Wednesday, May 21, 2008

Mahkamah Tetapkan Isnin Bagi Keputusan Kes Petisyen Pilihan Raya

KANGAR - Mahkamah Pilihan Raya di sini hari ini menetapkan Isnin ini bagi keputusan berhubung permohonan notis usul membatalkan petisyen bagi diisytiharkan keputusan pilihan raya kerusi Dewan Undangan Negeri kawasan Simpang Empat pada pilihan raya umum 8 Mac lepas sebagai tidak sah.

Hakim Datuk Zainal Adzam Abdul Ghani menetapkan tarikh itu selepas mendengar hujah daripada pihak pempetisyen dan responden.

Notis usul itu dikemukakan oleh Pegawai Pengurus Pilihan Raya Parlimen Arau, Muhamad Daud Abdull Hamid dan Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR), masing-masing dinamakan sebagai responden kedua dan ketiga.

Pada 28 April lalu, calon Barisan Nasional (BN) bagi kerusi Dewan Undangan Negeri kawasan Simpang Empat, Zahari Bakar, 53, memfailkan petisyen di Mahkamah Tinggi bagi diisytiharkan bahawa keputusan bagi kerusi itu pada pilihan raya umum 8 Mac lalu tidak sah.

Alasan yang dikemukakan oleh Zahari termasuk penemuan dua keping kertas undi yang mempunyai nombor siri yang sama, ketiadaan borang 14 bagi mengesahkan jumlah undian di pusat mengundi tertentu dan poster pilihan raya calon PAS.

Pada pilihan raya umum ke-12 itu, calon PAS Rus'seli Eizan menang dengan majoriti 53 undi setelah memperoleh 2,878 undi manakala Zahari memperoleh 2,825 undi.

Bekas anggota Exco kerajaan negeri Perlis itu menamakan Rus'seli sebagai responden pertama manakala Pegawai Pengurus Pilihan Raya Parlimen Arau dan SPR sebagai responden kedua dan ketiga.

Hakim Zainal Adzam juga menetapkan Isnin ini untuk mendengar usul bantahan daripada responden pertama sekiranya mahkamah memutuskan untuk menolak notis usul bantahan yang dikemukakan responden kedua dan ketiga itu.

Muhammad Daud dan SPR diwakili Peguam Kanan Persekutuan Rozi Bainon dan Peguam Persekutuan Wan Roslan Wan Ismail manakala Zahari diwakili peguam Abu Bakar Sidek. (BERNAMA)

Kemudahan Kompleks Sukan Ipoh Percuma Selama Empat Hari

IPOH - Sempena sambutan ulang tahun ke-20 bandar raya Ipoh, orang ramai berpeluang menggunakan kemudahan Kompleks Sukan Majlis Bandaraya Ipoh (MBI) secara percuma selama empat hari mulai 27 Mei ini.

Menurut jurucakap MBI hari ini, langkah itu bertujuan menggalakkan amalan gaya hidup sihat warga kota dengan bersenam dan beriadah.

Orang ramai boleh membuat tempahan tempat secara percuma di kaunter badminton, Kompleks Sukan MBI antara 8 pagi dan 5 petang sehingga Jumaat ini.

Kemudahan sukan yang disediakan di kompleks itu termasuk gelanggang badminton, tenis, skuasy dan renang. (BERNAMA)

Mokhzani Keluar Umno

KUALA LUMPUR - Anak kedua bekas Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad, Datuk Mokhzani, hari ini mengumumkan keputusannya untuk keluar Umno bagi mengikut jejak langkah ayahnya yang berbuat demikian dua hari lepas.

Ketika dihubungi Bernama, Mokhzani mengesahkan bahawa beliau telah menghantar surat mengenai perkara itu ke pejabat Umno Bahagian Merbok menerusi faks semalam.

"Saya membuat keputusan untuk keluar Umno kerana bersetuju dengan pendapat ayah saya bahawa Umno yang ada sekarang bukan lagi Umno sebenar," katanya.

