Thursday, September 27, 2007

600 Peladang Dapat Untung

SIK - Sambutan hari raya yang akan datang akan menjadi lebih meriah dan bermakna kepada 600 orang peladang ahli Koperasi Pembangunan Beris Berhad apabila mereka menerima pembahagian keuntungan daripada hasil ladang berjumlah RM 4,600 setiap seorang pagi tadi.

Habuan yang diibaratkan mereka seperti menerima ‘duit raya’ tersebut telah diberikan dalam satu Majlis Penyampaian Keuntungan Hasil Ladang Koperasi Pembangunan Beris Berhad sempena Aidil Fitri yang diadakan di Dewan Sekolah Kebangsaan Bandar Baru Beris Jaya, Sik dan telah disempurnakan oleh Menteri Besar Kedah, Dato’ Seri Mahdzir Khalid.

Ketika berucap dalam majlis tersebut, Dato’ Seri Mahdzir Khalid menyarankan kepada semua ahli-ahli koperasi agar mengamalkan hidup secara aman, makmur dan harmoni antara mereka dengan memberi keutamaan kepada pembangunan negeri tanpa mengira kaum, agama atau pun parti politik.

Mengulas mengenai memorandum yang diserahkan penduduk di Penempatan Semula Bandar Baru Beris Jaya berkenaan dengan hak milik rumah mereka, Dato’ Seri Mahdzir Khalid menjelaskan bahawa hak milik tersebut akan diberikan kepada penduduk pada awal tahun depan disebabkan kerja-kerja ukur sedang dijalankan oleh Jabatan Tanah dan Galian pada masa ini.

Dalam ucapan yang sama, Dato’ Seri Mahdzir Khalid mengumumkan tawaran menduduki rumah di Penempatan Semula Bandar Baru Beris Jaya akan diberikan kepada 24 orang pemohon yang layak mengikut kekosongan yang terdapat di situ termasuk sebuah rumah yang akan dihadiahkan kepada Pengerusi Koperasi Pembangunan Beris Berhad, Encik Shuib bin Hj Ismail di atas komitmen beliau dalam menguruskan koperasi tersebut sehingga menjadi antara koperasi yang paling berjaya di Negeri Kedah.


Di akhir ucapannya, beliau turut mengumumkan pembahagian keuntungan daripada hasil ladang kepada semua ahli koperasi berjumlah RM 4,600 setiap seorang dengan pemberian sebanyak RM 4,000 pada pagi tadi sebagai persiapan untuk menyambut hari raya manakala baki selebihnya akan diberikan di dalam Mesyuarat Agung Koperasi Pembangunan Beris Berhad yang akan diadakan pada 15hb Disember ini.

Sebagai rekod, pembahagian keuntungan kepada ahli koperasi mencatatkan peningkatan yang begitu ketara berbanding tahun-tahun sebelumnya dengan pembahagian keuntungan pada tahun 2003 adalah sebanyak RM 700 seorang, tahun 2004 sebanyak RM 900 seorang, tahun 2005 sebanyak RM 1,450, tahun 2006 sebanyak RM 2,800 seorang manakala tahun ini sebanyak RM 4,600 bagi setiap seorang.

Jumlah keseluruhan keuntungan yang diperolehi Koperasi Pembangunan Beris Berhad pada tahun 2006/2007 adalah sebanyak RM 3.2 juta.

Dalam majlis tersebut juga, Dato’ Seri Mahdzir Khalid turut mengumumkan peruntukan daripada kerajaan negeri sebanyak RM 250 ribu kepada koperasi tersebut telahpun diluluskan bagi membantu setiap ahli koperasi menjalankan aktiviti membela ikan talapia di dalam sangkar dan ikan keli di dalam kanvas di rumah masing-masing.