Sunday, September 16, 2007

Beberapa Kawasan Di Seberang Perai Tengah Dan Selatan Dilanda Banjir

BUKIT MERTAJAM-Hujan lebat sejak dua hari lalu menyebabkan beberapa kawasan di dua daerah yang terletak di sepanjang Sungai Junjung/Jawi di landa banjir, memaksa beratus penduduk berpindah ke pusat pemindahan banjir yang dibuka di kawasan masing-masing malam tadi.

Antara kawasan yang terlibat ialah Kampung Manggis, Bukit Mertajam di Daerah Seberang Perai Tengah (SPT) dan Kampung Lapan serta Kampung Indera Timbalan di kawasan Kepala Gajah, Seberang Perai Selatan (SPS).

Ketua Umno Bahagian Bukit Mertajam, Datuk Musa Sheikh Fadzir berkata kira-kira 200 penduduk dari 50 keluarga di Kampung Manggis dipindahkan ke surau Taman Perwira sejak malam tadi.

Beliau yang ditemui ketika melawat mangsa banjir itu di sini hari ini berkata penduduk terpaksa dipindahkan apabila ban di Kampung Manggis pecah lewat petang semalam menyebabkan air sungai yang mengalir deras melimpah masuk ke kawasan kampung itu.

"Dalam masa yang singkat air di kawasan itu melepasi paras lutut dan saya jangka lebih ramai lagi akan dipindahkan berikutan hujan yang amat lebat di kawasan itu sekarang," katanya.

Musa seterusnya meminta kerajaan negeri segera bertindak menangani masalah banjir yang berpunca daripada ban di Kampung Manggis dan Kepala Gajah yang pecah akibat aliran air sungai yang deras ekoran hujan lebat di Pulau Pinang dan juga di Kulim, Kedah.

Katanya sejak 23 Julai lalu sehingga hari ini, penduduk di kawasan itu sudah beberapa kali berpindah ke pusat penempatan banjir berkenaan dan ia bukan sahaja menjejaskan kehidupan mereka, malah banyak harta benda yang rosak dan musnah dalam kejadian itu.

"Membina ban sementara semata-mata tidak akan menyelesaikan masalah kerana apa yang perlu ialah usaha melebar dan mendalamkan sungai yang melalui kawasan kampung-kampung berkenaan," katanya.

Sementara itu jurucakap Bilik Gerakan Banjir di Kepala Gajah ketika dihubungi berkata 89 penduduk dari 19 keluarga di Kampung Lapan dan Kampung Indera Timbalan di SPS berpindah ke Dewan JKKK di kampung berkenaan sejak pukul 9 malam tadi.

Bagaimanapun katanya paras air surut pagi ini dan semua mangsa pulang ke rumah masing-masing, namun hujan lebat sejak tengah hari menyebabkan air naik semula kira-kira dua kaki di atas jalan raya dan besar kemungkinan mereka akan kembali ke dewan berkenaan sekiranya keadaan semakin buruk.

Di Kampung Baru, Simpang Ampat pula, persediaan dibuat untuk memindahkan lebih 20 keluarga dari kawasan sekitar ke Dewan JKKK Kampung Baru berikutan paras air semakin meningkat.

Sementara itu tinjauan Bernama mendapati aktiviti beribu lagi penduduk di kedua-dua daerah itu terjejas akibat banjir, namun mereka tidak dipindahkan kerana paras air tidak begitu tinggi dan keadaan masih terkawal.

Antara kawasan yang terjejas ialah Kampung Junjung, Kampung Machang Bubuk, Taman Jambu, Kampung Berangan Sembilan, Kampung Bukit Teh dan Kampung Kuala Tasek.(BERNAMA)