Sunday, April 29, 2007

Sumbangan PKS Dalam Kdnk Di Jangka Meningkat 5 Peratus Menjelang 2010

JITRA-Perusahaan Kecil dan Sederhana (PKS) dijangka menyumbang 37 peratus kepada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) atau peningkatan lima peratus menjelang 2010.

Pengarah Kewangan dan Pemantauan Perbadanan Pembangunan Perusahaan Kecil dan Sederhana (SMIDEC), Fozian Ismail berkata sektor itu menyumbang 32 peratus kepada KDNK pada 2005.

"Jumlah itu cukup besar dan penting kepada ekonomi negara memandangkan ia turut menyumbang 56.4 peratus gunatenaga pada 2005," katanya kepada pemberita sewaktu ditemui pada bengkel teknikal program peningkatan keupayaan PKS Kedah di Pusat Pembangunan PKS Lembaga Pembangunan Kedah (KEDA), dekat sini hari ini.

Bengkel sehari anjuran SMIDEC dan Unit Perancangan Ekonomi Kedah (UPEN) itu, dirasmikan oleh Pengerusi Jawatankuasa Pertanian dan Industri Asas Tani dan Usahawan Kedah, Datuk Dr Shuib Saedin.

Menurut Fozian, gunatenaga PKS dijangka meningkat kepada 57 peratus pada 2010.

Katanya daripada 518,954 syarikat yang berdaftar pada 2005, 33,113 syarikat melibatkan PKS dan 29 peratus menyumbang keluaran dalam sektor pembuatan dan 31 peratus nilai tambah.

"Eksport utama sektor PKS negara iaitu produk herba untuk kesihatan, makanan dan bahan kimia ke negara-negara Asean dan Amerika Syarikat, dijangka meningkat kepada 27 peratus tahun ini berbanding 19 peratus pada 2005," kata Fozian.

Beliau berkata produk tersebut mudah menembusi pasaran asing terutama Amerika Syarikat kerana memenuhi piawaian yang ditetapkan kerajaan.

Dr Shuib dalam ucapannya pula berkata kira-kira 3,000 syarikat PKS di Kedah hanya menyumbang 6.5 peratus kepada sektor PKS negara, dengan Selangor menyumbang paling tinggi iaitu sebanyak 18.5 peratus.

"Kelemahan perancangan sumber, keupayaan pengurusan, pengurusan kewangan serta kemahiran pemasaran dan teknikal menyebabkan banyak pengusaha PKS gagal," katanya.

Menurut Dr Shuib kerajaan menyedari potensi dan sumbangan sektor PKS kepada ekonomi negara dan menyediakan pelbagai bantuan dan pinjaman kepada mereka.

Katanya pengusaha perlu berusaha membina budaya untuk bersaing di peringkat global dengan meningkatkan kesedaran, inovasi, kemahiran berkomunikasi selain mengukuhkan jenama tempatan.

Hampri 100 pengusaha PKS dari seluruh negeri menghadiri bengkel sehari itu yang membincangkan enam kertas, termasuk oleh SME Bank, SIRIM, SMIDEC dan Mara.-(BERNAMA)

Sebanyak 102 Ajaran Sesat Telah Dihapuskan - Jakim

LANGKAWI-Sebanyak 102 ajaran sesat di negara ini telah dihapuskan namun masih wujud 22 lagi ajaran yang sedang dipantau, kata Ketua Pengarah Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim), Datuk Mustaffa Abdul Rahman hari ini.

Beliau berkata, ajaran sesat yang sedang dipantau itu turut disertai oleh golongan profesional yang terlalu ghairah untuk mencari jalan mudah ke syurga.

Bercakap kepada para pemberita di sini hari ini, beliau berkata, punca utama mereka terpengaruh kepada ajaran sesat ialah tahap pengetahuan agama yang rendah.Beliau berharap jabatan agama Islam di negeri-negeri akan sentiasa bekerjasama terutama dalam pertukaran maklumat bagi memudahkan tindakan menangani gejala ajaran sesat itu.

Sebagai contoh beliau berkata jika ada pengikut ajaran sesat melarikan diri ke negeri tertentu, tindakan mengesannya dapat dilakukan dengan lebih mudah melalui kerjasama itu.

Mustaffa yang ditemui pada persidangan ketua-ketua jabatan agama Islam seluruh Malaysia ke-73 di sini hari ini berkata, para pengikut ajaran sesat akan diberi kaunseling dan dihantar menjalani pemulihan di Pusat Pemulihan Akidah di Negeri Sembilan dan Selangor.

Selepas menjalani pemulihan itu, kebanyakan mereka telah kembali ke pangkal jalan, katanya.Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Mahdzir Khalid merasmikan persidangan selama tiga hari yang dihadiri 50 peserta itu.-(BERNAMA)

Pengamal Perubatan Tradisional Cina Mula Operasi Di Hospital Julai Ini

BUTTERWORTH-Pengamal perubatan tradisional Cina dari negara China akan memulakan perkhidmatan perubatan sokongan tradisional untuk pesakit di tiga hospital kerajaan di negara ini, Julai ini.

Menteri Kesihatan Datuk Seri Dr Chua Soi Lek berkata tiga hospital yang dipilih untuk memulakan projek perintis itu ialah Hospital Kepala Batas di Pulau Pinang, Hospital Pandan Johor Baharu dan Hospital Putrajaya.

"Kita harap para pengamal perubatan tradisional itu dapat memberi latihan jangka pendek kepada doktor-doktor tempatan dalam usaha mewujudkan sistem penjagaan kesihatan bersepadu," katanya kepada pemberita selepas menghadiri perjumpaan dengan Persatuan Perubatan Tradisional Cina Wilayah Utara di sini, semalam.

