Friday, May 22, 2020

Platform terbaharu jualan online unifi rancakkan perniagaan PKS


KUALA LUMPUR: Memasuki fasa baharu era milenium dengan pelbagai pembangunan yang mengadaptasikan teknologi maju telah turut mengubah corak kehidupan masyarakat dalam segenap aspek.


Malaysia yang mempunyai ekonomi dinamik selain dilihat maju dalam aspek infrastruktur teknologi digital telah menjadi tumpuan dalam pasaran e-dagang di rantau Asia Tenggara.



Negara mencatatkan sebanyak 25.84 juta pengguna aktif internet iaitu mewakili sekitar 80 peratus daripada keseluruhan populasi rakyat Malaysia dengan kadar peratusan ekstrem bagi penembusan peranti.


Pertumbuhan trajektori yang dijangka berlaku pada tahun ini dengan dipacu galakan pembelian secara online ketika tempoh krisis pandemik Covid-19, wajar dimanfaatkan oleh para usahawan tempatan khususnya perusahaan kecil dan sederhana (PKS).


Prihatin terhadap kesan yang terpaksa ditanggung oleh syarikat-syarikat PKS ketika ini, unifi memperkenalkan portal unifi Ramadan Raya bagi merancakkan semula perniagaan sektor tersebut.


Ini antara sebab mengapa unifi adalah rakan perniagaan anda:


1. unifi Ramadan Raya memberi peluang kepada para usahawan PKS dan vendor mikro tempatan untuk menyertai secara percuma selain dapat mempromosikan produk dengan lebih efektif menerusi portal itu

2. Menyediakan platform perniagaan menyeluruh secara percuma daripada pelbagai kategori bisnes disediakan termasuk fesyen dan aksesori, makanan dan minuman serta kelengkapan rumah.

3. Ruang e-bazaar yang diwujudkan dapat menghubungkan pelanggan bagi perolehan capaian produk lebih berkesan. Ia sekali gus merangsang jualan para usahawan dalam tempoh Ramadan ini.

4. Platform disediakan unifi telah menghubungkan pelanggan secara terus ke akaun atau link perniagaan usahawan, sekali gus mengurangkan tempoh bagi urusan tempahan atau pembelian.




Dalam pada itu, Pengasas Familia Fried Chicken, Muhammad Nazmi Jamil yang turut menyertai platform unifi Ramadan Raya ini berkata, inisiatif yang dilaksanakan unifi membantu merancakkan perniagaannya saat dilanda pandemik Covid-19.


“Sejak memasarkan perniagaan di portal ini, kami menyaksikan permintaan yang menggalakkan daripada pelanggan, malah berjaya menarik minat pelanggan baharu untuk mencuba menu yang disediakan.

“Meskipun baru sahaja menyertai unifi Ramadan Raya, kami dapat melihat peningkatan 50 peratus jualan menerusinya. Justeru itu, kami menyarankan supaya rakan usahawan yang lain untuk memanfaatkan platform disediakan ini,” katanya kepada Awani di sini.

Trend pembelian secara online yakin bertumbuh pada masa hadapan. Oleh demikian adalah amat penting untuk para usahawan mengadaptasikan penggunaan medium ini dalam merangsang perolehan syarikat selain memastikan mereka rintang krisis.

Tambah beliau, pihaknya berharap untuk syarikat-syarikat berkaitan di Malaysia untuk mengikuti langkah sama yang dilaksanakan oleh unifi dalam menyediakan inisiatif seperti ini bagi membantu para usahawan PKS tempatan agar kekal berdaya tahan. (Bernama)

Wednesday, May 20, 2020

Kakak ini menjana pendapatan RM8,700 dari Youtube.

Video Pertama "Pavithra" 

Youtuber Masakan S Pavithra -Foto Bernama
LUPAKAN sekejap hal-hal politik yang banyak drama dan tikam-menikam sejak beberapa bulan ini.

Merak Jalanan tertarik dengan kisah saluran video YouTube masakan sepasang suami isteri berketurunan India yang kini menjadi bualan ramai di internet.

Lebih daripada sekadar belajar memasak, terdapat 1,001 kisah menarik yang boleh kita pelajari daripada perjalanan kisah video rakyat Malaysia, S Pavithra, 28, dan suaminya, M Sugu, 29.

Ia kisah bagaimana seorang wanita berketurunan India yang fasih berbahasa Melayu sehingga hampir keseluruhan videonya menggunakan bahasa kebangsaan.

Kisah bagaimana polos dan rendahnya hati Pavithra, wanita dari kampung Sungai Siput, Perak yang sangat lembut dalam setiap tutur bicaranya.

Dan kisah bagaimana revolusi industri mampu mengubah kehidupan seseorang walaupun berada jauh di ceruk estet.

Bermula dengan video suka-suka selepas diajar seorang rakan, sejak awal tahun ini, Pavithra mula merakam dan memuat naik video masakannya di YouTube.

Sekali imbas videonya sangat amatur, tanpa suntingan canggih jauh sekali dilengkapi animasi menarik.

Tetapi ternyata Pavithra menambat hati rakyat Malaysia dengan cara tersendiri. Keringkasan videonya itulah yang memancarkan keikhlasan dan kerendahan hatinya.

Sekelip mata sahaja kisah Pavithra menjadi tular sehinggakan turut menarik minat pasangan Jepun yang menetap di Hong Kong untuk mencuba resipi kari ayamnya.

Namun, apa yang lebih menarik jika dulu Pavithra bergantung kepada pendapatan suaminya yang bekerja di ladang dengan gaji RM1,000 sebulan, namun sejak bulan lalu semuanya berubah.

Hanya dengan telefon pintar, akses internet dan usaha gigih, saluran YouTube Pavithra yang kini mempunyai 551,000 pengikut membolehkan wanita itu memperoleh pendapatan RM8,700 bulan lalu.- (Sinar Harian)

Sunday, May 17, 2020

Mukhriz umum lepas jawatan MB Kedah berkuat kuasa serta merta


ALOR SETAR: Datuk Seri Mukhriz Mahathir hari ini mengumumkan meletak jawatan sebagai Menteri Besar Kedah berkuat kuasa serta-merta.
Peletakan jawatan itu sekali gus membawa kepada pembubaran pentadbiran kerajaan negeri yang disertai 10 Ahli Majlis Mesyuarat Negeri (Exco) Kedah dari kerajaan Pakatan Harapan campur Bersatu.
Timbalan Presiden Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) itu berkata, beliau dimaklumkan telah hilang sokongan majoriti Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) di Kedah. 
"Pagi ini saya telah sembah maklum kepada Tuanku Sultan bahawa atas sebab saya telah kehilangan kepercayaan majoriti dalam kalangan ADUN, maka dengan ini saya melepaskan jawatan sebagai Menteri Besar Negeri Kedah Darul Aman berkuatkuasa serta merta.
Sebelum ini, 23 ADUN Kedah telah membentuk gabungan Perikatan Nasional (PN) iaitu 15 dari Pas, 4 dari Bersatu, 2 dari Barisan Nasional (UMNO) dan 2 Bebas. 
Sehubungan itu, menurut Mukhriz, beliau akan bersama 12 ADUN Pakatan Harapan yang lain, termasuk satu dari Bersatu, berada di blok pembangkang sehingga DUN Kedah dibubarkan kelak.
Bagaimanapun, katanya, kedudukan Ketua Pembangkang di DUN Kedah masih belum diputuskan.
"Dengan peletakan jawatan saya sebagai MB, semua jawatan Exco negeri juga tergugur," tambahnya.
(Bernama)