Wednesday, November 23, 2011

Malaysia Tumpas 0-2 Kepada Syria

KUALA LUMPUR, 23 Nov - Skuad Olimpik negara gagal bangkit semula setelah tumpas 0-2 kepada Syria pada perlawanan kedua pusingan ketiga kumpulan C kelayakan Olimpik 2012 yang berlangsung di Stadium Nasional, Bukit Jalil Rabu malam.

Sebelum ini, pada perlawanan pertama pusingan ketiga, Malaysia tumpas 0-2 kepada Jepun di Stadium Tosu, Fukuoka.

Perlawanan itu disaksikan kira-kira 20,000 penyokong dan berlangsung secara sengit apabila kedua-dua pasukan saling berbalas serangan.

Skuad bawah 23 tahun bimbingan Ong Kim Swee bermula garang apabila Ahmad Fakri Saarani melakukan cubaan seawal minit kedua namun melepasi gawang gol.

Gandingan Ahmad Fakri dan Wan Zack Haikal Wan Noor telah mengkucar-kacirkan benteng pertahanan skuad Helang Merah (Syria).

Pada hujung babak pertama, Wan Zack Haikal hampir memberi gol pendahuluan kepada skuad Olimpik negara menerusi tandukan hasil sepakan percuma oleh Mohamad Fandi Othman, namun cubaannya tersasar.

Selepas rehat, Skuad Helang Merah memecah kebuntuan pada minit ke-50 menerusi pemain tengah, Solaiman Solaiman menumpaskan penjaga gawang negara, Khairul Fahmi Che Mat.

Tersentak dengan jaringan tersebut, skuad Harimau Muda kembali menyusun jentera serang bagi mencari gol penyamaan.

Khairul Fahmi menjadi wira apabila berjaya menyelamatkan beberapa cubaan berbahaya yang dilakukan jentera serangan Syria.

Syria memperkukuhkan lagi kedudukan menerusi jaringan kedua yang disempurnakan Nassouh Nakkdahli pada minit ke-88.

Ahad ini, Skuad Harimau Muda akan bertemu Bahrain yang sebelum ini kalah kepada Jepun 0-2 di Stadium Al-Riffa, Bahrain pada Selasa.(BERNAMA)

Malaysia vs Syria 0-2 Solaiman Solaiman Goal


Malaysia vs Syria 0-2, 2nd Goal


Sumber video dari youtube & sokernet.com

Tuesday, November 22, 2011

Malaysia Pertahan Pingat Emas Acara Bola Sepak Sukan SEA

JAKARTA, 21 Nov - Malaysia mempertahankan pingat emas acara bola sepak Sukan SEA ke-26 selepas menundukkan Indonesia 4-3 melalui sepakan penalti setelah terikat 1-1 dalam perlawanan penuh 90 minit dan masa tambahan.

Perlawanan berlangsung di Stadium Utama Gelora Bung Karno di sini malam Isnin.

Dengan itu Malaysia mempertahankan pingat emas dalam acara bola sepak Sukan SEA.

Gol yang memberi kemenangan kepada Malaysia dilakukan ketua pasukan Baddrol Bakhtiar selepas kedudukan terikat 3-3 sebelum itu.

Pemain tuan rumah Ferdinan Sinaga gagal menyumbat gol untuk menewaskan penjaga gol Malaysia, Khairul Fahmi Che Mat.

Kekalahan ini memusnahkan harapan skuad Indonesia kendalian Rahmad Darmawan untuk meraih pingat emas sejak 20 tahun lalu di mana kali terakhir Indonesia memperolehi emas adalah pada 1991.

Beraksi di hadapan lebih 100,000 lautan merah putih, Malaysia terlebih dahulu dikejutkan dengan jaringan gol lawan seawal minit keempat menerusi tandukan pemain pertahanan, Gunawan Dwi Cahayo.

Ia berpunca daripada sepakan sudut di sebelah kiri gawang negara yang diambil oleh pemain tengah Octovianus Maniani sebelum Gunawan mudah menanduk masuk bola menewaskan penjaga gawang negara, Khairul Fahmi Che Mat.