Beliau berkata kementerian bagaimanapun menetapkan semua kaedah perubatan tradisional yang akan digunakan di hospital itu harus mematuhi kod ektika yang diperkenalkan supaya ia dapat memberi keyakinan kepada pesakit.

Chua berkata antara perkhidmatan rawatan tradisional yang dibenarkan ialah ubat-ubatan tradisional Cina, akupuntur, urutan dan terapi sampingan.

Beliau berkata selepas memperkenalkan rawatan tradisional Cina, kerajaan juga akan membawa kaedah rawatan tradisional dari Indonesia dan India sebagai perubatan sokongan di hospital-hospital kerajaan.

"Kita akan membangunkan perubatan tradisional itu secara berperingkat tetapi kaedah rawatan itu harus mengutamakan etika yang diperkenalkan bagi memberi keyakinan mengenai perubatan itu," katanya.

Chua turut menggesa pengamal perubatan tradisional di negara ini supaya mendaftar dengan kementeriannya untuk mendapat pengiktirafan.

Beliau berkata setakat ini sebanyak 7,000 jenis perubatan tradisional telah berdaftar dengan Kementerian Kesihatan termasuk 4,900 perubatan tradisional Cina, 175 perubatan tradisional Melayu dan 69 jenis perubatan India serta 1,200 perubatan sampingan seperti urutan tradisional.

Kementerian juga telah mengiktiraf 219 jenis perubatan tradisional dari luar negara termasuk Thailand, India dan China, katanya.

"Sehingga Mac lepas, sebanyak 17,179 produk ubat tradisional telah diiktiraf dan daripada jumlah itu sebanyak 60 peratus adalah buatan tempatan. Terdapat 161 kilang pengeluar ubat tradisional di negara ini telah berdaftar dengan kementerian," kata Chua.-(BERNAMA)

Saturday, April 28, 2007

Pelajar Keracunan Makanan Dikejarkan Ke Hospital

Sungai Petani-48 pelajar Sekolah Menengah Sains Sultan Mohd Jiwa Sungai Petani dikejarkan ke Hospital Sultan Abdul Halim malam tadi kerana keracunan makanan.Difahamkan pelajar-pelajar terbabit mengalami cirit birit, demam, sakit perut, muntah, loya dan pening kepala. Berikutan kejadian tersebut sebanyak 23 pelajar telah dimasukkan ke wad pemerhatian.

Guru pelajar terbabit semasa ditemui di hospital berkenaan enggan membuat sebarang penjelasan dan pelajar terbabit juga enggan ditemubual.

Bagaimanapun kesemua yang dimasukkan ke wad pemerhatian itu telah dibenarkan pulang hari ini selepas mendapat rawatan dan diberikan ubat.
Pada 16 April lalu 18 pelajar Sekolah Rendah Jenis Kebangsaan (Tamil) Kalaimagal, Sungai Petani membuka tirai kes keracunan makanan di negeri Kedah.
Sehari kemudian sebanyak 30 pelajar Sekolah Kebangsaan Peremba, Jalan Kuala Kedah mengalami masalah yang sama manakala pada 25 April lalu, sebanyak 50 pelajar Sekolah Kebangsaan Kota Kuala Muda turut mengalami keracunan makanan. Ketiga-tiga kes itu dikaitkan dengan susu bantuan kerana kejadian berlaku selepas para pelajar itu meminum susu yang dbekalkan oleh pihak sekolah.

Peluru Berpandu Gagal Berfungsi Tak Membahayakan, Kata Panglima TLDM

Saturday, April 28, 2007
LUMUT-Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) tidak akan memusnahkan peluru berpandu Sea Skua miliknya, yang kini berada di dasar laut Selat Melaka setelah ia gagal berfungsi dalam ujian tembakan pada 16 Mac tahun lepas, kerana ia sudah tidak aktif.

Panglima TLDM Laksamana Datuk Seri Ramlan Mohamed Ali berkata peluru berpandu buatan Eropah itu berada di lokasi yang sangat dalam dan kawasan itu amat berlumpur.


"Kita juga jamin peluru itu tidak membahayakan mana-mana pihak. Kawasan itu juga sangat berlumpur dan ia menyukar operasi kerja pemusnahan sekiranya ia dilakukan serta menelan kos yang banyak," katanya kepada pemberita selepas menghadiri sambutan Hari TLDM ke-73 di KD Pelandok di sini.

Pada ujian berkenaan, peluru berpandu itu dilepaskan dari sebuah helikopter disasarkan ke arah sebuah bangkai kapal tetapi ia gagal mengenai sasaran dan jatuh ke laut tanpa meletup.

TLDM sebelum ini menjelaskan bahawa peluru berpandu itu tidak akan meletup secara tiba-tiba kecuali jika berlaku hentakan kuat terhadap muncungnya.

Ramlan berkata TLDM telah menerima laporan teknikal daripada syarikat Eropah yang membekalkan peluru berpandu itu, Matra Bae Dynamic (MBDA), dan telah menganalisis laporan berkenaan.

"Memang ada beberapa perkara yang kurang memuaskan hati TLDM tetapi kita mencari jalan untuk menyelesaikannya.

Laporan itu juga mengatakan ia adalah masalah teknikal pada peluru itu dan juga masalah pembekalan," katanya.

