Friday, August 31, 2007

Ops Bersih 2 Mula Isnin Dengan Pemeriksaan Tetap Di Terminal Bas Hantar berita ini kepada rakan Versi bolehcetak berita ini

TAPAH-Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) akan membuka pejabat tetap di 30 buah terminal bas ekspres utama di seluruh negara kecuali Kelantan bagi membuat pemeriksaan ke atas kenderaan berkenaan mulai Isnin ini serentak dengan pelancaran Ops Bersih 2.
Pengarah Penguatkuasa Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) Salim Parlan berkata pemeriksaan tetap di terminal bas itu akan dapat mengatasi masalah kekurangan anggota penguatkuasa, mencegah pemeriksaan berulang kali serta tidak menjejaskan jadual perjalanan bas ekspres yang telah menimbulkan rungutan pengusaha dan pengguna.
"Langkah itu adalah antara kaedah yang diperkenalkan setelah mengkaji kelemahan yang dikesan dalam pelaksanaan Ops Bersih 1 bermula 22 Ogos lepas," katanya pada sidang akhbar selepas merasmikan penutupan Ops Bersih 1 di Kawasan Rehat dan Rawat (R n R) Tapah Selatan dekat sini Khamis malam.
Beliau berkata pemeriksaan tetap itu menggantikan kaedah statik atau sekatan jalan raya di 16 lokasi dalam Ops Bersih 1.Salim berkata melalui kaedah itu, pemeriksaan akan membabitkan bas yang akan memulakan perjalanan keluar saja.
Walaupun kaedah statik dihentikan tetapi penguatkuasaan secara rondaan dan pemeriksaan secara rambang akan dijalankan di semua laluan utama bagi mengesan bas yang mungkin dapat mengelak dari pemeriksaan di terminal, katanya.
Beliau berkata terminal-terminal yang akan dikenakan pemeriksaan tetap itu ialah Terminal Bas (TB) Bukit Lagi, (Perlis); TB Shaab Perdana, Alor Star (Kedah); TB Sultan Abdul Halim, Butterworth; dan TB Sungai Nibong (Pulau Pinang); TB Medan Gopeng, Ipoh; TB Kamunting, Taiping; TB Lumut; dan TB Teluk Intan (Perak); Hentian Puduraya, Jalan Duta, Jalan Pekeliling, dan Putra (Kuala Lumpur), Hentian Kepayang, Seksyen 7 dan Jalan Reko Kajang (Selangor).
Terminal One, Seremban (Negeri Sembilan); Terminal Melaka Sentral, (Melaka); Terminal Larkin, Kulai, dan Muar (Johor); Terminal Makmur, Kuantan dan Terminal Bas Raub (Pahang); TB MPKT Kuala Terengganu (Terengganu); TB Kuching, Sibu dan Miri (Sarawak); TB Inanam Kota Kinabalu, TB Tawau, Keningau dan Sandakan (Sabah).
Salim berkata pemeriksaan tetap tidak dapat dijalankan di terminal bas Kota Baharu kerana kawasannya tidak sesuai tetapi pemeriksaan akan dijalankan di jalan keluar utama.
Mengenai Ops Bersih 1 yang berakhir tengah malam tadi, beliau berkata sepanjang tempoh operasi itu, sebanyak 19 pemandu bas dan 19 pemandu lori adalah antara 114 kes penyalahgunaan dadah yang dikesan.
Jumlah bas yang dikesan tidak mempunyai pemandu kedua pula ada sebanyak 81 kes.Katanya sebanyak 18,245 pelbagai jenis kenderaan telah diperiksa dengan 2,250 kenderaan telah dikenakan tindakan.
Daripada jumlah itu, katanya, sebanyak 3,036 saman telah dikeluarkan termasuk 823 kes kesalahan bas ekspres melanggar syarat permit serta beroperasi di luar kawasan, 756 kes lebihan muatan (lori) dan 346 kesalahan lesen memandu.
Operasi bersepadu mulai 22 Ogos lepas itu membabitkan antara 1,200 hingga 1,500 anggota penguatkuasa JPJ dengan kerjasama Polis Diraja Malaysia (PDRM), Lembaga Pelesenan Kenderaan Perdagangan (LPKP), dan Jabatan Imigresen.
Salim juga berkata sepanjang tempoh Ops Bersih 2 sehingga 30 September depan, JPJ akan mengurangkan sebanyak 50 peratus bilangan calon yang akan menjalani ujian memandu kerana pegawai-pegawai penguatkuasa yang mengendalikan ujian itu akan dikerah membantu operasi.
Beliau mengulangi amaran, JPJ tidak akan bertolak ansur dalam menguatkuasakan undang-undang."Kita tidak akan tunduk kepada ugutan pengusaha bas untuk mogok atau henti operasi...tiada kompromi jika langgar peraturan, biarlah hanya tinggal syarikat yang bersih dan genuine dalam industri kerana matlamat utama kita adalah untuk mengurangkan kemalangan," tegasnya.(BERNAMA)

