Wednesday, September 5, 2007

Pelajar Mati

Sungai Petani-Suasana sedih dan pilu menyelubungi perkarangan rumah mayat Hospital Sultan Abdul Halim (HSAH), Sungai Petani yang dipenuhi dengan kaum keluarga dan rakan-rakan Mohd Shukri bin Mohd Suhaimi yang meninggal dunia pagi tadi.

Mohd Shukri, 16 tahun yang merupakan seorang pelajar tingkatan 4 di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Sungai Pasir, Sungai Petani dikatakan terjatuh dan pengsan di hadapan pintu masuk sekolah ketika sedang berjalan masuk ke kawasan sekolah bersama dengan beberapa orang rakannya.

Menurut Pengetua SMK Sungai Pasir, Abd Ghani bin Haron, kejadian tersebut berlaku betul-betul di hadapannya ketika beliau sedang memantau kehadiran pelajar-pelajar ke sekolah kira-kira jam 7.25 pagi tadi.

Menurutnya lagi, beliau dengan dibantu beberapa orang guru serta pengawal keselamatan mengangkat Mohd Shukri ke dalam pondok pengawal di hadapan sekolah untuk diberikan bantuan awal.

Melihat kepada keadaannya yang semakin kritikal, pihak sekolah terus menghubungi ambulans bagi membawa mangsa ke Hospital Sultan Abdul Halim, Sungai Petani dan disahkan meninggal dunia sebaik tiba di situ.

Bapa tiri mangsa, Zulkefly bin Ahmad yang ditemui di perkarangan rumah mayat HSAH menyifatkan kemalangan yang menimpa Mohd Shukri adalah sesuatu yang mengejutkan disebabkan arwah tidak pernah mengadu mengalami sebarang penyakit serta tidak menunjukkan sebarang perubahan sewaktu hendak keluar ke sekolah pagi tadi.

Walaubagaimanapun, sejak kebelakangan ini arwah pernah beberapa kali mengadu kepada rakan-rakannya yang dia mengalami kesakitan di bahagian dada tetapi tidak mengambil serius dengan keadaan itu.

Sebagai rekod, bapa Allahyarham Mohd Shukri telah meninggal dunia juga secara mengejut ketika berumur 24 tahun semasa arwah masih lagi di dalam kandungan ibunya dan kejadian yang menimpa Mohd Shukri hampir sama sepertimana yang berlaku kepada arwah ayahnya 16 tahun yang lalu.