Saturday, November 19, 2011

Kementerian Kesihatan Tubuh Satu Lembaga Siasat Pesakit Alami Kecacatan

IPOH, 18 Nov- Kementerian Kesihatan akan menubuhkan satu lembaga siasatan bebas bagi menyiasat dakwaan kecuaian doktor di Hospital Raja Permaisuri Bainun (HRPB) di sini sehingga menyebabkan Nur Sofiera Natasha Muhamad Shahrim , 2, mengalami kecacatan.

Exco Kesihatan negeri, Datuk Dr Mah Hang Soon berkata hasil siasatan dalaman, bagaimanapun mendapati pesakit telah menghidap penyakit 'celebral palsy' akibat jangkitan cytomegalovirus, semasa berada dalam kandungan ibunya lagi.

Selain itu, katanya tangan kanan pesakit yang membengkak berwarna kehitaman berkemungkinan akibat kesan suntikan kalsium glukonat yang meresap keluar daripada saluran darahnya setelah ia diberikan pesakit ekoran kandungan tahap kalsium yang rendah.

"Perkara ini (bengkak kehitaman) boleh terjadi kepada mana-mana pesakit yang menerima suntikan ini walaupun ia tidak terkeluar daripada salur darahnya dan sememangnya kita berasa terkilan dengan hal ini.

"Namun begitu, beberapa pihak akan dipanggil termasuk ibu bapa pesakit untuk memberi penjelasan bagi membantu sisasatan oleh beberapa pakar kesihatan yang akan dilantik kementerian dari luar negeri Perak dan hasil laporannya dijangka siap dalam tempoh sebulan," katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang akhbar di HRPB hari ini yang turut dihadiri Pengarah Kesihatan negeri, Datuk Dr Ahmad Razin Datuk Ahmad Mahir.

Nur Sofiera Natasha telah dimasukkan ke wad pada 5 April 2009 kerana mengalami demam serta beberapa episod sawan dan kekejangan.

Selasa lalu, bapa Nur Sofiera Natasha iaitu Muhamad Shahrim Ishak, 33, dan isterinya, Husdalia Hussin, 31, mendakwa anak perempuannya itu mengalami kecacatan disebabkan kecuaian doktor di HRPB yang tersilap memberi suntikan kepada anak mereka ketika dirawat kerana demam panas, dua tahun lalu.

Pasangan tersebut yang mengadu masalah mereka kepada Menteri Besar, Datuk Seri Dr Zambry Abdul Kadir ketika sesi Hari Bertemu Pelanggan di sini baru-baru ini juga terpaksa bergilir-gilir mengendong atau meriba anak berkenaan kerana kanak-kanak itu akan menangis sekiranya diletakkan di lantai atau berada di pangkuan orang lain.( BERNAMA )