Sunday, May 17, 2020

Mukhriz umum lepas jawatan MB Kedah berkuat kuasa serta merta


ALOR SETAR: Datuk Seri Mukhriz Mahathir hari ini mengumumkan meletak jawatan sebagai Menteri Besar Kedah berkuat kuasa serta-merta.
Peletakan jawatan itu sekali gus membawa kepada pembubaran pentadbiran kerajaan negeri yang disertai 10 Ahli Majlis Mesyuarat Negeri (Exco) Kedah dari kerajaan Pakatan Harapan campur Bersatu.
Timbalan Presiden Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) itu berkata, beliau dimaklumkan telah hilang sokongan majoriti Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) di Kedah. 
"Pagi ini saya telah sembah maklum kepada Tuanku Sultan bahawa atas sebab saya telah kehilangan kepercayaan majoriti dalam kalangan ADUN, maka dengan ini saya melepaskan jawatan sebagai Menteri Besar Negeri Kedah Darul Aman berkuatkuasa serta merta.
Sebelum ini, 23 ADUN Kedah telah membentuk gabungan Perikatan Nasional (PN) iaitu 15 dari Pas, 4 dari Bersatu, 2 dari Barisan Nasional (UMNO) dan 2 Bebas. 
Sehubungan itu, menurut Mukhriz, beliau akan bersama 12 ADUN Pakatan Harapan yang lain, termasuk satu dari Bersatu, berada di blok pembangkang sehingga DUN Kedah dibubarkan kelak.
Bagaimanapun, katanya, kedudukan Ketua Pembangkang di DUN Kedah masih belum diputuskan.
"Dengan peletakan jawatan saya sebagai MB, semua jawatan Exco negeri juga tergugur," tambahnya.
(Bernama)