Tuesday, September 25, 2007

Isu Rakaman Video,Sivarasa Rasiah Terus Cetus Persoalan

Kenyataan demi kenyataan dikeluarkan oleh Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Dato' Seri Mohammed Nazri Aziz berhubung kononnya Ketua Hakim Negara, Tun Ahmad Fairuz menafikan pembabitannya dalam perbualan bersama peguam dalam isu klip video yang didedah Dato' Seri Anwar Ibrahim.

Setelah mewakili Ahmad Fairuz dalam menafikan perkara itu hari ini Nazri pula menjelaskan mengapa beliau memberi kenyataan dan katanya beliau berhak memberi kenyataan berikutan portfolionya sebagai menteri yang bertanggungjawab dalam hal perundangan.

"Mengapakah Dato' Seri Nazri Aziz begitu beria-ria bercakap bagi pihak Ketua Hakim Negara tentang skandal video ini?" soal Naib Presiden KeADILan, Sivarasa Rasiah dalam satu komennya terhadap isu itu hari ini.

Pertamanya, agak pelik dan luar biasa bagi seorang Ketua Hakim Negara untuk meminta seorang Menteri mempertahankan integritinya, kata Sivarasa.

"Bilakah permintaan ini dibuat? Nazri Aziz tidak pula menjawab soalan ini," katanya.

Keduanya kata beliau, isi responsnya itu tidak kurang peliknya, dan sebenarnya sukar untuk dipercayai.

"Ini adalah kerana satu-satunya respons yang telah diberikan kepada rakyat oleh Ketua Hakim Negara sendiri, tanpa bantuan sebarang Menteri, hanyalah sekadar kenyataan 'Tiada komen' dalam tulisan semata-mata, iaitu dua hari selepas pendedahan dibuat," katanya.

Baginya, adalah satu perkara yang tidak elok untuk seorang yang menjawat jawatan di peringkat eksekutif, apatah lagi seorang Menteri di Jabatan Perdana Menteri bercakap bagi pihak pegawai tertinggi iaitu badan kehakiman, katanya.

Tindakan ini secara langsung mencabar kewibawaan prinsip pengasingan kuasa yang menjadi salah satu tunjang demokrasi negara ini, katanya.

Respons luar biasa yang diberikan Nazri membawa satu persoalan sama ada Tun Ahmad Fairuz tidak mampu mempertahankan integritinya sendiri, katanya.

"Nazri juga sedang cuba mempersoalkan kebenaran video tersebut. Akan tetapi, persoalan ini sudah tentu dapat dijawab dengan senangnya jika disiasat oleh pasukan forensik yang berkebolehan," katanya.

Soalan yang perlu dijawab sekarang ialah adakah Ketua Hakim Negara bercakap dengan VK Lingam pada tahun 2002, (berdasarkan isi perbualan itu, bahagian yang menyebut melantik Tan Sri Mokhtar Abdullah sebagai Hakim Tinggi Malaya menunjukkan bahawa perbualan ini berlaku sebelum Tan Sri Mokhtar Abdullah terjatuh dan mengalami koma pada bulan Ogos 2002), katanya.

Menurut Sivarasa, soalan ini bukanlah terlalu sukar untuk dijawab dan setelah pasukan penyiasat mendapat semua nombor telefon mereka pada masa itu, rekod telefon mereka untuk tahun tersebut boleh diteliti untuk memastikan sama ada mereka pernah berbual bersama, katanya.

"Mungkin Menteri kita ini bolehlah memberikan cadangan ini kepada pihak penyiasat. Jika kita ingin menyelamatkan integriti bidang kehakiman kita, salah satu daripada tiga tiang utama sistem pemerintahan kita, maka persoalan-persoalan ini seharusnya dijawab serta-merta," katanya. - mns (Harakah Daily)