Sunday, April 29, 2007

Sebanyak 102 Ajaran Sesat Telah Dihapuskan - Jakim

LANGKAWI-Sebanyak 102 ajaran sesat di negara ini telah dihapuskan namun masih wujud 22 lagi ajaran yang sedang dipantau, kata Ketua Pengarah Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim), Datuk Mustaffa Abdul Rahman hari ini.

Beliau berkata, ajaran sesat yang sedang dipantau itu turut disertai oleh golongan profesional yang terlalu ghairah untuk mencari jalan mudah ke syurga.

Bercakap kepada para pemberita di sini hari ini, beliau berkata, punca utama mereka terpengaruh kepada ajaran sesat ialah tahap pengetahuan agama yang rendah.Beliau berharap jabatan agama Islam di negeri-negeri akan sentiasa bekerjasama terutama dalam pertukaran maklumat bagi memudahkan tindakan menangani gejala ajaran sesat itu.

Sebagai contoh beliau berkata jika ada pengikut ajaran sesat melarikan diri ke negeri tertentu, tindakan mengesannya dapat dilakukan dengan lebih mudah melalui kerjasama itu.

Mustaffa yang ditemui pada persidangan ketua-ketua jabatan agama Islam seluruh Malaysia ke-73 di sini hari ini berkata, para pengikut ajaran sesat akan diberi kaunseling dan dihantar menjalani pemulihan di Pusat Pemulihan Akidah di Negeri Sembilan dan Selangor.

Selepas menjalani pemulihan itu, kebanyakan mereka telah kembali ke pangkal jalan, katanya.Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Mahdzir Khalid merasmikan persidangan selama tiga hari yang dihadiri 50 peserta itu.-(BERNAMA)