Wednesday, April 11, 2007

Peniaga Menyerahkan Memorandum Kepada Tan Sri Dr. Koh Tsu Koon

Badan Bertindak Membela Peniaga-Peniaga Bumiputera Melayu Yang Tercicir Dan Tertindas Di Bahagian Pulau, Pulau Pinang mengemukakan satu memorandum kepada Tan Sri Dr. Koh Tsu Koon selaku Ketua Menteri Pulau Pinang di pejabatnya hari ini dan mendesak beliau supaya mengadakan satu perjumpaan bagi mencari jalan penyelesaian mengatasi masalah kemiskinan orang melayu terutama kepada peniaga-peniaga di tepi-tepi jalan dan di pasar-pasar malam.

Peniaga-peniaga tersebut tidak berpuas hati dan beranggapan telah dizalimi apabila gerai-gerai mereka di Pekan Sungai Ara telah dirobohkan oleh pihak jabatan kerajaan negeri dan Majlis Perbandaran Pulau Pinang baru-baru ini dengan alasan yang tidak munasabah.

Menurut Pengerusi Badan Bertindak berkenaan Yusoff Mohd ketika ditemui di Kompleks Tun Abdul Razak pagi tadi melahirkan rasa kesal dengan tindakan tersebut kerana sepatutnya pihak Kerajaan Negeri dan Majlis Perbandaran Pulau Pinang turun padang untuk mencari jalan terbaik berbincang dengan mereka dan bukanlah mengambil tindakan sesuka hati dengan merobohkan gerai-gerai peniaga terbabit yang kebanyakannya daripada golongan yang susah dan hanya mengharapkan gerai-gerai tersebut untuk menyara keluarga.Melalui memorandum tersebut mereka juga meminta pihak Kerajaan Negeri Pulau Pinang dan Majlis Perbandaran Pulau Pinang berlaku adil serta mempertimbangkan kembali tindakan-tindakan yang dibuat terhadap mereka.

Badan Bertindak itu juga meminta Kerajaan Pulau Pinang supaya dapat menyediakan satu pelan tindakan yang serius bagi membantu peniaga-peniaga kecil Melayu Pulau Pinang dan mencari jalan penyelesaian mengatasi kemiskinan orang Melayu.