Sunday, April 15, 2007

Mayat Bayi Di Bawah Daun Pisang

Baling - Polis Daerah Baling akan menjalankan siasatan ke atas seorang wanita berusia 47 tahun berikutan penemuan mayat seorang bayi yang baru dilahirkan dibelakang sebuah rumah di Kampung Tanjung Nering, Mukim kupang, Petang Kelmarin.
Mayat bayi yang cukup sifat dan dibungkus dengan kain itu ditemui berhampiran pokok pisang di belakang rumah berkenaan, kira-kira jam 5 petang.

Difahamkan, sebelum itu wanita berkenaan mengadu sakit perut dan mendapatkan rawatan di Hospital Baling (HB) dan hasil pemeriksaan mendapati dia baru melahirkan seorang bayi kerana ada kesan tali pusat pada alat sulit wanita itu.Wanita berkenaan yang mempunyai suami dan tujuh anak kemudian dihantar ke Hospital Sultan Abdul Halim Sungai Petani kerana mengalami pendarahan serius.Ketua Polis Daerah Baling, Superintendan Mat Daud Mat Hasan, berkata polis menerima aduan mengenai kejadian itu dan menghantar anggota ke rumah berkenaan dan menemui mayat bayi perempuan di belakang rumah. Mayat bayi tersebut dihantar ke Hospital Sultan Abdul Halim Sungai Petani untuk dibedah siasat.


Polis akan menyiasat kes ini mengikut Seksyen 318 Kanun Keseksaan kerana menyembunyikan kelahiran dan membuang mayat secara sulit, jika sabit kesalahan boleh dihukum penjara selama dua tahun dan denda. Setakat ini polis belum lagi melakukan tangkapan dan akan menjalankan siasatan berhubung kejadian itu selepas wanita itu pulih.