Saturday, April 28, 2007

Pelajar Keracunan Makanan Dikejarkan Ke Hospital

Sungai Petani-48 pelajar Sekolah Menengah Sains Sultan Mohd Jiwa Sungai Petani dikejarkan ke Hospital Sultan Abdul Halim malam tadi kerana keracunan makanan.Difahamkan pelajar-pelajar terbabit mengalami cirit birit, demam, sakit perut, muntah, loya dan pening kepala. Berikutan kejadian tersebut sebanyak 23 pelajar telah dimasukkan ke wad pemerhatian.

Guru pelajar terbabit semasa ditemui di hospital berkenaan enggan membuat sebarang penjelasan dan pelajar terbabit juga enggan ditemubual.

Bagaimanapun kesemua yang dimasukkan ke wad pemerhatian itu telah dibenarkan pulang hari ini selepas mendapat rawatan dan diberikan ubat.
Pada 16 April lalu 18 pelajar Sekolah Rendah Jenis Kebangsaan (Tamil) Kalaimagal, Sungai Petani membuka tirai kes keracunan makanan di negeri Kedah.
Sehari kemudian sebanyak 30 pelajar Sekolah Kebangsaan Peremba, Jalan Kuala Kedah mengalami masalah yang sama manakala pada 25 April lalu, sebanyak 50 pelajar Sekolah Kebangsaan Kota Kuala Muda turut mengalami keracunan makanan. Ketiga-tiga kes itu dikaitkan dengan susu bantuan kerana kejadian berlaku selepas para pelajar itu meminum susu yang dbekalkan oleh pihak sekolah.