Sunday, April 15, 2007

Judi Nombor Ramalan Haram Berleluasa

Sunday, April 15, 2007
Sungai Petani - Aktiviti ekor haram oleh pekedai-pekedai runcit dan kedai-kedai kopi di beberapa kawasan sekitar Daerah Kuala Muda Dan Daerah Yan Kedah dipercayai berselindung oleh satu sindiket perjudian haram yang bergiat cergas di Utara Semenanjung Malaysia.

Tinjauan kami di beberapa premis perniagaan yang dipercayai egen sindiket tersebut mendapati aktiviti perjudian ini mendapat perhatian ramai walaupun sedar perbuatan itu menyalahi undang-undang. Menurut beberapa orang pelanggan, mereka telah membeli nombor di sini sejak beberapa tahun yang lalu dan masih menjadi pelanggan tetap sehingga sekarang.

Sindiket perjudian ekor haram ini menggunakan berbagai taktik untuk mengelabui mata pihak berkuasa dengan berselindung disebalik kedai-kedai runcit,kedai makan, kedai membaiki motosikal dan lain-lain lagi. Dipercayai lebih daripada 100 buah premis di dalam daerah Yan dan Kuala Muda,Kedah terlibat secara langsung menjual nombor-nombor ekor secara haram pada masa ini.

Dalam Daerah Yan beberapa premis yang dikenal pasti seperti di Pekan Yan Kecil, Pekan Yan Besar, Pekan Sungai Limau dan Pekan Guar Chempedak manakala di Daerah Kuala Muda seperti Pekan Gurun, Padang Lembu, Bedong, Semeling, Tg. Dawai dan kebanyakan kawasan taman-taman perumahan di Sungai Petani.

Mengikut beberapa pelanggan yang tidak mahu identiti mereka didedahkan mendakwa premis-premis ini telah lama melakukan perbuatan tersebut secara terbuka dan mempunyai ramai pelanggan tetap. Tinjauan kami mendapati walaupun sindiket perjudian seumpama ini nampak seperti perniagaan sampingan dan secara kecil-kecilan tetapi sebenarnya sindiket ini mempunyai satu rangkaian yang cukup besar dan mengaut keuntungan berjuta ringgit. Sindiket perjudian haram seperti ini bukan sekadar membawa kerugian kepada kerajaan kerana tidak membayar cukai tetapi juga merupakan satu jenayah yang membawa padah kepada masyarakat, justeru itu pihak berkuasa digesa membenteras gejala ini daripada terus berluasa.