Lada Taja Pemain Golf Dan Pelayar Untuk Promosi Langkawi Geopark

LANGKAWI, 30 ogos - Lembaga Pembangunan Langkawi (Lada) akan meningkatkan usaha mempromosi Langkawi Geopark menerusi bidang sukan, dengan menjadi penaja kepada atlet bagi acara-acara sukan yang diminati ramai, seperti golf dan kapal layar sebagai permulaan.
Langkawi Geopark yang mendapat pengiktirafan daripada Pertubuhan Pendidikan, Saintifik dan Kebudayaan Bangsa-bangsa Bersatu (Unesco) pada 1 Jun lepas adalah jenama baru produk pelancongan Langkawi, yang merupakan yang pertama di Asia Tenggara dan Malaysia.
Pengurus Besar Lada Datuk Kamarulzaman Abdul Ghani berkata penajaan sukan dikenal pasti sebagai salah satu daripada cara terbaik untuk memperkenalkan lagi Langkawi Geopark ke serata dunia.
Beliau berkata pemain golf professional dari Langkawi, Yusri Ahmad Shaharom akan ditaja sebagai duta Langkawi Geopark dalam menghadapi kejohanan-kejohanan yang lebih mencabar pada masa akan datang.
Katanya penajaan itu akan membolehkan Yusri mengharungi cabaran dalam kejohanan lebih besar termasuk menyertai 13 kejohanan berprestij di dalam dan luar negara.
Kamarulzaman berkata penajaan selama setahun buat permulaan, dan ia termasuk pembiayaan untuk pembelian peralatan golf yang lebih baik serta yuran penyertaan pada kejohanan-kejohanan yang disertai.
Majlis menandatangani perjanjian persefahaman (MoU) antara Yusri dengan Lada berhubung penajaan itu berlangsung di Kompleks Lada di sini Khamis lepas.
Yusri, 38, yang sudah dua tahun menjadi pemain pro kini memegang ranking Malaysia ke-33, dan beliau pernah menyertai beberapa kejohanan seperti Terengganu Masters 2007.
Pemain yang berasal dari Kampung Makam Mahsuri Ulu Melaka di sini berkata beliau mula berjinak dengan acara golf ketika berusia 13 tahun, semasa masih menuntut di Sekolah Menengah Kebangsaan Tunku Putra.
Bercakap kepada pemberita di sini hari ini, katanya beliau akan menyertai The 2008 Asian Tour Qualifying School di Sabah mulai 7 hingga 10 Nov ini untuk membolehkan beliau mara lebih jauh dalam arena golf.
Selain itu, Lada turut menaja pasukan kapal layar dengan nama "Langkawi Geopark" yang menyertai pertandingan Piala Monsoon di Terengganu tidak lama lagi.Ketua pasukan Mohd Afendy Abdullah berkata enam pelayar gabungan Persatuan perahu layar Kedah dan Langkawi Royal Yacht Club akan bertanding pada kejohanan itu.(BERNAMA)