Mokhzani, 47, bekas Ketua Pemuda Bahagian Merbok, kini lebih aktif dalam sektor korporat.

Semalam adik beliau, Datuk Mukhriz yang juga Anggota Parlimen Jerlun, membuat keputusan untuk terus berada dalam Umno sungguhpun beliau bersependapat dengan bapanya mendesak Perdana Menteri Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi untuk meletak jawatan dengan segera "bagi menyelamatkan Umno".

Dua hari lepas, Dr Mahathir mengumumkan beliau keluar Umno kerana hilang keyakinan terhadap kepimpinan Abdullah, dan menyatakan akan kembali menyertai Umno selepas Abdulllah meletak jawatan atau tidak lagi menjadi pemimpin negara.

Di SUNGAI PETANI - Timbalan Ketua Umno Bahagian Merbok Datuk Tajul Urus Md Zain melahirkan rasa kecewa dengan tindakan Mokhzani itu tetapi menjelaskan bahawa ia tidak memberi sebarang kesan terhadap kepimpinan Umno bahagian itu kerana beliau hanyalah seorang anggota biasa dari Umno Cawangan Sungai Layar Hujung.

"Beliau tidak lagi aktif selepas tempoh jawatannya sebagai Ketua Pemuda bahagian berakhir pada penggal lepas," katanya kepada Bernama.

Katanya Umno Bahagian Merbok telah menerima sepucuk surat mengenai hasrat Mokhzani untuk keluar parti pagi tadi dan menganggap ia adalah hak peribadi Mokhzani.

Tajul Urus berkata seorang lagi anggota Umno dari Bahagian Merbok yang juga Ketua Umno Cawangan Jalan Badlishah Mejar (B) Anuar Abdul Hamid, turut meninggalkan parti itu.

Katanya Anuar telah menghantar sepucuk surat untuk keluar dari Umno hari ini.

Tajul Urus berkata Anuar adalah Anggota Jawatankuasa Umno Bahagian yang dilantik.

"Umno Bahagian tidak mempunyai sebarang masalah dengan tindakan kedua-dua mereka keluar dari parti kerana setakat ini tiada sesiapapun yang mengikuti langkah mereka," katanya.(BERNAMA)

Tuesday, May 20, 2008

Kedah Kaji Semula Projek Pembangunan Di Kawasan Tanah Pertanian

ALOR STAR - Kedah sedang mengkaji semula beberapa projek pembangunan bagi memastikan projek-projek komersil yang dirancang tidak akan menjejaskan tanah-tanah pertanian, bagi menjamin pengeluaran padi dalam negeri 'Jelapang Padi Negara' itu tidak terjejas.

Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Luar bandar, Usahawan dan Kerja Raya Negeri Ir Phahrolrazi Zawawi berkata antara projek di tanah sawah yang dikaji semula dan dipindahkan ialah Zon Industri Petroleum Yan (ZIPY) di Yan.

"Projek itu dipindahkan ke kawasan laut yang akan ditambak dan ini tidak menjejaskan tanah pertanian," katanya ketika menjawab soalan tambahan Datuk Saad Man (BN-Jitra) pada persidangan Dewan Undangan Negeri di sini, hari Selasa.

Terdahulu ketika menjawab soalan Mohd Nasir Mustaffa (PAS-Kubang Rotan) yang ingin mengetahui langkah kerajaan negeri dalam menghadapi krisis makanan dunia, beliau berkata kerajaan Kedah serius dan komited untuk meningkatkan pengeluaran beras bagi menampung keperluan negara, malah sudah menggariskan beberapa langkah untuk mencapai matlamat itu.

Beliau berkata antaranya ialah meningkatkan kualiti hasil penuaian, memaksimakan penggunaan tanah, meningkatkan infrastruktur dan mengamalkan amalan pertanian YANG baik.

Beliau berkata walaupun penduduk Kedah hanya perlukan 10 peratus dari beras yang dihasilkannya, kerajaan negeri tetap bersama kerajaan pusat dalam apa jua tindakan untuk menambah pengeluaran makanan.

