Wednesday, October 14, 2009

Akibat Dihimpit Kemiskinan, Keluarga Daif Tinggal Di Kandang Lembu

BUTTERWORTH - Akibat dihimpit kemiskinan, tiga beranak yang tinggal di kawasan perindustrian Perai terpaksa menjadikan sebuah kandang lembu di kawasan itu sebagai kediaman mereka.

Lebih menyedihkan, tiga beranak itu terpaksa berkongsi tempat tinggal dengan empat ekor lembu peliharaan mereka di kandang seluas 30meter panjang dan 24m lebar itu.

Jusvinder Kaur, 41, abangnya Surjinder Singh, 51, dan ibu mereka, Balwant Kaur, 82, tinggal di kandang lembu yang terletak berhampiran dengan landasan keretapi sejak 10 tahun lalu setelah tidak mampu lagi untuk menyewa rumah kerana kesempitan hidup.

Ketika ditemui pemberita di "kediaman" mereka di sini, Jusvinder berkata, selain tidur di kandang lembu itu, memasak dan membasuh pakaian juga dilakukan di situ.

Jusvinder berkata, keluarganya terpaksa menjual 100 ekor lembu yang dipelihara sebelum ini serta membelanjakan kesemua wang simpanan yang ada untuk membiayai rawatannya.

"Bagaimanapun, penyakit saya ini tidak juga sembuh walaupun telah menjalani rawatan moden dan juga tradisional. Semua wang yang ada digunakan untuk mengubati penyakit saya dan kami tidak mampu lagi untuk menyewa rumah," katanya.

Jusvinder, yang mengalami penyakit otot kronik itu sejak 1993, terpaksa dibantu ibu dan abangnya untuk menguruskan dirinya setiap hari.

"Saya sukar menggerakkan tangan dan kaki dan terpaksa dibantu oleh ibu dan abang untuk mandi dan menukar pakaian setiap hari. Ada kalanya saya langsung tidak boleh bergerak jika penyakit ini semakin teruk," katanya dengan nada sedih.

Lebih malang lagi nasib keluarga itu, Surjinder pula menghidap penyakit hati yang kronik dan tidak berupaya untuk bekerja kuat.

"Dulu kami hidup selesa dengan menyewa sebuah rumah di kawasan berhampiran tetapi sejak menghidap penyakit ini ibu terpaksa berbelanja duit yang banyak sehingga kami tidak mampu menyewa rumah dan terpaksa tinggal di kandang lembu ini", kata Jusvinder.

Walaupun mendapat bantuan daripada Jabatan Kebajikan Masyakat (JKM) sebanyak RM300 sebulan, namun jumlah itu tidak mencukupi kerana terpaksa membelanjakan RM200 setiap bulan untuk membeli ubat bagi penyakitnya.

"Kadang-kadang kami mendapat bantuan makanan dari kawan-kawan yang memberi sayur-sayuran dan barang keperluan dapur", kata Jusvinder.

Sementara itu, Pengerusi Malaysia Hindu Sangam cawangan Seberang Jaya, M.Muniandy yang melawat keluarga itu berkata, setakat ini hanya persatuan itu, JKM serta Pusat Sai Baba Jalan Maklum, Pulau Pinang yang membantu keluarga berkenaan.

Sehubungan itu, orang ramai yang ingin menyalurkan bantuan kepada keluarga berkenaan boleh menghubunginya melalui talian 016-4699652 atau A.Andy melalui talian 016-4840347 atau 016-4404840.( BERNAMA)