Saturday, September 29, 2007

Dua Beranak Nelayan Kota Kuala Muda Hilang Ketika Angin Kuat

Kota Kuala Muda,Kedah - Dua nelayan anak beranak didapati hilang ketika angin kuat tengahari tadi.Nelayan tersebut Johari Saad berumur dalam lingkungan 40-an bersama anaknya Aswad Johari 18 tahun masih lagi tidak dijumpai walaupun beberapa nelayan bersama empat buah bot ikan telah berusaha mencari disekitar kawasan botnya ditemui .

Menurut seorang nelayan yang ditemui usaha mencari masih diteruskan oleh nelayan-nelayan terbabit serta bantuan daripada jabatan perikanan.




Pembeli Rumah Desak Pemaju Serah Kunci


Kepala Batas - 89 pemilik rumah Taman Abdullah Fahim Fasa 4 Kepala Batas mendesak pihak pemaju menyerahkan kunci rumah mereka dan bertekad berpindah beramai-ramai memasuki rumah tersebut kerana tidak tahan dengan karenah pemaju perumahan terbabit.




Menurut mereka Koperasi Gabungan Negeri (KGN) yang bertindak sebagai pemaju perumahan tersebut sebelum ini telah berjanji, semua pemilik rumah terbabit boleh mendiami rumah berkenaan pada bulan Ogos lalu.

Mereka mendakwa sehingga kini apa yang dijanjikan 'bohong' semata-mata kerana dalam beberapa siri pertemuan dengan pemaju mereka asyik menyalahkan kontraktor, tetapi bila pertemuan dengan kontraktor mereka pula menyalahkan KGK kerana tidak menyalurkan kewangan.

Pertelingkahan antara kontraktor dan pemaju perumahan terbabit telah menyebabkan pembeli terpaksa menanggung kerugian kerana membayar hutang bank dan sewa rumah.

Pembeli merayu kepada Perdana Menteri, Dato' Seri Abdullah Ahmad Badawi yang juga Ketua Bahagian mereka untuk membantu menangani masalah berkaitan dan berharap dapat menduduki rumah tersebut sebelum Hari Raya Aidil Fitri ini.

Projek yang bermula Mei 2002 itu dijanjikan siap sepenuhnya pada Disember 2004 lepas.

Friday, September 28, 2007

Isu Rakaman Video,BPR Panggil Naib Presiden KeADILan, Sivarasa Rasiah Bantu Siasatan...

Naib Presiden KeADILan, Sivarasa Rasiah hadir ke ibu pejabat Badan Pencegah Rasuah (BPR) di Putrajaya semalam, untuk membantu siasatan berhubung kes skandal video VK Lingam.

Beliau telah dihubungi oleh pegawai daripada BPR melalui telefon pada jam 2.30 petang semalam berhubung perkara itu.

Ini adalah berikutan laporan aduan berkenaan video rakaman perbualan peguam Lingam yang dibuat oleh Sivarasa pada Khamis lalu di pejabat BPR Wilayah Persekutuan.

Beliau yang hadir pada jam 11.30 pagi mula disoal siasat oleh Penguasa Kanan BPR, T Thilagawathy selama lebih dua jam.

“Soalan yang ditanya berkisar siapa dan bagaimana sumber video itu diperolehi. Saya cuma jawab yang saya tidak boleh mendedahkan maklumat pemberi sumber video itu di atas faktor-faktor keselamatan,” kata beliau kepada wartawan selepas tamat soal siasat pada jam 2.00 petang.

Katanya, beliau ada menceritakan secara ringkas kepada Thilagawathy bagaimana proses sumber video itu diperolehi.

“Tetapi nama siapa yang memberikannya tidak didedahkan. Beliau akan tampil jika sudah bersedia,” katanya.

Sivarasa memberitahu bahawa beliau berjumpa dengan pemberi sumber video dan menontonnya seminggu sebelum pendedahan dibuat kepada media.

Pendedahan video itu dibuat pada 19 September lepas oleh Ketua Umum KeADILan, Anwar Ibrahim di pejabatnya.

“Kemudian beberapa hari kemudian pemberi sumber tersebut berjumpa dengan Anwar dan Anwar menontonnya,” jelasnya.

Menurutnya, beliau berjumpa sekali lagi dengan pemberi sumber pada 18 September lepas.

Dalam pertemuan tersebut, pemberi sumber bersetuju untuk mendedahkan klip video selama 8 minit itu.

Menurutnya, beliau turut memberikan salinan transkrip untuk video tersebut bersama-sama beberapa komen kepada penguasa kanan tersebut bagi memudahkan pemahamannya.

“Tanpa komen, seseorang yang bukan peguam agak susah untuk memahami isi kandungan perbualan tersebut,” jelasnya.

Sivarasa memberitahu bahawa beliau cam orang yang dipaparkan dalam video tersebut adalah Lingam ketika ditanya oleh penguasa kanan tersebut tentang bagaimana mengetahui itu adalah Lingam.

Manakala ketika disoal tentang orang yang berbual dengan Lingam adalah Ketua Hakim Negara, Ahmad Fairuz Sheikh Halim, jawabnya, melalui kandungan perbualan tersebut memang jelas itu adalah Ahmad Fairuz.

“Dalam perbualan tersebut, Lingam turut menyebut yang beliau sedang bercakap dengan Ahmad Fairuz,” ujarnya.

“Saya ada mencadangkan kepada penguasa kanan itu supaya melalui pegawai-pegawai teknikal untuk menyiasat panggilan telefon tersebut,” katanya.

Beliau berkata bahawa sepatutnya BPR perlu memulakan siasatan terhadap Lingam dan Ahmad Fairuz berhubung perkara itu.

Sivarasa turut diiringi oleh peguamnya, N. Surendran dalam membantu pihak BPR menyiasat video perbualan Lingam melalui telefon, dipercayai dengan Ahmad Fairuz pada tahun 2002.

Ahmad Fairuz ketika itu memegang jawatan Hakim Besar Malaya. (petikan drp www.suarakeadilan.com)

Thursday, September 27, 2007

600 Peladang Dapat Untung

SIK - Sambutan hari raya yang akan datang akan menjadi lebih meriah dan bermakna kepada 600 orang peladang ahli Koperasi Pembangunan Beris Berhad apabila mereka menerima pembahagian keuntungan daripada hasil ladang berjumlah RM 4,600 setiap seorang pagi tadi.

Habuan yang diibaratkan mereka seperti menerima ‘duit raya’ tersebut telah diberikan dalam satu Majlis Penyampaian Keuntungan Hasil Ladang Koperasi Pembangunan Beris Berhad sempena Aidil Fitri yang diadakan di Dewan Sekolah Kebangsaan Bandar Baru Beris Jaya, Sik dan telah disempurnakan oleh Menteri Besar Kedah, Dato’ Seri Mahdzir Khalid.

Ketika berucap dalam majlis tersebut, Dato’ Seri Mahdzir Khalid menyarankan kepada semua ahli-ahli koperasi agar mengamalkan hidup secara aman, makmur dan harmoni antara mereka dengan memberi keutamaan kepada pembangunan negeri tanpa mengira kaum, agama atau pun parti politik.

Mengulas mengenai memorandum yang diserahkan penduduk di Penempatan Semula Bandar Baru Beris Jaya berkenaan dengan hak milik rumah mereka, Dato’ Seri Mahdzir Khalid menjelaskan bahawa hak milik tersebut akan diberikan kepada penduduk pada awal tahun depan disebabkan kerja-kerja ukur sedang dijalankan oleh Jabatan Tanah dan Galian pada masa ini.

Dalam ucapan yang sama, Dato’ Seri Mahdzir Khalid mengumumkan tawaran menduduki rumah di Penempatan Semula Bandar Baru Beris Jaya akan diberikan kepada 24 orang pemohon yang layak mengikut kekosongan yang terdapat di situ termasuk sebuah rumah yang akan dihadiahkan kepada Pengerusi Koperasi Pembangunan Beris Berhad, Encik Shuib bin Hj Ismail di atas komitmen beliau dalam menguruskan koperasi tersebut sehingga menjadi antara koperasi yang paling berjaya di Negeri Kedah.


