Thursday, September 20, 2007

Perlis Lulus Undang-Undang Nikah Tanpa Wali.....

Kangar-Pengerusi Jawatankuasa Agama Islam Perlis Datuk Abu Bakar Ismail berkata Keputusan kerajaan negeri Perlis membenarkan pernikahan wanita Islam yang tidak mendapat restu wali mereka tidak seharusnya dipandang negatif oleh masyarakat.

Pada 11 Sept lepas, Dewan Undangan Negeri Perlis meluluskan Enakmen Pentadbiran Udang-undang Keluarga Islam (pindaan) 2007 yang memberi peluang kepada kaum wanita Islam yang tidak mendapat persetujuan wali meneruskan hasrat mereka untuk berkahwin.Mengikut enakmen itu Hakim Syariah diberi kuasa untuk membenarkan perkahwinan wanita tanpa restu wali setelah penyiasatan kesnya tertangguh sebanyak dua kali.Beliau berharap keputusan kerajaan negeri itu tidak dipanjangkan oleh mana-mana pihak yang kurang bersetuju dengan pelaksanaannya.

Beberapa pihak mempertikaikan keputusan itu termasuk Pengerusi Jawatankuasa Tetap Hal Ehwal Islam, Belia dan Mesra Rakyat Selangor Datuk Abdul Rahman Palil yang menyifatkan Perlis bertindak sendiri tanpa mengambil kira pandangan semua pihak.Abdul Rahman dilaporkan berkata walaupun keputusan itu di bawah bidang kuasa agama negeri Perlis tetapi ia seharusnya dirujuk kepada Majlis Fatwa Kebangsaan dan mendapat nasihat daripada mufti-mufti negeri lain bagi mengelak tercetusnya pertikaian dan perpecahan umat Islam.

Berhubung persoalan yang dipertikaikan oleh Abdul Rahman tersebut Abu Bakar sebaliknya berkata keputusan yang dilakukan di Perlis telah dirujuk kepada Majlis Fatwa Negeri Perlis dan ia tidak perlu dikemukakan kepada Majlis Fatwa Kebangsan.Katanya lagi pihak yang mengkritik enakmen itu juga perlu melihat matlamat dan hukum syariat supaya mereka tidak lagi memandang serong terhadap pelaksanaannya.

Dalam pada itu beberapa pihak berpendapat keputusan memberi peluang kepada kaum wanita Islam yang tidak mendapat persetujuan wali meneruskan hasrat mereka untuk berkahwin seolah-olah telah merampas hak istimewa seorang bapa (wali) yang benar-benar bertanggungjawab menjaga dan membesarkan anak-anak mereka dan seharusnya keputusan tersebut perlu ditetapkan syarat-syarat tertentu kepada kes-kes yang melibatkan kegagalan mengesan wali.

Terdapat beberapa kelemahan berkaitan beberapa kes lain sebelum ini yang melibatkan tuntutan fasah oleh isteri dari luar negeri perlis didapati telah menukar alamat dengan menggunakan alamat permastautin di negeri itu sedangkan mereka masih menetap di negeri lain untuk tujuan tersebut.Keadaan ini boleh menyebabkan kesukaran kepada si suami yang tinggal jauh di luar negeri perlis untuk ke mahkamah syariah di negeri itu dan akhirnya terpaksa menerima keputusan mahkamah tanpa pembelaan.

Dalam kes yang lain pula seorang suami yang tidak mahu dikenali memaklumkan kepada Harian utara yang dia terkejut bila menerima surat menuntut fasah dari isterinya yang menggunakan alamat negeri perlis sedangkan sehingga sekarang isterinya itu menetap di luar negeri perlis.Tambahnya lagi dalam beberapa kali tarikh perbicaraan tersebut berjalan, hanya sekali beliau mendapat surat pemberitahuan tarikh untuk ke mahkamah dan menyebabkan perbicaraan tersebut diputuskan tanpa kehadirannya.

Ada pihak berpendapat keputusan memberi peluang kepada kaum wanita Islam yang tidak mendapat persetujuan wali meneruskan hasrat mereka untuk berkahwin akan menimbulkan kesan yang buruk sekiranya tidak di tetapkan dengan syarat-syarat ketat dan siasatan terperinci perlu dilakukan bagi setiap permohonan pernikahan tanpa wali bagi memastikan setiap pernikahan tersebut tidak terdedah kepada penipuan sindikit pelacuran yang menggunakan taktik "bernikah" untuk memperdaya kaum wanita.

Kebenaran pernikahan tanpa wali juga perlu dilihat dari berbagai aspek dan implikasi yang bakal terjadi dari sudut lain supaya pernikahan itu sendiri tidak diselewengkan oleh mana-mana pihak yang cuba mengambil kesempatan dengan peluang yang disediakan oleh negeri perlis khususnya kaum wanita yang masih muda yang masih dalam penjagaan keluarga mereka, dan bapa wanita tersebut masih berhak menjadi wali dan mempunyai sebab tidak membenarkan pernikahan tersebut berlaku yang mungkin disebabkan pengetahuannya mengenai seseorang yang akan menjadi suami kepada anaknya.