Sunday, September 2, 2007

Pasaran Kereta Terpakai Kembali Pulih

PULAU PINANG-Pasaran kereta terpakai di negara ini kembali pulih dengan harganya meningkat sebanyak 10 peratus pada setengah tahun kedua tahun ini.

Presiden Persekutuan Persatuan Syarikat Kereta dan Kredit Malaysia (FMCCAM), Datuk Tony Khor Chong Boon berkata, permintaan untuk kereta terpakai terutamanya yang berusia antara satu dan lima tahun mencatatkan permintaan yang memberangsangkan sehingga bekalannya amat berkurangan di pasaran.

Katanya, faktor harga yang stabil kini menyebabkan pembeli dan penjual yang sebelum ini mengambil sikap tunggu dan lihat kembali semula ke pasaran.

"Jumlah jualan juga mencatatkan peningkatan sebanyak 15 peratus pada suku ketiga tahun ini berbanding jumlah yang dijual sepanjang tahun 2006," katanya kepada pemberita selepas perasmian Mesyuarat Agung Tahunan ke-29 FMCCAM oleh Pengerusi Jawatankuasa Kerajaan Tempatan, Pengurusan Lalulintas, Penerangan dan Perhubungan Masyarakat Negeri, Datuk Dr Teng Hock Nan.

Bagaimanapun, beliau tidak dapat menyatakan jumlah sebenar kereta terpakai yang dijual atau dibeli dalam tempoh itu.

Sehubungan itu, beliau menggesa orang ramai yang berminat dalam jual beli kereta terpakai ini supaya mengambil peluang keemasan daripada harga yang stabil untuk mendapatkan kereta idaman masing-masing berikutan harga pasaran yang semakin baik.

Tony berkata, bagi melancarkan urusan tukar hak milik kenderaan terpakai, FMCCAM mencadangkan supaya Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) melaksanakan sistem e-tukarmilik dengan segera.

"Proses pertukaran pemilikan sedia ada boleh mengambil masa sehingga sebulan tetapi dengan perlaksanaan e-tukarmilik ini semua dapat dilakukan dalam masa sehari," katanya.

Terdahulu itu, Dr Teng menggesa penggubal dan pelaksana dasar berkaitan automobil sama ada di peringkat kerajaan persekutuan, kerajaan negeri dan kerajaan tempatan supaya berbincang dengan FMCCAM sebelum melaksanakan sebarang dasar bagi memastikan anggota persatuan dan industri itu tidak menghadapi sebarang masalah akibat pelaksanaannya.

Katanya, industri automobil melibatkan nilai transaksi yang tinggi sekitar RM37.5 bilion dan sebarang perubahan dasar berkaitannya memberi kesan kepada ekonomi negara.(BERNAMA)