Di akhir ucapannya, beliau turut mengumumkan pembahagian keuntungan daripada hasil ladang kepada semua ahli koperasi berjumlah RM 4,600 setiap seorang dengan pemberian sebanyak RM 4,000 pada pagi tadi sebagai persiapan untuk menyambut hari raya manakala baki selebihnya akan diberikan di dalam Mesyuarat Agung Koperasi Pembangunan Beris Berhad yang akan diadakan pada 15hb Disember ini.

Sebagai rekod, pembahagian keuntungan kepada ahli koperasi mencatatkan peningkatan yang begitu ketara berbanding tahun-tahun sebelumnya dengan pembahagian keuntungan pada tahun 2003 adalah sebanyak RM 700 seorang, tahun 2004 sebanyak RM 900 seorang, tahun 2005 sebanyak RM 1,450, tahun 2006 sebanyak RM 2,800 seorang manakala tahun ini sebanyak RM 4,600 bagi setiap seorang.

Jumlah keseluruhan keuntungan yang diperolehi Koperasi Pembangunan Beris Berhad pada tahun 2006/2007 adalah sebanyak RM 3.2 juta.

Dalam majlis tersebut juga, Dato’ Seri Mahdzir Khalid turut mengumumkan peruntukan daripada kerajaan negeri sebanyak RM 250 ribu kepada koperasi tersebut telahpun diluluskan bagi membantu setiap ahli koperasi menjalankan aktiviti membela ikan talapia di dalam sangkar dan ikan keli di dalam kanvas di rumah masing-masing.

Wednesday, September 26, 2007

Presiden Majlis Peguam Serah Memorandum Desak Tubuh Suruhanjaya Diraja Siasat Klip Video

Kira- kira 1,500 peguam mengambil bahagian dalam perarakan "walk of justice" secara aman ke Jabatan Perdana Menteri bagi menyerahkan memorandum menggesa ditubuhkan Suruhanjaya Diraja bagi menyiasat klip video mengenai seorang peguam terkenal dikatakan mengatur pelantikan hakim di negara ini.Memorandum itu diserahkan oleh presiden Majlis Peguam Ambiga Sreenevasan kepada setiausaha politik Perdana Menteri Datuk Wan Farid Wan Salleh.

Majlis itu juga menyerahkan satu lagi memorandum kepada Wan Farid yang menggesa agar sebuah suruhanjaya kehakiman bebas ditubuhkan bagi melantik para hakim.

Ambiga, naib presiden Majlis Peguam Ragunath Kesavan dan setiausaha majlis itu Lim Chee Wee serta peguam terkenal Malik Imtiaz Sawar, Tommy Thomas, N. Sivanathan dan R. Sivarasa adalah antara anggota majlis itu yang menyertai perarakan sejauh 3.5km itu.

Perarakan selama 45 minit dari Palace of Justice di sini yang bermula pada lebih kurang tengah hari, adalah yang ketiga diadakan oleh majlis itu. Perarakan pertama diadakan oleh majlis itu pada 1978 berkaitan Akta Pertubuhan manakala perarakan kedua diadakan pada 1998 bagi memberi sokongan kepada peguam Zainur Zakaria yang menghadapi tuduhan menghina mahkamah.

Ambiga berkata Wan Farid memberi jaminan kepada anggota jawatankuasa eksekutif Majlis itu bahawa Perdana Menteri akan meneliti memorandum berkenaan dan beliau (Farid) akan mengatur satu pertemuan antara mereka dan Perdana Menteri, yang kini berada di luar negara.

"Lagipun, Perdana Menteri akan merasmikan Persidangan Undang-undang kami bulan depan. Kami pasti akan berjumpa beliau dan berharap dapat menemui beliau sebelum itu bagi membincangkan memorandum berkenaan secara terperinci," katanya.

Ambiga berkata walaupun Majlis Peguam menyambut baik penubuhan panel bebas bagi menyiasat kesahihan klip video berkenaan, majlis itu berpendapat bahawa penubuhan Suruhanjaya Diraja merupakan pilihan lebih baik kerana ia mempunyai lebih banyak kuasa untuk mendapatkan bukti.

Mengenai perarakan secara aman hari ini, Ambiga berkata: "Kami berarak kerana kami mahukan perubahan dalam bidang kehakiman. Kami berarak kerana kami percaya kami akan mempunyai badan kehakiman dunia pertama.

"Peguam tidak berarak setiap hari, mereka tidak berarak setiap bulan, mereka juga tidak berarak setiap tahun. Apabila peguam berarak, tentu ada perkara yang tidak kena."

Mereka mengadakan perarakan itu dalam hujan lebat dengan diperhatikan anggota polis dari Unit Simpanan Persekutuan.

Panel bebas yang ditubuhkan itu akan diketuai bekas Hakim Besar Malaya Tan Sri Haidar Mohd Noor, dengan bekas hakim Mahkamah Rayuan Datuk Mahadev Shankar dan aktivis sosial Tan Sri Lee Lam Thye sebagai anggotanya.

Mereka akan menerima surat pelantikan masing-masing daripada Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak esok.Sumber BERNAMA

Empat Kanak-Kanak Ditemui Mati Lemas Dalam Tali Air

Kepala Batas - Hasrat ingin bermandi-manda di sebuah rumah pam bertukar menjadi tragedi kepada empat sahabat apabila mereka ditemui mati lemas tengahari tadi.

Mangsa terbabit ialah Badrul Hanif Ahmad dan Zulkefli Mohamad masing-masing berumur 6 tahun manakala Mohd Zaidi Saidin dan Mohd Aidil Hakimi Shahrudin masing-masing berusia 5 tahun.

Mereka dikatakan memberitahu keluarga masing-masing ingin keluar melastik burung selepas pulang daripada tadika tetapi ditemui mati lemas di sebuah tali air berhampiran Rumah Pam Sungai Kereh, Lahar Tambun, Tasek Gelugor kira-kira jam 1.15 tengahari tadi.

Ketua Polis Daerah Seberang Perai Utara ACP Wan Abdullah Tengku Said berkata tiga daripada mangsa adalah murid Tadika Kemas Lahar Tambun kecuali Mohd Noraidil Hakimi yang belajar di Tadika Cina Lin Ching.

Kesemua mangsa telah dihantar ke Hospital Kepala Batas sebelum di bawa pulang ke kediaman masing-masing dan akan dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Lahar Tambun malam ini.

Tuesday, September 25, 2007

Isu Rakaman Video,Sivarasa Rasiah Terus Cetus Persoalan

Kenyataan demi kenyataan dikeluarkan oleh Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Dato' Seri Mohammed Nazri Aziz berhubung kononnya Ketua Hakim Negara, Tun Ahmad Fairuz menafikan pembabitannya dalam perbualan bersama peguam dalam isu klip video yang didedah Dato' Seri Anwar Ibrahim.

Setelah mewakili Ahmad Fairuz dalam menafikan perkara itu hari ini Nazri pula menjelaskan mengapa beliau memberi kenyataan dan katanya beliau berhak memberi kenyataan berikutan portfolionya sebagai menteri yang bertanggungjawab dalam hal perundangan.

"Mengapakah Dato' Seri Nazri Aziz begitu beria-ria bercakap bagi pihak Ketua Hakim Negara tentang skandal video ini?" soal Naib Presiden KeADILan, Sivarasa Rasiah dalam satu komennya terhadap isu itu hari ini.

Pertamanya, agak pelik dan luar biasa bagi seorang Ketua Hakim Negara untuk meminta seorang Menteri mempertahankan integritinya, kata Sivarasa.

"Bilakah permintaan ini dibuat? Nazri Aziz tidak pula menjawab soalan ini," katanya.

Keduanya kata beliau, isi responsnya itu tidak kurang peliknya, dan sebenarnya sukar untuk dipercayai.

"Ini adalah kerana satu-satunya respons yang telah diberikan kepada rakyat oleh Ketua Hakim Negara sendiri, tanpa bantuan sebarang Menteri, hanyalah sekadar kenyataan 'Tiada komen' dalam tulisan semata-mata, iaitu dua hari selepas pendedahan dibuat," katanya.

Baginya, adalah satu perkara yang tidak elok untuk seorang yang menjawat jawatan di peringkat eksekutif, apatah lagi seorang Menteri di Jabatan Perdana Menteri bercakap bagi pihak pegawai tertinggi iaitu badan kehakiman, katanya.

