loh berkata beliau terkejut melihat penampilan Lee yang memakai pakaian ala "taoisme" yang digunakan untuk bersembahyang di tokong ke mesyuarat tahunan itu.

"Saya tidak puas hati kerana mesyuarat ini diadakan setahun sekali. Mengapa dia tidak boleh pakai seragam parti kerana dia bukan ahli biasa tetapi seorang wakil rakyat. Saya tak mahu perkara ini nanti menjadi ikutan kepada ahli yang lain dan jejaskan imej parti," katanya.

Loh berkata setiap anggota termasuk wakil rakyat dan pemegang jawatan di dalam parti harus mematuhi garis panduan yang ditetapkan MCA selama ini iaitu "MCA Code of Conduct", "Code of Conduct for Elected Representatives" dan "General Guidelines for Candidates for MCA Public Offices".

"Saya buat teguran ini bukan atas sifat peribadi dan harap dia faham bahawa kalau mahu datang mesyuarat, kita mesti pakai pakaian yang sesuai. Saya belum pernah tengok orang pakai pakaian selain seragam ketika menghadiri mesyuarat agung parti sama ada di peringkat bahagian mahu pun kebangsaan," katanya.

Loh berkata beliau akan menulis surat kepada MCA Negeri mengenai perkara itu dan terpulang kepada pucuk pimpinan untuk mengambil tindakan selanjutnya.

Sementara itu, Lee yang ditemui ketika hendak meninggalkan mesyuarat sebaik sahaja majlis perasmian selesai, berkata beliau tidak melakukan apa-apa yang menyalahi garis panduan parti.

Katanya adalah tidak salah baginya berpakaian sedemikian kerana tiada ketetapan dibuat mengenai potongan baju sebaliknya hanya menyatakan bahawa pakaian seragam parti mestilah berbaju dan seluar panjang berwarna putih.

"Dia tak cakap itu baju mesti ada satu poket kah, tiga poket kah atau empat poket. Yang penting semua mesti warna putih," katanya.

Lee menjelaskan bahawa sebelum menghadiri mesyuarat itu, beliau telah menghadiri satu upacara keagamaan di sebuah tokong Cina di Jelutong dan pakaian itu dirasakan sesuai dengan kedudukannya selaku Pengerusi Biro Agama MCA Pulau Pinang.

Beliau, bagaimanapun, kesal kerana pakaiannya dijadikan isu pada mesyuarat kali ini sedangkan mereka sepatutnya membincangkan perkara yang lebih serius seperti cara memberikan perkhidmatan yang lebih baik kepada rakyat serta soal pembangunan parti dan negara.

"Pada saya ini bukan isu dan kalau dia (Loh) bawa perkara ini ke peringkat negeri atau pusat, dia sendiri yang akan malu. Sepatutnya kita mahu selesai agenda parti bukan soal pakaian saya," katanya.

Ditanya sama ada beliau kecil hati dengan teguran itu, beliau dengan sinis menjawab: "Saya tak rasa malu, saya tak marah tapi saya senyum saja. Jangan kerana perkara kecil, kita cepat marah, nanti kalau sakit jantung sudah tak boleh pilihan raya. Sebagai Ketua Bahagian, kalau isu kecilpun nak kecoh, susahlah.

"Pada mesyuarat itu, beberapa resolusi dikemukakan antaranya menggesa Kementerian Pelajaran untuk terus menggunakan bahasa Cina sebagai pengantar bagi subjek Sains dan Matematik dalam Ujian Penilaian Sekolah Rendah (UPSR) bagi sekolah-sekolah Cina pada tahun 2008.(BERNAMA)

Friday, June 1, 2007

Polis Siasat Unsur Khianat Kes Kebakaran Ragut Lima Nyawa

IPOH-Polis akan mendapatkan keterangan daripada beberapa saksi berhubung dakwaan wujudnya unsur khianat dalam kes kebakaran di Taman Soon Chun, Gunung Rapat di sini semalam, yang meragut nyawa lima sekeluarga termasuk dua warga emas.

Ketua Polis Ipoh, ACP Jalaluddin Ibrahim, berkata kes itu yang sebelum ini diklasifikasikan sebagai kematian mengejut kini akan disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan iaitu membunuh dengan niat.

Seksyen itu memperuntukkan hukuman mati mandatori jika sabit kesalahan."Belum ada suspek ditahan dan polis masih menunggu keputusan daripada Jabatan Bomba dan Penyelamat mengenai punca sebenar kejadian itu," katanya pada sidang akhbar di sini hari ini.

Jalaluddin berkata punca dan motif kejadian itu dijangka dapat diketahui selewat-lewatnya dua minggu lagi.

Yang mati dalam kejadian pada pukul 3.30 pagi semalam terdiri Chai Kim, 91, anak lelakinya Chai Kar It, 67, cucu perempuannya Chai Moi Fong, 32, suami Moi Fong, Tan Wei Lim, 32 serta sepupu mereka Lim Kien Hua, 29. Seorang lagi anggota keluarga itu cedera dan dimasukkan ke Hospital Ipoh.

