Tuesday, May 20, 2008

Kedah Kaji Semula Projek Pembangunan Di Kawasan Tanah Pertanian

ALOR STAR - Kedah sedang mengkaji semula beberapa projek pembangunan bagi memastikan projek-projek komersil yang dirancang tidak akan menjejaskan tanah-tanah pertanian, bagi menjamin pengeluaran padi dalam negeri 'Jelapang Padi Negara' itu tidak terjejas.

Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Luar bandar, Usahawan dan Kerja Raya Negeri Ir Phahrolrazi Zawawi berkata antara projek di tanah sawah yang dikaji semula dan dipindahkan ialah Zon Industri Petroleum Yan (ZIPY) di Yan.

"Projek itu dipindahkan ke kawasan laut yang akan ditambak dan ini tidak menjejaskan tanah pertanian," katanya ketika menjawab soalan tambahan Datuk Saad Man (BN-Jitra) pada persidangan Dewan Undangan Negeri di sini, hari Selasa.

Terdahulu ketika menjawab soalan Mohd Nasir Mustaffa (PAS-Kubang Rotan) yang ingin mengetahui langkah kerajaan negeri dalam menghadapi krisis makanan dunia, beliau berkata kerajaan Kedah serius dan komited untuk meningkatkan pengeluaran beras bagi menampung keperluan negara, malah sudah menggariskan beberapa langkah untuk mencapai matlamat itu.

Beliau berkata antaranya ialah meningkatkan kualiti hasil penuaian, memaksimakan penggunaan tanah, meningkatkan infrastruktur dan mengamalkan amalan pertanian YANG baik.

Beliau berkata walaupun penduduk Kedah hanya perlukan 10 peratus dari beras yang dihasilkannya, kerajaan negeri tetap bersama kerajaan pusat dalam apa jua tindakan untuk menambah pengeluaran makanan.

Kedah menghasilkan kira-kira 53 peratus keperluan beras negara.

Phahrolrazi berkata 10 skim tanaman padi yang membabitkan kawasan seluas 2,730 hektar yang ditadbir Jabatan Parit dan Saliran (JPS), kini dalam proses diwartakan untuk dimasukkan dalam rancangan Lembaga Kemajuan Pertanian Muda (MADA) bagi membolehkan para petani menikmati lebih banyak faedah.

Sementara itu Pengerusi Jawatankuasa Industri dan Pelaburan, Pertanian, Sains dan Inovasi Kedah Amiruddin Hamzah (PAS-Anak Bukit) memberitahu Dewan kerajaan negeri yang baru berterima kasih kepada kerajaan Barisan Nasional (BN) yang lepas kerana berjaya menarik pelaburan asing berjumlah hampir RM13 bilion ke Kedah. (BERNAMA)