Tindakan ini secara langsung mencabar kewibawaan prinsip pengasingan kuasa yang menjadi salah satu tunjang demokrasi negara ini, katanya.

Respons luar biasa yang diberikan Nazri membawa satu persoalan sama ada Tun Ahmad Fairuz tidak mampu mempertahankan integritinya sendiri, katanya.

"Nazri juga sedang cuba mempersoalkan kebenaran video tersebut. Akan tetapi, persoalan ini sudah tentu dapat dijawab dengan senangnya jika disiasat oleh pasukan forensik yang berkebolehan," katanya.

Soalan yang perlu dijawab sekarang ialah adakah Ketua Hakim Negara bercakap dengan VK Lingam pada tahun 2002, (berdasarkan isi perbualan itu, bahagian yang menyebut melantik Tan Sri Mokhtar Abdullah sebagai Hakim Tinggi Malaya menunjukkan bahawa perbualan ini berlaku sebelum Tan Sri Mokhtar Abdullah terjatuh dan mengalami koma pada bulan Ogos 2002), katanya.

Menurut Sivarasa, soalan ini bukanlah terlalu sukar untuk dijawab dan setelah pasukan penyiasat mendapat semua nombor telefon mereka pada masa itu, rekod telefon mereka untuk tahun tersebut boleh diteliti untuk memastikan sama ada mereka pernah berbual bersama, katanya.

"Mungkin Menteri kita ini bolehlah memberikan cadangan ini kepada pihak penyiasat. Jika kita ingin menyelamatkan integriti bidang kehakiman kita, salah satu daripada tiga tiang utama sistem pemerintahan kita, maka persoalan-persoalan ini seharusnya dijawab serta-merta," katanya. - mns (Harakah Daily)


Bayi Kembar Siam Dilahirkan Tak Cukup Bulan

ALOR STAR: Sepasang kembar Siam yang belum diketahui jantinanya dilahirkan di Hospital Sultanah Bahiyah (HSB) di sini, Sabtu lalu.

Kembar Siam itu dilahirkan jam 10.33 pagi menerusi pembedahan selama kira-kira sejam 25 minit diketuai seorang pakar perbidanan dengan dibantu dua pegawai perubatan

Bayi seberat 4.2 kilogram itu yang bersambung di bahagian abdomen dan tidak mempunyai punggung tetapi masing-masing mempunyai sepasang kaki dan tangan. Pasangan itu kini dirawat di Unit Rawatan Rapi Neonatal (NICU) HSB. (Berita Harian)

Panel Bebas Siasat Rakaman Video...

Sebuah panel bebas khas akan ditubuhkan bagi menyiasat kesahihan rakaman video mengenai perbualan telefon kononnya antara seorang peguam dan seorang hakim kanan mengenai urusan pelantikan hakim, kata Datuk Seri Najib Tun Razak.

Timbalan Perdana Menteri berkata panel tiga orang itu diketuai oleh bekas Hakim Besar Malaya Tan Sri Haidar Mohd Noor dan dianggotai aktivis sosial Tan Sri Lee Lam Thye dan bekas Hakim Mahkamah Rayuan Datuk Mahadev Shankar.
"Keputusan ini diambil memandangkan dakwaan dan spekulasi yang dibuat berhubung rakaman tersebut boleh menimbulkan keraguan terhadap kredibiliti dan integriti sistem kehakiman negara," katanya pada sidang akhbar di pejabatnya di sini.

Najib berkata panel itu akan memulakan tugas dalam masa terdekat dan akan menyediakan laporan terperinci secepat mungkin kepada kerajaan.

"Hasil laporan panel itu yang dijangka diketahui dalam beberapa minggu lagi akan diumumkan kepada orang ramai," katanya.

Video lapan minit itu yang dirakamkan empat tahun lalu disiarkan dalam Internet setelah sebuah parti pembangkang mendedahkan mengenai dakwaan itu.

Najib berkata panel itu akan menjalankan siasatan penuh terhadap kesahihan rakaman video itu termasuk kemungkinan menyoal mereka yang dikaitkan.

Kepada satu soalan, beliau berkata kerajaan tidak bercadang menubuhkan satu suruhanjaya diraja bagi menyiasat perkara itu.(Bernama)

Monday, September 24, 2007

Lagi Isu Klip Video VK Lingam

KeADILan tegas mempersoalkan mengapa Datuk Seri Nazri Aziz perlu bercakap bagi pihak Ketua Hakim Negara Malaysia tentang skandal video yang sedang melandanya.

Respons ini hanya membangkitkan lebih banyak persoalan, termasuklah mengapa Ketua Hakim Negara tidak boleh mempertahankan integritinya sendiri.

Begitulah mesej yang disampaikan Sivarasa Rasiah, Naib Presiden Parti Keadilan Rakyat, dalam kenyataan medianya kepada SuaraKeadilan.com hari ini.

Sivarasa menyebut tiga persoalan yang dibangkitkan respons Nazri itu.

Pertamanya, agak pelik dan luar biasa bagi seorang Ketua Hakim Negara untuk meminta seorang Menteri mempertahankan integritinya bagi pihak beliau.

Sivarasa juga mempersoalkan bila permintaan ini dibuat, yang tidak pula disebutkan Nazri.

Keduanya, Sivarasa berpendapat bahawa isi respons itu sendiri adalah pelik, dan sukar untuk dipercayai.

“Ini adalah kerana satu-satunya respons yang telah diberikan kepada rakyat oleh Ketua Hakim Negara sendiri, tanpa bantuan sebarang Menteri, hanyalah sekadar kenyataan ‘Tiada komen’ dalam tulisan semata-mata, iaitu dua hari selepas pendedahan dibuat,” katanya lagi.

Sivarasa juga menegaskan bahawa amatlah tidak elok untuk seorang ahli bidang Eksekutif - apatah lagi seorang Menteri di Jabatan Perdana Menteri – bercakap bagi pihak pegawai tertinggi bidang Kehakiman kita.

Pada hematnya, tindakan ini langsung mencabar kewibawaan prinsip pengasingan kuasa yang menjadi salah satu tunjang demokrasi kita.

“Respons luar biasa yang diberikan Menteri Nazri membawa dengannya satu soalan - adakah Tun Ahmad Fairuz tidak mampu mempertahankan integritinya sendiri?”

Bercakap mengenai cubaan Nazri mempersoalkan kebenaran video itu, Sivarasa menjawab bahawa persoalan ini sudah tentu dapat diselesaikan dengan senangnya jika siasatan penuh dilakukan oleh pasukan forensik yang berkebolehan.

Menurutnya lagi, soalan yang perlu dijawab sekarang ialah adakah Ketua Hakim Negara bercakap dengan VK Lingam pada tahun 2002, sebelum bulan Ogos tahun itu? Sivarasa menjelaskan bahawa bahagian perbualan tersebut yang menyebut melantik Tan Sri Mokhtar Abdullah sebagai Hakim Tinggi Malaya menunjukkan bahawa perbualan itu berlaku sebelum Tan Sri Mokhtar Abdullah terjatuh dan mengalami koma pada bulan Ogos 2002.

Katanya lagi, persoalan ini bukanlah sukar untuk dijawab, sedangkan rekod telefon mereka bagi tahun itu boleh diteliti oleh pasukan penyiasat.

“Jika kita ingin menyelamatkan integriti bidang kehakiman kita, salah satu daripada tiga tiang utama sistem pemerintahan kita, maka persoalan-persoalan ini seharusnya dijawab serta-merta,” tegas Sivarasa.

Menjawab pertanyaan Nazri tentang mengapa KeADILan telah pergi kepada media, bukannya polis dan BPR semata-mata, Sivarasa menjelaskan bahawa kandungan video tersebut bukan sahaja amatlah penting dari segi kepentingan awam, malah juga merupakan bukti kukuh yang langsung membenarkan dakwaan penyelewengan dalam perlantikan hakim-hakim, yang sememangnya sudah bertahun-tahun disebut merata.

Sivarasa juga pasti bahawa Nazri sedar bahawa kepercayaan rakyat terhadap polis dan BPR kini teramatlah rendah, lantas penelitian penuh rakyat jelata adalah perlu untuk memastikan pihak yang berkenaan bertindak dengan berkesan. Sehubungan itu, perkara ini juga akan dibawa Keadilan kepada Majlis Raja-Raja dan PM sendiri.

