Tuesday, September 18, 2007

76 Mangsa Banjir Masih Di Pusat Penempatan

Kepala batas - Paras Air Sungai Muda yang meningkat secara mendadak dan keadaan banjir yang semakin serius sejak 2 hari lalu di kawasan Penaga, Kepala Batas menyebabkan beberapa buah keluarga telah dipindahkan ke pusat penempatan banjir.

Di Pusat Penempatan Banjir Rantau Panjang, Kepala Batas, Pulau Pinang, seramai 44 orang daripada 12 keluarga telah dipindahkan setakat jam 2.45 petang semalam.

Jumlah tersebut semakin meningkat menjelang lewat malam dengan pertambahan seramai 32 orang lagi menjadikan jumlah keseluruhan mangsa yang ditempatkan di situ kepada 76 orang daripada 17 buah keluarga.

Menurut Pengerusi Pusat Penempatan Banjir Rantau Panjang, Abdullah bin Salleh, mangsa pertama yang dipindahkan ialah pada jam 2.00 pagi semalam yang melibatkan 15 orang daripada 4 buah keluarga di kampung tersebut.

Menurutnya lagi banjir kali ini yang berlaku secara mendadak menyebabkan pihaknya tidak sempat membuat persiapan awal dari segi mengenalpasti mangsa dan juga menyediakan bantuan keperluan asas kepala mangsa-mangsa banjir yang dipindahkan ke pusat penempatan banjir terbabit.

Walaubagaimanapun, dengan kerjasama daripada beberapa agensi kerajaan seperti Pejabat Daerah, Polis Di Raja Malaysia serta Jabatan Kebajikan Masyarakat, masalah tersebut dapat diatasi dan kebajikan mangsa-mangsa banjir yang ditempatkan di situ adalah dijamin sepenuhnya.

Tinjauan wartawan Harian Utara tengahari tadi mendapati jumlah mangsa banjir yang ditempatkan di Pusat Penempatan Banjir Rantau Panjang masih tidak berubah dan kekal dengan 76 orang walaupun paras air di Sungai Muda dilihat sedikit berkurangan daripada semalam.

Jumlah keseluruhan penduduk yang terlibat dengan banjir di situ melebihi daripada 100 orang namun ramai yang memilih untuk tidak berpindah dan masih tinggal di rumah-rumah mereka walaupun ditenggelami air.