Thursday, May 14, 2009

Pemimpin-pemimpin Pembangkang Bincang Krisis Perak Esok

KUALA LUMPUR - Pemimpin-pemimpin parti pembangkang akan mengadakan perjumpaan esok bagi membincangkan isu berhubung krisis politik Perak, dan bagi menentukan langkah seterusnya yang akan diambil.

Anggota Parlimen Ipoh Timur Lim Kit Siang berkata krisis Perak bukan sesuatu yang bersifat kenegerian semata-mata, tetapi ia adalah krisis yang menggambarkan perlembagaan dan institusi negara.

Beliau yang ditemui pemberita selepas menghadiri satu forum umum di sini malam ini bagaimanapun enggan memberitahu di mana mesyuarat itu akan diadakan nanti.

Penasihat DAP itu juga berkata beliau akan mencadangkan supaya satu perjumpaan diadakan dengan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak berhubung perkara itu kerana ia membabitkan imej Malaysia di peringkat antarabangsa. (BERNAMA)

Pemuda Perak Diarah Buat Penerangan Mengenai Kemelut Politik

IPOH - Jentera Pemuda Umno Perak di setiap bahagian diarah turun padang serta-merta bagi membuat penerangan mengenai proses perundangan yang sedang diambil dalam menyelesaikan kemelut politik di negeri ini, kata Ketua Pemuda Umno Khairy Jamaluddin.

Beliau berkata penerangan itu hendaklah sampai kepada generasi muda walau di mana mereka berada bagi memastikan mereka mendapat gambaran sebenar masalah tersebut serta penyelesaian yang sedang dan akan diambil.

"Keadaan politik di negeri ini masih tidak menentu dan tidak semua mereka (golongan belia) dan akar umbi mengetahui dan memahami kemelut yang melanda negeri ini.

"Kempen penerangan yang jelas hendaklah bermula sekarang supaya gambaran yang jelas diberikan kepada pengundi," katanya dalam sidang akhbar selepas majlis perjumpaan bersama Ketua Pemuda Umno Malaysia di Bangunan Umno di sini malam tadi.

Beliau berkata penyampaian maklumat yang tidak tepat dan tidak berkesan menyebabkan pengundi di peringkat akar umbi tidak memahami apa yang sedang berlaku.

"Keadaan ini menyebabkan mereka menerima bulat-bulat propaganda yang diuar-uarkan pembangkang," katanya. (BERNAMA)

Sunday, May 3, 2009

PAS P.Pinang Minta Pucuk Pimpinan Kaji Semula Perjanjian

KEPALA BATAS - Badan Perhubungan PAS Pulau Pinang mahu pucuk pimpinan parti itu mengkaji semula perjanjian antara parti pakatan berhubung keputusan memperuntukan kerusi Dewan Undangan Negeri(DUN) Penanti hanya ditandingi calon Parti Keadilan Rakyat (PKR).

Timbalan Pesuruhjaya PAS negeri Dr Mujahid Yusof Rawa berkata desakan untuk PAS meletakkan calon pada pilihan raya kecil Dewan Undangan Negeri (DUN) Penanti pada 31 Mei ini semata-mata demi memelihara amalan demokrasi yang sihat.

Keputusan PAS negeri bukan dibuat untuk jawatan Timbalan Ketua Menteri 1 yang dijanjikan oleh kerajaan negeri sebaliknya bertujuan mengubah persepsi buruk rakyat terhadap kerajaan pakatan PKR-DAP-PAS, katanya kepada pemberita selepas mesyuarat agung tahunan PAS kawasan Kepala Batas di sini hari ini.

Beliau berkata peletakkan jawatan Mohammad Fairus Khairuddin sebagai Anggota DUN Penanti dilakukan secara mengejut dan tanpa alasan kukuh.

Mujahid berkata parti pakatan PKR-DAP-PAS wajib mengambil kira suara-suara akar umbi yang tidak berpuas hati terhadap trend peletakan jawatan yang dikhuatiri menjadi suatu budaya politik tidak sihat di kalangan wakil rakyat.