Beberapa jiran mendakwa ternampak sebuah kereta Perodua Kancil putih berada di hadapan rumah berkenaan sejurus sebelum berlakunya kebakaran.

Bapa kepada Wei Lim, Tan Bin Keong, 65, turut mendakwa menantunya (Moi Fong) yang pernah berkahwin dan bercerai sebelum ini telah mengadu pernah menerima ancaman.(BERNAMA )

KETUA MENTERI SEMPURNAKAN MAJLIS PERASMIAN SUKAN PULAU PINANG KE-3 (SUKPEN III 2007)

Bagi memenuhi tuntutan kerajaan dalam menghasilkan atlet-atlet muda yang berkebolehan dalam bidang sukan, Kerajaan Pulau Pinang melalui Majlis Sukan Negeri telah menganjurkan Sukan Pulau Pinang ke-3 (SUKPEN III) 2007 bermula dari 1hb Jun 2007 hingga 10hb Jun 2007 ini.

Tujuan utama penganjuran kejohanan ini adalah bagi mencari atlet-atlet muda yang berbakat dan berkebolehan bagi mewakili negeri seterusnya mewakili negara dalam mana-mana acara sukan yang dipertandingkan di peringkat nasional mahupun di peringkat antarabangsa.

Memandangkan had umur bagi menyertai SUKPEN III 2007 hanya ditetapkan kepada atlet-atlet yang berumur di bawah 20 tahun sahaja, okjektif utama Majlis Sukan Negeri sudah tentunya bagi mencari atlet-atlet mewakili Pulau Pinang dalam Sukan Malaysia (SUKMA) yang akan diadakan di Terengganu tahun hadapan.

SUKPEN III 2007 berjaya mengumpulkan lebih daripada 4000 atlet dan pegawai yang akan berentap dalam 26 acara yang dipertandingkan bagi mewakili kesemua lima daerah yang terdapat di Pulau Pinang.

Kejohanan ini telah dibuka dengan rasminya oleh Ketua Menteri Pulau Pinang, YAB Tan Sri Dr. Koh Tsu Koon di Stadium Bandaraya pagi tadi. Ketua Menteri Pulau Pinang turut melepaskan beberapa ekor burung sebagai simbolik perasmian SUKPEN III 2007.

Majlis perasmian disempurnakan dengan perarakan masuk bendera kejohanan dengan diiringi paluan pancaragam dari Rejimen Askar Melayu Diraja (RAMD), Kem Sungai Ara, Pulau Pinang.

Bacaan Ikrar Kejohanan diketuai oleh Mohd Rafiq Abd Rahim yang merupakan atlet boling padang mewakili Daerah Seberang Perai Selatan yang dipertanggungjawabkan sebagai tuan rumah bagi kejohanan pada tahun ini.

Polis Baling Buru Penjenayah Ragut

BALING: Polis sedang memburu dua lelaki melayu yang dipercayai dapat membantu polis dalam kes ragut di daerah ini .

Dalam kejadian April lalu seorang lelaki kehilangan wang RM17.800 apabila di ragut oleh dua lelaki yang menunggang motosikal selepas beliau mengeluarkan wang dari sebuah bank di pekan Baling kira-kira jam 11 pagi.Kejadian kelmarin pula seorang lelaki berusia 69 tahun lesap wang sebanyak RM 20,000 apabila di ragut oleh dua lelaki yang menunggang motosikal selepas mengeluarkan wang simpanan di sebuah bank di pekan Baling kira-kira jam 10 pagi.

Ketua polis daerah, Superitendan Mat Daud Mat Hasan, berkata, polis sedang memburu dua lelaki melayu dipercayai dapat membantu polis dalam dua kejadian berasingan itu.Modus operandi penjenayah ini adalah sama dan dari cctv yang diperolehi mendapati lelaki yang sama yang dipercayai dapat membantu polis dalam kes berkenaan.

Polis percaya suspek berkenaan menunggu di bank dan memerhatikan orang ramai yang mengeluarkjan wang dari bank berkenaan dan mengekori mangsa. Menurutnya lagi penjenayah terbabit menggunakan paku dan diletakkan di bawah tayar mangsa menyebabkan kereta berkenaan hanya mampu bergerak sejauh 500 meter sahaja sebelum menawarkan pertolongan dan kemudiannya meragut wang mangsa.

Sementara itu Mat daud meminta orang ramai yang mengenali lelaki berkenaan dan melihat kejadian pada hari itu dapat membantu polis supaya lpenjenayah berkenaan dapat ditangkap dan menasihatkan orang ramai yang mengeluarkan wang dari bank supaya berhati-hati dan menyimpan dengan baik di peti terkunci dalam kereta bagi mengelakkan kejadian yang sama berlaku.