Monday, May 19, 2008

Ladang Kontrak Untuk Bantu Pertanian Berskala Kecil - Fama

LANGKAWI- Program ladang kontrak diperkenalkan oleh Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (Fama) sebagai satu mekanisme untuk membantu pengusaha pertanian berskala kecil dan sederhana daripada segi pemasaran.

Ketua Pengarah Fama Datuk Mohamed Shariff Abdul Aziz berkata Fama mensasarkan untuk mengusahakan kira-kira 40,000 hektar ladang kontrak membabitkan 22,000 peserta dalam Rancangan Malaysia Kesembilan (RMK-9) di bawah program itu.

Program itu membabitkan tanaman buah-buahan seperti mangga, rambutan, cempedak dan pisang, katanya kepada pemberita selepas majlis menandatangani perjanian ladang kontrak pembekalan mangga chok anan antara Fama dengan peserta projek kelompok Simpang Datai di sini Isnin.

Beliau berkata jenis tanaman yang akan diusahakan di bawah program itu juga akan ditambah mengikut keperluan pasaran.

Pada tahun lepas, di Kedah Fama membuat belian sebanyak RM288,132.68 atau 323.78 metrik tan menerusi 181.8 hektar program ladang kontrak, katanya.

Sehubungan itu, beliau berkata Fama mengalakkan hasil pertanian seperti buah-buahan dijenamakan sebagai usaha memperluaskan promosi bagi menarik minat pembeli.

Beliau berkata penerimaan orang ramai terhadap buah-buahan yang berjenama lebih baik berbanding yang tidak dijenamakan.

"Kita berharap lebih banyak buah-buahan dijenamakan mengikut idea masing-masing bagi menarik minat pembeli terhadap hasil tempatan seperti Perlis Sunshine Mango dan Tobiar Gold di Kedah", katanya.

Mohamed Shariff berkata buah-buahan tempatan kini mendapat permintaan yang semakin menggalakkan di negara-negara di Timur Tengah manakala Singapura merupakan pasaran terbesar.(BERNAMA)