Kedah menghasilkan kira-kira 53 peratus keperluan beras negara.

Phahrolrazi berkata 10 skim tanaman padi yang membabitkan kawasan seluas 2,730 hektar yang ditadbir Jabatan Parit dan Saliran (JPS), kini dalam proses diwartakan untuk dimasukkan dalam rancangan Lembaga Kemajuan Pertanian Muda (MADA) bagi membolehkan para petani menikmati lebih banyak faedah.

Sementara itu Pengerusi Jawatankuasa Industri dan Pelaburan, Pertanian, Sains dan Inovasi Kedah Amiruddin Hamzah (PAS-Anak Bukit) memberitahu Dewan kerajaan negeri yang baru berterima kasih kepada kerajaan Barisan Nasional (BN) yang lepas kerana berjaya menarik pelaburan asing berjumlah hampir RM13 bilion ke Kedah. (BERNAMA)

Monday, May 19, 2008

Ladang Kontrak Untuk Bantu Pertanian Berskala Kecil - Fama

LANGKAWI- Program ladang kontrak diperkenalkan oleh Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (Fama) sebagai satu mekanisme untuk membantu pengusaha pertanian berskala kecil dan sederhana daripada segi pemasaran.

Ketua Pengarah Fama Datuk Mohamed Shariff Abdul Aziz berkata Fama mensasarkan untuk mengusahakan kira-kira 40,000 hektar ladang kontrak membabitkan 22,000 peserta dalam Rancangan Malaysia Kesembilan (RMK-9) di bawah program itu.

Program itu membabitkan tanaman buah-buahan seperti mangga, rambutan, cempedak dan pisang, katanya kepada pemberita selepas majlis menandatangani perjanian ladang kontrak pembekalan mangga chok anan antara Fama dengan peserta projek kelompok Simpang Datai di sini Isnin.

Beliau berkata jenis tanaman yang akan diusahakan di bawah program itu juga akan ditambah mengikut keperluan pasaran.

Pada tahun lepas, di Kedah Fama membuat belian sebanyak RM288,132.68 atau 323.78 metrik tan menerusi 181.8 hektar program ladang kontrak, katanya.

Sehubungan itu, beliau berkata Fama mengalakkan hasil pertanian seperti buah-buahan dijenamakan sebagai usaha memperluaskan promosi bagi menarik minat pembeli.

Beliau berkata penerimaan orang ramai terhadap buah-buahan yang berjenama lebih baik berbanding yang tidak dijenamakan.

"Kita berharap lebih banyak buah-buahan dijenamakan mengikut idea masing-masing bagi menarik minat pembeli terhadap hasil tempatan seperti Perlis Sunshine Mango dan Tobiar Gold di Kedah", katanya.

Mohamed Shariff berkata buah-buahan tempatan kini mendapat permintaan yang semakin menggalakkan di negara-negara di Timur Tengah manakala Singapura merupakan pasaran terbesar.(BERNAMA)

Tun Dr Mahathir Umum Keluar Umno Berkuatkuasa Serta Merta

ALOR STAR -- Bekas Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad hari ini mengumumkan keluar dari Umno berkuatkuasa serta merta.

Dr Mahathir yang juga adalah anggota Umno seumur hidup berkata beliau bertindak demikian kerana hilang keyakinan terhadap kepimpinan Umno sekarang yang gagal membela nasib orang Melayu di negara ini.

"Saya umum saya keluar parti hari ini," katanya di hadapan kira-kira 1,000 hadirin yang kebanyakannya anggota Umno Kedah pada majlis bertajuk "Nasib Kedudukan Bangsa Melayu" di sebuah hotel di sini Isnin.

Bekas Presiden Umno itu juga berkata beliau hanya akan kembali menjadi anggota Umno selepas Perdana Menteri Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi yang juga Presiden Umno meletak jawatan atau tidak lagi menjadi pemimpin utama negara.

