Sunday, April 29, 2007

Pengamal Perubatan Tradisional Cina Mula Operasi Di Hospital Julai Ini

BUTTERWORTH-Pengamal perubatan tradisional Cina dari negara China akan memulakan perkhidmatan perubatan sokongan tradisional untuk pesakit di tiga hospital kerajaan di negara ini, Julai ini.

Menteri Kesihatan Datuk Seri Dr Chua Soi Lek berkata tiga hospital yang dipilih untuk memulakan projek perintis itu ialah Hospital Kepala Batas di Pulau Pinang, Hospital Pandan Johor Baharu dan Hospital Putrajaya.

"Kita harap para pengamal perubatan tradisional itu dapat memberi latihan jangka pendek kepada doktor-doktor tempatan dalam usaha mewujudkan sistem penjagaan kesihatan bersepadu," katanya kepada pemberita selepas menghadiri perjumpaan dengan Persatuan Perubatan Tradisional Cina Wilayah Utara di sini, semalam.

Beliau berkata kementerian bagaimanapun menetapkan semua kaedah perubatan tradisional yang akan digunakan di hospital itu harus mematuhi kod ektika yang diperkenalkan supaya ia dapat memberi keyakinan kepada pesakit.

Chua berkata antara perkhidmatan rawatan tradisional yang dibenarkan ialah ubat-ubatan tradisional Cina, akupuntur, urutan dan terapi sampingan.

Beliau berkata selepas memperkenalkan rawatan tradisional Cina, kerajaan juga akan membawa kaedah rawatan tradisional dari Indonesia dan India sebagai perubatan sokongan di hospital-hospital kerajaan.

"Kita akan membangunkan perubatan tradisional itu secara berperingkat tetapi kaedah rawatan itu harus mengutamakan etika yang diperkenalkan bagi memberi keyakinan mengenai perubatan itu," katanya.

Chua turut menggesa pengamal perubatan tradisional di negara ini supaya mendaftar dengan kementeriannya untuk mendapat pengiktirafan.

Beliau berkata setakat ini sebanyak 7,000 jenis perubatan tradisional telah berdaftar dengan Kementerian Kesihatan termasuk 4,900 perubatan tradisional Cina, 175 perubatan tradisional Melayu dan 69 jenis perubatan India serta 1,200 perubatan sampingan seperti urutan tradisional.

Kementerian juga telah mengiktiraf 219 jenis perubatan tradisional dari luar negara termasuk Thailand, India dan China, katanya.

"Sehingga Mac lepas, sebanyak 17,179 produk ubat tradisional telah diiktiraf dan daripada jumlah itu sebanyak 60 peratus adalah buatan tempatan. Terdapat 161 kilang pengeluar ubat tradisional di negara ini telah berdaftar dengan kementerian," kata Chua.-(BERNAMA)