Friday, May 16, 2008

JPJ Gantung Permit Operasi Syarikat Konsortium Bas Ekspress Semenanjung

ALOR STAR- Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) menggantung permit operasi Syarikat Konsortium Bas Ekspres Semenanjung Berhad selama sebulan berkuatkuasa semalam.

Pengarah Penguatkuasa JPJ Salim Parlan berkata penggantungan itu adalah bagi kesemua 232 buah bas ekspress milik syarikat berkenaan.Beliau berkata operasi syarikat berkenaan digantung kerana inkuiri Lembaga Pelesenan Kenderaan Perdagangan (LPKP) menunjukkan bahawa banyak bas milik syarikat itu terbabit dalam kemalangan jalan raya.

"Pihak JPJ akan memantau semua 36 terminal bas di Semenanjung untuk memastikan arahan ini dipatuhi," katanya kepada pemberita semasa Operasi Bersama Pengarah JPJ di Jalan Putera di sini malam tadi.

Antara kemalangan yang melibatkan syraikat bas itu ialah pada 15 Ogos tahun lepas di Km 256.9 Lebuh Raya Utara-Selatan dekat Terowong Menora, Kuala Kangsar di mana empat penumpang maut dan 25 lagi cedera termasuk enam parah apabila bas yang mereka naiki terbabas sebelum terbalik ke dalam longkang.

Dalam operasi selama empat jam yang bermula kira-kira pukul 8.30 malam itu sebanyak 115 saman dikeluarkan kepada penunggang motosikal serta kereta dan 20 kenderaan turut disita kerana tidak mempunyai cukai jalan yang sah.-- (BERNAMA)