Saturday, May 17, 2008

CAP Syor Pulih Semula Hutan Di Selangor

PULAU PINANG- Persatuan Pengguna Pulau Pinang (CAP) mencadangkan supaya kawasan hutan seluas 1,000 hektar yang diceroboh dan dimusnahkan di Selangor baru-baru ini dipulihkan segera.

Presiden CAP, SM Mohamed Idris berkata tindakan itu wajar dilakukan dengan segera bagi menyelamatkan 19,807 hektar tanah yang diusahakan oleh 9,000 petani di negeri itu daripada menghadapi masalah bekalan air pada masa akan datang.

"Kawasan hutan yang terlibat itu adalah Hutan Simpan Raja Muda, Ladang Hopeful di Bestari Jaya dan kawasan berhampiran Unversiti Industri Selangor (UniSel)," katanya dalam satu kenyataan.

Katanya CAP meminta kerajaan negeri Selangor dan Jabatan Perhutanan negeri agar melaksanakan penanaman semula spesies hutan paya gambut di tiga kawasan berkenaan secepat mungkin.

"CAP prihatin dengan nasib serta kehidupan petani di Tanjung Karang, Sabak Bernam, Kuala Selangor dan Sekinchan kerana mereka bergantung kepada sumber bekalan air dari kawasan itu," katanya.

Mohamed Idris berkata demi mengekalkan khazanah alam semula jadi itu serta sumber air bagi kehidupan rakyat Selangor, CAP mengesa agar seluruh kawasan hutan di negeri itu diwartakan sebagai hutan simpan kekal.

Katanya pihaknya juga kesal kerana kegiatan penerokaan tanah secara haram membabitkan kawasan hutan di Selangor itu lambat dikesan dan tindakan hanya diambil selepas dua tahun perkara itu berlaku.(BERNAMA)