Menurut Sivarasa lagi, sekurang-kurangnya dua akhbar arus perdana, NST dan The Sun, yang telah memaparkan respons Nazri di muka hadapan mereka, bersikap kurang bertanggungjawab.

Mereka bukan sahaja gagal memberitahu pembaca tentang respons tertulis Ketua Hakim Negara yang lebih awal itu, malah juga memberikan gambaran yang agak palsu dengan tajuk yang mereka pilih, iaitu gambaran bahawa Ketua Hakim Negara sendirilah yang sedang memberikan respons, bukannya Nazri.( dipetik daripada http://www.suarakeadilan.com)


Sivarasa dipetik sebagai mengulas berikutan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (JPM), Datuk Seri Mohamed Nazri Abdul Aziz berkata, hakim berkenaan telah menghubungi beliau bagi membuat penafian itu. Menurutnya Hakim kanan, yang didakwa berbual dengan seorang peguam terkemuka mengenai pelantikan hakim-hakim pada 2002, telah menafikan bahawa beliau adalah orang yang dihubungi peguam terbabit dalam klip video yang disiarkan media internet, Malaysiakini, pada Selasa lepas.


Pasangan Daif Kampung Berjaya Terima Bantuan JKM

Jeniang - Susulan pendedahan mengenai satu keluarga yang hidup dalam kedaifan di Kampung Berjaya, Jeniang, Kedah pada 14hb September lalu, Harian Utara telah menghubungi Jabatan Kebajikan Masyarakan (JKM) Daerah Kuala Muda bagi mendapatkan reaksi daripada mereka.

Pegawai Kebajikan Masyarakat Daerah Kuala Muda, Mohamad bin Hj Md Nor yang ditemui menjelaskan bantuan sebanyak RM 100 sebulan kepada pasangan tersebut telah diluluskan pada 23hb September lalu.

"Mengikut rekod JKM Kuala Muda, pasangan Md Daya Tahir 52 tahun dan isterinya, Molia Shuib 30 tahun telah membuat permohonan bagi mendapatkan bantuan melalui pejabat JKM Daerah Sik dan telah pun dipanjangkan kepada pejabat JKM Kuala Muda pada 11hb September lalu",Jelasnya.

Lanjutan daripada itu pegawai-pegawai daripada JKM Kuala Muda membuat lawatan mengejut bagi melihat sendiri kedaifan pasangan terbabit.Dalam lawatan tersebut juga, pihak JKM Kuala Muda turut menyerahkan sumbangan berupa barang-barang keperluan harian bagi meringankan beban pasangan terbabit untuk membuat persediaan menyambut ketibaan hari raya tidak lama lagi.

Sunday, September 23, 2007

Hakim Nafi Berbual Dalam Rakaman Klip Video

KUALA KANGSAR 23 Sept. - Hakim kanan, yang didakwa berbual dengan seorang peguam terkemuka mengenai pelantikan hakim-hakim pada 2002, telah menafikan bahawa beliau adalah orang yang dihubungi peguam terbabit dalam klip video yang disiarkan media internet, Malaysiakini, pada Selasa lepas.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (JPM), Datuk Seri Mohamed Nazri Abdul Aziz berkata, hakim berkenaan telah menghubungi beliau bagi membuat penafian itu.

“Hakim itu telah menghubungi saya dan beliau menafikan dia yang berbual dalam rakaman itu,” katanya kepada pemberita selepas majlis penyerahan zakat Amanah Raya Berhad dan majlis berbuka puasa di Masjid Taman Kuala Kangsar di sini malam tadi.

Bagaimanapun Mohamed Nazri tidak menyatakan bila hakim itu menghubungi beliau.

Mohamed Nazri yang memegang potfolio undang-undang berkata, perkara utama berhubung isu itu pada peringkat ini ialah siasatan bagi membuktikan kesahihan klip video berkenaan.

“(berdasarkan klip video) kita hanya lihat seorang sahaja yang bercakap... siapa di sebelah sana kita tidak tahu dan dia (hakim yang didakwa berbual dengan peguam itu) telah menafikan,” katanya.

Siasatan sedang dijalankan bagi membuktikan kesahihan rakaman itu terlebih dahulu sebelum sebarang tindakan boleh diambil, katanya.

Mohamed Nazri sementara itu turut mempertikai niat pihak yang membuat pendedahan rakaman video berkenaan kerana mendedahkannya kepada media terlebih dahulu sebelum menyerahkan kepada polis dan Badan Pencegah Rasuah (BPR) untuk menyiasat.

“Kalau hendak tegak keadilan atau mahu membersihkan badan kehakiman, siasatan boleh dibuat oleh BPR dan polis.

“Kenapa kepada media?... boleh dipertikai niatnya, kerana politik atau mahu badan kehakiman bersih,” katanya.

Beliau juga memberi amaran bahawa tindakan undang-undang boleh diambil terhadap pihak yang mengambil tindakan yang boleh menghakiskan keyakinan masyarakat terhadap badan kehakiman.

Rakaman video lapan minit itu kononnya melibatkan peguam berkenaan membincangkan kemungkinan hakim itu dilantik sebagai Presiden Mahkamah Rayuan dan kemudian sebagai Ketua Hakim Negara dan pelantikan beberapa hakim lain.

Perdana Menteri, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi kelmarin berkata, kerajaan memandang serius isu klip video itu kerana ia boleh menjejaskan nama baik sistem kehakiman negara dan polis akan menyiasat bagi memastikan kesahihannya sebelum tindakan diambil. - Bernama

Saturday, September 22, 2007

Empat Puluh Buah Pondok Pengajian Islam Musnah Dijilat Api,Seratus Penghuni Hilang Tempat Tinggal....

Sik - Hampir seratus pelajar Pusat Pengajian Islam Pondok Bandar Hilir, Sik, Kedah kehilangan tempat tinggal apabila pondok yang dijadikan tempat mereka tinggal semasa belajar musnah dijilat api dalam satu kebakaran awal pagi tadi.

Kejadian yang berlaku pada pukul 3.40 pagi itu memusnahkan sama sekali 40 buah pondok kediaman pelajar lelaki daripada keseluruhan 80 buah pondok yang terdapat di Pusat Pengajian tersebut.

Ketika kejadian, hanya 30 orang pelajar yang berada di Pondok tersebut manakala baki selebihnya daripada jumlah keseluruhan 160 orang pelajar telah pulang bercuti di kampung masing-masing bersempena dengan bulan ramadhan.

Walau bagaimanapun, tiada sebarang kemalangan jiwa atau kecederaan yang dilaporkan ekoran daripada kejadian tersebut.

Ketua Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Zon Sungai Petani, Chok Kuan Lok ketika ditemui di tempat kejadian berkata 22 anggota serta pegawai bersama dengan 3 jentera daripada Sik, Baling dan Guar Chempedak dihantar ke tempat kejadian dan tiba di situ pada pukul 3.59 pagi.

Pihak bomba mengambil masa selama 50 minit bagi mengawal api daripada merebak ke kawasan lain dan keadaan dapat dikawal sepenuhnya pada pukul 6.30 pagi.

Punca kejadian dan anggaran kerugian akibat daripada kebakaran tersebut masih lagi dalam siasatan pihak bomba.

Dalam pada itu, Setiausaha Pondok terbabit, Ustaz Ismail bin Hj Mahmud berkata pelajar-pelajar yang terlibat dalam kebakaran tersebut akan ditempatkan buat sementara waktu di bangunan sekolah yang terdapat di situ sebelum tempat tinggal baru dibina untuk mereka.

Orang ramai yang ingin menghulurkan bantuan boleh menghubungi Ustaz Ismail bin Hj Mahmud di talian 013-4884814 atau menyalurkan terus bantuan ke dalam akaun Bank Islam Pusat Pengajian Islam Pondok Bandar Hilir terbabit (Nombor Akaun: 02048010028139).

Friday, September 21, 2007

Isu Pendedahan Video VK Lingam

Datuk Seri Anwar Ibrahim sepertimana yang disiarkan di dalam anwaribrahim.com dipetik sebagai berkata, rakaman video tersebut melibatkan pejabat kehakiman tertinggi dalam konspirasi untuk mempengaruhi perjalanan sistem keadilan negara. Ia melibatkan campurtangan seorang peguam yang penuh dengan kontroversi dari sejarah penglibatannya dalam perkara yang menimbulkan syak wasangka dan seterusnya membawa kepada skandal yang melibatkan perlantikan hakim-hakim negara.