Ramlan berkata TLDM akan melakukan satu lagi ujian peluru berpandu Sea Skua dalam tempoh tahun ini.-(BERNAMA)

MCMC Boleh Dedahkan Dalang Skim Cepat Kaya Menerusi Internet

Saturday, April 28, 2007
BUKIT MERTAJAM-Mangsa penipuan skim saham cepat kaya menerusi internet digesa supaya tampil membuat aduan kepada Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) jika mereka ingin mengetahui dalang di sebalik skim itu.

Pengerusi MCMC Datuk Dr Halim Shafie berkata, suruhanjaya itu boleh menyiasat siapa yang terbabit dalam kegiatan salahguna internet di bawah Seksyen 131 Akta Komunikasi dan Multimedia dan mendedahkan pihak bertanggungjawab itu.

"Setakat ini kita tidak menerima sebarang aduan, dan kita tidak bertindak kecuali mendapat aduan," kata beliau kepada pemberita selepas merasmikan Pusat Kawalan Spektrum Negara (NASMOC) bagi stesen Wilayah Utara di sini.

Katanya, MCMC dapat mengesan dan mengenalpasti pemilik laman web berkenaan dan boleh mengesahkan sama ada ia didaftar di negara ini atau di luar negara kerana suruhanjaya mempunyai maklumat semua pemilik laman web.

Baru-baru ini beribu-ribu rakyat Malaysia kerugian ribuan ringgit ekoran diperdayakan oleh penganjur pelbagai skim pelaburan menerusi internet yang menjanjikan keuntungan berlipat ganda.

Halim berkata, mangsa penipuan skim itu kemungkinan tidak membuat aduan kepada MCMC dan mereka terus menghubungi Bank Negara memandangkan kesalahan mengutip wang orang ramai secara tidak sah adalah di bawah bidang kuasa bank pusat itu.

Katanya, Bank Negara mempunyai bidang kuasa pendakwaan dan MCMC pula boleh mendedahkan dalang yang menjalankan kegiatan penipuan itu.

Beliau berkata, kegiatan itu dapat dibendung jika orang ramai menghubungi pihaknya untuk memberi maklumat awal mengenai sebarang kegiatan penipuan dalam internet.

Halim berkata, kes seumpama itu dapat dibanteras sama seperti MCMC dulu mengatasi kes penyebaran fitnah dan ugutuan menerusi penghantaran khidmat pesanan ringkas (SMS).

"Kita telah atasi kes-kes penghantaran pesanan ringkas (SMS) apabila semua pemilik kad pra bayar telah diwajibkan daftar dan akhir tahun lepas, kegiatan itu telahpun dibendung dan jika terdapat aduan, kita terus boleh mengesahkan penghantarnya," kata beliau.

Pada majlis perasmian NASMOC itu Halim berkata, pusat berkenaan akan dibuka di seluruh negara mulai Jun depan bagi memastikan rakyat di seluruh negara mendapat laluan internet tanpa wayar dengan mudah.

NASMOC ialah sebuah pusat pemantauan laluan spektrum yang boleh mengesan gelombang tanpa wayar sejauh 60 kilometer di sesebuah kawasan.Beliau berkata, MCMC memperuntukkan sebanyak RM50 juta bagi memasang menara gelombang dan NASMOC.

Katanya, sehubungan itu, kerajaan negeri dan Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) digesa mempermudahkan cara bagi pemasangan menara gelombang untuk membolehkan semua kawasan di negara ini mempunyai kemudahan akses kepada gelombang tanpa wayar.

Beliau berkata, kerajaan sering bercakap mengenai kemudahan talian tanpa wayar kepada rakyat di negara ini tetapi masih terdapat kerajaan negeri dan PBT yang tidak begitu membantu dalam usaha MCMC untuk memasang menara terutamanya di kawasan bandar.-(BERNAMA)

Thursday, April 26, 2007

BMW Tawar Penyelesaian Pembiayaan Kepada Pelanggan

KUALA LUMPUR, 24 April (Bernama) -- BMW Group akan menawarkan pembeli BMW sumber pembiayaan dan jualan setempat berikutan penyelesaian pengambilalihan SimeLease (Malaysia) Sdn Bhd dan anak syarikatnya SimeCredit (Malaysia) Sdn bhd.

Kumpulan itu dalam satu kenyataan hari ini berkata kedua-dua syarikat itu dinamakan semula sebagai BMW Lease (Malaysia) Sdn bhd dan BMW Credit (Malaysia) Sdn Bhd.

Langkah itu katanya membolehkan kumpulan berkenaan menawarkan penyelesaian kewangan yang berinovasi kepada para pelanggan menerusi rangkaian global.

"Dengan menyelaraskan pengetahuan dan sokongan kumpulan-kumpulan ini, kami dapat menawarkan harga yang kompetitif dan penyelesaian pembiayaan yang akan memberi lebih banyak manfaat kepada pembeli," kata pengarah urusan BMW Malaysia Sdn Bhd Wolfgang Schlimme.

Sementara itu, pengarah urusan BMW Lease and BMW Credit Joe Hall berkata syarikat berkenaan komited untuk meningkatkan pemilikan dan memenuhi jangkaan pelanggan.

"Kami kini bekerja rapat dengan para peniaga BMW untuk memperkenalkan penyelesaian setempat yang membolehkan para pelanggan membeli kenderaan dan dalam masa yang sama membuat perjanjian pembelian," katanya.

Kumpulan itu juga memperkenalkan jenama Alphera sebagai platform untuk penyelesaian pembiayaan bukan BMW, katanya.- (BERNAMA)

Sunday, April 22, 2007

Ops Sapu - 241 Orang diperiksa


Bukit Martajam - Ketua Polis Daerah Seberang Perai Tengah (SPT) ACP Mohamad Anil Shah Abdullah melancarkan satu operasi yang dinamakan OPS SAPU dalam usaha pihak polis mencegah jenayah yang berlaku pada waktu malam dan malam minggu di daerah tersebut.