Gol tersebut menyaksikan penyokong tuan rumah bersorak girang dengan jaringan pembukaan itu.

Walaupun tertekan dengan jaringan awal tersebut, anak didik Ong Kim Swee jelas tidak mudah mengalah dan melajukan rentak dengan mengatur beberapa serangan menerusi gandingan Baddrol Bakhtiar, Ahmad Fakri Saarani dan A. Thamil Arasu, namun tagihan aksi negara masih belum panas.

Pada minit ke-16, skuad negara dikejutkan dengan jaringan kedua Indonesia namun pengadil dari Jepun, Tojo Minoru menafikan jaringan Titus Bonai yang dianggap 'offside'.

Barisan pertahanan yang dilihat longgar memudahkan Octovianus Maniani melorongkan bola kepada Titus, pemain kelahiran Papua New Guinea itu.

Kesungguhan Malaysia dapat dilihat apabila banyak peluang negara terhidang. Malah kesempatan terbaik Malaysia untuk membolosi gawang lawan muncul pada minit ke-19 tetapi sepakan deras Mohd Irfan Fazail berjaya dibaca penjaga gol Indonesia, Kurnia Meiga.

Aksi trio penyerang sensasi tuan rumah Octovianus, Patrich Wanggai dan Titus sering kali cuba menguji penjaga gawang Malaysia menerusi percubaan jarak jauh dan gerakan serang balas dan Khairul Fahmi nyata lebih bekerja keras pada malam ini.

Asraruddin Putra Omar berjaya memecah kebuntuan penyamaan gol pada minit ke-33 menerusi tandukannya yang mudah membolosi gawang, lawan hasil hantaran cantik daripada Baddrol di luar kotak penalti.

Terikat seri 1-1 pada separuh masa pertama, kedua-dua pasukan menggandakan asakan untuk mencari gol kemenangan.

Malaysia tampak mendominasi perlawanan separuh masa kedua bila berjaya mengekang asakan lawan dan menghentikan hantaran jauh mereka menyebabkan penyerang lawan tidak mendapat bantuan apabila berada di hadapan pintu gol Malaysia.

Benteng Malaysia yang dikendalikan oleh Khairul Fahmi dan pemain pertahanan perlu diberi pujian kerana berjaya mengekang asakan lawan dan ketika barisan penyerang Malaysia ketandusan idea, Kim Swee memasukkan Muhd Nazmi Faiz Mansor bagi menggantikan K. Gurusamy pada minit ke-77 dan Yong Kuong Yong menggantikan Thamil Arasu selang tiga minit kemudian.

Ini ternyata merupakan percaturan yang baik di mana Muhd Nazmi dan Yong bersama Mohd Irfan serta Baddrol banyak mengucar-kacirkan barisan belakang Indonesia yang dilihat kian goyang.

Baddrol yang juga merupakan perancang utama skuad negara hampir menambah gol hasil sepakan percuma kaki kanannya namun percubaan tersebut sedikit tersasar hingga menggusarkan Kurnia.

Permainan yang terikat seri 1-1 dipaksa berlarutan kepada 120 minit masa tambahan memaksa kedua-dua pasukan rancak menyerang balas namun masih tiada penyudah yang berkesan oleh kedua-dua negara hinggalah terpaksa ditentukan dengan sepakan penalti yang akhirnya memihak kepada negara.

Octovianus dipilih sebagai pemain terbaik dalam perlawanan malam ini.

Sementara itu penentuan pingat gangsa menyaksikan Myanmar membelasah naib juara edisi 2009, Vietnam 4-1 pada aksi sebelum perlawanan Malaysia-Indonesia di stadium yang sama.(BERNAMA)


Malaysia vs Indonesia Gunawan Goal


Malaysia vs Indonesia Asrarudin Goal


Malaysia 1-1 Indonesia [4-3 Penalti] Final SEA Games 2011


Sumber video dari sokernet.com

Sunday, November 20, 2011

SUKAN SEA: Malaysia Mara Ke Akhir Bertemu Indonesia, Tumpaskan Myanmar 1-0

Daripada Ahmad Erwan Othman

JAKARTA, 19 Nov - Malaysia akan bertemu tuan rumah Indonesia pada perlawanan akhir bola sepak Sukan SEA ke-26 apabila berjaya mengetepikan cabaran Myanmar setelah mencatat kemenangan 1-0 pada aksi separuh akhir di Stadium Gelora Bung Karno pada Sabtu.

