Friday, November 30, 2012

Malaysia Belasah Laos 4-1 Pada Perlawanan Kedua Piala AFF

KUALA LUMPUR, 28 Nov-Skuad bola sepak kebangsaan kembali menghidupkan peluang ke separuh akhir Piala AFF Suzuki 2012 selepas membelasah Laos, 4-1 pada perlawanan kedua Kumpulan B di Stadium Nasional Bukit Jalil, Rabu malam.

Ketua jurulatih skuad kebangsaan Datuk K. Rajagobal nyata mengotakan janji beliau dengan melakukan perubahan besar-besaran ke dalam skuad Harimau Malaya pada perlawanan berkenaan termasuk membawa masuk beberapa muka baru seperti penjaga gol Mohd Farizal Marlias dan pemain tengah Mohd Shakir Shaari.

Kapten skuad kebangsaan Safiq Rahim membuka tirai jaringan pada minit ke-15 menerusi sepakan percuma yang cantik dari jarak 20 meter sekaligus menceriakan hampir 20,000 penyokong Harimau Malaya.

Kelekaan barisan pertahanan membawa padah apabila Laos menyamakan kedudukan menerusi Khonesavanh Sihavong pada minit ke-39 selepas sepakan derasnya terkena pemain pertahanan negara sebelum membias masuk ke dalam gawang skuad Harimau Malaya.

Penyerang Mohd Safee Mohd Sali kemudian menjaringkan gol kedua pada minit ke-67 selepas beliau menyambar hantaran lintang sebelah kanan daripada Wan Zack Haikal Wan Nor.

Wan Zack kemudian menambah derita pasukan bimbingan Kokichi Kimura itu menerusi tandukan pada minit ke-75 selepas mendapat hantaran lambung daripada pemain sayap, S. Kunalan.

Kemasukan Mohd Khyrill Muhymeen Zambri bagi menggantikan Mohd Safee pada penghujung permainan nyata membawa tuah apabila beliau menjaringkan gol keempat skuad Harimau Malaya pada minit ke-79 untuk membolehkan mereka mengumpul tiga mata pertama.

Mereka bagaimanapun harus mencatatkan kemenangan pada perlawanan terakhir menentang Indonesia pada Sabtu ini di stadium yang sama untuk mempertahankan kejuaraan yang dimenangi pada 2010.

Laos akan menentang Singapura pada perlawanan ketiga di Stadium Shah Alam Sabtu ini.(BERNAMA)


Malaysia 4-1 Laos AFF Suzuki Cup 2012 Gol Free Kick Safiq Rahim (minit ke-15)

Malaysia 4-1 Laos AFF Suzuki Cup 2012 Gol Penyamaan 1-1 Khonesavanh Sihavong (minit ke-39)

Malaysia 4-1 Laos AFF Suzuki Cup 2012 Gol Safee Sali (minit ke-67)

Malaysia 4-1 Laos AFF Suzuki Cup 2012 Gol Wan Zack Haikal (minit ke-75)

Malaysia 4-1 Laos AFF Suzuki Cup 2012 Gol Solo Khyril Muhymeen (minit ke-79)

Monday, November 26, 2012

Malaysia Ditewas Oleh Singapura di Gelangang Sendiri 3-0 Aksi Pertama Piala AFF Suzuki

Stadium Bukit Jalil

Datuk K. Rajagobal
KUALA LUMPUR, 26 Nov- Malaysia terpaksa menelan pahit setelah ditewas oleh Singapura 3-0 di gelanggang sendiri pada perlawanan Kumpulan B Kejohanan Bolasepak Piala AFF Suzuki 2012 di Stadium Nasional Bukit Jalil,Ahad malam.

Kebimbingan ketua jurulatih skuad Harimau Malaya, Datuk K. Rajagobal akhirnya menjadi kenyataan apabila Singapura mendahului 2-0 pada separuh masa hasil jaringan kapten Mohd Shahril Ishak pada minit ke-32 dan 37.

Harimau Malaya, yang dikritik kerana persembahan hambar pada siri perlawanan persahabatan sebelum ini, bagaimanapun bertindak garang sebaik sahaja perlawanan bermula.

Penyerang Norshahrul Idlan Talaha hampir membuka tirai jaringan pada minit ke-20 namun sepakan beliau melewati pintu gol pasukan Singapura.

Tiga minit kemudian, kapten skuad kebangsaan, Safiq Rahim hampir memberikan gol pendahuluan menerusi sepakan percuma namun ia terus ke dakapan penjaga gol Singapura, Mohamad Izwan Mahbud.

Kelekaan barisan pertahanan negara dihukum oleh Singapura menerusi jaringan pertama Shahril selepas beliau mendapat lorongan daripada rakan sepasukan sebelum melepaskan rembatan kencang untuk menewaskan penjaga gol kebangsaan, Khairul Fahmi Che Mat.

Mohd Shahril sekali lagi menjadi 'duri dalam daging' buat skuad kebangsaan dengan gol kedua, lima minit kemudian menerusi tandukan selepas berlaku keadaan kelam labut di hadapan pintu gol skuad negara.

Tersentak dengan dua gol berkenaan, Rajagobal menggantikan Mohd Khyrill Muhymeen Zambri dengan Wan Zack Haikal Wan Nor bagi mempertajamkan jentera serangan namun masih gagal menembusi kekebalan pertahanan Singapura yang tinggi lampai seperti Baihakki Khaizan dan Daniel Mark Bennett.

Pemain naturalisasi mereka dari Bosnia, Aleksandar Duric mengesahkan kemenangan pasukan Singapura menerusi gol ketiga pada minit ke-75.

Kemenangan tersebut membolehkan skuad juara tiga kali itu iaitu pada 1998,2004 dan 2007 untuk menduduki tangga teratas Kumpulan B dengan tiga mata manakala skuad Harimau Malaya berada di tangga tercorot daripada empat pasukan.

Selepas ini, skuad Harimau Malaya akan menentang Laos manakala Singapura akan berhadapan dengan naib juara 2010, Indonesia pada Rabu ini.-BERNAMA


Malaysia 0-3 Singapore AFF Suzuki Cup 2012 Shahril 1st Goal (minit ke-32) 

Malaysia 0-3 Singapore AFF Suzuki Cup 2012 Shahril 2nd Goal (minit ke-37) 

Malaysia 0-3 Singapore AFF Suzuki Cup 2012 Aleksandar Duric Goal (minit ke-75)