Pada tahun 1994, satu gambar menunjukkan VK Lingam dan Ketua Hakim Negara ketika itu Tun Eusoffe Chin cuti bersama di New Zealand dalam situasi yang melampaui tatasusila professional dan pengendalian yang tidak beretika Ketua Hakim tersebut. Lingam juga terlibat dalam laporan audit skandal Perwaja Steel oleh PriceWaterhouseCoopers yang dibentangkan di Parlimen yang melibatkan kerugian berbillion ringgit wang rakyat.

Dalam video ini, Lingam dirakam berbicara dengan Ketua Hakim Negara, Tun Ahmad Fairuz Abdul Halim di mana nama saya, antara lain, disebut secara khusus.

Perbicaraan tersebut adalah dalam konteks konspirasi untuk mempengaruhi lantikan hakim kanan dan campurtangan badan kehakiman. Oleh itu, kami mempunyai sebab kukuh dan percaya bahawa perbualan pada tahun 2002 ini menentukan hasil beberapa perbicaraan mahkamah penting, termasuk kes saya.

Video ini juga melibatkan Vincent Tan dan Tengku Adnan Tengku Mansor. Vincent Tan adalah seorang ahli perniagaan dan jutawan judi yang dikatakan terlibat mempengaruhi proses kehakimam dalam kes Ayer Molek. Tengku Adnan pula adalah pemimpin UMNO dan ahli kabinet yang terlibat dalam konspirasi politik untuk menjatuhkan saya pada tahun 1998.

Skandal video ini mengukuhkan dakwaan kami mengenai konspirasi politik yang melibatkan pemimpin tertinggi negara dan korupsi oleh ketua badan kehakiman. Ini membangkitkan isu mengenai hilangnya kesaksamaan perbicaraan mahkamah di negara ini. Perkara ini perlu disiasat segera demi kepentingan awam dan kami menggesa supaya satu Tribunal Bebas dibentuk segera untuk menyiasat hal yang amat memalukan ini.

Dalam hal ini, kami membuat rayuan khas kepada majlis raja-raja untuk memainkan peranan seperti yang termaktub dalam perlembagaan untuk membela hak rakyat dengan menggunakan pengaruh dalam hal-hal yang berada dalam bidang kuasa mereka.(Petikan daripada http://www.anwaribrahimblog.com/)

Dalam pada itu, kerajaan memandang serius pendedahan yang dibuat oleh penasihat Parti Keadilan Rakyat Datuk Seri Anwar Ibrahim berkaitan wujudnya klip video yang menunjukkan seorang peguam veteran didakwa sedang mengatur pencalonan bagi jawatan tertinggi dalam badan kehakiman.

Perdana Menteri Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi yang telah menyaksikan keseluruhan klip video lapan minit itu serta membaca transkripnya telah mengarahkan agar siasatan rapi segera dijalankan bagi memastikan ketulenan klip video tersebut serta kesahihan dakwaan berkaitan.Katanya,Klip video tersebut telah menjejaskan kredibiliti sistem kehakiman negara.

Datuk Seri Abdullah bagaimanapun memberi amaran bahawa jika siasatan menunjukkan tidak ada sebarang bukti yang boleh mengesahkan dakwaan, tindakan akan diambil terhadap pihak yang mendedahkan perkara itu.




Penghuni Flat Paya Nahu Dakwa Pemaju Abai Tanggungjawab...

Sungai Petani - Ketika masalah banjir di Kedah telah pun pulih, lain pula kisahnya dengan berpuluh-puluh buah keluarga di Flat Paya Nahu Fasa 2, Sungai Petani yang masih lagi terpaksa tinggal di dalam rumah yang dipenuhi air.

Keadaan ini disebabkan oleh masalah tangki yang membekalkan air kepada penduduk-penduduk di situ yang tidak diselenggara dengan baik oleh pemaju flet tersebut mengakibatkan air seringkali melimpah masuk ke dalam rumah mereka.

Keadaan tersebut telah berlarutan sejak 2 tahun lalu dan hampir semua rumah yang terletak di aras 4 flet yang mempunyai 22 blok itu terpaksa berhadapan dengan masalah terbabit pada setiap hari.

Masalah yang dilihat agak serius ialah di Blok A1, A5, A8, A11 dan A14 di flet kos rendah tersebut.

Tinjauan wartawan Harian Utara di Blok A11 flet tersebut mendapati air tangki yang melimpah masih lagi mencurah-curah masuk ke dalam rumah penduduk di aras 4 blok tersebut.

Menurut penduduk, setelah berulang-ulang kali aduan dibuat kepada pemaju, pihak pemaju telah membaikinya namun masalah yang sama tetap berulang semula beberapa hari kemudian.

Menurut mereka lagi, selain daripada terpaksa menanggung kerugian apabila banyak barang-barang elektrik dan perabot rosak, mereka juga turut mempersoalkan tentang aspek keselamatan terutamanya kepada anak-anak mereka yang masih kecil.

Beberapa buah rumah di situ juga telah ditinggalkan kosong oleh penghuninya disebabkan tidak tahan lagi dengan masalah tersebut.

Tinjauan seterusnya di bahagian atas blok yang menempatkan tangki air tersebut mendapati bukan sahaja ianya tidak ditutup, malah keadaannya agak memualkan dengan air yang berbau serta terdapat beberapa ekor bangkai kelawar di dalam tangki air yang merupakan satu-satunya sumber yang ada bagi penduduk di situ mendapatkan bekalan air untuk minum, memasak dan sebagainya lagi.

Selain daripada tangki air, tinjauan juga mendapati tangki najis yang disediakan pemaju juga tidak diselenggara dengan baik dengan sisa-sisa najis melimpah keluar dan membanjiri kawasan sekitarnya.

Thursday, September 20, 2007

Perlis Lulus Undang-Undang Nikah Tanpa Wali.....

Kangar-Pengerusi Jawatankuasa Agama Islam Perlis Datuk Abu Bakar Ismail berkata Keputusan kerajaan negeri Perlis membenarkan pernikahan wanita Islam yang tidak mendapat restu wali mereka tidak seharusnya dipandang negatif oleh masyarakat.

Pada 11 Sept lepas, Dewan Undangan Negeri Perlis meluluskan Enakmen Pentadbiran Udang-undang Keluarga Islam (pindaan) 2007 yang memberi peluang kepada kaum wanita Islam yang tidak mendapat persetujuan wali meneruskan hasrat mereka untuk berkahwin.Mengikut enakmen itu Hakim Syariah diberi kuasa untuk membenarkan perkahwinan wanita tanpa restu wali setelah penyiasatan kesnya tertangguh sebanyak dua kali.Beliau berharap keputusan kerajaan negeri itu tidak dipanjangkan oleh mana-mana pihak yang kurang bersetuju dengan pelaksanaannya.

Beberapa pihak mempertikaikan keputusan itu termasuk Pengerusi Jawatankuasa Tetap Hal Ehwal Islam, Belia dan Mesra Rakyat Selangor Datuk Abdul Rahman Palil yang menyifatkan Perlis bertindak sendiri tanpa mengambil kira pandangan semua pihak.Abdul Rahman dilaporkan berkata walaupun keputusan itu di bawah bidang kuasa agama negeri Perlis tetapi ia seharusnya dirujuk kepada Majlis Fatwa Kebangsaan dan mendapat nasihat daripada mufti-mufti negeri lain bagi mengelak tercetusnya pertikaian dan perpecahan umat Islam.

Berhubung persoalan yang dipertikaikan oleh Abdul Rahman tersebut Abu Bakar sebaliknya berkata keputusan yang dilakukan di Perlis telah dirujuk kepada Majlis Fatwa Negeri Perlis dan ia tidak perlu dikemukakan kepada Majlis Fatwa Kebangsan.Katanya lagi pihak yang mengkritik enakmen itu juga perlu melihat matlamat dan hukum syariat supaya mereka tidak lagi memandang serong terhadap pelaksanaannya.