Pada satu lagi saingan separuh akhir selepas perlawanan skuad negara, Indonesia layak apabila membenam naib juara temasya 2009, Vietnam 2-0 dengan gol dijaringkan oleh Patrich Wanggai dan Titus Bonai.

Perlawanan akhir itu akan berlangsung di Stadium Gelora Bung Karno Isnin ini pukul 7 petang waktu tempatan (8 malam waktu Malaysia).

Ahmad Fakhri Saarani menjadi wira negara apabila jaringan tunggal penyerang gantian selang lima minit sebelum babak kedua tamat sudah cukup untuk skuad Harimau Muda itu melangkah mara bagi misi mempertahankan kejuaraan pingat emas sukan SEA yang dimenangi pada temasya 2009 di Vientiane, Laos.

Walaupun skuad negara dilihat keletihan dan ketiadaan jurulatih Ong Kim Swee di atas padang kerana digantung satu perlawanan, ia tidak mematahkan semangat mereka untuk berusaha mencari gol seterusnya mempamerkan aksi cemerlang.

Kim Swee dilihat duduk di kerusi penonton dengan berkomunikasi menggunakan nota kertas menerusi tukang urut, Zaidi Latif yang menjadi 'runner' sebelum memberi arahan kepada pemain menerusi pembantunya, Hassan Sazali Mohd Waras yang berada di tepi padang memberi arahan.

Jurulatih kelahiran Melaka itu terpaksa menjalani hukuman penggantungan satu perlawanan ekoran membantah keputusan pengadil dari Emiriah Arab Bersatu (UAE), Fahad Alkassar semasa pertemuan Malaysia mementang tuan rumah, Indonesia Khamis lepas (17 Nov).

Dalam perlawanan separuh akhir malam ini, Myanmar terlebih dahulu menguasai perlawanan dalam 15 minit pertama dan skuad negara dilihat sedikit goyah di barisan belakang bagi menahan asakan skuad kendalian Stefan Hasson itu.

Malaysia yang dilihat lambat panas terpaksa menunggu pada minit ke-14 untuk mula bangkit menerusi percubaan tepat yang pertama oleh Ahmad Fakhri Saarani hasil hantaran lintang Asraruddin Putra Omar namun ia berjaya dinafikan oleh penjaga gawang lawan, Thihasthu.

Malah tiga serangkai pemain hadapan negara, Ahmad Fakri, Syahrul Azwari Ibrahim dan ketua pasukan Baddrol Bakhtiar mengucar-kacirkan gawang lawan dan mendapat beberapa peluang terbaik untuk menambah gol Malaysia tetapi gagal menemui penyudah sehingga babak pertama tamat.

Antara percubaan terbaik skuad negara ialah menerusi sepakan percuma Baddrol yang dibuat lima meter dari luar kotak penalti namun ia melepasi palang lawan pada minit ke-35.

Bagaimanapun corak permainan negara berubah pada babak kedua dengan pemain negara mula membuat beberapa asakan mencari gol pembukaan akibat tekanan mula dirasai pemain bagi pencarian gol kemenangan.

Ahmad Fakri hampir memperoleh jaringan namun terlepas bola untuk menanduk ke gawang hasil hantaran cantik Mohamad Fandi Othman pada minit ke-56 dan selang empat minit kemudian Mohamad Fandi pula menguji kehebatan gawang lawan dengan melepaskan sepakan namun Thihasthu dilihat pantas menepis keluar.

Pada minit ke-70 Izzaq Faris Ramlan dibawa masuk menggantikan Syahrul Azwari dan kelihatan gandingan Izzaq dan Ahmad Fakri mula menjadi.

