Sunday, April 29, 2007

Sumbangan PKS Dalam Kdnk Di Jangka Meningkat 5 Peratus Menjelang 2010

JITRA-Perusahaan Kecil dan Sederhana (PKS) dijangka menyumbang 37 peratus kepada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) atau peningkatan lima peratus menjelang 2010.

Pengarah Kewangan dan Pemantauan Perbadanan Pembangunan Perusahaan Kecil dan Sederhana (SMIDEC), Fozian Ismail berkata sektor itu menyumbang 32 peratus kepada KDNK pada 2005.

"Jumlah itu cukup besar dan penting kepada ekonomi negara memandangkan ia turut menyumbang 56.4 peratus gunatenaga pada 2005," katanya kepada pemberita sewaktu ditemui pada bengkel teknikal program peningkatan keupayaan PKS Kedah di Pusat Pembangunan PKS Lembaga Pembangunan Kedah (KEDA), dekat sini hari ini.

Bengkel sehari anjuran SMIDEC dan Unit Perancangan Ekonomi Kedah (UPEN) itu, dirasmikan oleh Pengerusi Jawatankuasa Pertanian dan Industri Asas Tani dan Usahawan Kedah, Datuk Dr Shuib Saedin.

Menurut Fozian, gunatenaga PKS dijangka meningkat kepada 57 peratus pada 2010.

Katanya daripada 518,954 syarikat yang berdaftar pada 2005, 33,113 syarikat melibatkan PKS dan 29 peratus menyumbang keluaran dalam sektor pembuatan dan 31 peratus nilai tambah.

"Eksport utama sektor PKS negara iaitu produk herba untuk kesihatan, makanan dan bahan kimia ke negara-negara Asean dan Amerika Syarikat, dijangka meningkat kepada 27 peratus tahun ini berbanding 19 peratus pada 2005," kata Fozian.

Beliau berkata produk tersebut mudah menembusi pasaran asing terutama Amerika Syarikat kerana memenuhi piawaian yang ditetapkan kerajaan.

Dr Shuib dalam ucapannya pula berkata kira-kira 3,000 syarikat PKS di Kedah hanya menyumbang 6.5 peratus kepada sektor PKS negara, dengan Selangor menyumbang paling tinggi iaitu sebanyak 18.5 peratus.

"Kelemahan perancangan sumber, keupayaan pengurusan, pengurusan kewangan serta kemahiran pemasaran dan teknikal menyebabkan banyak pengusaha PKS gagal," katanya.

Menurut Dr Shuib kerajaan menyedari potensi dan sumbangan sektor PKS kepada ekonomi negara dan menyediakan pelbagai bantuan dan pinjaman kepada mereka.

Katanya pengusaha perlu berusaha membina budaya untuk bersaing di peringkat global dengan meningkatkan kesedaran, inovasi, kemahiran berkomunikasi selain mengukuhkan jenama tempatan.

Hampri 100 pengusaha PKS dari seluruh negeri menghadiri bengkel sehari itu yang membincangkan enam kertas, termasuk oleh SME Bank, SIRIM, SMIDEC dan Mara.-(BERNAMA)