Wednesday, September 26, 2007

Presiden Majlis Peguam Serah Memorandum Desak Tubuh Suruhanjaya Diraja Siasat Klip Video

Kira- kira 1,500 peguam mengambil bahagian dalam perarakan "walk of justice" secara aman ke Jabatan Perdana Menteri bagi menyerahkan memorandum menggesa ditubuhkan Suruhanjaya Diraja bagi menyiasat klip video mengenai seorang peguam terkenal dikatakan mengatur pelantikan hakim di negara ini.Memorandum itu diserahkan oleh presiden Majlis Peguam Ambiga Sreenevasan kepada setiausaha politik Perdana Menteri Datuk Wan Farid Wan Salleh.

Majlis itu juga menyerahkan satu lagi memorandum kepada Wan Farid yang menggesa agar sebuah suruhanjaya kehakiman bebas ditubuhkan bagi melantik para hakim.

Ambiga, naib presiden Majlis Peguam Ragunath Kesavan dan setiausaha majlis itu Lim Chee Wee serta peguam terkenal Malik Imtiaz Sawar, Tommy Thomas, N. Sivanathan dan R. Sivarasa adalah antara anggota majlis itu yang menyertai perarakan sejauh 3.5km itu.

Perarakan selama 45 minit dari Palace of Justice di sini yang bermula pada lebih kurang tengah hari, adalah yang ketiga diadakan oleh majlis itu. Perarakan pertama diadakan oleh majlis itu pada 1978 berkaitan Akta Pertubuhan manakala perarakan kedua diadakan pada 1998 bagi memberi sokongan kepada peguam Zainur Zakaria yang menghadapi tuduhan menghina mahkamah.

Ambiga berkata Wan Farid memberi jaminan kepada anggota jawatankuasa eksekutif Majlis itu bahawa Perdana Menteri akan meneliti memorandum berkenaan dan beliau (Farid) akan mengatur satu pertemuan antara mereka dan Perdana Menteri, yang kini berada di luar negara.

"Lagipun, Perdana Menteri akan merasmikan Persidangan Undang-undang kami bulan depan. Kami pasti akan berjumpa beliau dan berharap dapat menemui beliau sebelum itu bagi membincangkan memorandum berkenaan secara terperinci," katanya.

Ambiga berkata walaupun Majlis Peguam menyambut baik penubuhan panel bebas bagi menyiasat kesahihan klip video berkenaan, majlis itu berpendapat bahawa penubuhan Suruhanjaya Diraja merupakan pilihan lebih baik kerana ia mempunyai lebih banyak kuasa untuk mendapatkan bukti.

Mengenai perarakan secara aman hari ini, Ambiga berkata: "Kami berarak kerana kami mahukan perubahan dalam bidang kehakiman. Kami berarak kerana kami percaya kami akan mempunyai badan kehakiman dunia pertama.

"Peguam tidak berarak setiap hari, mereka tidak berarak setiap bulan, mereka juga tidak berarak setiap tahun. Apabila peguam berarak, tentu ada perkara yang tidak kena."

Mereka mengadakan perarakan itu dalam hujan lebat dengan diperhatikan anggota polis dari Unit Simpanan Persekutuan.

Panel bebas yang ditubuhkan itu akan diketuai bekas Hakim Besar Malaya Tan Sri Haidar Mohd Noor, dengan bekas hakim Mahkamah Rayuan Datuk Mahadev Shankar dan aktivis sosial Tan Sri Lee Lam Thye sebagai anggotanya.

Mereka akan menerima surat pelantikan masing-masing daripada Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak esok.Sumber BERNAMA