Dalam pada itu beberapa pihak berpendapat keputusan memberi peluang kepada kaum wanita Islam yang tidak mendapat persetujuan wali meneruskan hasrat mereka untuk berkahwin seolah-olah telah merampas hak istimewa seorang bapa (wali) yang benar-benar bertanggungjawab menjaga dan membesarkan anak-anak mereka dan seharusnya keputusan tersebut perlu ditetapkan syarat-syarat tertentu kepada kes-kes yang melibatkan kegagalan mengesan wali.

Terdapat beberapa kelemahan berkaitan beberapa kes lain sebelum ini yang melibatkan tuntutan fasah oleh isteri dari luar negeri perlis didapati telah menukar alamat dengan menggunakan alamat permastautin di negeri itu sedangkan mereka masih menetap di negeri lain untuk tujuan tersebut.Keadaan ini boleh menyebabkan kesukaran kepada si suami yang tinggal jauh di luar negeri perlis untuk ke mahkamah syariah di negeri itu dan akhirnya terpaksa menerima keputusan mahkamah tanpa pembelaan.

Dalam kes yang lain pula seorang suami yang tidak mahu dikenali memaklumkan kepada Harian utara yang dia terkejut bila menerima surat menuntut fasah dari isterinya yang menggunakan alamat negeri perlis sedangkan sehingga sekarang isterinya itu menetap di luar negeri perlis.Tambahnya lagi dalam beberapa kali tarikh perbicaraan tersebut berjalan, hanya sekali beliau mendapat surat pemberitahuan tarikh untuk ke mahkamah dan menyebabkan perbicaraan tersebut diputuskan tanpa kehadirannya.

Ada pihak berpendapat keputusan memberi peluang kepada kaum wanita Islam yang tidak mendapat persetujuan wali meneruskan hasrat mereka untuk berkahwin akan menimbulkan kesan yang buruk sekiranya tidak di tetapkan dengan syarat-syarat ketat dan siasatan terperinci perlu dilakukan bagi setiap permohonan pernikahan tanpa wali bagi memastikan setiap pernikahan tersebut tidak terdedah kepada penipuan sindikit pelacuran yang menggunakan taktik "bernikah" untuk memperdaya kaum wanita.

Kebenaran pernikahan tanpa wali juga perlu dilihat dari berbagai aspek dan implikasi yang bakal terjadi dari sudut lain supaya pernikahan itu sendiri tidak diselewengkan oleh mana-mana pihak yang cuba mengambil kesempatan dengan peluang yang disediakan oleh negeri perlis khususnya kaum wanita yang masih muda yang masih dalam penjagaan keluarga mereka, dan bapa wanita tersebut masih berhak menjadi wali dan mempunyai sebab tidak membenarkan pernikahan tersebut berlaku yang mungkin disebabkan pengetahuannya mengenai seseorang yang akan menjadi suami kepada anaknya.


Tuesday, September 18, 2007

76 Mangsa Banjir Masih Di Pusat Penempatan

Kepala batas - Paras Air Sungai Muda yang meningkat secara mendadak dan keadaan banjir yang semakin serius sejak 2 hari lalu di kawasan Penaga, Kepala Batas menyebabkan beberapa buah keluarga telah dipindahkan ke pusat penempatan banjir.

Di Pusat Penempatan Banjir Rantau Panjang, Kepala Batas, Pulau Pinang, seramai 44 orang daripada 12 keluarga telah dipindahkan setakat jam 2.45 petang semalam.

Jumlah tersebut semakin meningkat menjelang lewat malam dengan pertambahan seramai 32 orang lagi menjadikan jumlah keseluruhan mangsa yang ditempatkan di situ kepada 76 orang daripada 17 buah keluarga.

Menurut Pengerusi Pusat Penempatan Banjir Rantau Panjang, Abdullah bin Salleh, mangsa pertama yang dipindahkan ialah pada jam 2.00 pagi semalam yang melibatkan 15 orang daripada 4 buah keluarga di kampung tersebut.

Menurutnya lagi banjir kali ini yang berlaku secara mendadak menyebabkan pihaknya tidak sempat membuat persiapan awal dari segi mengenalpasti mangsa dan juga menyediakan bantuan keperluan asas kepala mangsa-mangsa banjir yang dipindahkan ke pusat penempatan banjir terbabit.

Walaubagaimanapun, dengan kerjasama daripada beberapa agensi kerajaan seperti Pejabat Daerah, Polis Di Raja Malaysia serta Jabatan Kebajikan Masyarakat, masalah tersebut dapat diatasi dan kebajikan mangsa-mangsa banjir yang ditempatkan di situ adalah dijamin sepenuhnya.

Tinjauan wartawan Harian Utara tengahari tadi mendapati jumlah mangsa banjir yang ditempatkan di Pusat Penempatan Banjir Rantau Panjang masih tidak berubah dan kekal dengan 76 orang walaupun paras air di Sungai Muda dilihat sedikit berkurangan daripada semalam.

Jumlah keseluruhan penduduk yang terlibat dengan banjir di situ melebihi daripada 100 orang namun ramai yang memilih untuk tidak berpindah dan masih tinggal di rumah-rumah mereka walaupun ditenggelami air.

Penduduk Di Arah Berjaga -Jaga

Tikam Batu - Beberapa kawasan di sekitar Tikam Batu dan Kota Kuala Muda yang terletak di sepanjang Sungai Muda masih lagi ditenggelami air ekoran daripada hujan lebat yang berterusan sejak minggu lalu. Kawasan yang terlibat ialah Kampung Bukit Lalang dan Kampung Pokok Kabu di Tikam Batu manakala di Kota Kuala Muda melibatkan Kampung Rantau Panjang dan Kampung Alor Jawi.

Menurut penduduk, walaupun cuaca hari ini agak baik dan tiada hujan namun paras air semakin meningkat berpunca daripada aliran keluar air yang banyak daripada kawasan-kawasan lain seperti Baling dan Kuala Ketil yang melalui Sungai Muda berhampiran kawasan kediaman mereka.

Menurut mereka lagi, Projek Tebatan Banjir Sungai Muda yang masih lagi dalam pembinaan menyebabkan air sungai yang melimpah keluar tidak dapat mengalir semula ke dalam sungai dan menenggelami kawasan rendah di sekitarnya.

Mereka yang kini diletakan di bawah status berjaga-jaga bersedia untuk dipindahkan ke pusat penempatan banjir sekiranya paras air semakin meningkat dan membahayakan keadaan.

Sunday, September 16, 2007

Beberapa Kawasan Di Seberang Perai Tengah Dan Selatan Dilanda Banjir

BUKIT MERTAJAM-Hujan lebat sejak dua hari lalu menyebabkan beberapa kawasan di dua daerah yang terletak di sepanjang Sungai Junjung/Jawi di landa banjir, memaksa beratus penduduk berpindah ke pusat pemindahan banjir yang dibuka di kawasan masing-masing malam tadi.

Antara kawasan yang terlibat ialah Kampung Manggis, Bukit Mertajam di Daerah Seberang Perai Tengah (SPT) dan Kampung Lapan serta Kampung Indera Timbalan di kawasan Kepala Gajah, Seberang Perai Selatan (SPS).

Ketua Umno Bahagian Bukit Mertajam, Datuk Musa Sheikh Fadzir berkata kira-kira 200 penduduk dari 50 keluarga di Kampung Manggis dipindahkan ke surau Taman Perwira sejak malam tadi.

Beliau yang ditemui ketika melawat mangsa banjir itu di sini hari ini berkata penduduk terpaksa dipindahkan apabila ban di Kampung Manggis pecah lewat petang semalam menyebabkan air sungai yang mengalir deras melimpah masuk ke kawasan kampung itu.

"Dalam masa yang singkat air di kawasan itu melepasi paras lutut dan saya jangka lebih ramai lagi akan dipindahkan berikutan hujan yang amat lebat di kawasan itu sekarang," katanya.

Musa seterusnya meminta kerajaan negeri segera bertindak menangani masalah banjir yang berpunca daripada ban di Kampung Manggis dan Kepala Gajah yang pecah akibat aliran air sungai yang deras ekoran hujan lebat di Pulau Pinang dan juga di Kulim, Kedah.

Katanya sejak 23 Julai lalu sehingga hari ini, penduduk di kawasan itu sudah beberapa kali berpindah ke pusat penempatan banjir berkenaan dan ia bukan sahaja menjejaskan kehidupan mereka, malah banyak harta benda yang rosak dan musnah dalam kejadian itu.

