Tuesday, October 23, 2012

UUM Anjur Seminar Pengurusan Organisasi Cemerlang Di Langkawi


UUM
ALOR SETAR, 23 Okt (Bernama) -- Jabatan Canselori Universiti Utara Malaysia (UUM) akan menganjurkan Seminar Pengurusan Organisasi Cemerlang yang bertema 'Memacu Transformasi, Melestari Kegemilangan' di Langkawi, dari 27 hingga 29 Nov ini.

Pengarah Canselori UUM Baharudin Yaacob berkata seminar bertujuan memberi pendedahan dan pemahaman kepada peserta tentang peranan kepemimpinan bagi memastikan strategi dan matlamat organisasi tercapai.

"Kita berharap seminar ini sedikit sebanyak akan dapat menjadi penggerak kepada usaha untuk melahirkan modal insan yang berkualiti serta boleh memacu transformasi organisasi ke arah kegemilangan yang berterusan.

"Melalui seminar ini juga, ia akan membantu peserta memahami kaedah pengurusan cemerlang melalui kreativiti dan inovasi dalam pengurusan serta memahami kaedah untuk merealisasikan budaya kerja kelas pertama," katanya dalam kenyataan, di sini pada Selasa.

Beliau berkata melalui seminar itu, peserta akan dapat mempertingkatkan lagi pengetahuan untuk mencapai kecemerlangan organisasi dan juga keluarga.