Friday, September 14, 2007

Jual Tin Buruk Untuk Sara Anak

Jeniang-Md Daya Tahir 52 tahun dan isterinya, Norlia Shuib 30 tahun, di Kampung Berjaya, Jeniang, Kedah tidak mempunyai pilihan lain, selain terpaksa menghuni di sebuah rumah usang tanpa sebarang keperluan asas, di dalam kebun sayuran kepunyaan saudara mereka bagi menyambung kehidupan akibat dihimpit kemiskinan.

Bagi keluarga ini, mereka juga mahu hidup bahagia dan tidak mahu bergantung harap kepada orang lain, walaupun terpaksa mengisi perut dengan menjual tin-tin buruk yang dikutip disekitar kampung berkenaan, selain mengambil upah menoreh getah dan memugar kebun.

Disebabkan kemiskinan, dua orang anak perempuan mereka berumur sembilan tahun diserahkan kepada neneknya di Alor Setar dan seorang lagi berumur lima tahun dijaga oleh emak saudara mereka di Kuala Lumpur.Hanya dua orang anak lelaki pasangan ini, yang masing-masing berumur tiga tahun dan sepuluh bulan masih berada bersama mereka.

Menurut mereka kemiskinan hidup menyebabkan mereka tidak mampu membina rumah yang lebih selesa dan terpaksa bekerja keras setiap hari untuk membeli makanan dan keperluan dapur, apatah lagi untuk menyimpan wang bagi membina rumah serta membeli lain-lain keperluan asas untuk keselesaan anak-anak mereka.

Lebih malang lagi bila usaha mereka memohon bantuan makanan daripada Jabatan Kebajikan Masyarakat,Sik dan Sungai Petani tidak mendapat sebarang jawapan sehingga sekarang.

Menurut mereka lagi Jawatan Kuasa Dan Keselamatan Kampung (JKKK) tersebut juga tidak pernah singgah ke rumah mereka, apatah lagi untuk mengambil tahu mengenai kesukaran yang sedang mereka hadapi.