"Membina ban sementara semata-mata tidak akan menyelesaikan masalah kerana apa yang perlu ialah usaha melebar dan mendalamkan sungai yang melalui kawasan kampung-kampung berkenaan," katanya.

Sementara itu jurucakap Bilik Gerakan Banjir di Kepala Gajah ketika dihubungi berkata 89 penduduk dari 19 keluarga di Kampung Lapan dan Kampung Indera Timbalan di SPS berpindah ke Dewan JKKK di kampung berkenaan sejak pukul 9 malam tadi.

Bagaimanapun katanya paras air surut pagi ini dan semua mangsa pulang ke rumah masing-masing, namun hujan lebat sejak tengah hari menyebabkan air naik semula kira-kira dua kaki di atas jalan raya dan besar kemungkinan mereka akan kembali ke dewan berkenaan sekiranya keadaan semakin buruk.

Di Kampung Baru, Simpang Ampat pula, persediaan dibuat untuk memindahkan lebih 20 keluarga dari kawasan sekitar ke Dewan JKKK Kampung Baru berikutan paras air semakin meningkat.

Sementara itu tinjauan Bernama mendapati aktiviti beribu lagi penduduk di kedua-dua daerah itu terjejas akibat banjir, namun mereka tidak dipindahkan kerana paras air tidak begitu tinggi dan keadaan masih terkawal.

Antara kawasan yang terjejas ialah Kampung Junjung, Kampung Machang Bubuk, Taman Jambu, Kampung Berangan Sembilan, Kampung Bukit Teh dan Kampung Kuala Tasek.(BERNAMA)

Friday, September 14, 2007

Jual Tin Buruk Untuk Sara Anak

Jeniang-Md Daya Tahir 52 tahun dan isterinya, Norlia Shuib 30 tahun, di Kampung Berjaya, Jeniang, Kedah tidak mempunyai pilihan lain, selain terpaksa menghuni di sebuah rumah usang tanpa sebarang keperluan asas, di dalam kebun sayuran kepunyaan saudara mereka bagi menyambung kehidupan akibat dihimpit kemiskinan.

Bagi keluarga ini, mereka juga mahu hidup bahagia dan tidak mahu bergantung harap kepada orang lain, walaupun terpaksa mengisi perut dengan menjual tin-tin buruk yang dikutip disekitar kampung berkenaan, selain mengambil upah menoreh getah dan memugar kebun.

Disebabkan kemiskinan, dua orang anak perempuan mereka berumur sembilan tahun diserahkan kepada neneknya di Alor Setar dan seorang lagi berumur lima tahun dijaga oleh emak saudara mereka di Kuala Lumpur.Hanya dua orang anak lelaki pasangan ini, yang masing-masing berumur tiga tahun dan sepuluh bulan masih berada bersama mereka.

Menurut mereka kemiskinan hidup menyebabkan mereka tidak mampu membina rumah yang lebih selesa dan terpaksa bekerja keras setiap hari untuk membeli makanan dan keperluan dapur, apatah lagi untuk menyimpan wang bagi membina rumah serta membeli lain-lain keperluan asas untuk keselesaan anak-anak mereka.

Lebih malang lagi bila usaha mereka memohon bantuan makanan daripada Jabatan Kebajikan Masyarakat,Sik dan Sungai Petani tidak mendapat sebarang jawapan sehingga sekarang.

Menurut mereka lagi Jawatan Kuasa Dan Keselamatan Kampung (JKKK) tersebut juga tidak pernah singgah ke rumah mereka, apatah lagi untuk mengambil tahu mengenai kesukaran yang sedang mereka hadapi.

Wednesday, September 12, 2007

Petani Kecewa JPS Lepas Tangan

Sungai Petani - Lebih seratus petani di kawasan Merbok mengalami kerugian disebabkan anak padi yang baru ditanam mereka ditenggelami air sejak lebih sebulan yang lalu.Petani-petani yang terlibat adalah daripada Kampung Tempoyak, Kampung Bendang Dalam, Kampung Batu Hampar dan Kampung Sungai Baru, Merbok.

Masalah petani terbabit mula timbul apabila tebing parit tali air Jabatan Pengairan Dan Saliran (JPS) yang terdapat di situ pecah dan menyebabkan air dari tali air berkenaan memasuki kawasan sawah padi mereka tanpa dapat dikawal.

Ketika ditemui, petani-petani yang terlibat menyuarakan rasa kecewa dengan keadaan tersebut kerana terpaksa menanggung kerugian ekoran daripada anak-anak padi yang ditanam tidak dapat tumbuh sepertimana biasa .

Menurut mereka, kawasan sawah yang ditenggelami air menyebabkan hampir keseluruhan anak-anak padi yang ditanam terapung dan dihanyutkan air ke tepi batas sawah manakala padi yang tumbuh akan rosak ataupun menjadi “Padi Lembik”

Menurut mereka lagi, masalah tersebut telah beberapa kali diajukan kepada pihak JPS Merbok dan JPS Daerah Kuala Muda tetapi sehingga kini masih tiada sebarang tindakan yang diambil.

Tinjauan Harian Utara ke kawasan terbabit mendapati tebing parit tali air yang dimaksudkan pecah dengan keluasan lebih daripada satu meter serta dipenuhi dengan air daripada parit tersebut.

Selain daripada itu, keadaan parit yang dipenuhi semak samun dan tidak diselenggara dengan baik turut menyebabkan air bertakung serta tidak dapat mengalir keluar daripada kawasan sawah padi mereka.


Tuesday, September 11, 2007

Lima Maut Bas Terbabas

BALING - Empat pendatang warga myanmar dan seorang rakyat tempatan maut apabila bas yang disewa khas oleh Jabatan Imigresen Malaysia untuk menghantar pendatang ke sempadan Malaysia-Thailand terbalik di Jalan Gulau, di sini petang tadi.

Dalam kejadian yang berlaku jam 4 petang itu, seramai 40 orang PATI warga Myanmar dan tiga pegawai imigresen cedera dan dimasukkan ke Hospital Daerah Baling.Menurut Ketua Polis Baling, Superintendan Mat Daud Md Hasan, berkata rakyat tempatan yang maut dikenali sebagai Mohamad Faisal Abdullah, 20, iaitu pemandu kedua bas itu.

Bas tersebut dikatakan dalam perjalanan dari Depo Tahanan Imigresen Belantik,Sik untuk penghataran pendatang tanpa izin tersebut kepada Jabatan Imigresen Rantau Panjang Kelantan sebelum hilang kawalan dan terbabas di Jalan Gulau.

Monday, September 10, 2007

Aksi Lucah Wanita Bertudung Dalam Internet Memalukan

Pihak yang berwajib perlu mengambil tindakan segera terhadap perbuatan sumbang seorang remaja wanita melayu bertudung dan seorang pasangan lelakinya nya yang telah disiarkan melalui internet kerana perbuatan tersebut bukan sahaja memalukan semua pihak tetapi turut mempersendakan hukum-hukum islam yang ditetapkan.Apatah lagi perbuatan sumbang tersebut dipaparkan pula didalam internet yang boleh dilayari diseluruh dunia.


Aksi seorang wanita bertudung yang sedang memasukkan alat sulit seorang lelaki ke dalam mulutnya diberi tajuk "melayu kulum" turut diselitkan dengan beberapa video lucah lain untuk dilayari.Perbuatan menyiarkan video lucah dengan melibatkan remaja melayu perlu diberi perhatian serius oleh badan-badan yang dipertanggungjawabkan.

Sekiranya kegilaan mereka yang rosak akhlak seperti ini tidak dibendung dengan tindakan undang-undang yang sewajarnya adalah dibimbangkan kegiatan tersebut akan terus berleluasa di medan internet yang akan dilayari diseluruh negara.

Sunday, September 9, 2007

Dah Berapa Kali Banjir Tak Pernah Dapat Bantuan

Pulau Pinang - “Kami tidak pernah dapat apa-apa bantuan dari mana-mana pihak setiapkali kampung kami dilanda banjir”, “yang hairannya kampung-kampung lain ada dapat bantuan”, “cuma dulu adalah sekali dapat bantuan 300 ringgit selepas itu tak pernah dapat lagi walaupun dah berapa kali banjir”, demikian kata Arshad Bin Pin yang tinggal di Kampung Manggis, beliau adalah diantara hampir 800 mangsa banjir di daerah Seberang Prai Selatan (SPS) dan Seberang Prai Tengah (SPT) yang dipindahkan selepas rumah mereka ditenggelami air.