Thursday, August 30, 2007

Pembangunan Komplek Tenusu Moden

Koridor Utara mempunyai kelebihannya yang tersendiri. Jika kekuatan serta aset semulajadi Wilayah ini diberi peluang untuk berkembang, daya saing negara akan meningkat secara keseluruhan. Inilah rasional utama bagi penubuhan Wilayah Ekonomi Koridor Utara. Sebagai menyahut seruan kerajaan untuk turut serta dalam usaha tersebut sebuah syarikat dari Negeri Kedah telah mengorak langkah memajukan kompleks tenusu secara moden.
Suhaimi Zani Properties & Development Sdn Bhd adalah sebuah syarikat yang bertanggungjawab membangun dan memajukan kompleks penternakan tenusu di atas Lot 1407, Simpang Tiga, Jeniang, Mukim Gurun, Kuala Muda, Kedah Darul Aman.

Kompleks tenusu yang telah siap dibina


Pembangunan kompleks tenusu yang telah siap dibina di atas tanah seluas 4.4812 ekar atau 6.3017 relong tersebut melibatkan enam buah bangunan kompleks berkembar yang mampu menampung keperluan lebih daripada 3000 ekor lembu jenis tenusu pada suatu masa.Bangunan kilang untuk memproses hasil tenusu juga telah siap dibina.

Selain bangunan untuk ternakan yang telah disiapkan, di sini juga dibangunkan bangunan pejabat pengurusan yang lengkap dengan kemudahan teknologi maklumat, bilik pelayan (server), bilik mesyuarat, pejabat pentadbiran dan ruangan pejabat untuk pemasaran.



Bilik persidangan secara online


Menurut suhaimi zani ketika ditemui Harian Utara, keseluruhan kos pembangunan kompleks industri tenusu ini dianggarkan mencecah sehingga RM10 juta apabila semua peralatan industri berkaitan teknologi tenusu dilengkapkan. Kos tersebut tidak termasuk kos pembelian lembu tenusu,penyelenggaraan dan kos operasi.

Ladang ternakan syarikat kini di lengkapi dengan prasarana yang terkini dan berfungsi bagi membolehkan teknologi terkini dan maklumat yang tepat dan lengkap di salurkan dengan cekap dan telus kepada pelanggan. Kemudahan yang di sediakan membolehkan pelanggan mendapat maklumat dan memberi maklumbalas dengan mudah.

Teknologi yang terkini adalah perlu bagi membantu industri penternakan menjadi lebih maju dan berdaya saing. Teknologi ini perlu di salurkan secara cekap, berkesan dan praktikal kapada pekerja. Untuk tujuan ini, sasaran yang telah di tetapkan ialah untuk membantu dan melatih sejumlah 100% pekerja ladang ternakan yang bertaraf komersil menggunakan komputer dan perisian komputer dalam kerja-kerja penyimpan rekod dan kerja-kerja analisis. Peralatan-peralatan yang akan meningkatkan produktiviti akan juga di perkenalkan dan di galakkan untuk menggunakan dalam kerja pengurusan harian.

Bagi mempastikan aktiviti ini dapat di jalankan pihak syarikat akan menetapkan bahawa sejumlah 80% daripada ladang ternakannya yang di bangunkan secara fidlot akan menggunakan atau memelihara jenis lembu tenusu yang telah di uji sesuai dengan keadaan tempatan dan memenuhi permintaan pasaran tempatan.