Ops Sapu yang dilancarkan selama dua hari itu membabitkan 140 pegawai dan anggota daripada fru, polis dan anggota rela.Operasi tersebut melibatkan pemeriksaan menyeluruh terhadap pusat-pusat hiburan yang beroperasi tanpa lesen,lumba haram dan tempat-tempat yang dipercayai kumpulan yang sering melakukan jenayah berkumpul.

Dalam operasi lewat malam semalam seramai 241 orang telah ditapis untuk pemeriksaan dari berbagai aspek seperti penyalahan penggunaan dadah,kesalahan di bawah akta jabatan pengangkutan jalan (jpj),kesalahan di bawah akta imigresen,jenayah dan lain-lain.Pihak polis turut menahan 2 orang warga Negara Nigeria dan seorang warga Nepal yang didapati tidak mempunyai dukumen perjalanan yang sah semasa pemeriksaan tersebut.

ACP Mohamad Anil berkata “Pihak polis juga menyita 12 buah motosikal dan menahan 7 orang yang didapati positif dadah serta merampas berbagai peralatan di sebuah karoeke dan menahan penjaga terbabit kerana beroperasi tanpa lesen”.

Saturday, April 21, 2007

Orang Kurang Upaya Perlu Bantuan Kaki Palsu

Sungai Petani-Marzuki Idrus 37 tahun merayu kepada pihak berwajib untuk membantu menggantikan kaki palsunya yang telah uzur dan sukar untuk berjalan. Kaki palsu yang digunakan sejak 15 tahun lalu itu dibelinya dengan harga enam ribu ringgit hasil wang kutipan dan bantuan daripada kawan-kawan serta orang-orang kampung. Katanya, kaki palsu tersebut sudah rosak dan tidak boleh berfungsi sepertimana biasa. Beliau yang kudung kaki disebelah kanannya tidak mampu untuk bekerja berat sejak tahun 1992 telah beberapa kali meminta bantuan daripada berbagai pihak termasuk berjumpa dengan wakil rakyat namun sehingga sekarang tidak mendapat sebarang jawapan.

Marzuki yang berasal daripada Kampung Padang Buluh,Sidam Kiri,terpaksa menyewa sebuah rumah di No F41 Kampong Permatang Berangan,Pinang Tunggal,Sungai Petani mendakwa pernah beberapa kali memohon untuk mendapatkan rumah PPRT dan Jabatan Zakat Sungai Petani tetapi sehingga sekarang tidak ada sebarang tindakan daripada pihak-pihak terbabit.Menurutnya lagi sebelum ini beliau juga pernah memohon kepada JKK Kampung asalnya Kampung Padang Buluh,Sidam Kiri bagi mendapatkan bantuan kaki palsu tetapi tidak mendapat sebarang perhatian sehingga sekarang.

Kehidupan mereka sekeluarga semakin tertekan apabila isterinya Norain Jamail Husin 27 tahun terpaksa berhenti kerja bagi menjaga 5 orang anaknya. Anak sulungnya Norfitri Yani 9 tahun darjah tiga, Mohd Azamil 7 tahun darjah satu keua-duanya bersekolah di Sekolah Rendah Kebangsaan Pinang Tunggal. Mohd Aidi Hakimi 5 tahun, Nurfarisya Ayuni 3 tahun dan Nurfaizatul Akma berumur 2 bulan. Katanya lagi anaknya, Mohd Azamil sehingga sekarang masih belum mendapat pinjaman buku teks dan masih belum membeli buku tulis.Paling memilukan mereka tidak pergi ke sekolah bila tidak ada duit.

Marzuki merayu kepada pihak-pihak berkenaan membantunya bagi mendapat pekerjaan yang sesuai dengan kecacatannya supaya dapat membiayai keluarganya yang semakin terhimpit dengan masalah kewangan.

Kuari batu bimbangkan penduduk

Yan - Kira-kira 2500 penduduk disekitar kaki Gunung Jerai di daerah Yan,Kedah terpaksa hidup dalam kebimbangan, sekiranya kejadian banjir lumpur yang melanda dibeberapa kampung mereka dua tahun lalu berulang.

Mereka mendakwa hujan lebat yang turun hampir empat jam pada malam 1 mei 2004 lalu telah menyebabkan berlakunya banjir lumpur sehingga menyebabkan anak-anak sungai dipenuhi selut dan pasir yang dibawa daripada kuari tersebut. Selain itu, batu-batu besar bergolek turun sehingga penduduk Kampung berdekatan mengalami trauma daripada kejadian itu.

Penduduk kawasan terbabit juga mendakwa mereka terpaksa mengharungi banjir lumpur setiap kali hujan serta terdedah kepada bahaya letupan batu daripada kuari berkenaan. Walaupun mereka mengakui kawasan berkenaan sering dilanda banjir sebelum ini, tetapi banjir tersebut tidak mempunyai lumpur dan selut.

Menurut penduduk lagi fenomena banjir lumpur tersebut mungkin akan berlaku lagi pada musim hujan yang akan melanda semenanjung utara dalam tempuh terdekat ini dan berharap sesuatu boleh dilakukan oleh pihak kerajaan bagi mengelak kejadian banjir seperti dua tahun lepas berulang.

Seorang penduduk dari Kampung Singkir Segenting memberitahu harian utara, mereka terpaksa menambak tanah dengan menggunakan beg-beg plastik bagi mengelakkan tebing-tebing sungai tersebut terus runtuh disebabkan kesan daripada banjir lumpur berkaitan. Menurut mereka sungai tersebut kini semakin cetek dan dipenuhi dengan pasir dan selut.

