Friday, September 21, 2007

Penghuni Flat Paya Nahu Dakwa Pemaju Abai Tanggungjawab...

Sungai Petani - Ketika masalah banjir di Kedah telah pun pulih, lain pula kisahnya dengan berpuluh-puluh buah keluarga di Flat Paya Nahu Fasa 2, Sungai Petani yang masih lagi terpaksa tinggal di dalam rumah yang dipenuhi air.

Keadaan ini disebabkan oleh masalah tangki yang membekalkan air kepada penduduk-penduduk di situ yang tidak diselenggara dengan baik oleh pemaju flet tersebut mengakibatkan air seringkali melimpah masuk ke dalam rumah mereka.

Keadaan tersebut telah berlarutan sejak 2 tahun lalu dan hampir semua rumah yang terletak di aras 4 flet yang mempunyai 22 blok itu terpaksa berhadapan dengan masalah terbabit pada setiap hari.

Masalah yang dilihat agak serius ialah di Blok A1, A5, A8, A11 dan A14 di flet kos rendah tersebut.

Tinjauan wartawan Harian Utara di Blok A11 flet tersebut mendapati air tangki yang melimpah masih lagi mencurah-curah masuk ke dalam rumah penduduk di aras 4 blok tersebut.

Menurut penduduk, setelah berulang-ulang kali aduan dibuat kepada pemaju, pihak pemaju telah membaikinya namun masalah yang sama tetap berulang semula beberapa hari kemudian.

Menurut mereka lagi, selain daripada terpaksa menanggung kerugian apabila banyak barang-barang elektrik dan perabot rosak, mereka juga turut mempersoalkan tentang aspek keselamatan terutamanya kepada anak-anak mereka yang masih kecil.

Beberapa buah rumah di situ juga telah ditinggalkan kosong oleh penghuninya disebabkan tidak tahan lagi dengan masalah tersebut.

Tinjauan seterusnya di bahagian atas blok yang menempatkan tangki air tersebut mendapati bukan sahaja ianya tidak ditutup, malah keadaannya agak memualkan dengan air yang berbau serta terdapat beberapa ekor bangkai kelawar di dalam tangki air yang merupakan satu-satunya sumber yang ada bagi penduduk di situ mendapatkan bekalan air untuk minum, memasak dan sebagainya lagi.

Selain daripada tangki air, tinjauan juga mendapati tangki najis yang disediakan pemaju juga tidak diselenggara dengan baik dengan sisa-sisa najis melimpah keluar dan membanjiri kawasan sekitarnya.