Saturday, May 17, 2008

Raja Perlis Mahu Penjawat Awam Berkorban Untuk Kemakmuran

KANGAR- Raja Perlis Tuanku Syed Sirajuddin Syed Putra Jamalullail mahu para penjawat awam sentiasa mengutamakan kepentingan rakyat dan sanggup berkorban demi kemakmuran negeri.

Baginda bertitah mereka juga perlu sentiasa mengamalkan budaya kerja berkualiti dan meletakkan kepentingan awam lebih utama berbanding kepentingan peribadi.

Bertitah pada istiadat penganugerahan darjah kebesaran dan pingat sempena ulang tahun ke-65 keputeraan baginda di Istana Arau hari ini, Tuanku Syed Sirajuddin berharap kajian segera dapat dilakukan ke atas kelemahan yang mungkin wujud dalam sistem pentadbiran tertentu di negeri ini.

Baginda berpuas hati dengan pencapaian pelaksanaan projek yang diluluskan dalam Rancangan Malaysia Kesembilan (RMK-9) yang kini memasuki tahun ketiga dan yakin pentadbiran baru negeri Perlis yang diketuai Menteri Besar Datuk Seri Dr Md Isa Sabu akan terus cemerlang.

Raja Perlis juga yakin pelaksanaan Wilayah Ekonomi Koridor Utara (NCER) yang dicetuskan oleh Perdana Menteri Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi akan membantu memacu pembangunan negeri ini.

Baginda bertitah sejak lima dekad mencapai kemerdekaan, negara diuji dengan pelbagai cabaran dari dalam dan luar namun kebijaksanaan pemimpin negara berjaya menangani segala masalah itu.

Dengan pengalaman menguruskan negara, baginda yakin pelaksanaan rancangan kerajaan akan tetap memperoleh kejayaan.

Baginda juga mahu rakyat mensyukuri nikmat kemakmuran negara dengan berusaha menghindari perbuatan yang merosakkan bangsa dan negara.

"Kekalkan perpaduan dan hubungan baik sesama kaum dan agama demi kesejahteraan negeri untuk pastikan nikmat kemakmuran negara berkekalan," titah baginda.

Dalam ucapan taat setianya, Md Isa berkata kerajaan negeri akan memperkasakan sektor pertanian yang menjadi tunjang ekonomi negeri ini malah pelaksanaan NCER akan turut mempercepatkan proses memperkasakan sektor itu.

Beliau berkata antara yang akan diberi tumpuan melalui NCER ialah pelaksanaan Pusat Benih Negara yang akan meletakkan Perlis sebagai pengeluar benih bermutu tinggi.

Katanya Perlis menerima peruntukan sebanyak RM2.59 bilion dalam RMK-9 bagi melaksanakan 551 projek dan kesemua projek itu dipantau secara teliti bagi memastikan ia berjalan mengikut jadual.

Sementara itu, 39 orang menerima darjah kebesaran dan pingat bagi siri pertama penganugerahan yang berlangsung di Balai Rong Seri Istana Arau.

Md Isa dan Menteri Perpaduan, Kebudayaan, Kesenian dan Warisan Datuk Mohd Shafie Apdal yang masing-masing menerima darjah Seri Paduka Mahkota Perlis (SPMP) yang membawa gelaran Datuk Seri, mendahului senarai penerima.

Turut menerima darjah kebesaran hari ini ialah bekas Timbalan Menteri Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah Dr Tekhee @ Tiki anak Lafe dan Pegawai Kewangan Negeri Perlis Musa Hassan yang masing-masing menerima anugerah Dato' Paduka Mahkota Perlis (DPMP) yang membawa gelaran Datuk.

Istiadat penganugerahan darjah kebesaran dan pingat itu turut dihadiri Raja Perempuan Perlis Tuanku Fauziah Tengku Abdul Rashid, Raja Muda Tuanku Syed Faizuddin Putra ibni Syed Sirajuddin Jamalullail dan Raja Puan Muda Tuanku Hajah Lailatul Shahreen Akashah.

Istiadat itu disiarkan secara langsung oleh Bernama TV. (BERNAMA)