Tuesday, July 31, 2007

Batik merbok

Merbok - Pelancaran Batik Merbok oleh Menteri Besar Kedah, Dato’ Seri Mahadzir Khalid malam semalam di Kelab Cinta Sayang Golf And Country Resort membolehkan peminat-peminat batik kini mempunyai pilihan yang lebih banyak untuk mendapatkan rekaan corak batik yang cantik, bermutu dan eksklusif. Jika sebelum ini penghasilan batik-batik lebih bertumpu kepada dua negeri iaitu Kelantan dan Terengganu, namun kini Merbok yang terletak di Kedah akan menjadi pengeluar batik yang menghasilkan corak yang berbeza dan komtemporari.

Menurut pengarah Batik International Research Design Access (BIRDA) Profesor Madya Sulaiman Abd Ghani, Penghasilan batik-batik ini adalah berasaskan kepada lima motif yang terdapat di Merbok.

Lima motif tersebut ialah Burung Merbok, Padi, Bakau, Sanskrit dan juga ukiran atau kerawang.Burung Merbok adalah sejenis burung yang memberikan Merbok namanya. Padi pula adalah hasil pertanian utama di Kedah dan Merbok.Kawasan Merbok juga merupakan kawasan yang kaya dengan Paya Bakau. Sanskrit pula ialah tulisan yang ada pada hasil peniggalan pusat arkeologi Lembah Bujang. Manakala ukiran pula adalah motif-motif ukiran dan juga rekabentuk yang ada pada rumah-rumah lama.

Sejarah penghasilan Batik Merbok ini bermula dengan satu kajian yang dijalankan oleh UITM Kedah yang terletak di Merbok yang mendapati masalah kemiskinan yang berlaku di kawasan setempat adalah disebabkan kurangnya peluang-peluang pekerjaan yang ada di kawasan bekenaan.

Menteri Besar Kedah dalam ucapannya berkata YB Datuk Zainuddin Maidin ahli Parlimen Merbok telah mencetuskan idea untuk mewujudkan satu industri kampung yang boleh disertai penduduk di kawasan Merbok terutamanya ibi-ibu tunggal iaitu Batik Merbok. Hasil cetusan idea itu, dengan kerjasama UITM Kedah, Batik International Research Design Access (BIRDA) UITM Shah Alam dan pusat khidmat Parlimen Merbok, maka satu kajian telah dijalankan bagi melihat motif-motif yang boleh digunakan bagi menghasilkan corak-corak asas kepada Batik Merbok ini.

Bagi memastikan penghasilan rekabentuk-rekabentuk yang bermutu dan menepati citarasa, satu pusat penyelidikan dan pembangunan akan diwujudkan dan dikenali sebagai Batik Merbok Design Centre(BDMC). Sehingga kini sejumlah 150 rekacorak telahpun siap dan lebih banyak corak lagi akan direka bagi memenuhi perkintaan dan memastikan corak-corak baru sentiasa dikeluarkan dari masa ke semasa

Sunday, July 29, 2007

Karnival Usahawan Wanita

BALIK PULAU - Perdana Menteri pagi tadi merasmikan Karnival Usahawan Wanita Pulau Pinang di Kompleks Sukan Balik Pulau.Karnival Anjuran Badan Perhubungan Pergerakkan wanita Umno Pulau Pinang itu merupakan yang julung kalinya diadakan di negeri tersebut bagi menggalakkan lebih ramai lagi kaum wanita menceburi dalam bidang perniagaan.

Dalam ucapannya Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi mahu usahawan wanita di negara ini komited dalam bidang perniagaan yang mereka ceburi dan berusaha dengan gigih dan sabar, agar kejayaan yang dikecapi berkekalan serta mampu pergi jauh hingga ke peringkat antarabangsa. Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi juga berharap usahawan wanita di Pulau Pinang akan dapat mendahului wanita di negeri lain dalam bidang tersebut dengan adanya penganjuran karnival seperti itu.

