Thursday, April 26, 2007

BMW Tawar Penyelesaian Pembiayaan Kepada Pelanggan

KUALA LUMPUR, 24 April (Bernama) -- BMW Group akan menawarkan pembeli BMW sumber pembiayaan dan jualan setempat berikutan penyelesaian pengambilalihan SimeLease (Malaysia) Sdn Bhd dan anak syarikatnya SimeCredit (Malaysia) Sdn bhd.

Kumpulan itu dalam satu kenyataan hari ini berkata kedua-dua syarikat itu dinamakan semula sebagai BMW Lease (Malaysia) Sdn bhd dan BMW Credit (Malaysia) Sdn Bhd.

Langkah itu katanya membolehkan kumpulan berkenaan menawarkan penyelesaian kewangan yang berinovasi kepada para pelanggan menerusi rangkaian global.

"Dengan menyelaraskan pengetahuan dan sokongan kumpulan-kumpulan ini, kami dapat menawarkan harga yang kompetitif dan penyelesaian pembiayaan yang akan memberi lebih banyak manfaat kepada pembeli," kata pengarah urusan BMW Malaysia Sdn Bhd Wolfgang Schlimme.

Sementara itu, pengarah urusan BMW Lease and BMW Credit Joe Hall berkata syarikat berkenaan komited untuk meningkatkan pemilikan dan memenuhi jangkaan pelanggan.

"Kami kini bekerja rapat dengan para peniaga BMW untuk memperkenalkan penyelesaian setempat yang membolehkan para pelanggan membeli kenderaan dan dalam masa yang sama membuat perjanjian pembelian," katanya.

Kumpulan itu juga memperkenalkan jenama Alphera sebagai platform untuk penyelesaian pembiayaan bukan BMW, katanya.- (BERNAMA)