Selain itu penduduk terbabit juga mendakwa kesan gegaran bahan letupan daripada kuari tersebut turut merosakkan harta benda penduduk selain mengancam kesihatan kanak-kanak dan pelajar sekolah berhampiran.Diantara sekolah paling hampir dengan tapak kuari terbabit dengan jarak tidak melebihi satu kilometer ialah Sekolah Rendah Kebangsaan Singkir,Sekolah Menengah Sri Badung dan Sekolah Kebangsaan Poh Chai.


Penolong Setiausaha Kehormat Sahabat Alam Malaysia (SAM) Mohd Azmi Abd Hamid ketika ditemui mengulas “Kerajaan Negeri diharap dapat mengkaji semula kelulusan kuari berkaitan memandangkan kegiatan kuari terbabit boleh mendatangkan kesan kepada alam sekitar selain mendedahkan pencemaran dan risiko kepada penduduk berhampiran terutama kepada penduduk Kampung Singkir Segenting dan sekolah-sekolah terbabit yang jaraknya hanya dalam lingkungan satu kilometer dari kuari berkenaam".

Friday, April 20, 2007

Cyber Judi - Taktik Baru Pengusaha Mesin Judi

Pulau Pinang - Sepasukan polis dari Ibu Pejabat Polis Kontijen (IPK) Pulau Pinang cawangan D7 menyerbu sebuah premis cyber cafe yang dipercayai menjalankan kegiatan perjudian dengan menggunakan komputer lewat malam semalam di Jalan Kampung Paya Butterworth.

Kegiatan judi dengan menggunakan komputer dan berlindung disebalik lesen cyber cafe ini dipercayai merupakan taktik baru pengusaha mesin judi bagi tujuan mengelabui mata pihak berkuasa setelah operasi menghapuskan kegiatan mesin-mesin semilator berunsurkan perjudian tersebut dilancarkan secara besar-besaran diseluruh negara sejak tahun lalu.

Sindiket ini dipercayai memuat turun program berunsurkan perjudian dan dilengkapi dengan sistem meter berbayar yang diletakkan di dalam sebuah bilik secara tersembunyi bagi mengelakkan daripada dikesan oleh pihak berkuasa selain dilengkapi kamera litar tertutup yang dapat dipantau dari tingkat atas yang dijadikan tempat tinggal.

Menurut OCCI Datuk Abdul Samah Hj Mat ketika dihubungi petang tadi me-maklumkan, dalam operasi yang sama pihak polis turut menggeledah dan merampas mesin-mesin semulator yang dipercayai digunakan untuk kegiatan perjudian di dalam sebuah premis berhampiran yang dijadikan stor simpanan. Menurutnya lagi Operasi yang berakhir pada jam 4 pagi itu pihak polis berjaya merampas kira-kira 31 buah komputer, 7 buah mesin bulat dan 83 mesin semilator yang dipercayai berunsurkan perjudian.


Serbuan yang diketuai oleh ASP Amir Atong pada malam semalam berjaya menahan seorang lelaki cina berumur 43 tahun dan seorang wanita cina bermur 47 tahun yang dipercayai penjaga premis cyber cafe berkenaan dan seorang lelaki cina berumur dalam lingkungan 63 tahun yang dipercayai pemain mesin judi tersebut. Mereka yang ditahan akan disiasat mengikut seksyen 4B(a) akta rumah judi terbuka manakala tuan punya pemilik premis yang menjadikan store untuk menyimpan mesin-mesin semulator terbabit akan disiasat mengikut seksyen 4B(b) bagi membolehkan pihak polis mengesan bagaimana kehadiran mesin-mesin berkenaan berada di premis terbabit.

Tindakan pihak polis mengesan sehingga di tempat-tempat simpanan mesin-mesin semulator yang berunsurkan judi membuktian usaha bersungguh-sungguh pihak polis yang berterusan untuk menghapuskan kegiatan perjudian haram khususnya di Pulau Pinang.

Wednesday, April 18, 2007

Warga Vietnam Mati Ditikam

Sungai Petani - Mayat yang dipercayai seorang warganegara Vietnam dijumpai terbaring dengan sebilah pisau masih tertanam didadanya di dalam sebuah bilik di rumah sewa rakannya di Jalan Bakar Arang, Sungai Petani tengah hari tadi. Mangsa dipercayai datang ke rumah tersebut bersama seorang teman wanita yang juga merupakan kenalan kepada suspek.

Difahamkan semasa kejadian berlaku satu pertengkaran diantara mangsa dan suspek sehingga teman wanita terbabit berlari keluar daripada rumah tersebut untuk meminta pertolongan daripada jiran disebelahnya yang seterusnya menalipon ambulan bagi mendapatkan pertolongan cemas.Walau bagaimana pun sebaik ambulan tiba mereka mendapati mangsa telah pun meninggal dunia.


Pihak polis masih memburu suspek yang dipercayai telah melarikan diri sebaik membunuh mangsa.Menurut Ketua Polis Daerah Kuala Muda ACP Hashim Ali ketika dihubungi berkata pihaknya sedang menyiasat kes tersebut menurut seksyen 302 kanun acara jenayah.

23 Pendatang ditahan dalam Ops Mantau

PULAU PINANG - Ada yang menyorok di bawah katil, di dalam longkang, lari ke atas bumbung dan sebahagian berjaya melarikan diri ke kawasan bukit berhampiran.