"Keputusan cadangan ini diutarakan berdasarkan prinsip demokrasi perwakilan dan bukan untuk memberi gambaran wujud masalah dalaman pakatan," katanya.

Kerusi DUN Penanti kosong berikutan Mohammad Fairus meletak jawatan ADUN pada 16 April lepas atas alasan mahu menyambung pelajaran.

Pada 28 April lepas, Penasihat PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim mengumumkan Timbalan Pengerusi Perhubungan PKR Pulau Pinang, Mansor Othman sebagai calon parti untuk bertanding di Penanti.(BERNAMA)

Semua Media Dibenar Buat Liputan Sidang Dun Perak - Speaker

IPOH - Speaker Dewan Undangan Negeri (DUN) Perak V. Sivakumar hari ini membuat ketetapan bahawa semua pihak media akan dibenarkan untuk membuat liputan persidangan DUN Perak yang dijadual bermula pada 7 Mei ini.

Sivakumar berkata semua media termasuk yang dihalang untuk membuat liputan sebelum ini diminta untuk membuat permohonan bertulis di Pejabat Speaker, Aras 2, Bangunan Perak Darul Ridzuan mulai pukul 9 pagi esok.

"Saya akan mengeluarkan surat kebenaran kepada media-media mengikut pertimbangan saya. Di sini, saya menggunakan Perintah-perintah Tetap 84 (DUN Perak) yang memberi kuasa kepada Yang Dipertua Dewan Negeri untuk mengeluarkan kebenaran am kepada wakil mana-mana jurnal menghadiri persidangan dewan. Perintah-perintah tetap ini juga membolehkan Yang Dipertua Dewan untuk membatalkan kebenaran yang diberi," katanya dalam satu kenyataan media di sini.

Sivakumar berkata arahan itu dikeluarkan untuk menjamin prinsip-prinsip demokrasi dan kebebasan media.

Beliau berkata rakyat harus mengetahui apakah yang berlaku dalam persidangan secara telus.

"Tidak ada sebab untuk menghalang mana-mana media untuk membuat liputan. Rakyat berhak mengetahui segala gerak-geri wakil rakyat mereka di dalam Dewan Negeri," katanya.

Sebelum ini hanya 13 media elektronik dan cetak iaitu RTM, BernamaTV, TV3, The Star, The New Straits Times, Berita Harian, Utusan Malaysia, China Press, Sin Chew Daily, Nanyang Siang Pau, Tamil Nanban, Tamil Nesan dan Bernama dibenarkan membuat liputan persidangan dewan yang dijadualkan pada 7 hingga 13 Mei ini.


Jabatan Penerangan Perak dalam satu notis bertarikh 30 April lepas memaklumkan Pejabat Setiausaha Kerajaan Negeri Perak memutuskan bahawa setiap media cetak hanya dibenarkan untuk menghantar dua petugas manakala media elektronik dibenarkan menghantar tiga petugas untuk liputan persidangan dewan itu.

Menteri Besar Datuk Seri Dr Zambry Abdul Kadir dijangka membuat satu kenyataan esok berhubung arahan larangan membuat liputan dan had bilangan petugas yang dikeluarkan sebelum ini.
-- BERNAMA

KBS Akan Perkenal Konsep "Satu Belia"

KANGAR - Kementerian Belia dan Sukan akan memperkenalkan konsep "Satu Belia" bagi membantu mempercepatkan proses pelaksanaan gagasan 1Malaysia, kata menteri berkenaan Datuk Ahmad Shabery Cheek hari ini.

Katanya hampir separuh rakyat Malaysia yang kini berjumlah 27 juta terdiri daripada golongan belia dan mereka perlu disemai dengan semangat dan perasaan sama ke arah menjayakan gagasan diutarakan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak.


