Sunday, September 2, 2007

SPNB Hanya Agen Pelaksana Penempatan Kekal Mangsa Tsunami

PULAU PINANG, 1 Sept -Syarikat Perumahan Negara Berhad (SPNB) hari ini menjelaskan bahawa ia hanya bertindak sebagai agen pelaksana dalam projek pembinaan 100 unit pangsapuri bagi penempatan tetap mangsa tsunami di kawasan Tanjung Bungah.

Soal dasar mengenai projek itu terletak di bawah kuasa Majlis Keselamatan Negara (MKN) dan semua urusan kutipan, pembayaran balik dan harga unit rumah tertakluk kepada persetujuan bersama MKN dan kerajaan Pulau Pinang, kata syarikat itu dalam kenyataan di sini hari ini.

Kenyataan yang dikeluarkan Unit Komunikasi Korporat dan Perkhidmatan SPNB itu turut menjelaskan bahawa syarikat itu telah dipertanggungjawabkan untuk membina pangsapuri berkenaan di Kampung Masjid di sini dan kediaman itu siap sepenuhnya pada 22 Februari lepas.

Sijil Layak Menduduki untuk pangsapuri itu dikeluarkan pada 22 Jun lepas dan SPNB telah menyerahkan pangsapuri berkenaan kepada kerajaan negeri pada 28 Jun.

Bagaimanapun, kerajaan negeri masih belum mengambil alih pangsapuri itu berikutan soal perjanjian dengan mangsa tsunami terbabit belum dimuktamadkan, kata kenyataan itu.

SPNB difahamkan kaedah pembayaran balik kos pangsapuri itu juga masih belum ditentukan tetapi kutipan akan dibuat oleh Perbadanan Setiausaha Kerajaan Negeri melalui Jabatan Perumahan Negeri.

Menurut kenyataan itu lagi, semua hasil kutipan akan dikembalikan semula kepada Tabung Bantuan Bencana Negara melalui MKN.

Rabu lepas, Ketua Menteri Pulau Pinang Tan Sri Dr Koh Tsu Koon dilaporkan berkata kelewatan pemindahan penduduk terbabit berlaku berikutan kerajaan negeri tidak bersetuju dengan harga rumah yang ditetapkan SPNB yang dianggap terlalu tinggi untuk penduduk berkenaan.

Koh berkata SPNB menetapkan harga rumah berkenaan RM52,000 seunit tetapi kerajaan negeri mahu rumah itu dijual dengan harga RM42,000 seunit.

Sehubungan itu, pihaknya akan mengadakan rundingan lanjut mengenai perkara itu dengan SPNB dalam tempoh seminggu atau dua ini bagi membolehkan mangsa tsunami yang kini ditempatkan di rumah transit di sekitar Tanjong Bungah berpindah ke rumah baru itu secepat mungkin.(BERNAMA)