Thursday, April 30, 2009

ADUN Pakatan Rakyat Akan Hadiri Sidang DUN 7 Mei - Nizar

IPOH - Pakatan Rakyat Khamis membuat keputusan bahawa semua wakil rakyat mereka akan menghadiri Sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) Perak pada 7 Mei ini, kata bekas Menteri Besar Perak, Datuk Seri Mohammadd Nizar Jamaluddin.

Beliau berkata keputusan itu adalah muktamad walaupun sebelum ini ada kenyataan mengatakan Pakatan Rakyat akan memboikot sidang DUN tersebut.

"Soal memboikot kini tidak timbul dan kita akan memberi kerjasama sepenuhnya semasa persidangan berkenaan.

"Saya berharap persidangan itu mengikut segala peraturan sebagaimana yang diagendakan dan kita akan mengikut apa-apa ketetapan yang akan dibuat oleh Speaker," katanya kepada pemberita selepas mempengerusikan mesyuarat bersama Anggota DUN (ADUN) Pakatan Rakyat di sini hari ini.

Beliau juga berharap semua pegawai yang ditugaskan pada sidang DUN itu akan mengikut perintah daripada Speaker dan menegaskan semua ADUN Pakatan Rakyat juga akan patuh dan akur apa saja arahan Speaker.

Sementara itu Speaker, V.Sivakumar ketika ditanya mengenai usul pelucutan jawatan beliau mengakui memang ada usul yang telah diterima berkaitan perkara itu tetapi menegaskan pihaknya belum membuat apa-apa keputusan lagi.

Beliau berkata sebelum persidangan pada 7 Mei ini berlangsung, banyak isu akan dibangkitkan beliau melalui perbincangan dengan pihak polis, Setiausaha Kerajaan Negeri dan pihak yang terlibat dalam persidangan tersebut.(BERNAMA)

Kedah Cadang Perluas Tapak Semaian Mempelam

ALOR SETAR - Kerajaan negeri Kedah akan memperluaskan kawasan semaian pokok mempelam bagi meningkatkan pengeluaran produk pertanian itu di samping menampung permintaan pasaran tempatan dan antarabangsa.

Menteri Besar Datuk Seri Azizan Abdul Razak berkata untuk itu kerajaan negeri telah mengenalpasti beberapa kawasan di daerah Kuala Muda yang berpotensi dijadikan tapak semaian mempelam.

Beliau berkata setakat ini, hanya satu tapak semaian mempelam yang mempunyai 512 batang pokok diuruskan oleh Jabatan Pertanian di Yan.

"Penduduk juga digalak untuk melibatkan diri dengan aktiviti pertanian seperti menanam pokok mempelam di rumah masing-masing.

"Jabatan Pertanian boleh memberi khidmat nasihat dari segi penjagaan pokok mempelam sehingga boleh mengeluarkan hasil memuaskan serta membantu memasarkan buah berkenaan," katanya kepada pemberita selepas majlis pelancaran klon mangga di Pusat Pengumpulan Mangga di Sala Kanan, dekat sini, Khamis.

Azizan berkata 111 jenis mempelam yang terdiri daripada 79 jenis baka tempatan dan 32 dari luar negara berjaya dihasilkan di negeri ini dan setakat ini terdapat permintaan dari Amerika Syarikat untuk mempelam yang siap diproses.(BERNAMA)

Kedah Akan Lancar Pelan Tindakan ICT Negeri

KULIM - Kerajaan neeri Kedah akan melancarkan satu pelan tindakan lima tahun mengenai Teknologi Komunikasi dan Maklumat (ICT).

Pengerusi Jawatankuasa Sains dan Inovasi, Teknologi Maklumat dan Komunikasi dan Pembangunan Usahawan Negeri, Abdullah Jusoh berkata, pelan tindakan bermatlamat menjadikan hampir kesemua rakyat Kedah celik IT.

Ia dirangka bersama Perbadanan Pembangunan Multimedia dan beberapa agensi kerajaan yang berkaitan, katanya kepada pemberita selepas merasmikan Taklimat dan Dialog MSC di Kulim Hi-Tech di sini, Khamis.

"Kita mahu menjadikan ICT dimanfaatkan oleh semua golongan rakyat dan tidak hanya tertumpu dalam pembangunan industri sahaja seperti sebelum ini," kata Abdullah.

Beliau berkata pelan tindakan itu dijangka siap dalam tempoh dua atau tiga bulan lagi dan antara kandungannya ialah perancangan untuk membina kemudahan infrastruktur teknologi maklumat.

Abdullah berkata capaian internet di Kedah cuma tujuh peratus dan kerajaan negeri mahukan capaian yang lebih tinggi dengan meliputi semua kawasan di negeri itu.

"Penggunaan ICT seharusnya diperluaskan untuk golongan petani, pesawah dan peniaga kecil bagi membolehkan mereka memajukan bidang masing-masing dengan mendapat maklumat terkini," katanya.(BERNAMA)