Wednesday, August 25, 2010

Monday, August 23, 2010

Cara Tradisi Membuat Rempeyek Dikekalkan

KULIM-Ketika pengusaha kuih rempeyek beralih kepada cara moden untuk menghasilkannya, Halimah Che Rus, 46, dari Kampung Syed Sheh di sini terus mengekalkan cara tradisional menghasilkan kuih tersebut berikutan ramai pelanggannya yang lebih berminat dengan cara itu.

"Tidaklah banyak sangat jumlah rempeyek yang dapat saya sediakan, lebih-lebih lagi bekerja sendirian tetapi mampu menghasilkan hampir 50,000 keping rempeyek yang dipesan pelanggan tetap," kata beliau yang membahasakan dirinya Mah Ngah ketika ditemui di rumahnya pada hari Isnin.

Isteri kepada seorang pesara guru Zainol Che Mat, 71, Halimah telah membuat dan menjual makanan tradisional ini secara komersial sejak lima tahun lalu dan dalam tempoh tersebut juga beliau mampu membeli sebuah kereta terpakai Perodua Kancil yang berharga lebih RM25,000 yang dibeli secara tunai, hasil kerja kerasnya itu.

Katanya beliau sering mendapat tempahan daripada pelbagai pertubuhan sukarela dan jabatan kerajaan dan rumah kenduri yang telah mengetahui usaha kecil-kecilan yang telah dijalankanya itu.

Halimah yang mendapat galakan daripada suaminya dalam usahanya ini, membuat tiga jenis rempeyek bergantung kepada pilihan pelanggan iaitu rempeyek ikan bilis dan kacang tanah, rempeyek kacang dal dan rempeyek kacang tanah.

"Dalam seminggu saya menggunakan kira-kira 20 kilogram tepung beras dan bahan-bahan lain seperti kacang tanah, ikan bilis, kacang dal, jintan manis, jinta putih dan telur yang diperlukan dalam menu saya ini," kata beliau.

Katanya rempeyek buatannya pernah dibawa oleh satu keluarga ke Pakistan dan sering mendapat tempahan daripada pelanggan-pelanggannya daripada kalangan keluarga tentera di Kem Lapangan Terbang, Sungai Petani, Kelantan, Sabah dan Sarawak.

"Tahun ini saya mendapat tempahan hampir 80,000 keping daripada pelanggan tetapi oleh kerana kekurangan tenaga pembantu untuk menyediakanya, saya hanya mampu menunaikan tempahan sebanyak 50,000 saja," katanya.

Halimah berkata bagi memenuhi pesanan daripada pelanggannya, setiap hari beliau mengambil masa hampir 10 jam bertungkus lumus menyiapkan tempahan yang dipesan dengan antara 700 dan 800 keping sehari dan dijangka siap empat atau lima hari sebelum hari raya.

Beliau berkata selain rempeyek beliau juga seringkali mendapat tempahan untuk menyediakan kek cawan yang kini semakin popular sebagai buah tangan kenduri kahwin.

Orang ramai yang ingin menempah rempeyek tradisional serta kek cawan bolehlah megnhubungi Halimah di talian 019-5209528 atau 013-4250811 (Zainol Che Mat).(BERNAMA)