Wednesday, April 18, 2007

23 Pendatang ditahan dalam Ops Mantau

PULAU PINANG - Ada yang menyorok di bawah katil, di dalam longkang, lari ke atas bumbung dan sebahagian berjaya melarikan diri ke kawasan bukit berhampiran.

Begitulah gambaran Ops Mantau pendatang tanpa izin (PATI) yang dijalankan empat pegawai bersama 127 anggota polis Daerah Timur Laut, Jabatan Imigresen negeri dan sepasukan Polis Simpanan Persekutuan (FRU) semalam.

Dalam serbuan selama tiga jam bermula pada pukul 11 malam di tiga tapak pembinaan Persiaran Bukit Gambir di sini, seramai 23 PATI ditahan kerana pelbagai kesalahan.

Turut diperiksa adalah seorang remaja berusia 13 tahun warga tempatan dipercayai ditinggalkan di sebuah rumah kongsi tapak pembinaan berkenaan oleh bapanya yang mempunyai taraf penduduk tetap (PR) di sini.

Setelah pemeriksaan dijalankan, polis menemui bapa kepada remaja berkenaan yang berusia dalam lingkungan 40-an.

Ketua Polis Daerah Timur Laut, Asisten Komisioner Azam Abd. Hamid kemudian memberi amaran kepada lelaki terbabit supaya membawa anaknya pulang bagi mengelak perkara tidak diingini berlaku.

Azam berkata, seramai 121 warga Indonesia, Myanmar, Bangladesh dan Vietnam termasuk 10 wanita (Indonesia) dan dua (Vietnam) diperiksa semalam.

''Hasil pemeriksaan, didapati dua PATI lelaki warga Indonesia memiliki pas kerja tamat tempoh manakala dua lelaki dan seorang wanita didapati tiada dokumen perjalanan sah.

''Seramai 12 PATI warga Myanmar turut ditahan kerana tiada sebarang dokumen dan enam yang lain dipercayai memilik kad pekerja asing palsu,'' katanya di sini semalam.

Menurut Azam, tiada senjata tajam ditemui sepanjang operasi berkenaan.

''Operasi terbabit akan berterusan dan dijalankan dari semasa ke semasa di kawasan-kawasan pembinaan atau perumahan yang dikenal pasti menjadi penempatan utama pekerja-pekerja asing di sini,'' tegas beliau.