Wednesday, May 21, 2008

Mahkamah Tetapkan Isnin Bagi Keputusan Kes Petisyen Pilihan Raya

KANGAR - Mahkamah Pilihan Raya di sini hari ini menetapkan Isnin ini bagi keputusan berhubung permohonan notis usul membatalkan petisyen bagi diisytiharkan keputusan pilihan raya kerusi Dewan Undangan Negeri kawasan Simpang Empat pada pilihan raya umum 8 Mac lepas sebagai tidak sah.

Hakim Datuk Zainal Adzam Abdul Ghani menetapkan tarikh itu selepas mendengar hujah daripada pihak pempetisyen dan responden.

Notis usul itu dikemukakan oleh Pegawai Pengurus Pilihan Raya Parlimen Arau, Muhamad Daud Abdull Hamid dan Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR), masing-masing dinamakan sebagai responden kedua dan ketiga.

Pada 28 April lalu, calon Barisan Nasional (BN) bagi kerusi Dewan Undangan Negeri kawasan Simpang Empat, Zahari Bakar, 53, memfailkan petisyen di Mahkamah Tinggi bagi diisytiharkan bahawa keputusan bagi kerusi itu pada pilihan raya umum 8 Mac lalu tidak sah.

Alasan yang dikemukakan oleh Zahari termasuk penemuan dua keping kertas undi yang mempunyai nombor siri yang sama, ketiadaan borang 14 bagi mengesahkan jumlah undian di pusat mengundi tertentu dan poster pilihan raya calon PAS.

Pada pilihan raya umum ke-12 itu, calon PAS Rus'seli Eizan menang dengan majoriti 53 undi setelah memperoleh 2,878 undi manakala Zahari memperoleh 2,825 undi.

Bekas anggota Exco kerajaan negeri Perlis itu menamakan Rus'seli sebagai responden pertama manakala Pegawai Pengurus Pilihan Raya Parlimen Arau dan SPR sebagai responden kedua dan ketiga.

Hakim Zainal Adzam juga menetapkan Isnin ini untuk mendengar usul bantahan daripada responden pertama sekiranya mahkamah memutuskan untuk menolak notis usul bantahan yang dikemukakan responden kedua dan ketiga itu.

Muhammad Daud dan SPR diwakili Peguam Kanan Persekutuan Rozi Bainon dan Peguam Persekutuan Wan Roslan Wan Ismail manakala Zahari diwakili peguam Abu Bakar Sidek. (BERNAMA)