Tuesday, September 4, 2007

Cuepacs Mahu Kerajaan Lindungi Keselamatan Penguatkuasa

IPOH-Kongres Kesatuan Pekerja-Pekerja Dalam Perkhidmatan Awam (Cuepacs) hari ini mendesak kerajaan supaya mengambil tindakan segera bagi melindungi anggota penguatkuasa empat buah kementerian daripada ancaman samseng.

Presiden Cuepacs Omar Osman berkata ancaman terhadap keselamatan anggota penguatkuasa sudah sampai ke tahap kritikal sekarang kerana penjenayah sudah berani bertindak menyerang, bukan sahaja anggota dan harta benda mereka, tetapi anggota keluarga mereka.

"Insiden ugut dan calar kereta sudah menjadi perkara biasa," katanya pada sidang akhbar selepas majlis taklimat Cuepacs anjuran Kesatuan Pegawai-Pegawai Penguatkuasa Malaysia bersama pejabat Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna Perak di sini hari ini.

Pasukan penguatkuasa yang menghadapi masalah ancaman sanseng dan tonto yang dimaksudkan ialah pasukan dari kementerian itu, Kastam dan Imigresen, Jabatan Pengangkutan Jalan dan Pihak Berkuasa Tempatan.

Omar berkata anggota penguatkuasa mungkin tidak akan berani lagi menjalankan tugas jika ancaman daripada samseng sampai ke tahap kritikal yang membahayakan nyawa diri dan keluarga, sehingga ada kes membaling bom api ke rumah.

Beliau berkata pihak berkuasa, terutama kementerian dan Polis Diraja Malaysia, perlu memberi perhatian serius dan bertindak segera bagi memberi keyakinan kepada pasukan penguatkuasa bahawa keselamatan mereka adalah terjamin.

"Jangan apabila ada yang mati baru pihak berkuasa hendak bertindak. Ketika itu sudah terlambat,"katanya.

Cuepacs akan mengadakan perjumpaan dengan Ketua Polis Negara dan menteri-menteri terbabit bagi membincangkan isu ini dalam masa terdekat, katanya.

Omar berkata antara langkah yang boleh diambil oleh kerajaan untuk membendung masalah itu ialah dengan mengarahkan polis menyertai semua operasi agensi penguatkuasa serta mengambil tindakan tegas terhadap mereka yang melakukan serangan.

Insiden serangan terhadap penguatkuasa kementerian hal ehwal pengguna sahaja pada tahun ini adalah sebanyak 28 kes atau 202 kes sejak 2001 dan insiden serangan terhadap pasukan lain juga turut mencatatkan peningkatan.

Omar berkata samseng dipercayai semakin berani bertindak kasar kerana tiadanya tindakan tegas diambil terhadap pesalah sebelum ini sebagai contoh di Pulau Pinang, daripada 50 kes serangan terhadap penguatkuasa kementerian itu dari 2001 hingga tahun ini, hanya tiga kes dihadapkan ke mahkamah dan pesalah hanya dikenakan denda.

Cuepacs mahu kerajaan bertindak segera kerana pasukan penguatkuasa akan dikerahkan menjalankan tugas tambahan semasa musim perayaan tidak lama lagi, katanya.

Cuepacs juga mengesyorkan kerajaan memperkenalkan skim insurans khas kepada pasukan penguatkuasa seperti yang diberikan kepada polis dan tentera bagi melindungi nyawa dan harta.(BERNAMA)