Pembangunan Sistem Maklumat Pasaran - Sistem maklumat pemasaran yang berfungsi akan di bangunkan sebagai sumber maklumat pemasaran berpusat untuk di gunapakai oleh semua pihak yang terlibat dalam industri tenusu syarikat. Sistem ini juga jadi jajaran rangkaian kepada sistem maklumat pemasaran yang akan di bangunkan oleh jabatan pemasaran syarikat. Oleh yang demikian secara langsung ianya juga dapat di gunapakai oleh lain-lain pelanggan dan pengguna lainnya.

Sehubungan dengan itu pengurusan ladang ternakan syarikat juga bercadang melakukan perkhidmatan permanian beradas, penjualan makanan tambahan ternakan, pembekalan ternakan dan pada masa yang sama menjayakan program pengembangan dan khidmat sokongan.

Pendekatan pemeliharaan unit-unit ternakan yang lebih besar dan diuruskan secara bersistematik dengan khidmat sokongan yang diberikan akan membolehkan ladang tenusu syarikat berkembang dan memastikan keperluan susu segar tempatan dapat dipenuhi. Perubahan yang dirancang dalam subsektor tenusu adalah untuk memberi perkhidmatan yang lebih efektif selaras dengan keperluan modenisasi dan arah tujuan pengeluaran ternakan yang lebih teratur dan cekap. Program meningkatkan tahap pembiakan ternakan lembu tenusu. Di antara aktiviti yang akan dijalankan oleh pihak syarikat ialah :

i. Program permanian beradas (AI) akan dijalankan sendiri oleh pihak syarikat.

ii. Meningkatkan perkhidmatan rundingan dan nasihat.

iii. Mengemaskini sistem rekod dan tindakan susulan.

Program meningkatkan tahap pengeluaran susu. Melalui program ini aktiviti yang akan dijalankan adalah seperti berikut :

i. Membimbing pekerja ladang mengamalkan pengurusan yang baik.

ii. Menjalankan kerja-kerja adaptasi dan penggunaan teknologi pengeluaran berkesan kos

iii. Menjalankan pengawalan kejadian penyakit mastitis.

iv. Meneruskan kerja-kerja pengwujudan baka kacukan yang mempunyai pengeluaran susu yang tinggi dan stabil.

Program meningkatkan komitmen kilang pemprosesan susu. Dengan menggalakkan kilang pemproses mengadakan ikatan formal antara syarikat bagi memastikan pengeluaran susu yang tetap dapat dibekalkan kepada kilang pemproses dan melaksanakan ‘World Trade Organisation‘ dengan meningkatkan mutu susu dan tahap kecekapan pengurusan ladang.

Wednesday, August 29, 2007

Rumah Penguatkuasa KPDNHEP diserang bom

Sungai Petani - Seorang Pembantu Penguatkuasa Kementerian Perdagangan Dalam Negeri Dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) Cawangan Seberang Perai Tengah, Pulau Pinang, Shyarmizi Bin Mohamad, 21 tahun terselamat dalam letupan bom kira-kira jam 4 pagi tadi.

Ketika kejadian, Shyarmizi serta ibu dan bapanya yang sedang nyenyak tidur di rumah mereka di Taman Ria, Sungai Petani dikejutkan dengan satu letupan kuat di bahagian hadapan pintu rumahnya.

Letupan kuat yang dipercayai berpunca daripada bom buatan sendiri itu telah menyebabkan kerosakan teruk pada pintu, cermin dan syiling di bahagian ruang tamu rumahnya.

Shyarmizi ketika ditemui di tempat kejadian enggan memberi sebarang komen dan menyerahkan kepada pihak polis bagi menjalankan siasatan.

Sementara itu, Presiden Pegawai-Pegawai Penguatkuasa KPDNHEP, Rus Bakarurraini bin Shahfei merayu pihak polis agar dapat memandang kes yang melibatkan ancaman kepada pegawai-pegawai penguatkuasa seperti ini secara serius dan menyeluruh.


Menurutnya lagi, "walaupun pihak polis hanya tiba di tempat kejadian selepas 5 jam aduan dibuat", "beliau percaya pihak polis mampu menyelesaikan kes ini".