"Saya akan menulis surat kepada Umno bagi memaklumkan mereka (mengenai keluar dari Umno)," katanya.
-- LAGI-(Bernama)

Sunday, May 18, 2008

Nik Aziz - PAS menyokong usaha PKR

Baru-baru ini selepas mempengerusikan Mesyuarat EXCO Kerajaan Negeri Kelantan, MB Kelantan Tuan Guru Dato Nik Abd Aziz Nik Mat yang juga Mursyidul Am PAS dilaporkan oleh akhbat The Star sebagai berkata:

PAS will also only support PKR’s move to entice Barisan Nasional MPs to hop across to the Opposition if the defectors accept its Islamist struggle and the “Pakatan” alliance’s principles

(PAS akan hanya menyokong usaha PKR untuk mempelawa ahli-ahli Parlimen BN melompat ke pihak pembangkang kiranya mereka yang melompat itu bersetuju dengan dasar pejuangan Islam dan prinsip-prinsip yang disepakati “Pakatan”.)

Otherwise, it would be difficult to accept Barisan defectors as it becomes apparent that they are only joining for positions of power or monetary gain.

(Jika tidak sukar untuk menerima mereka yang berpaling tadah dari Barisan kerana ternyata mereka melompat semata-mata kerana mahukan kuasa dan kepentingan kewangan).

“Ideally, we want Malay party hoppers from Umno to join PAS, or the majority of Umno members to join us, as we are the only one championing Islam,”

(Dari segi idealnya kita mahukan orang-orang Melayu yang melompat parti dari Umno itu untuk menyertai PAS, atau majoriti ahli-ahli Umno untuk menyertai kita, kerana hanya kita yang menjuarai perjuangan Islam.)

Saturday, May 17, 2008

Raja Perlis Mahu Penjawat Awam Berkorban Untuk Kemakmuran

KANGAR- Raja Perlis Tuanku Syed Sirajuddin Syed Putra Jamalullail mahu para penjawat awam sentiasa mengutamakan kepentingan rakyat dan sanggup berkorban demi kemakmuran negeri.

Baginda bertitah mereka juga perlu sentiasa mengamalkan budaya kerja berkualiti dan meletakkan kepentingan awam lebih utama berbanding kepentingan peribadi.

Bertitah pada istiadat penganugerahan darjah kebesaran dan pingat sempena ulang tahun ke-65 keputeraan baginda di Istana Arau hari ini, Tuanku Syed Sirajuddin berharap kajian segera dapat dilakukan ke atas kelemahan yang mungkin wujud dalam sistem pentadbiran tertentu di negeri ini.

Baginda berpuas hati dengan pencapaian pelaksanaan projek yang diluluskan dalam Rancangan Malaysia Kesembilan (RMK-9) yang kini memasuki tahun ketiga dan yakin pentadbiran baru negeri Perlis yang diketuai Menteri Besar Datuk Seri Dr Md Isa Sabu akan terus cemerlang.

Raja Perlis juga yakin pelaksanaan Wilayah Ekonomi Koridor Utara (NCER) yang dicetuskan oleh Perdana Menteri Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi akan membantu memacu pembangunan negeri ini.

Baginda bertitah sejak lima dekad mencapai kemerdekaan, negara diuji dengan pelbagai cabaran dari dalam dan luar namun kebijaksanaan pemimpin negara berjaya menangani segala masalah itu.

Dengan pengalaman menguruskan negara, baginda yakin pelaksanaan rancangan kerajaan akan tetap memperoleh kejayaan.

Baginda juga mahu rakyat mensyukuri nikmat kemakmuran negara dengan berusaha menghindari perbuatan yang merosakkan bangsa dan negara.

"Kekalkan perpaduan dan hubungan baik sesama kaum dan agama demi kesejahteraan negeri untuk pastikan nikmat kemakmuran negara berkekalan," titah baginda.

Dalam ucapan taat setianya, Md Isa berkata kerajaan negeri akan memperkasakan sektor pertanian yang menjadi tunjang ekonomi negeri ini malah pelaksanaan NCER akan turut mempercepatkan proses memperkasakan sektor itu.

