Wednesday, October 14, 2009

Wanita Thailand Geng Samun Bersenjata Api Ditembak Mati

BUKIT MERTAJAM-- Polis menembak mati seorang wanita anggota geng samun bersenjata api yang sangat dikehendaki dalam kejadian berbalas tembak di Taman Pearl di sini, malam Selasa.

Ketua Polis negeri Datuk Ayub Yaakob berkata wanita berusia 34 tahun yang dipercayai mempunyai hubungan dengan ketua kumpulan terbabit adalah rakyat Thailand dan berdasarkan rekod dia terlibat dalam beberapa kes jenayah seperti samun bersenjata api, culik dan pengedaran dadah.

Polis menemui sepucuk pistol dan beberapa butir peluru di dalam kereta yang dinaiki wanita itu, katanya kepada pemberita ketika ditemui di tempat kejadian awal pagi Rabu.

Beliau berkata operasi polis pada pukul 11.15 malam tadi dibuat hasil risikan sejak beberapa minggu lepas dan wanita itu mulanya dikesan berada dalam sebuah kereta di perkarangan sebuah rumah di taman berkenaan.

"Suspek yang menyedari diperhatikan polis cuba melarikan diri dengan bertindak memandu kereta jenis Waja menuju ke kawasan tokong berhampiran taman berkenaan dan cuba memecut keretanya ke laluan lain, tetapi berjaya dipintas polis.

"Sebaik diminta menyerah diri, wanita terbabit melepaskan tembakan ke arah polis yang mengenai cermin sebelah tepi serta belakang kereta polis. Tindakan wanita itu menyebabkan polis terpaksa melepaskan tembakan balas," katanya.

Beliau berkata siasatan awal polis mendapati kereta yang dipandu wanita itu menggunakan nombor pendaftaraan palsu dan dipercayai dicuri di negeri ini.

"Selain itu terdapat sebuah motosikal di rumah berkenaan dan kami dapati ia di curi di Kulim, Kedah. Kami tidak menolak kemungkinan kumpulan berkenaan menggunakan rumah terbabit sebagai tempat berkumpul atau tinggal di situ," katanya.

Ayub berkata berdasarkan siasatan awal juga, polis percaya kumpulan terbabit terlibat dalam kes penjualan dan penyeludupan senjata api yang dibawa masuk dari negara jiran untuk diedar di negara ini.

"Siasatan juga mendapati mereka selalu berulang alik dari negara jiran, dipercayai untuk membawa masuk senjata api. Mereka ini satu kumpulan yang sangat bahaya," katanya.

Sehubungan itu, Ayub berkata polis kini memburu empat lagi anggota kumpulan itu yang telah dikenalpasti dan polis juga menjalankan siasatan terhadap beberapa premis sekitar Bukit Mertajam kerana disyaki terlibat dengan kegiatan jenayah kumpulan terbabit.(BERNAMA)

Akibat Dihimpit Kemiskinan, Keluarga Daif Tinggal Di Kandang Lembu

BUTTERWORTH - Akibat dihimpit kemiskinan, tiga beranak yang tinggal di kawasan perindustrian Perai terpaksa menjadikan sebuah kandang lembu di kawasan itu sebagai kediaman mereka.

Lebih menyedihkan, tiga beranak itu terpaksa berkongsi tempat tinggal dengan empat ekor lembu peliharaan mereka di kandang seluas 30meter panjang dan 24m lebar itu.

Jusvinder Kaur, 41, abangnya Surjinder Singh, 51, dan ibu mereka, Balwant Kaur, 82, tinggal di kandang lembu yang terletak berhampiran dengan landasan keretapi sejak 10 tahun lalu setelah tidak mampu lagi untuk menyewa rumah kerana kesempitan hidup.

Ketika ditemui pemberita di "kediaman" mereka di sini, Jusvinder berkata, selain tidur di kandang lembu itu, memasak dan membasuh pakaian juga dilakukan di situ.

Jusvinder berkata, keluarganya terpaksa menjual 100 ekor lembu yang dipelihara sebelum ini serta membelanjakan kesemua wang simpanan yang ada untuk membiayai rawatannya.

"Bagaimanapun, penyakit saya ini tidak juga sembuh walaupun telah menjalani rawatan moden dan juga tradisional. Semua wang yang ada digunakan untuk mengubati penyakit saya dan kami tidak mampu lagi untuk menyewa rumah," katanya.

Jusvinder, yang mengalami penyakit otot kronik itu sejak 1993, terpaksa dibantu ibu dan abangnya untuk menguruskan dirinya setiap hari.

"Saya sukar menggerakkan tangan dan kaki dan terpaksa dibantu oleh ibu dan abang untuk mandi dan menukar pakaian setiap hari. Ada kalanya saya langsung tidak boleh bergerak jika penyakit ini semakin teruk," katanya dengan nada sedih.

Lebih malang lagi nasib keluarga itu, Surjinder pula menghidap penyakit hati yang kronik dan tidak berupaya untuk bekerja kuat.

"Dulu kami hidup selesa dengan menyewa sebuah rumah di kawasan berhampiran tetapi sejak menghidap penyakit ini ibu terpaksa berbelanja duit yang banyak sehingga kami tidak mampu menyewa rumah dan terpaksa tinggal di kandang lembu ini", kata Jusvinder.

Walaupun mendapat bantuan daripada Jabatan Kebajikan Masyakat (JKM) sebanyak RM300 sebulan, namun jumlah itu tidak mencukupi kerana terpaksa membelanjakan RM200 setiap bulan untuk membeli ubat bagi penyakitnya.

"Kadang-kadang kami mendapat bantuan makanan dari kawan-kawan yang memberi sayur-sayuran dan barang keperluan dapur", kata Jusvinder.

Sementara itu, Pengerusi Malaysia Hindu Sangam cawangan Seberang Jaya, M.Muniandy yang melawat keluarga itu berkata, setakat ini hanya persatuan itu, JKM serta Pusat Sai Baba Jalan Maklum, Pulau Pinang yang membantu keluarga berkenaan.

Sehubungan itu, orang ramai yang ingin menyalurkan bantuan kepada keluarga berkenaan boleh menghubunginya melalui talian 016-4699652 atau A.Andy melalui talian 016-4840347 atau 016-4404840.( BERNAMA)