Ancaman sehingga menggunakan bahan letupan seperti ini merupakan jenayah serius daripada kumpulan tertentu yang merasakan kepentingan mereka telah tergugat,apatah lagi jika jenayah tersebut berlaku di Sungai Petani yang diketahui bukanlah sebuah bandar besar seperti Kuala Lumpur.

Justeru pihak polis diharapkan seberapa segera memberkas penjenayah berkenaan supaya tidak menjadi ancaman kepada pihak lain yang turut terlibat dalam usaha membenteras jenayah.

Kereta Api Bawa Kontena Tergelincir Di Bukit Chabang

PADANG BESAR - Lima belas daripada 35 buah kontena kosong yang sedang dibawa dengan sebuah kereta api dari Butterworth ke Bangkok, tergelincir dari landasannya di Bukit Chabang dekat sini hari Rabu.
Ketua Polis Daerah Padang Besar Pemangku Supt Che Man Md Dros berkata akibat kemalangan pada 6.50 pagi itu, 30 perkhidmatan kereta api termasuk empat tren penumpang akan tergendala kira-kira 48 jam.
Beliau berkata pemandu lokomotif dan pembantunya yang masing-masing berumur 35 dan 40 tahun tidak mengalami sebarang kecederaan. Polis akan berkawal di kawasan kejadian bagi mengelak sebarang kemungkinan kegiatan jenayah.
Sementara itu, Eksekutif Kanan Operasi Keretapi Tanah Melayu Berhad (KTMB) Cawangan Butterworth, Rasul Yahya berkata punca kemalangan itu masih disiasat manakala kerja-kerja memulihkan landasan sedang dilakukan oleh 60 kakitangan KTMB.
Para penumpang kereta api dari Bangkok ke selatan akan diangkut dengan bas dari Padang Besar ke Arau, begitu juga sebaliknya.
Rasul yang mengetuai siasatan kes kemalangan itu berkata kerja-kerja pemulihan landasan diharap dapat disiapkan dalam tempoh 24 jam. (BERNAMA)

Sunday, August 26, 2007

Pampasan Tak Berbaloi - Penduduk

SUNGAI PETANI - Hampir 20 buah keluarga di Kampung Baru, Sungai Pasir Kecil, Sungai Petani kini diancam kebimbangan tiadanya tempat tinggal disebabkan kawasan kampung mereka akan dibangunkan menjadi taman perumahan.

Kawasan yang merupakan tanah rizab estet itu telah diteroka sejak lebih 50 tahun dahulu oleh penduduk asal kampung terbabit yang bekerja sebagai pekerja ladang di situ.

Menurut penduduk kampung yang ditemui, status mereka sebagai Peneroka Bandar menyebabkan mereka telah diarah berpindah bagi membolehkan projek perumahan dibangunkan di kawasan terbabit dengan bayaran pampasan yang tidak memadai antara RM 8,000 hingga RM 15,000 sahaja.

Dengan bayaran pampasan sebanyak itu, mereka bukan sahaja tidak mampu untuk mendapatkan sebuah rumah kos rendah bagi memulakan penghidupan baru bahkan untuk mendirikan rumah di tempat lain juga merupakan sesuatu yang mustahil.

Apa yang menghairankan penduduk, bayaran pampasan yang ditawarkan juga sentiasa berubah-ubah mengikut masa dengan tiada sebarang perjanjian bertulis pernah dibuat antara penduduk kampung dan pemaju terbabit.

Lebih memburukkan keadaan, penduduk-penduduk yang masih enggan berpindah telah diancam oleh pihak pemaju untuk memanjangkan isu tersebut ke mahkamah seterusnya meroboh rumah mereka tanpa sebarang bayaran pampasan.
Setakat ini, seramai 9 orang daripada penduduk kampung terbabit telahpun diseret ke mahkamah.