Begitulah gambaran Ops Mantau pendatang tanpa izin (PATI) yang dijalankan empat pegawai bersama 127 anggota polis Daerah Timur Laut, Jabatan Imigresen negeri dan sepasukan Polis Simpanan Persekutuan (FRU) semalam.

Dalam serbuan selama tiga jam bermula pada pukul 11 malam di tiga tapak pembinaan Persiaran Bukit Gambir di sini, seramai 23 PATI ditahan kerana pelbagai kesalahan.

Turut diperiksa adalah seorang remaja berusia 13 tahun warga tempatan dipercayai ditinggalkan di sebuah rumah kongsi tapak pembinaan berkenaan oleh bapanya yang mempunyai taraf penduduk tetap (PR) di sini.

Setelah pemeriksaan dijalankan, polis menemui bapa kepada remaja berkenaan yang berusia dalam lingkungan 40-an.

Ketua Polis Daerah Timur Laut, Asisten Komisioner Azam Abd. Hamid kemudian memberi amaran kepada lelaki terbabit supaya membawa anaknya pulang bagi mengelak perkara tidak diingini berlaku.

Azam berkata, seramai 121 warga Indonesia, Myanmar, Bangladesh dan Vietnam termasuk 10 wanita (Indonesia) dan dua (Vietnam) diperiksa semalam.

''Hasil pemeriksaan, didapati dua PATI lelaki warga Indonesia memiliki pas kerja tamat tempoh manakala dua lelaki dan seorang wanita didapati tiada dokumen perjalanan sah.

''Seramai 12 PATI warga Myanmar turut ditahan kerana tiada sebarang dokumen dan enam yang lain dipercayai memilik kad pekerja asing palsu,'' katanya di sini semalam.

Menurut Azam, tiada senjata tajam ditemui sepanjang operasi berkenaan.

''Operasi terbabit akan berterusan dan dijalankan dari semasa ke semasa di kawasan-kawasan pembinaan atau perumahan yang dikenal pasti menjadi penempatan utama pekerja-pekerja asing di sini,'' tegas beliau.

Lori Kayu Bawa Muatan Secara Bahaya

Bedong - Isu berkaitan lori-lori kayu yang membawa muatan secara merbahaya di jalan Gurun,Bedong dan Merbok di Kedah bukanlah perkara baru untuk dipersoalkan. Isu mengenai lori kayu ini seringkali dipaparkan di media-media massa sebelum ini namun sehingga sekarang tidak menampakkan sebarang perubahan, malah perbuatan tersebut semakin berleluasa.

Tinjauan wartawan harian utara di pekan bedong baru-baru ini mendapati lebih daripada 100 buah lori membawa kayu getah secara membumbung melalui jalan tersebut sejak pagi. Perbuatan tidak bertanggungjawab pemandu-pemandu lori kayu berkenaan boleh mengundang bahaya kepada pengguna jalan raya lain yang turut berkongsi di jalan raya terbabit.

Beberapa orang pengguna jalan raya terbabit yang ditemui melahirkan rasa kesal dengan pihak berkuasa khususnya Jabatan Pengangkutan Jalan Negeri Kedah yang gagal mengatasi isu tersebut sehingga sekarang.

Sunday, April 15, 2007

Mayat Bayi Di Bawah Daun Pisang

Baling - Polis Daerah Baling akan menjalankan siasatan ke atas seorang wanita berusia 47 tahun berikutan penemuan mayat seorang bayi yang baru dilahirkan dibelakang sebuah rumah di Kampung Tanjung Nering, Mukim kupang, Petang Kelmarin.
Mayat bayi yang cukup sifat dan dibungkus dengan kain itu ditemui berhampiran pokok pisang di belakang rumah berkenaan, kira-kira jam 5 petang.

Difahamkan, sebelum itu wanita berkenaan mengadu sakit perut dan mendapatkan rawatan di Hospital Baling (HB) dan hasil pemeriksaan mendapati dia baru melahirkan seorang bayi kerana ada kesan tali pusat pada alat sulit wanita itu.Wanita berkenaan yang mempunyai suami dan tujuh anak kemudian dihantar ke Hospital Sultan Abdul Halim Sungai Petani kerana mengalami pendarahan serius.Ketua Polis Daerah Baling, Superintendan Mat Daud Mat Hasan, berkata polis menerima aduan mengenai kejadian itu dan menghantar anggota ke rumah berkenaan dan menemui mayat bayi perempuan di belakang rumah. Mayat bayi tersebut dihantar ke Hospital Sultan Abdul Halim Sungai Petani untuk dibedah siasat.


Polis akan menyiasat kes ini mengikut Seksyen 318 Kanun Keseksaan kerana menyembunyikan kelahiran dan membuang mayat secara sulit, jika sabit kesalahan boleh dihukum penjara selama dua tahun dan denda. Setakat ini polis belum lagi melakukan tangkapan dan akan menjalankan siasatan berhubung kejadian itu selepas wanita itu pulih.

Kerajaan akan bina jejambat di 80 lintasan keretapi

Sunday, April 15, 2007
ParitBuntar - Kerajaan akan membina jejambat di kesemua 80 lintasan kereta api di sepanjang landasan berkembar antara Ipoh dan Padang Besar, kata Menteri Pengangkutan Datuk Seri Chan Kong Choy.

Beliau berkata lintasan di kawasan lain seluruh negara yang tidak dibina landasan berkembar pula akan dinaik taraf dengan lintasan berpagar separuh automatik. Katanya, terdapat 129 lintasan yang terletak di antara Rawang dan Padang Besar, 80 daripadanya terletak antara
Ipoh dan Padang Besar manakala selebihnya antara Ipoh dan Rawang yang telah siap landasan berkembarnya.

