Sunday, April 15, 2007

Kerajaan akan bina jejambat di 80 lintasan keretapi

Sunday, April 15, 2007
ParitBuntar - Kerajaan akan membina jejambat di kesemua 80 lintasan kereta api di sepanjang landasan berkembar antara Ipoh dan Padang Besar, kata Menteri Pengangkutan Datuk Seri Chan Kong Choy.

Beliau berkata lintasan di kawasan lain seluruh negara yang tidak dibina landasan berkembar pula akan dinaik taraf dengan lintasan berpagar separuh automatik. Katanya, terdapat 129 lintasan yang terletak di antara Rawang dan Padang Besar, 80 daripadanya terletak antara
Ipoh dan Padang Besar manakala selebihnya antara Ipoh dan Rawang yang telah siap landasan berkembarnya.

"Lintasan rata di sepanjang landasan Ipoh-Padang Besar yang akan turut dibina landasan berkembar akan diganti dengan jejambat," katanya selepas merasmikan lintasan rata Parit Buntar di Jalan Taiping-Parit Buntar di sini.

Beberapa jejambat telahpun siap dibina di laluan Ipoh-Padang Besar, antaranya di Sungai Siput, Padang Rengas dan Nibong Tebal manakala jejambat di Arau, Perlis sedang dalam pembinaan.

Kerajaan mengumumkan bulan lepas akan meneruskan projek pembinaan landasan berkembar kereta api antara Ipoh
dan Padang Besar sejauh 338 kilometer dan ia akan dimulakan selepas rundingan mengenai kos diselesaikan.

Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak ketika mengumumkannya berkata keputusan meneruskan projek itu diambil kerana landasan berkembar Rawang-Ipoh telah disiapkan dan perbelanjaan kerajaan boleh dioptimumkan sekiranya laluan berkembar kereta api itu diteruskan hingga ke Padang Besar di Perlis.

Kerajaan telah menganugerahkan projek landasan berkembar Ipoh-Padang Besar kepada MMC Corp (MMC) dan Gamuda Bhd (Gamuda) tetapi projek itu ditangguhkan pada akhir 2003 untuk mengawal perbelanjaan negara.(Bernama)