Wednesday, November 7, 2007

Gara-gara tidak membuka tandop

MERBOK-Hanya kerana pintu tandop tali air yang tidak dibuka ketika hujan lebat, berpuluh-puluh rumah penduduk di Kampung Singkir Darat, Merbok dibanjiri air yang melimpah keluar daripada tali air tersebut.

Kejadian berlaku lewat petang isnin apabila hujan lebat yang turun hampir 3 jam menyebabkan tali air dan sungai yang melalui tandop tersebut tidak dapat menampung jumlah kuantiti air yang banyak dan melimpah keluar ke kawasan kediaman yang berhampiran.

Penduduk yang ditemui mendakwa, kejadian tersebut seringkali berlaku apabila hujan lebat disebabkan pengawal yang diberikan tanggungjawab menjaga pintu tandop berkenaan tinggal jauh daripada kampung tersebut.

Menurut mereka lagi, kegagalan pengawal tersebut membuka pintu tandop menyebabkan mereka terpaksa menanggung akibat apabila banyak barang-barang dan keperluan rumah rosak apabila air yang melimpah keluar masuk ke dalam rumah mereka.

Penduduk kampung juga mendakwa keadaan sungai di kampung itu yang semakin cetek turut menjadi penyebab kawasan rumah mereka seringkali dinaiki air apabila hujan lebat.

Sehubungan dengan itu, mereka memohon agar tugas mengawal pintu tandop tersebut diberikan kepada penduduk setempat bagi memudahkan kerja membuka pintu tandop setiap kali hujan lebat turun atau pun apabila paras air di dalam tali air tersebut semakin bertambah.