Sebelum projek perumahan dijalankan di situ, terdapat hampir 80 buah rumah yang didirikan di kampung terbabit tetapi disebabkan tidak tahan dengan desakan dan ancaman daripada pemaju, kebanyakan penduduk terpaksa mengambil keputusan untuk berpindah.

Menurut penduduk lagi, satu badan bertindak telah ditubuhkan bagi menyuarakan masalah mereka kepada pihak-pihak yang berkenaan termasuklah kepada Menteri Besar Kedah dan juga Perdana Menteri Malaysia, Dato’ Seri Abdullah Ahmad Badawi melalui Pejabat UMNO Bahagian Kepala Batas namun masih tiada sebarang tindakan diambil bagi menangani masalah tersebut.

Penduduk kampung terbabit berharap masalah mereka akan mendapat pertimbangan yang sewajarnya dan bersedia untuk berpindah sekiranya ditawarkan dengan bayaran pampasan yang setimpal dan berpatutan.

Friday, August 10, 2007

Konvoi Kembara Merdeka Berlepas Ke Perak

KANGAR(9 Ogos)- Selepas berehat sehari di Perlis semalam, konvoi Kembara Merdeka Jalur Gemilang (KMJG) 2007 hari ini berlepas ke Perak bagi membawa misi patriotisme sempena sambutan Bulan Kemerdekaan.
Setiausaha Kerajaan Perlis, Datuk Ismail Othman melepaskan lebih 130 peserta KMJG 2007 yang menggunakan 50 kenderaan pacuan empat roda itu di hotel Putra Palace di sini.
Konvoi itu tiba di Perlis pada Selasa bagi mengadakan beberapa kegiatan sepanjang hari manakala semalam mereka berehat sebelum meneruskan perjalanan hari ini sambil melaksanakan beberapa kegiatan termasuk mengagihkan Jalur Gemilang.
Malam ini, para peserta konvoi itu akan bermalam di Gerik, Perak sebelum meneruskan perjalanan ke Kota Baharu, Kelantan esok.Konvoi KMJG itu yang memulakan perjalanan mereka pada 29 Julai lalu akan menamatkan perjalanan di Ayer Keroh, Melaka pada 17 Ogos ini.(BERNAMA)

Thursday, August 9, 2007

Meningkatkan mutu Badan Pencegah Rasuah

Kepala Batas - Dato Haji Ahmad Said Bin Hamdan Ketua Pengarah Badan Pencegah Rasuah Malaysia (BPR) pagi tadi merasmikan majlis Penutup Pemantapan Jatidiri Rakan Muda di Dewan Perbadanan Produktiviti Negara (NPC), Kepala Batas. Program ini khusus untuk golongan muda yang akan memegang jawatan-jawatan penting kerajaan atau swasta dalam membawa masa depan Negara.

Dalam ucapannya beliau berkata sebelum ini BPR hanyalah sebuah unit kecil yang diletakkan di bawah Jabatan Perdana Menteri (JPM) untuk menjalankan aktiviti-aktiviti pencegahan khususnya ceramah.Pada masa itu juga siasatan kes-kes rasuah dijalankan oleh Cawangan "Special Crime" yang diletakkan di bawah Jabatan Polis manakala pendakwaan kes-kes rasuah dikendalikan oleh Bahagian Pendakwaan, Kementerian Undang-Undang.

Dalam sidang medianya, beliau tidak menafikan yang segelintir pegawai penguatkuasa Badan Pencegah Rasuah melewat-lewatkan penyiasatannya dalam menyelesaikan kes-kes yang berkenaan intitusi kerajaan, dan akan selalu membuat pemantauan berhubung perkara tersebut. BPR bukan sekadar badan yang melibatkan kewangan semata-mata tetapi juga sebagai satu badan membenteras Jenayah.