Penyerang Myanmar, Kyaw Ko Ko dengan dibantu pemain tengah, Min Min Thu sering kali mengucar-kacirkan pertahanan negara dan pada minit ke-64 gawang negara nyaris dirobek apabila Myanmar membuat serangan balas akibat kesilapan pertahanan namun Khairul Fahmi Che Mat berjaya menafikan setiap asakan pemain Myanmar.

Malaysia akhirnya berjaya menewaskan Thihasthu yang berpunca daripada sepakan lencong oleh Izzaq sebelum Mahali berjaya mengelirukan penjaga gol apabila bola melantun kepada Fakri. (BERNAMA)

Malaysia 1-0 Myanmar Fakri Saarani Goal


Indonesia 2-0 Vietnam All Goals

Saturday, November 19, 2011

Kementerian Kesihatan Tubuh Satu Lembaga Siasat Pesakit Alami Kecacatan

IPOH, 18 Nov- Kementerian Kesihatan akan menubuhkan satu lembaga siasatan bebas bagi menyiasat dakwaan kecuaian doktor di Hospital Raja Permaisuri Bainun (HRPB) di sini sehingga menyebabkan Nur Sofiera Natasha Muhamad Shahrim , 2, mengalami kecacatan.

Exco Kesihatan negeri, Datuk Dr Mah Hang Soon berkata hasil siasatan dalaman, bagaimanapun mendapati pesakit telah menghidap penyakit 'celebral palsy' akibat jangkitan cytomegalovirus, semasa berada dalam kandungan ibunya lagi.

Selain itu, katanya tangan kanan pesakit yang membengkak berwarna kehitaman berkemungkinan akibat kesan suntikan kalsium glukonat yang meresap keluar daripada saluran darahnya setelah ia diberikan pesakit ekoran kandungan tahap kalsium yang rendah.

"Perkara ini (bengkak kehitaman) boleh terjadi kepada mana-mana pesakit yang menerima suntikan ini walaupun ia tidak terkeluar daripada salur darahnya dan sememangnya kita berasa terkilan dengan hal ini.

"Namun begitu, beberapa pihak akan dipanggil termasuk ibu bapa pesakit untuk memberi penjelasan bagi membantu sisasatan oleh beberapa pakar kesihatan yang akan dilantik kementerian dari luar negeri Perak dan hasil laporannya dijangka siap dalam tempoh sebulan," katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang akhbar di HRPB hari ini yang turut dihadiri Pengarah Kesihatan negeri, Datuk Dr Ahmad Razin Datuk Ahmad Mahir.

Nur Sofiera Natasha telah dimasukkan ke wad pada 5 April 2009 kerana mengalami demam serta beberapa episod sawan dan kekejangan.

Selasa lalu, bapa Nur Sofiera Natasha iaitu Muhamad Shahrim Ishak, 33, dan isterinya, Husdalia Hussin, 31, mendakwa anak perempuannya itu mengalami kecacatan disebabkan kecuaian doktor di HRPB yang tersilap memberi suntikan kepada anak mereka ketika dirawat kerana demam panas, dua tahun lalu.

Pasangan tersebut yang mengadu masalah mereka kepada Menteri Besar, Datuk Seri Dr Zambry Abdul Kadir ketika sesi Hari Bertemu Pelanggan di sini baru-baru ini juga terpaksa bergilir-gilir mengendong atau meriba anak berkenaan kerana kanak-kanak itu akan menangis sekiranya diletakkan di lantai atau berada di pangkuan orang lain.( BERNAMA )

Friday, November 18, 2011

Sukan SEA : Malaysia Menang 1-0 Dengan Indonesia

JAKARTA(17 Nov)Jaringan tunggal Syahrul Azwari Ibrahim sudah cukup untuk mematahkan ego Indonesia pada saingan terakhir kumpulan A di Stadium Gelora Bung Karno di sini, untuk bertemu Myanmar pada saingan separuh akhir Sabtu ini.

Kemenangan itu menyaksikan Malaysia memintas pendahulu kumpulan A, Indonesia, dengan kelebihan satu mata untuk muncul juara kumpulan dengan memungut 10 mata.

