Saturday, October 27, 2012

Buang Bayi Ke Dalam Tali Air: Polis Tahan Ibu Bapa Gadis

Pelajar 17 thn

Mayat Bayi diangkat dari tali air.

Mayat Bayi

KANGAR, 26 Okt (Bernama) -- Polis menahan ibu bapa gadis berusia 17 tahun yang dipercayai membuang bayi yang baru dilahirkannya ke dalam tali air kelmarin, bagi membantu siasatan.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Perlis Supt Mohd Nashir Ya berkata pasangan suami isteri berusia lingkungan 40-an itu ditahan pukul 9.47 malam semalam.

Setakat ini polis telah menahan enam orang bagi membantu siasatan kes tersebut, katanya kepada pemberita, di sini Jumaat.

Awal pagi semalam, polis menemui mayat bayi perempuan baru dilahirkan dalam sebatang tali air di Kampung Behor Rotan Pahit, Simpang Empat selepas menerima laporan pegawai perubatan Hospital Tuanku Fauziah.

Pegawai perubatan itu membuat laporan polis selepas mengesyaki pendarahan yang dialami seorang pelajar perempuan yang dirujuk ke hospital itu pada 9.20 malam Rabu, disebabkan komplikasi bersalin.

Tuesday, October 23, 2012

UUM Anjur Seminar Pengurusan Organisasi Cemerlang Di Langkawi


UUM
ALOR SETAR, 23 Okt (Bernama) -- Jabatan Canselori Universiti Utara Malaysia (UUM) akan menganjurkan Seminar Pengurusan Organisasi Cemerlang yang bertema 'Memacu Transformasi, Melestari Kegemilangan' di Langkawi, dari 27 hingga 29 Nov ini.

Pengarah Canselori UUM Baharudin Yaacob berkata seminar bertujuan memberi pendedahan dan pemahaman kepada peserta tentang peranan kepemimpinan bagi memastikan strategi dan matlamat organisasi tercapai.

"Kita berharap seminar ini sedikit sebanyak akan dapat menjadi penggerak kepada usaha untuk melahirkan modal insan yang berkualiti serta boleh memacu transformasi organisasi ke arah kegemilangan yang berterusan.

"Melalui seminar ini juga, ia akan membantu peserta memahami kaedah pengurusan cemerlang melalui kreativiti dan inovasi dalam pengurusan serta memahami kaedah untuk merealisasikan budaya kerja kelas pertama," katanya dalam kenyataan, di sini pada Selasa.

Beliau berkata melalui seminar itu, peserta akan dapat mempertingkatkan lagi pengetahuan untuk mencapai kecemerlangan organisasi dan juga keluarga.

PNM Perlis Juarai Kejohanan Sukan JKPKPKK

KANGAR, 23 Okt (Bernama) -- Kejohanan Sukan Jawatankuasa Penyelaras Kementerian Penerangan Komunikasi dan Kebudayaan (JKPKPKK) Perlis kali ini menyaksikan Perpustakaan Negara Malaysia (PNM) Perlis muncul juara.

Pasukan PNM Perlis menguasai beberapa acara sukan termasuk badminton selain naib juara futsal dan takraw, sekali gus melayakkanya muncul juara keseluruhan temasya 18 hari itu yang bermula 2 Okt.

Pengarah Penerangan Perlis Mohamed Lokman Mahmud yang juga Pengerusi JKPKPKK menyampaikan hadiah kepada Pengarah PNM Perlis Norma Mohd Darus pada majlis makan malam, di sini malam tadi.

Majlis itu turut diserikan dengan persembahan kebudayaan oleh setiap agensi yang menyertai kejohanan tersebut.

Sukan JKPKPKK diperkenalkan sejak 2008 dengan setiap jabatan dan agensi di bawah Kementerian Penerangan Komunikasi dan Kebudayaan termasuk Pertubuhan Berita Nasional Malaysia (Bernama) menyumbang piala.

Tahun ini temasya sukan itu dianjur PNM Perlis manakala untuk kejohanan 2013, Jabatan Kebudayaan dan Kesenian Perlis dipilih menjadi tuan rumah.