Sementara itu seorang lagi penduduk Masri Bin Hashim berkata, sebaik mendapat maklumat mengatakan ban yang menjadi benteng sungai itu pecah dia terus bergegas pulang ke rumah untuk menyelamatkan barang-barang tetapi katanya, “air naik terlalu pantas dan tidak sempat untuk berbuat apa-apa”. Penduduk disitu merayu pihak berwajib supaya menyalurkan bantuan yang sewajarnya kepada mereka yang dilanda banjir dan segera mengambil langkah menangani masalah ban yang pecah tersebut memandangkan masih ada petanda hujan lebat akan berlaku lagi.

Ban Pecah Punca Banjir

Pulau Pinang - Kesemua mangsa banjir di Kampung Permatang Tok Subuh dan Kampung Manggis Daerah Seberang Perai Tengah dibenarkan pulang pada pagi tadi berikutan banjir yang melanda kawasan tersebut mulai surut sejak malam semalam. Tinjauan Harian Utara mendapati kesemua penduduk kampung yang terbabit sibuk membersih lumpur di sekitar rumah mereka walaupun masih ada rumah yang ditenggelami air.

Antara kawasan yang terbabit dengan banjir ialah Kampung Baru, Kampung Indera Timbalan, Taman Merak, Jalan Tasek di Daerah Seberang Perai Selatan, manakala Kampung Manggis di Daerah Seberang Perai Tengah.

Hujan lebat berterusan sejak jam 4 petang hingga lewat malam semalam menyebabkan air Sungai Junjung mulai melimpah.Berikutan kejadian banjir tersebut hampir 800 mangsa banjir di daerah Seberang Prai Selatan (SPS) dan Seberang Prai Tengah (SPT) telah dipindahkan.Hujan lebat yang berterusan ketika air pasang menyebabkan dua benteng berhampiran Sungai Junjung pecah sebelum air melimpah ke kawasan penempatan penduduk.

Menurut penduduk lagi banjir tersebut merupakan yang kedua melanda kawasan berkenaan pada tahun ini. Ia berlaku dalam tempoh sebulan setengah selepas kejadian pertama pada 23 Julai lalu, hingga menimbulkan trauma penduduk.


Saturday, September 8, 2007

Penduduk Dakwa Sistem Perparitan Punca Banjir

Sungai Petani - Hujan lebat selama 4 jam yang bermula di sekitar Sungai Petani petang semalam telah menyebabkan beberapa kawasan di daerah tersebut dinaiki air.

Antara kawasan yang paling teruk dilanda banjir ialah di Zon Kenanga dan Zon Mawar di Taman Ambangan Height, Sungai Petani.


Menurut penduduk disitu kejadian banjir yang berlaku petang semalam merupakan banjir paling buruk yang pernah berlaku di kawasan perumahan tersebut sejak tahun 2001 dan merayu pihak yang bertanggungjawab segera mengambil tindakan sewajarnya.

Dalam kejadian tersebut lebih 100 buah rumah telah dimasuki air separas dada dan banyak barang-barang tidak sempat diselamatkan selain beberapa buah kereta penduduk turut ditenggelami air.

"tolong tengok masalah kami..."

Menurut penduduk lagi kejadian banjir tersebut berpunca daripada sistem perparitan di kawasan perumahan tersebut yang tidak sempurna. Menurut mereka sistem perparitan yang disediakan tidak dapat menampung air yang banyak ketika hujan lebat selain kedudukan kawasan perumahan mereka yang agak rendah.


Wednesday, September 5, 2007

Pelajar Mati

Sungai Petani-Suasana sedih dan pilu menyelubungi perkarangan rumah mayat Hospital Sultan Abdul Halim (HSAH), Sungai Petani yang dipenuhi dengan kaum keluarga dan rakan-rakan Mohd Shukri bin Mohd Suhaimi yang meninggal dunia pagi tadi.

Mohd Shukri, 16 tahun yang merupakan seorang pelajar tingkatan 4 di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Sungai Pasir, Sungai Petani dikatakan terjatuh dan pengsan di hadapan pintu masuk sekolah ketika sedang berjalan masuk ke kawasan sekolah bersama dengan beberapa orang rakannya.

Menurut Pengetua SMK Sungai Pasir, Abd Ghani bin Haron, kejadian tersebut berlaku betul-betul di hadapannya ketika beliau sedang memantau kehadiran pelajar-pelajar ke sekolah kira-kira jam 7.25 pagi tadi.

Menurutnya lagi, beliau dengan dibantu beberapa orang guru serta pengawal keselamatan mengangkat Mohd Shukri ke dalam pondok pengawal di hadapan sekolah untuk diberikan bantuan awal.

Melihat kepada keadaannya yang semakin kritikal, pihak sekolah terus menghubungi ambulans bagi membawa mangsa ke Hospital Sultan Abdul Halim, Sungai Petani dan disahkan meninggal dunia sebaik tiba di situ.

Bapa tiri mangsa, Zulkefly bin Ahmad yang ditemui di perkarangan rumah mayat HSAH menyifatkan kemalangan yang menimpa Mohd Shukri adalah sesuatu yang mengejutkan disebabkan arwah tidak pernah mengadu mengalami sebarang penyakit serta tidak menunjukkan sebarang perubahan sewaktu hendak keluar ke sekolah pagi tadi.

Walaubagaimanapun, sejak kebelakangan ini arwah pernah beberapa kali mengadu kepada rakan-rakannya yang dia mengalami kesakitan di bahagian dada tetapi tidak mengambil serius dengan keadaan itu.

Sebagai rekod, bapa Allahyarham Mohd Shukri telah meninggal dunia juga secara mengejut ketika berumur 24 tahun semasa arwah masih lagi di dalam kandungan ibunya dan kejadian yang menimpa Mohd Shukri hampir sama sepertimana yang berlaku kepada arwah ayahnya 16 tahun yang lalu.

Tuesday, September 4, 2007

Kementerian Tunggu Laporan Siasatan Kertas Peperiksaan UPSR Bocor

PULAU PINANG-Kementerian Pelajaran sedang menunggu laporan siasatan Lembaga Peperiksaan Malaysia (LPM) mengenai dua kertas peperiksaan Ujian Pencapaian Sekolah Rendah (UPSR) semalam yang didakwa bocor.

Menteri Pelajaran Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein berkata kementerian memandang serius dakwaan kebocoran Kertas Bahasa Melayu Bahagian B dan Kertas 2 Matematik dalam peperiksaan yang diduduki murid Tahun Enam semalam.

"Saya sudah arah LPM buat siasatan secepat mungkin kerana mereka yang bertanggungjawab," katanya kepada pemberita selepas merasmikan majlis sambutan ulang tahun ke-40 Pertubuhan Menteri-Menteri Pelajaran Asia Tenggara (Seameo)-Pusat Serantau bagi Pendidikan Sains dan Matematik (Recsam) di sini, hari ini.

Ditanya kemungkinan murid yang mengambil kertas peperikaan itu perlu menduduki semula kedua-dua kertas peperiksaan berkenaan, Hishammuddin berkata ia bergantung kepada keadaan.

"LPM cukup pakar dalam apa jua kemungkinan cuma kita nak tahu apa yang berlaku. Mungkin tiada perkara yang serius," katanya yang mahu siasatan merangkumi semua aspek termasuk waktu kebocoran dan jumlah murid yang terlibat.

Beliau berkata masalah soalan peperiksaan bocor tidak timbul sejak dua tahun lepas.

Seramai 511,519 calon di seluruh negara menduduki UPSR tahun ini yang bermula semalam hingga esok.

Mengenai cadangan menjadikan Sejarah sebagai mata pelajaran elektif di sekolah, Hishammuddin berkata secara peribadi beliau tidak menyetujuinya.

Beliau berkata setiap rakyat Malaysia perlu mengetahui sejarah negara ini bertujuan memupuk semangat patriotik dalam kalangan golongan muda.

"Kalau tidak tahu sejarah, susah untuk mencorakkan haluan masa depan. Sejarah juga penting untuk mencorakkan identiti bangsa dan negara," katanya.(BERNAMA)