"Lintasan rata di sepanjang landasan Ipoh-Padang Besar yang akan turut dibina landasan berkembar akan diganti dengan jejambat," katanya selepas merasmikan lintasan rata Parit Buntar di Jalan Taiping-Parit Buntar di sini.

Beberapa jejambat telahpun siap dibina di laluan Ipoh-Padang Besar, antaranya di Sungai Siput, Padang Rengas dan Nibong Tebal manakala jejambat di Arau, Perlis sedang dalam pembinaan.

Kerajaan mengumumkan bulan lepas akan meneruskan projek pembinaan landasan berkembar kereta api antara Ipoh
dan Padang Besar sejauh 338 kilometer dan ia akan dimulakan selepas rundingan mengenai kos diselesaikan.

Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak ketika mengumumkannya berkata keputusan meneruskan projek itu diambil kerana landasan berkembar Rawang-Ipoh telah disiapkan dan perbelanjaan kerajaan boleh dioptimumkan sekiranya laluan berkembar kereta api itu diteruskan hingga ke Padang Besar di Perlis.

Kerajaan telah menganugerahkan projek landasan berkembar Ipoh-Padang Besar kepada MMC Corp (MMC) dan Gamuda Bhd (Gamuda) tetapi projek itu ditangguhkan pada akhir 2003 untuk mengawal perbelanjaan negara.(Bernama)

Judi Nombor Ramalan Haram Berleluasa

Sunday, April 15, 2007
Sungai Petani - Aktiviti ekor haram oleh pekedai-pekedai runcit dan kedai-kedai kopi di beberapa kawasan sekitar Daerah Kuala Muda Dan Daerah Yan Kedah dipercayai berselindung oleh satu sindiket perjudian haram yang bergiat cergas di Utara Semenanjung Malaysia.

Tinjauan kami di beberapa premis perniagaan yang dipercayai egen sindiket tersebut mendapati aktiviti perjudian ini mendapat perhatian ramai walaupun sedar perbuatan itu menyalahi undang-undang. Menurut beberapa orang pelanggan, mereka telah membeli nombor di sini sejak beberapa tahun yang lalu dan masih menjadi pelanggan tetap sehingga sekarang.

Sindiket perjudian ekor haram ini menggunakan berbagai taktik untuk mengelabui mata pihak berkuasa dengan berselindung disebalik kedai-kedai runcit,kedai makan, kedai membaiki motosikal dan lain-lain lagi. Dipercayai lebih daripada 100 buah premis di dalam daerah Yan dan Kuala Muda,Kedah terlibat secara langsung menjual nombor-nombor ekor secara haram pada masa ini.

Dalam Daerah Yan beberapa premis yang dikenal pasti seperti di Pekan Yan Kecil, Pekan Yan Besar, Pekan Sungai Limau dan Pekan Guar Chempedak manakala di Daerah Kuala Muda seperti Pekan Gurun, Padang Lembu, Bedong, Semeling, Tg. Dawai dan kebanyakan kawasan taman-taman perumahan di Sungai Petani.

Mengikut beberapa pelanggan yang tidak mahu identiti mereka didedahkan mendakwa premis-premis ini telah lama melakukan perbuatan tersebut secara terbuka dan mempunyai ramai pelanggan tetap. Tinjauan kami mendapati walaupun sindiket perjudian seumpama ini nampak seperti perniagaan sampingan dan secara kecil-kecilan tetapi sebenarnya sindiket ini mempunyai satu rangkaian yang cukup besar dan mengaut keuntungan berjuta ringgit. Sindiket perjudian haram seperti ini bukan sekadar membawa kerugian kepada kerajaan kerana tidak membayar cukai tetapi juga merupakan satu jenayah yang membawa padah kepada masyarakat, justeru itu pihak berkuasa digesa membenteras gejala ini daripada terus berluasa.

Thursday, April 12, 2007

Lombong Bijih Berhampiran dengan Kampung

Penduduk di sekitar kawasan lombong bijih Ulu Mahang, Kulim mendesak pihak kerajaan negeri memantau operasi perlombongan dan mengambil pasir yang didakwa mengancam keselamatan dan keselesaan penduduk berkenaan.


Menurut penduduk terbabit kedudukan tapak lombong tersebut yang lebih tinggi daripada kawasan kediaman mereka boleh mengundang bahaya sekiranya berlaku tanah runtuh atau banjir lumpur. Mereka juga mendakwa sebelum ini sebuah kolam takungan daripada kawasan perlombongan tersebut pernah pecah dan berlaku banjir lumpur sehingga merosakkan tanam-tanaman dan mencemarkan sungai di kampong berkenaan. Banjir lumpur tersebut juga telah merosakkan sebahagian daripada jalan sebuah kampung berhampiran dan sehingga sekarang tidak diperbaiki.

Selain itu takungan air yang digunakan untuk memproses bijih di lombong berkenaan pula hanya bergantung kepada kekuatan tanah yang ditambun menjadi tebing bagi menahan air tersebut daripada keluar ke sungai berdekatan.

Tinjauan kami di kawasan lombong terbabit baru-baru ini mendapati dakwaan penduduk terbabit memang ada asasnya, kesan daripada hakisan yang serius di cerun-cerun sekitar tapak perlombongan tersebut adalah sangat membimbangkan jika sesuatu yang tidak diingini berlaku.Kesan daripada hakisan itu juga telah menyebabkan longkang dibawah cerun tersebut tertimbus dengan selut.