Bercakap kepada para pemberita selepas mewakili Timbalan Perdana Menteri melancarkan sambutan Hari dan Minggu Belia Negara peringkat kebangsaan 2009 di sini hari ini, Ahmad Shabery berkata jika para belia gagal disatukan perasaan dan fahaman mereka sudah pasti gagasan itu sukar direalisasikan dengan cepat.

"Kita tidak akan dapat melahirkan satu Malaysia tanpa terlebih dahulu pupuk semangat satu belia. Kita nak satukan hari rakyat Malaysia menjadi rakyat yang satu, semangat rasa kekitaan dan dipunyai sebuah negara bernama Malaysia," katanya.

Ahmad Shabery berkata beliau akan berbincang dengan Majlis Belia Malaysia (MBM) dan para pegawai kementerian sebelum melancarkan konsep itu.(BERNAMA)

Friday, May 1, 2009

Kerajaan Kedah Terus Pilih Perdana V6

ALOR SETAR - Kerajaan negeri Kedah akhirnya memilih untuk tetap membeli kereta Perdana V6 Exekutif sebagai kereta rasmi Exco dan pegawai kanannya menggantikan kereta jenama sama yang telah rosak.

Menteri Besar Datuk Seri Azizan Abdul Razak berkata, beberapa kereta lama yang digunakan selama enam tahun sebelum ini telah rosak dan perlu digantikan.

Beliau berkata kereta itu akan dibeli tidak lama lagi dan bahagian kewangan negeri kini dalam peringkat rundingan harga dengan pihak Proton.

"Kita mungkin akan beli empat atau lima buah kereta Perdana V6 Eksekutif...kita serah kepada bahagian kewangan negeri untuk beli mengikut peruntukan yang kita ada kerana sebuah kereta ini berharga lebih RM100,000," katanya kepada pemberita selepas merasmikan majlis penutup seminar pengurusan perubahan anjuran bahagian sumber manusia kerajan negeri di sini, malam tadi.

Sebelum ini, kerajaan Kedah pernah dilaporkan akan menggantikan kereta Proton Perdana V6 Executive dengan jenama lain sekiranya keadaan kewangan mengizinkan, namun selepas mengadakan rundingan dengan Ketua Pegawai Eksekutif Proton Edar Sdn. Bhd, Disember lalu, mereka mempertimbangkan untuk terus menggunakan kereta jenama sama.

Katanya sehingga kini kerajaan negeri menggunakan 16 Proton Perdana V6 Executive dan 10 Proton Perdana yang dipakai sejak 2003.(BERNAMA)

Pasukan Perahu Layar Iran Berlatih Di Langkawi

LANGKAWI - Pasukan perahu layar Iran akan mengadakan latihan di pusat latihan perahu layar kebangsaan Langkawi di sini bermula 10 Mei sehingga Julai depan sebagai antara persediaan mereka menghadapi Sukan Asia 2010 di China.

Pengurus Besar Persatuan Pelayaran Malaysia (MYA) Mohd Afendy Abdullah berkata seramai 42 pelayar dari negara itu akan menjalani latihan pusat itu di bawah jurulatih Malaysia yang diketuai Abdul Rani Idris.

"Kita mengalu-alukan pasukan luar negeri menjalani latihan dalam mencapai hasrat Majlis Sukan Negara (MSN) menjadikan pusat itu bertaraf antarabangsa," katanya kepada Bernama di sini hari ini.

Sebelum ini beberapa negara seperti Hong Kong dan Poland telah mengadakan latihan di pusat berkenaan.

Tiupan angin antara 15 hingga 18 knot dikawasan perairan pusat itu sesuai untuk pelayar menjalani latihan, katanya.

Mohd Afendy berkata skuad pelayar Malaysia yang terdiri sembilan pelayar elit dan 18 pelapis kebangsaan akan mengambil peluang berlatih bersama pelayar Iran terbabit.

"Mereka berpeluang menimba pengalaman dan mendapat pendedahan luas daripada pelayar Iran sepanjang mereka berlatih di Langkawi," katanya.(BERNAMA)