Menurut beliau lagi pemberi rasuah melebihi dari penerima rasuah dengan seramai lebih 300 orang pemberi daripada penerima rasuah. Rasuah adalah penyakit sosial paling buruk. Ia boleh menghapuskan sistem pentadbiran yang baik, melemahkan institusi, undang-undang dan menghalang perkembangan ekonomi.

Majlis yang dihadiri 50 peserta rakan muda tersebut telah belangsung selama 3 hari menutup tirainya hari ini dengan penyerahan sijil penyertaan.

Saturday, August 4, 2007

Kedah, Perak Tekad Rangkul Juara Liga Super

ALOR STAR - Kedah dan Perak yang kini bersaing sengit untuk memburu gelaran juara Liga Super bertekad untuk berjuang habis-habisan apabila menentang pencabar masing-masing esok.
Oleh kerana esok merupakan hari terakhir perlawanan dalam jadual Liga Super, Kedah yang berbekalkan kelebihan dua mata berbanding Perak, perlu menang ke atas Brunei di tempat lawan manakala Perak yang akan bertandang ke Kuching, juga mesti mencapai kemenangan ke atas Sarawak untuk menghidupkan harapan mereka.
Kedah yang membenam Negeri Sembilan 7-0 dua hari lalu kini berada di puncak liga dengan memperolehi 52 mata manakala Perak yang sebelum ini menerajui liga tercicir ke tempat kedua dengan mengumpul 50 mata, setelah seri 1-1 dengan Terengganu, sekaligus menjejaskan sedikit harapan mereka untuk menjadi juara.
Apapun, lawan Kedah, iaitu Brunei, yang menduduki tempat ketiga dengan 44 mata bukanlah pasukan yang mudah ditewaskan, lebih-lebih lagi di gelanggang sendiri.
Orang yang pertama menyedari hakikat itu adalah pengurus pasukan Kedah, Datuk Othman Aziz.
"Ini adalah misi terpenting dan yang paling berat sepanjang musim ini. Kedah tewas 1-2 pada pertemuan sulung dengan Brunei di Stadium Darul Aman dan saya berharap `badi' itu tidak akan berulang di Bandar Seri Begawan," katanya.Beliau juga menyedari bahawa walaupun Kedah berbekal kelebihan dua mata, Perak yang menentang Sarawak di Kuching pada waktu yang sama masih mempunyai peluang, jika keputusan tidak memihak kepada Kedah.
"Walaupun tanpa empat pemain yang kini menyertai pasukan kebangsaan, persembahan pemain-pemain Kedah amat meyakinkan saya bahawa mereka mampu untuk merobek pertahanan Brunei sekaligus memenangi tiga mata penuh," kata Othman.
Beliau berkata harapan tetap disandarkan kepada penyerang tempatan walaupun penyerang import Marlon Alex James masih membuktikan kewibawaan sebagai penjaring utama.
Katanya kemantapan permainan Kedah lebih terserlah selepas berehat selama sebulan ekoran kejohanan Piala Asia berlangsung di negara ini.
Di Ipoh pula, Naib Presiden Persatuan Bolasepak Perak Datuk Muhammad Muhiyuddin Abdullah mengharapkan Brunei mencipta kejutan dengan mengatasi Kedah, di samping mahukan pemain Perak sendiri berjuang habis-habisan semasa menentang Sarawak.
"Pemain yang berlepas ke Kuching hari ini telah diterap semangat `mesti menang' kerana hanya kemenangan boleh menghidupkan harapan Perak untuk menjuarai Liga Super.
"Posisi kita akan banyak bergantung kepada keputusan perlawanan antara Kedah dan Brunei, namun bagi kita, tiada jalan lain melainkan memburu kemenangan untuk memastikan peluang sendiri.
"Ini kerana, jika Kedah kalah dan Perak seri atau kalah, maka Kedah masih akan dinobat sebagai juara liga, katanya.(BERNAMA)