Selain itu takungan air yang digunakan untuk memproses bijih di lombong berkenaan pula hanya bergantung kepada kekuatan tanah yang ditambun bagi menahan air tersebut daripada keluar ke sungai berdekatan. Sekiranya tebing tersebut pecah pastinya air dari takungan tersebut akan memasuki sungai berhampiran yang tentunya akan turut membawa selut dan lumpur memasuki sungai terbabit.

Kami cuba untuk mendapatkan ulasan Pentadbir Tanah Daerah Kulim, Dzohir Md.Zain berkaitan status lombong terbabit tetapi beliau tidak dapat untuk ditemubual disebabkan akan ke Putra Jaya untuk menghadiri satu mesyuarat tetapi memaklumkan pengusaha terbabit mempunyai lesen sah untuk melombong dan mengeluarkan pasir.

Wednesday, April 11, 2007

Peniaga Menyerahkan Memorandum Kepada Tan Sri Dr. Koh Tsu Koon

Badan Bertindak Membela Peniaga-Peniaga Bumiputera Melayu Yang Tercicir Dan Tertindas Di Bahagian Pulau, Pulau Pinang mengemukakan satu memorandum kepada Tan Sri Dr. Koh Tsu Koon selaku Ketua Menteri Pulau Pinang di pejabatnya hari ini dan mendesak beliau supaya mengadakan satu perjumpaan bagi mencari jalan penyelesaian mengatasi masalah kemiskinan orang melayu terutama kepada peniaga-peniaga di tepi-tepi jalan dan di pasar-pasar malam.

Peniaga-peniaga tersebut tidak berpuas hati dan beranggapan telah dizalimi apabila gerai-gerai mereka di Pekan Sungai Ara telah dirobohkan oleh pihak jabatan kerajaan negeri dan Majlis Perbandaran Pulau Pinang baru-baru ini dengan alasan yang tidak munasabah.

Menurut Pengerusi Badan Bertindak berkenaan Yusoff Mohd ketika ditemui di Kompleks Tun Abdul Razak pagi tadi melahirkan rasa kesal dengan tindakan tersebut kerana sepatutnya pihak Kerajaan Negeri dan Majlis Perbandaran Pulau Pinang turun padang untuk mencari jalan terbaik berbincang dengan mereka dan bukanlah mengambil tindakan sesuka hati dengan merobohkan gerai-gerai peniaga terbabit yang kebanyakannya daripada golongan yang susah dan hanya mengharapkan gerai-gerai tersebut untuk menyara keluarga.Melalui memorandum tersebut mereka juga meminta pihak Kerajaan Negeri Pulau Pinang dan Majlis Perbandaran Pulau Pinang berlaku adil serta mempertimbangkan kembali tindakan-tindakan yang dibuat terhadap mereka.

Badan Bertindak itu juga meminta Kerajaan Pulau Pinang supaya dapat menyediakan satu pelan tindakan yang serius bagi membantu peniaga-peniaga kecil Melayu Pulau Pinang dan mencari jalan penyelesaian mengatasi kemiskinan orang Melayu.

Thursday, April 5, 2007

Mayat Di Sungai Juru, Pulau Pinang

Pulau Pinang - Mayat seorang lelaki yang tidak dikenali dipercayai warga negara Myamar dijumpai terapung di Sungai Juru, Seberang Perai Tengah, Pulau Pinang pagi tadi.
Mayat tanpa sebarang dokumen pengenalan diri tersebut dijumpai dalam keadaan terlentang dengan tangan terikat di belakang dan terdapat kesan jerutan di leher.

Menurut Ketua Polis Daerah Seberang Perai Tengah, ACP Mohamad Anil Shah Abdullah yang ditemui di tempat kejadian berkata pihak polis menerima panggilan daripada orang awam pada pukul 9.00 pagi sebelum mengarahkan sepasukan anggota ke tempat kejadian.

Hasil bantuan daripada Unit Bot, Jabatan Bomba dan Penyelamat daripada Balai Bomba Jalan Perak, Pulau Pinang, mayat tersebut telah dibawa ke jeti sebelum diserahkan kepada pihak polis untuk tindakan selanjutnya sebelum dihantar ke Hospital Seberang Jaya untuk bedah siasat.

Siasatan awal pihak polis mendapati lelaki tersebut mungkin menjadi mangsa pembunuhan berdasarkan keadaan tangannya yang terikat ketika ditemui.

Kes tersebut disiasat di bawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan.

Monday, April 2, 2007

Warga Emas Hilang DI Hutan


Sungai Petani - Jabatan Bomba Dan Penyelamat Tikam Batu, Sungai Petani melancarkan operasi mencari dan menyelamat seorang warga emas Sa’ayah Binti Nayan 73 tahun (gambar) yang dipercayai tersesat di dalam hutan Bukit Berapit sejak 4 hari lalu.

Sa’ayah yang tinggal di Kampung Bukit Berapit Tikam Batu dikatakan keluar daripada rumahnya pada pukul 3 pagi 30 March lalu dengan memakai baju berwarna hitam dan berkain batek.Beliau dipercayai menggunakan jalan di lereng bukit berkenaan sebagai jalan pintas untuk ke rumah anaknya di Taman Bukit Jeneris sebelum didapati hilang.

Laporan kehilangan Sa’ayah dibuat oleh anaknya pada hari yang sama (30 march) di Balai Polis Tikam Batu tetapi usaha mencari dan menyelamat mangsa hanya baru dimulakan sejak malam semalam (1 April ) oleh pihak bomba dan penyelamat.

Operasi mencari dan menyelamat bersama pihak bomba di sekitar lereng bukit berapit sehingga tengah hari tadi belum menampakkan hasil.