Beliau berkata antara yang akan diberi tumpuan melalui NCER ialah pelaksanaan Pusat Benih Negara yang akan meletakkan Perlis sebagai pengeluar benih bermutu tinggi.

Katanya Perlis menerima peruntukan sebanyak RM2.59 bilion dalam RMK-9 bagi melaksanakan 551 projek dan kesemua projek itu dipantau secara teliti bagi memastikan ia berjalan mengikut jadual.

Sementara itu, 39 orang menerima darjah kebesaran dan pingat bagi siri pertama penganugerahan yang berlangsung di Balai Rong Seri Istana Arau.

Md Isa dan Menteri Perpaduan, Kebudayaan, Kesenian dan Warisan Datuk Mohd Shafie Apdal yang masing-masing menerima darjah Seri Paduka Mahkota Perlis (SPMP) yang membawa gelaran Datuk Seri, mendahului senarai penerima.

Turut menerima darjah kebesaran hari ini ialah bekas Timbalan Menteri Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah Dr Tekhee @ Tiki anak Lafe dan Pegawai Kewangan Negeri Perlis Musa Hassan yang masing-masing menerima anugerah Dato' Paduka Mahkota Perlis (DPMP) yang membawa gelaran Datuk.

Istiadat penganugerahan darjah kebesaran dan pingat itu turut dihadiri Raja Perempuan Perlis Tuanku Fauziah Tengku Abdul Rashid, Raja Muda Tuanku Syed Faizuddin Putra ibni Syed Sirajuddin Jamalullail dan Raja Puan Muda Tuanku Hajah Lailatul Shahreen Akashah.

Istiadat itu disiarkan secara langsung oleh Bernama TV. (BERNAMA)

CAP Syor Pulih Semula Hutan Di Selangor

PULAU PINANG- Persatuan Pengguna Pulau Pinang (CAP) mencadangkan supaya kawasan hutan seluas 1,000 hektar yang diceroboh dan dimusnahkan di Selangor baru-baru ini dipulihkan segera.

Presiden CAP, SM Mohamed Idris berkata tindakan itu wajar dilakukan dengan segera bagi menyelamatkan 19,807 hektar tanah yang diusahakan oleh 9,000 petani di negeri itu daripada menghadapi masalah bekalan air pada masa akan datang.

"Kawasan hutan yang terlibat itu adalah Hutan Simpan Raja Muda, Ladang Hopeful di Bestari Jaya dan kawasan berhampiran Unversiti Industri Selangor (UniSel)," katanya dalam satu kenyataan.

Katanya CAP meminta kerajaan negeri Selangor dan Jabatan Perhutanan negeri agar melaksanakan penanaman semula spesies hutan paya gambut di tiga kawasan berkenaan secepat mungkin.

"CAP prihatin dengan nasib serta kehidupan petani di Tanjung Karang, Sabak Bernam, Kuala Selangor dan Sekinchan kerana mereka bergantung kepada sumber bekalan air dari kawasan itu," katanya.

Mohamed Idris berkata demi mengekalkan khazanah alam semula jadi itu serta sumber air bagi kehidupan rakyat Selangor, CAP mengesa agar seluruh kawasan hutan di negeri itu diwartakan sebagai hutan simpan kekal.

Katanya pihaknya juga kesal kerana kegiatan penerokaan tanah secara haram membabitkan kawasan hutan di Selangor itu lambat dikesan dan tindakan hanya diambil selepas dua tahun perkara itu berlaku.(BERNAMA)

Friday, May 16, 2008

JPJ Gantung Permit Operasi Syarikat Konsortium Bas Ekspress Semenanjung

ALOR STAR- Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) menggantung permit operasi Syarikat Konsortium Bas Ekspres Semenanjung Berhad selama sebulan berkuatkuasa semalam.