Malah kemenangan itu dilihat memberi laluan mudah buat skuad bawah-23 bertemu naib juara kumpulan B, Myanmar, sementara tuan rumah terpaksa berpuas hati bertemu Vietnam, yang merupakan naib juara bola sepak Sukan SEA 2009 edisi Vientiane, Laos.

Skuad tuan rumah pastinya akan menerima tamparan daripada penyokong fanatik yang selama ini mahu 'mengganyang' Malaysia dalam apa jua perlawanan bola sepak.

Beraksi di depan kira-kira 100,000 lautan merah penyokong tidak melemahkan anak buah Ong Kim Swee apabila terlebih dahulu melakukan banyak gerakan menarik sebaik babak pertama bermula, selain tidak menunggu lama untuk jaringan pertama oleh pemain tengah gantian, Syahrul Azwari.

Pemain berusia 18 tahun itu, yang masuk padang selang empat minit menggantikan Wan Zaharulnizam Wan Zakaria pada minit ke-13, mudah merembat kencang menewaskan penjaga gol Indonesia Andritany Ardhiyasa, hasil serangan balas sukad negara pada minit ke-17.

Malah corak hantaran jauh untuk membuka ruang dan gerakan pantas yang dipamerkan skuad anak didik Kim Swee ini jelas banyak memberi kelebihan buat mereka untuk mengatur lebih banyak serangan balas.

Tiga serangkai pemain hadapan negara, Izzaq Faris Ramlan, Syahrul Azwari dan ketua pasukan, Baddrol Bakhtiar cekap mengganggu gawang lawan menerusi kekuatan serangan balas namun beberapa peluang terbaik untuk menambah gol Malaysia gagal menemui penyudah sehingga babak pertama tamat.

Bagaimanapun, penjaga gol negara Khairul Fahmi Che Mat dan pemain pertahanan dipaksa bekerja keras sebaik babak kedua bermula, yang menyaksikan permainan lebih agresif dipamerkan Indonesia dalam usaha mencari gol penyamaan.

Ejekan berterusan penonton terhadap pasukan negara tidak membawa kesan atau melemahkan semangat pasukan negara, sebaliknya mereka lebih bermotivasi semasa beraksi.

Bagaimanapun, perhatian teralih kepada Kim Swee, yang menimbulkan kontroversi apabila memarahi penjaga garisan kerana tidak peka apabila Syahrul Azwari dijatuhkan pemain lawan di depan pengadil itu.

Oleh kerana kelantangan suaranya, beliau diarahkan ketua pengadil keluar padang.

Peluang terbaik negara hadir pada babak terakhir, namun Izzaq Faris gagal mengambil peluang tersebut untuk menambah gol kedua kerana lariannya sering dikawal hinggakan membataskan pergerakan pemain itu.

Indonesia terus melancarkan serangan ke atas Khairul Fahmi yang mempamerkan aksi cemerlang mengawal gawang negara setelah dipaksa bekerja keras pada babak kedua bagi mengekang setiap asakan pemain.

Mengulas kemenangan bermakna itu, Kim Swee memuji semangat pemain yang tetap tenang walaupun beraksi di depan lautan merah penyokong itu.

"Apa yang kita capai hari ini berbaloi dengan kesungguhan pemain yang beraksi bermati-matian untuk memburu kemenangan demi kemenangan bagi memastikan pingat emas bola sepak tetap menjadi milik kita.

"Saya bangga dengan semangat dan kesungguhan yang ditunjukkan pemain sehingga tamat permainan kerana mereka menunjukkan peningkatan dari perlawanan pertama hinggalah hari ini," katanya.

Sementara itu, jurulatih Indonesia Rahmad Darmawan berkata beliau tidak ada alasan terhadap kekalahan pasukannya kerana Malaysia bermain lebih baik.

"Mungkin ramai penonton yang kecewa tetapi kita akan tebus kembali di separuh akhir nanti," katanya.-BERNAMA

Indonesia 0-1 Malaysia [SEA Games 2011] Syahrul Azwari Goal


Indonesia vs Malaysia [0-1] SEA Games 2011 | 1st Half Highlight


Malaysia 1-0 Indonesia [SEA Games 2011] Highlight


Sumber video dari sokernet.com