Menurutnya lagi kejayaan kebanyakan wanita dalam bidang perniagaan, dengan mengharungi susah dan senang selama ini, berpunca daripada kegigihan dan kesungguhan mereka sehinggakan ramai dikalangan mereka mampu membayar kembali pinjaman Tabung Ekonomi Kumpulan Usaha Niaga (Tekun) berbanding kaum lelaki.

Bagi merealisasikan hasrat itu satu memorandum persefahaman (MOU) telah ditandatangani antara Kerajaan Negeri Pulau Pinang dengan Mydin Mahamed Holding Bhd, Jeram Mayang Sdn Bhd dan Sunshine Sdn Bhd dengan disaksikan oleh Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi.

Perdana Menteri turut melancarkan jenama baru produk-produk yang dikeluarkan oleh usahawan-usahawan wanita di Pulau Pinang dengan nama “CINONI” iaitu satu perkataan dalam bahasa Pulau Pinang yang bermaksud comel atau cantik.Sementara itu beberapa tokoh usahawan wanita yang Berjaya turut mendapat penghargaan yang disampaikan sendiri oleh Perdana Menteri. Anugerah tokoh wanita jaya dalam bidang pembinaan,perkhidmatan,ict dan asas tani.

Turut hadir dalam majlis tersebut ialah isteri Perdana Menteri Datin Sri Jeanne Abdullah dan Ketua Menteri Pulau Pinang Tan Sri Dr Koh Tsu Koon.

Wednesday, July 18, 2007

Orang kurang upaya bernasib malang

Pengkalan Hulu - Tiada seorang pun di dunia ini yang mahu dilahirkan dengan berkeadaan cacat.Apatah lagi kecacatan yang telah ditakdirkan itu perlu ditanggung sepanjang hayatnya.Beginilah nasib insan yang bernama Sabarina Binti Shuib 21 tahun yang tinggal di Kampung Seberang, Jalan Nenering,Pengkalan Hulu,Perak.

Menurut ibunya Siti Noraini Nayan berkata "Kecacatan yang dialami anak saya itu bermula daripada demam panas ketika berumur tiga tahun".Disebabkan kecacatan tersebut anaknya itu tidak mampu untuk berjalan dan mengurus hidupnya sendiri dan beliau terpaksa menjaganya sepenuh masa.Tambah malang lagi bila bantuan setiap bulan yang diperolehi daripada Jabatan kebajikan Masyarakat telah dikurangkan dan tidak lagi dibayar setiap bulan seperti kebiasaannya.

Menurut Siti Noraini lagi dahulunya anaknya itu mendapat bantuan sebanyak RM400 sebulan tetapi bantuan tersebut telah dipotong sejak awal tahun ini.Katanya bantuan yang diperolehi daripada Jabatan Kebajikan Masyarakat sejak bulan januari tahun ini sehingga sekarang hanya berjumlah RM600 dengan dua kali bayaran iaitu RM400 pada bulan Februari dan RM200 pada bulan Mei yang lalu berbanding tahun lalu dimana bantuan kepada anaknya itu diperolehinya setiap bulan.

Kehidupan mereka sekeluarga semakin tertekan apabila permohonan geran tanah yang diusaha sejak 18 tahun lalu dan merupakan tempat mereka mencari rezeki dan menjadikan tempat berlindung tidak mendapat perhatian kerajaan sedangkan permohonan orang lain berhampiran tanah mereka sudahpun diluluskan.Sebaliknya mereka ditawarkan rumah di penempatan PPRT Air Suda,Grik oleh pengulu disitu.Beliau kesal dengan sikap pengulu terbabit yang bernada kasar mengarahkan mereka sekeluarga supaya berpindah daripada tanah yang telah diusahakan dengan berbagai hasil tanaman sejak 18 tahun lalu tanpa menghiraukan masalah mereka.