Pengarah Penguatkuasa JPJ Salim Parlan berkata penggantungan itu adalah bagi kesemua 232 buah bas ekspress milik syarikat berkenaan.Beliau berkata operasi syarikat berkenaan digantung kerana inkuiri Lembaga Pelesenan Kenderaan Perdagangan (LPKP) menunjukkan bahawa banyak bas milik syarikat itu terbabit dalam kemalangan jalan raya.

"Pihak JPJ akan memantau semua 36 terminal bas di Semenanjung untuk memastikan arahan ini dipatuhi," katanya kepada pemberita semasa Operasi Bersama Pengarah JPJ di Jalan Putera di sini malam tadi.

Antara kemalangan yang melibatkan syraikat bas itu ialah pada 15 Ogos tahun lepas di Km 256.9 Lebuh Raya Utara-Selatan dekat Terowong Menora, Kuala Kangsar di mana empat penumpang maut dan 25 lagi cedera termasuk enam parah apabila bas yang mereka naiki terbabas sebelum terbalik ke dalam longkang.

Dalam operasi selama empat jam yang bermula kira-kira pukul 8.30 malam itu sebanyak 115 saman dikeluarkan kepada penunggang motosikal serta kereta dan 20 kenderaan turut disita kerana tidak mempunyai cukai jalan yang sah.-- (BERNAMA)

Thursday, May 15, 2008

Kad Pengesahan Agama Dikeluarkan Serta-Merta Lepas Masuk Islam

BANGI-Pemberian kad pengesahan penukaran agama akan dibuat serta-merta kepada mualaf yang baru memeluk agama Islam selepas proses pengislaman bagi mengelakkan sebarang kejadian yang tidak diingini.
Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Dr Ahmad Zahid Hamidi berkata pelbagai masalah didapati timbul apabila kad pengesahan penukaran agama tidak diberikan serta-merta.
Beliau berkata konflik melibatkan kad pengesahan berkenaan lazimnya timbul apabila berlaku penceraian atau kematian, menyebabkan kesukaran antara keluarga dan pihak Jabatan Agama Islam.
"Tanpa kad itu, pihak Jabatan Agama tidak mempunyai cara untuk mengesahkan keislaman mereka, dan masalah akan timbul," katanya selepas Majlis Muhadharah bertajuk 'Ke Arah Memperkasakan Pengurusan Islam di Malaysia.
'Sebelum ini, jelas beliau, pengeluaran kad penukaran agama dan dokumen rasmi berkaitan perkara berkenaan mengambil masa agak lama dan ia dikenal pasti sebagai faktor kepada masalah yang berkaitan, misalnya proses tuntutan harta. Sehubungan itu, kata Zahid, Jabatan Agama Islam di setiap negeri diminta supaya mengarahkan pegawai tadbir agama di daerah atau di jajahan (untuk negeri Kelantan) masing-masing supaya urusan pengeluaran kad pengesahan penukaran agama boleh dibuat serta-merta.
"Saudara baru juga diwajibkan untuk mendaftarkan urusan wasiat mereka dengan Amanah Raya Berhad memandangkan pihak berkenaan mempunyai kuasa untuk mengendalikan urusan tuntutan sivil dan syarak, bagi memudahkan urusan tuntutan harta untuk mualaf," katanya.
Menjelaskan mengenai keputusan kerajaan mewajibkan saudara baru mengumumkan penukaran agama mereka, katanya perkara itu sememangnya diwajibkan.
"Tetapi mereka juga dibenarkan mengambil masa untuk berbuat demikian bagi menjaga hubungan baik dengan keluarga masing-masing," katanya.
Mengenai bilangan kes murtad pula, Zahid berkata majoriti kes murtad yang dibawa ke mahkamah melibatkan golongan mualaf yang mengambil keputusan untuk kembali kepada agama asal selepas bercerai dengan pasangan yang beragama Islam.
Katanya perkara itu berlaku apabila badan dakwah gagal memberikan bimbingan sempurna kepada saudara baru selepas mereka memeluk Islam.-- (BERNAMA)