Saturday, April 28, 2007

MCMC Boleh Dedahkan Dalang Skim Cepat Kaya Menerusi Internet

Saturday, April 28, 2007
BUKIT MERTAJAM-Mangsa penipuan skim saham cepat kaya menerusi internet digesa supaya tampil membuat aduan kepada Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) jika mereka ingin mengetahui dalang di sebalik skim itu.

Pengerusi MCMC Datuk Dr Halim Shafie berkata, suruhanjaya itu boleh menyiasat siapa yang terbabit dalam kegiatan salahguna internet di bawah Seksyen 131 Akta Komunikasi dan Multimedia dan mendedahkan pihak bertanggungjawab itu.

"Setakat ini kita tidak menerima sebarang aduan, dan kita tidak bertindak kecuali mendapat aduan," kata beliau kepada pemberita selepas merasmikan Pusat Kawalan Spektrum Negara (NASMOC) bagi stesen Wilayah Utara di sini.

Katanya, MCMC dapat mengesan dan mengenalpasti pemilik laman web berkenaan dan boleh mengesahkan sama ada ia didaftar di negara ini atau di luar negara kerana suruhanjaya mempunyai maklumat semua pemilik laman web.

Baru-baru ini beribu-ribu rakyat Malaysia kerugian ribuan ringgit ekoran diperdayakan oleh penganjur pelbagai skim pelaburan menerusi internet yang menjanjikan keuntungan berlipat ganda.

Halim berkata, mangsa penipuan skim itu kemungkinan tidak membuat aduan kepada MCMC dan mereka terus menghubungi Bank Negara memandangkan kesalahan mengutip wang orang ramai secara tidak sah adalah di bawah bidang kuasa bank pusat itu.

Katanya, Bank Negara mempunyai bidang kuasa pendakwaan dan MCMC pula boleh mendedahkan dalang yang menjalankan kegiatan penipuan itu.

Beliau berkata, kegiatan itu dapat dibendung jika orang ramai menghubungi pihaknya untuk memberi maklumat awal mengenai sebarang kegiatan penipuan dalam internet.

Halim berkata, kes seumpama itu dapat dibanteras sama seperti MCMC dulu mengatasi kes penyebaran fitnah dan ugutuan menerusi penghantaran khidmat pesanan ringkas (SMS).

"Kita telah atasi kes-kes penghantaran pesanan ringkas (SMS) apabila semua pemilik kad pra bayar telah diwajibkan daftar dan akhir tahun lepas, kegiatan itu telahpun dibendung dan jika terdapat aduan, kita terus boleh mengesahkan penghantarnya," kata beliau.

Pada majlis perasmian NASMOC itu Halim berkata, pusat berkenaan akan dibuka di seluruh negara mulai Jun depan bagi memastikan rakyat di seluruh negara mendapat laluan internet tanpa wayar dengan mudah.

NASMOC ialah sebuah pusat pemantauan laluan spektrum yang boleh mengesan gelombang tanpa wayar sejauh 60 kilometer di sesebuah kawasan.Beliau berkata, MCMC memperuntukkan sebanyak RM50 juta bagi memasang menara gelombang dan NASMOC.

Katanya, sehubungan itu, kerajaan negeri dan Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) digesa mempermudahkan cara bagi pemasangan menara gelombang untuk membolehkan semua kawasan di negara ini mempunyai kemudahan akses kepada gelombang tanpa wayar.

Beliau berkata, kerajaan sering bercakap mengenai kemudahan talian tanpa wayar kepada rakyat di negara ini tetapi masih terdapat kerajaan negeri dan PBT yang tidak begitu membantu dalam usaha MCMC untuk memasang menara terutamanya di kawasan bandar.-(BERNAMA)