Saturday, April 28, 2007

Peluru Berpandu Gagal Berfungsi Tak Membahayakan, Kata Panglima TLDM

Saturday, April 28, 2007
LUMUT-Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) tidak akan memusnahkan peluru berpandu Sea Skua miliknya, yang kini berada di dasar laut Selat Melaka setelah ia gagal berfungsi dalam ujian tembakan pada 16 Mac tahun lepas, kerana ia sudah tidak aktif.

Panglima TLDM Laksamana Datuk Seri Ramlan Mohamed Ali berkata peluru berpandu buatan Eropah itu berada di lokasi yang sangat dalam dan kawasan itu amat berlumpur.


"Kita juga jamin peluru itu tidak membahayakan mana-mana pihak. Kawasan itu juga sangat berlumpur dan ia menyukar operasi kerja pemusnahan sekiranya ia dilakukan serta menelan kos yang banyak," katanya kepada pemberita selepas menghadiri sambutan Hari TLDM ke-73 di KD Pelandok di sini.

Pada ujian berkenaan, peluru berpandu itu dilepaskan dari sebuah helikopter disasarkan ke arah sebuah bangkai kapal tetapi ia gagal mengenai sasaran dan jatuh ke laut tanpa meletup.

TLDM sebelum ini menjelaskan bahawa peluru berpandu itu tidak akan meletup secara tiba-tiba kecuali jika berlaku hentakan kuat terhadap muncungnya.

Ramlan berkata TLDM telah menerima laporan teknikal daripada syarikat Eropah yang membekalkan peluru berpandu itu, Matra Bae Dynamic (MBDA), dan telah menganalisis laporan berkenaan.

"Memang ada beberapa perkara yang kurang memuaskan hati TLDM tetapi kita mencari jalan untuk menyelesaikannya.

Laporan itu juga mengatakan ia adalah masalah teknikal pada peluru itu dan juga masalah pembekalan," katanya.

Ramlan berkata TLDM akan melakukan satu lagi ujian peluru berpandu Sea Skua dalam tempoh tahun ini.-(BERNAMA)