Permohonan mereka untuk mendapat bantuan membaiki rumah yang sudah uzur itu juga tidak mendapat perhatian dengan alasan tanah tersebut tidak mempunyai geran sedangkan tanah tersebut merupakan tanah usaha sepertimana beberapa penduduk lain yang tinggal berhampiran mereka.

Canopy walk

Pulau Pinang - Pembukaan semula Canopy walk oleh Yang Berhormat encik Teng Chang Yeow Exco Pembangunan dan Alam sekitar di Bukit Bendera,Pulau Pinang setelah ditutup sejak dua tahun lalu kerana faktor keselamatan dijangka menarik lebih ramai pengunjung dari dalam dan luar negara .

Kemudahan laluan canopy walk sepanjang 600 meter ini telah di baik pulih dan ciri-ciri keselamatan telah ditingkatkan bagi memastikan keselesaan kepada penggunjung menikmati keindahan alam semulajadi di puncak setinggi 830 meter dari aras laut.

Menurut Pengarah Perhutanan Negeri Pulau Pinang Haji Samsudin bin Salleh canopy walk ini telah dilengkapkan dengan kemudahan asas dan pembinaan sebuah taman mini botani yang jarang di temui dan hanya boleh didapati di puncak bukit bendera sahaja.Selain daripada menikmati alam semulajadi pengunjung juga dapat melihat berbagai spisis pokok seperti periuk kera dan lain-lain spesis unggas yang jarang terdapat ditempat lain.

Monday, July 2, 2007

Jerebu Di P.Pinang - Jarak Penglihatan Di 4 Kawasan Berkurangan

PULAU PINANG-Jerebu di Pulau Pinang semakin mengaburi beberapa kawasan dengan jarak penglihatan sekurang-kurangnya di empat tempat berkurangan kepada antara 3km dan 5km berbanding semalam.

Jerebu mula melanda negeri ini pada Sabtu.Jurucakap Jabatan Meteorologi Pulau Pinang berkata pada pukul 10 pagi, jarak penglihatan yang dicatatkan di Butterworth adalah sejauh 3km berbanding 4km semalam manakala di Bayan Lepas, jarak penglihatan sejauh 4.5km berbanding 7km semalam

."Jarak penglihatan di Jambatan Pulau Pinang adalah sejauh 4.5 km," katanya ketika di hubungi hari ini.Jarak penglihatan di Prai pula berkurangan kepada sejauh 5km berbanding 7km semalam, katanya.(BERNAMA)

Pulau Pinang Sasar Jadi Negeri Paling Selamat Menjelang 2010

PULAU PINANG-Ketua Menteri Pulau Pinang, Tan Sri Dr Koh Tsu Koon menetapkan sasaran untuk menjadikan negeri itu sebagai negeri paling selamat menjelang 2010.
Beliau berkata, untuk mencapai sasaran itu, kerjasama dan penglibatan orang awam termasuk pasukan Rela, Rukun Tetangga dan persatuan penduduk amat penting dalam usaha membanteras jenayah di negeri ini.
Katanya mereka harus membantu polis dalam menangani kejadian jenayah di kawasan masing-masing supaya Pulau Pinang menjadi negeri yang selamat dan sejahtera.
Bercakap kepada pemberita selepas melancarkan Inisiatif Bandar Selamat Kawasan Macallum di sini, beliau berkata pada ketika ini terdapat 4,244 anggota polis untuk berkhidmat bagi kira-kira 1.5 juta penduduk di negeri ini.
"Jadi nisbah polis dan penduduk ialah 1:366 orang dan jika mengikut piawaian antarabangsa, nisbah yang ideal ialah 1:250 orang," katanya.
Sehubungan itu, bantuan dan kerjasama orang ramai dapat mengurangkan bebanan tugas anggota polis untuk mengawal keselamatan di negeri ini.
Selain kawasan Macallum, inisiatif itu turut dilancarkan serentak di empat kawasan lain iaitu Bayan Baru, Taman Raja Tun Uda di Butterworth, Bukit Minyak dan Taman Siakap, Seberang Jaya.(BERNAMA)